Soalnya di Mana Ramadan Kita

Sungguh menghairankan.

Khabarnya dia itu sudah tertambat. Sudah diikat sepanjang Ramadhan ini. Bukan dengar-dengar, malah Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam sendiri yang memberitahu mengenainya:

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam bersabda: “Apabila tiba Ramadan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat”

Soalnya, bagaimanakah kefahaman kita tentang hal ini?

Umpamakan syaitan itu seperti anjing yang tertambat. Apakah anjing yang ditambat tidak mampu menggigit? Tentu sahaja bagi mereka yang menjauhi anjing tersebut, akan terselamat daripada serangan dan gigitan. Namun, bagaimana pula dengan yang mampir kepada anjing berkenaan? Duduk bersebelahan, mengacah-acah anjing yang geram tertambat? Tidak mustahil dia itu terkena gigitan, malah gigitan itu mungkin lebih serius kerana anjing sedang kemarahan.

Apabila Ramadan menjadikan syaitan tertambat daripada bebas berkeliaran, ia hanyalah proses mengurangkan potensi syaitan menghasut manusia berbuat jahat. Seperti sebutan Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam pada sepotong hadith al-Bukhari dan Muslim, “Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar”.

Ramadan mengurangkan potensi syaitan.

Akan tetapi bagi yang menghabiskan masa Ramadannya di tempat syaitan tertambat, di lokasi lagha dan maksiat tempat jin bertandang, maka bagaimana? Ketika syaitan tertambat, manusia pula yang mencari-cari syaitan dan mengisi Ramadan dengan perkara sia-sia kegemaran syaitan? Tidakkah mereka ini menyerahkan peha sendiri untuk dibaham dan menjadi mangsa?

Dan ketahuilah bahawa punca kejahatan manusia itu ada luar dan dalamnya. Jika anasir asingnya adalah syaitan, sumber paling merbahaya pula adalah hawa nafsunya sendiri.

“Apakah kamu tidak melihat orang yang bertuhankan hawa nafsunya sendiri?” (Al-Jaatsiyyah : 23)

Maka selepas pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan diikat, sudah cukup lapangkah jalan kebaikan, dan sudah cukup susahkah jalan kejahatan?

Selepas segala kemudahan diberi untuk manusia berubah kepada kebaikan, sedangkan dirinya masih tetap melakukan kejahatan… siapa lagi yang dapat dipersalahkan melainkan dirinya sendiri?

Kejahatan di bulan Ramadan adalah kejahatan solid pilihan manusia. Hampir tiada campur tangan syaitan pada kedurhakaan dirinya. Dia yang memilih untuk menjadi jahat lagi keparat.

Sebagaimana puasa menjadi ibadah eksklusif antara hamba dan Allah Tuhannya, maka kejahatan di bulan Ramadan juga akan dibalas secara eksklusif oleh Dia.

Soalnya, di manakah syaitan ditambat? Soalnya di manakah kita bakal menghabiskan masa di bulan Ramadan ini? Apakah di tempat jin dan syaitan bertandang? Atau di tempat turunnya rahmat Allah pada zikir dan munajat?

Hati-hati semasa melangkah.

Ingatlah lorong dan liku Jalan Taqwa pesanan Ubai kepada Umar.

Hasrizal

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share