Kepercayaan Biasa dan Luar Biasa

Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya”
Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335

Itulah janji Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam yang disampaikan kepada para sahabat dan seluruh umat.

Saya cuba menyelami bagaimanakah perasaan sahabat semasa mendengar kata-kata Baginda sallallāh ‘alayhi wa sallam ini.

Katakanlah:

“Malaysia suatu hari nanti akan menjadi juara Piala Dunia. Piala itu akan dijulang” kata jurulatih pasukan Malaysia kepada pemain-pemainnya.

“Ishh, betul ke ni. Logik ke?” rungut seorang pemain.

“Beda’ah je boss kita ni!” kata seorang lagi pemain. Kampungnya di Perak.

Hang cakap tengoq la kighi kanan” keluh seorang lagi jaguh Malaysia yang datang dari Kedah.

Jolllo ko mung ni” ketawa seorang lagi hero. Orang Pasir Mas Kelantan.

Semua orang macam tidak percaya. Malaysia mahu menjulang Piala Dunia? Mahu menjulang piala yang hanya dijulang oleh Perancis, Argentina, Itali dan Brazil?

Mampukah Malaysia?

Macam mengarut sahaja bunyinya.

Itu andaian saya untuk menyelami perasaan para sahabat apabila diberitahu oleh Baginda sallallāh ‘alayhi wa sallam bahawa pada suatu hari nanti kota sehebat Constantinople akan berada di tangan umat Islam.

Siapa umat Islam ketika itu? Sejauh mana kekuatan mereka itu?

Bagaimana pula dengan Constantinople? Kota yang diasaskan oleh Constantine the Great itu adalah kota agung dunia. Ingin ditawan oleh sekumpulan manusia yang sedang nasibnya umpama telur di hujung tanduk!

Lebih mustahil daripada misi Malaysia mahu menawan Piala Dunia.

Tetapi itulah cara Baginda sallallāh ‘alayhi wa sallam meniup semangat para sahabat.

KEPERCAYAAN BIASA

Percaya selepas melihat sesuatu, adalah kepercayaan yang biasa. Kepercayaan yang tiada nilai iman. Seperti pandangan biasa seorang end user yang percaya kepada fungsi sesuatu produk selepas hasil ujikaji dan usaha gigih penyelidik di makmal berakhir menjadi end product yang lulus.

Malah percaya selepas melihat sesuatu, jika tidak dididik, ia boleh menjadi seburuk kepercayaan Yahudi yang ultra materialistik:

“Kami tidak akan sekali-kali beriman kepada kamu sehinggalah kamu tunjukkan kepada kami Allah itu secara terang dan nyata” (Al-Baqarah 2 : 55)

KEPERCAYAAN LUAR BIASA

Akan tetapi kepercayaan yang tinggi ialah percaya sebelum melihat sesuatu, dan kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya itu.

Apabila sahabat itu beriman dengan iman al-Siddiq mengenai kebenaran Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam, maka soal janji sehebat penaklukan Constantinople tidak sukar untuk dipercayai. Sahabat percaya sebelum melihat, lantas mereka bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Kita belum pernah melihat Syurga, tetapi kita percaya sebelum melihatnya dan bekerja keras untuk melihat dan memperolehinya.

Kita belum pernah diazab untuk melihat Neraka, tetapi kita percaya sebelum melihatnya dan bekerja keras untuk menghindarkan diri darinya.

Mampukah kita percaya sebelum melihat dan kuatkah kita untuk bekerja bagi melihat apa yang kita percaya?

MANIS SEBELUM MANIS SELEPAS

Tanyalah anak muda yang mahu ‘melihat dan merasa semua’ sebelum bersedia untuk memberi komitmen pada sebuah perkahwinan. Apakah yang tinggal untuk dihargai? Apakah ada lagi kemanisan? Perkahwinan menjadi himpunan sepah terbuang.

Jika kita katakan bahawa carilah kebahagiaan pada mematuhi perintah Allah lantas bermujahadahlah menolak maksiat, anak muda harus menguji apakah mereka mampu untuk percaya sebelum melihat dan merasanya?

Fikir-fikirkanlah, sejauh mana keupayaan kita untuk yakin?

Ramadan memerlukan daya keyakinan tinggi untuk membolehkan kita mendapat apa yang belum terlihat di depan mata. Dan bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya itu.

Moga setiap hari Ramadan itu terisi dengan usaha merealisasikan keyakinan yang SATU itu… ameen.

Hasrizal

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share