Petanda Kasih di Bulan Syawwal

“Bedah, abah dengan emak nak ke surau. Kalau hujan nanti, angkat jemuran ni ya. Jangan lupa!” jerit Haji Ahmad dari kereta.

Bedah mengangguk-angguk sambik tersenyum mengunci pagar.

Kilat berdentum di langit, tanda beratnya awan menanggung kemungkinan.

Selesai sahaja kuliah zohor dan solat berjemaah, Haji Ahmad dan isteri balik ke rumah.

“Hai, janganlah Bedah lupa pula ya. Lebat betul hujan tadi. Sampai nak dengar ceramah pun susah” kata Hajah Asma kepada suaminya. Haji Ahmad mengangguk setuju.

Setibanya mereka di rumah, perasaan lega timbul melihat kain di ampaian sudah diangkat. Memang boleh diharap Bedah anak mereka ini.

Masuk sahaja ke rumah, perasaan lega bertukar gembira. Bersyukur lagi terharu.

Bedah bukan sahaja sudah mengangkat kain dari ampaian, malah sudah siap menggosok, melipat dan menyimpan semua pakaian itu ke dalam almari!

Sayangkah Haji Ahmad dan Hajah Asma kepada anak seperti Bedah? Suruh angkat sahaja, nak biar atas sofa pun tidak mengapa. Tetapi anak dara yang seorang ini buat lebih daripada yang disuruh.

Tentulah sayang!

Yang sunat-sunat tu, tanda sayang!

Inilah jemputan saya kepada pembaca sekalian agar kita sama-sama sempurnakan puasa 6 Syawwal. Allah wajibkan yang Ramadan sahaja. Tetapi tambah-tambahlah sedikit sebagai tanda suka dan sayang kepada-Nya dalam beribadah. Puasa 6 hari di bulan Syawwal ini adalah seumpama solat sunat Rawatib yang mengiringi solat Fardu.

Sesungguhnya…

Puasa Ramadhan tempoh hari tanda taat dan patuh kepada-Nya.

Biarlah Puasa 6 Syawwal ini tanda sayang dan cinta kepada-Nya.

Daripada Abu Ayyub Al-Ansari, : Bahwa Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam bersabda : “Barangsiapa puasa Ramadhan kemudian diikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, adalah ganjarannya seperti berpuasa setahun” [Hadith Riwayat Muslim]

Hasrizal

Check Also

Nota Sembang Abah: Boikot Nuh

“Kau tahu, dia tu walaupun berdakwah sana sini, anak sendiri pun bertatu!” “Isy, kalau sudah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.