Home / Arkib / Fitnah di Hujung Lensa

Fitnah di Hujung Lensa

Kami suami isteri, halal bergambar berdua-duaan bersama.

“Ustaaazzz, Assalamualaikum!” terdengar suara kuat bertempik dari anjung surau.

Saya terkejut.

Capati dilepaskan kembali ke pinggan.

“Err, wa ‘alaikum al-Salaam” saya membalas salam beriringan dengan senyuman.

“Saya sudah lama mencari peluang mahu bertemu dengan ustaz. Nak minta tandatangan buku ni!” kata beliau.

Seorang anak gadis yang hadir bersama ke Kuliah Maghrib saya malam itu.

Pakcik-pakcik yang sedang menjamah hidangan ringan usai ceramah dan Solat Isyak itu nampak terkejut dengan keramahan anak gadis itu. Terkejut juga dengan saya yang baru pertama kali berceramah di situ… barangkali.

Saya serba salah.

“Ustaz, saya nak tanyalah. Apa tips untuk orang yang putus cinta ya?” kata anak gadis itu. Duduk bertimpuh hampir-hampir bertemu lutut mengadap saya. Hingga mengesot pakcik di sebelah memberi laluan.

“Err, saya tak pernah putus cinta. Fadhilat tidak bermain cinta barangkali. Rasanya ada belaka dalam buku-buku ini!” saya membalas ringkas.

“Pakcik, saya nak bergambar dengan Ustaz Hasrizal. Tolong ambilkan gambar kami!” kata anak gadis itu sambil menyerahkan kamera digitalnya kepada Pengerusi Surau.

Beliau segera duduk rapat. Saya pula yang segera bergerak menjauhkan diri kerana takut tersentuh beliau. Sesuatu yang tidak harus, apatah lagi untuk diabadikan dalam sebuah foto yang ‘penuh berkat’ kerana diambil oleh Pengerusi Surau.

“Eh, sekejap. Sekali lagi. Takut tak jadi pula. Nanti dah putus cinta, tambah masalah dengan gambar tak jadi!” kata Pengerusi Surau. Menyindir sambil bergurau.

“Ok, terima kasih pakcik. Terima kasih ustaz. Seronoknya saya dapat jumpa ustaz. Assalamualaikoooommmm!” katanya sambil melambai tangan kepada kami.

Muka saya merah padam. Telinga pun panas. Pelbagai perasaan bercampur aduk.

MAKIN MENJADI-JADI

Sesungguhnya saya sangat tidak suka dengan perkembangan setahun dua ini apabila ramai Muslimah mahu bergambar bersama. Yang beramai-ramai itu satu bab, ini yang solo pun satu isu juga. Mahu sahaja saya tolak mentah-mentah. Tetapi tak tergamak mengaibkan dia di depan orang ramai.

Sekadar memberi peringatan sahaja.

“Panggillah kawan-kawan lain,” saya cuba mengelak bergambar solo dengan perempuan.

“Ehh, Shahril. Mari sini kita bergambar sama!” saya menarik tangan seorang mahasiswa untuk meneman saya yang sedang dikepung oleh muslimat.

Saya tidak selesa dengan perkembangan itu.

Namun kemuncaknya ialah di surau malam itu.

Seorang perempuan mahu bergambar dengan saya hingga hampir-hampir sahaja beliau menyentuh saya. Lebih memburukkan keadaan, perempuan itu menyuruh Pengerusi Surau mengambil gambar kami berdua.

Saya berasa sangat malu dan serba salah dibuatnya.

“Maafkan saya tuan. Semenjak kebelakangan ini kejadian macam ini selalu terjadi. Risau saya dibuatnya,” saya cuba meredakan rasa janggal yang menimpa jemaah surau yang kaget dengan kejadian itu.

“Inilah akibatnya apabila banyak menulis tentang CINTA!” saya mahu memberikan kata kuncinya.

“Ehh ustaz, kena tulis banyak lagi tentang CINTA. Sebab cinta itulah remaja kita hancur dan murtad pun ada!” kata pakcik-pakcik itu.

Saya menarik nafas lega. Mujurlah pakcik-pakcik tersebut mempunyai perspektif yang selari dengan pandangan saya..

“Rasanya perempuan tadi tu sedang terganggu fikiran. Putus cinta nampaknya!” kata Pengerusi Surau.

Mungkin juga. Saya sendiri berasa begitu.

KAMI BUKAN ARTIS

Sesungguhnya saya bukan artis, bukan selebriti, bukan juga idola atau apa sahaja yang sebahagian anda bayangkan. Saya adalah seorang lelaki, Muslim, yang bukan mahram anda dan mengharapkan ada secebis haya’ untuk bertindak sebagai benteng yang membatas tindak tanduk kita.

Jika kita mengagumi tulisan penulis, dakwah pendakwah, kolum kolumnis dan novel novelis, janganlah dimanifestasikan kekaguman itu sama dengan cara peminat nyanyian penyanyi atau lakonan pelakon, untuk bergambar bersama-sama antara seorang lelaki dan seorang perempuan kerana Syaitan tidak membezakan status atau profesyen kita. Dia sentiasa menjadi pihak ketiga dalam sekeping gambar yang menghimpunkan ‘kita berdua’.

Mungkin ini maksud sebenar kata-kata orang tua, “jangan bergambar bertiga, nanti ada yang mati!” Hakikatnya gambar bertiga itu ialah dua insan yang bukan Mahram bergambar bersama, Syaitan menjadi orang ketiga, dan pemangsa itu akan membunuh salah seorang atau kedua-duanya.

Elakkanlah bergambar solo dengan mana-mana lelaki yang bukan Mahram anda, baik bergambar dengan saya atau sesiapa sahaja. Begitu juga dengan anak muda, janganlah dibiasakan bergambar dengan perempuan-perempuan yang bukan ibu, adik beradik perempuan atau opah wan anda.

Ia menyalahi adab, adat dan Syariat kita.

“Sesungguhnya di antara perkara yang difahami oleh manusia daripada pesanan sekalian Nabi ialah, jika kamu tiada rasa malu, buatlah apa sahaja yang engkau mahu!” [Hadith al-Bukhari : 3224]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Maklum Balas

Maklum Balas

About Hasrizal

A school teacher and a lifelong learner. Oulu, Finland

Check Also

Tiada Lagi Aliran Sastera Atau Sains Mulai Tahun Depan?

Berita penuh di https://malaysiagazette.com/2019/10/11/tiada-lagi-aliran-sastera-atau-sains-mulai-tahun-depan/ Berita ini saya sambut di hari Jumaat penuh berkat ini dengan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.