Lupa Tuhan Lantas Lupa Diri

“Beli 1 dapat 10!!!” sehelai kain bidang dibentang seluas-luasnya.

Bukan hanya kain bidang, malah semua orang memperkatakannya.

Talk of the town” kata orang putih.

Sebuah pasar raya membuat tawaran yang amat hebat. Bertaraf mega, bahawa apa sahaja barang yang dibeli di pasar raya itu, belian 1 akan diberi 10.

Bukan sahaja beli 1 dapat 10, malah jalan raya ke pasar raya itu telah diturap elok. Semua simpang lain telah dikenakan road block. Lebih dari itu, kedai-kedai lain juga ditutup. Semuanya demi memudahkan kita pergi mendapatkan tawaran mega itu iaitu beli 1 dapat 10.

Dengan pelbagai cabutan bertuah yang ada, anda mungkin dapat lebih daripada 10. Ada hari istimewa di hujung-hujung mega sale itu, anda boleh dapat 1000! Ya, melampau sungguh tawaran itu. Hanya pasar raya yang maha untung dan maha kaya sahaja mampu menawarkan pakej sehebat ini.

Tiba-tiba, anda buat tidak peduli sahaja. Melangut duduk di rumah, hanya memekakkan telinga dan membutakan mata daripada mendengar dan melihat keghairahan orang lain berjalan, berlari, berkereta dan mungkin ada yang sampai merangkak untuk ke pasar raya berkenaan. Macam tak ada apa-apa yang berlaku.

Maknanya, anda memang tak teringin langsung dengan apa yang ditawarkan. Tak ada hati langsung… tak ada kena mengena langsung!

RAMADAN

Rasulullah saw bersabda, ”Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah, maka dia memperolehi satu kebaikan, dan satu kebaikan berganda sepuluh kali. Aku tidak katakana alif lam mim itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf.” (HR. Tirmidzi)

Bukan sahaja begitu, malah Lailatul Qadar juga harus dilihat sebagai kemuncaknya.

Lailatul Qadr itu lebih baik dari seribu bulan” [Al-Qadr 97.3]

Sudahlah Allah berjanji begitu, dipermudahkan pula segala jalan untuk merebutnya.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat.

TIBA-TIBA

Tiba-tiba kita buat tidak tahu sahaja. Macam tiada apa-apa yang berlaku. Tidak teringin hendak menambah amal. Tidak tergerak untuk meninggalkan kejahatan. Dosa, pahala, hingga Syurga dan Neraka, memang tidak menarik langsung untuk diberi perhatian.

Maknanya memang seseorang yang tidak mempedulikan Ramadan, tidak ingin langsung dengan apa-apa yang ada di sisi Tuhan. Tidak peduli dan langsung tidak mahu mengambil tahu. Sungguh orang seperti ini tiada kena mengena dengan Allah SWT!

Pinggan tak retak, nasi tak dingin,
Allah tak hendak, dia pun tak ingin!

Janganlah kita menjadi sebahagian mereka itu.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka). Tidaklah sama ahli Neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan [Al-Hashr 59 : 19-20]

Hasrizal

Check Also

Syukur dan Kufur Dalam Nikmat Rumahtangga dan Keluarga

Kita masuk ke sepertiga kedua bulan Ramadan. Lazimnya ia adalah bahagian Ramadan yang kita mudah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.