Jangan Sekadar Syurga Dunia

“Saya perlu bernikah, ustaz. Sangat perlu” ujar seorang anak muda.

“Mungkin tidak patut saya menyoal, tetapi KENAPA?” soalan saya ajukan kepadanya.

Bukan kenapa nikah, tetapi mengapa begitu terdesak.

“Tidak tenteram. Ada gelodak jiwa” katanya.

“Justeru selepas nikah nanti, kalau sudah tenteram dan jiwa kembali tenang, apa seterusnya?” saya menyambung pertanyaan.

“Tenteram itu bukankah sentiasa perlu? Jadi perlukah ada ’seterusnya’, ustaz? Saya keliru” katanya jujur.

“Izinkan saya berterus terang. Jika tenang dan tenteram yang awak maksudkan itu adalah pada nikmat beristeri dan menikmati isteri, hati-hati dengan tabiat nikmat dunia” saya tidak mahu berbunga kata.

“Tabiat yang bagaimana?” beliau agak kabur dengan perbualan kami.

“Kalau saya pakar sambal sotong, ustaz hidangkan kepada kamu buat kali pertama, Alhamdulillah. Tengah hari nanti sambal sotong juga, Alhamdulillah. Makan malam nanti sambal sotong lagi, Alhamdulillah. Bagaimana jika sarapan pagi esoknya juga sambal sotong dan tengah hari itu juga berlaukkan sambal sotong. Kamu mampu menjamahnya lagi?” saya beranalogi.

“Aduh, boleh muntah dibuatnya. Jangan, ustaz!” katanya sambil ketawa.

“Benar. Segala nikmat di dunia, biar sesedap mana pun ia, sedapnya semasa lapar, semasa bujang, semasa belum merasa. Tetapi kalau sudah dirasa, diulang rasa, berterusan merasa, bisa sahaja yang sedap menjadi hambar” saya menyambung kalam.

“Jadi, apa yang cuba ustaz beritahu saya?” soal beliau.

“Pernikahan, jangan sekadar satu penyelesaian. Ia harus lebih besar dari itu” saya memberikan kesimpulan.

NIKAH UNTUK SELESAI

Tidak salah untuk percaya bahawa pernikahan boleh menyelesaikan banyak masalah. Itulah hikmahnya pada sunnah bernikah.

Tetapi kekhuatiran yang timbul, ialah apabila sebuah ikatan perkahwinan mahu dilangsungkan hanya untuk menyelesaikan masalah tertentu, dan selepas masalah itu selesai, perkahwinan itu hilang tujuan! Menjadikan perkahwinan sebagai penyelesaian, hanyalah sebuah hasrat berupa perancangan jangka pendek. Sedangkan untuk sebuah rumahtangga terus membuka laluan sampai ke Syurga, ia perlu kepada perancangan jangka panjang.

Sepanjang kehidupan.

Kebelakangan ini saya dihimpit rasa bimbang.

Tatkala hari demi hari didatangi pasangan yang berkahwin muda mengadu masalah, saya memaksa diri untuk berfikir dan mencari sudut-sudut tersembunyi (blind spot) di dalam gambaran seorang anak muda semasa mahu bernikah.

“Saya bosan tengok isteri saya ustaz. Salahkah saya berperasaan begitu?” tanya seorang anak muda.

Jantung saya berdebar.

Merenung matanya, saya dapat merasakan ada semacam satu kehampaan di dalam dirinya kerana terbeban oleh perasaan yang gagal disembunyikannya. Syukur, sekurang-kurangnya dia mahu bertanya. Di samping berusaha menemukan jawapan, saya juga dapat belajar sesuatu untuk diri dan dikongsi dengan yang lain.

Bagaimana boleh bosan?

Saya harus mencari jawapan pada titik mula dan titik tengah soalan itu.

Justeru untuk mencari penjelasan pada titik mula, saya persoalkan tujuan perkahwinannya semasa di tahun 2 pengajian lebih setahun yang lalu.

“Kami selalu berjumpa. Saya bimbang hati terus terfitnah memikirkan tentangnya. Alhamdulillah saya tidak bertepuk sebelah tangan. Biar pun ayah dan ibu kami agak berat untuk menyatakan persetujuan, tetapi syukur akhirnya mereka merestui” cerita beliau.

“Alhamdulillah. Jadi, sekarang ini, adakah kamu sudah mendapat apa yang dicari?” saya bertanya.

“Ya, cuma…” beliau teragak-agak menyebut.

“”Cumanya sekarang kamu sedang dilanda jemu, kan?” saya sambungkan ayatnya yang tidak langsai itu.

Tatkala kita mengejar sebuah ikatan perkahwinan sebagai jalan keluar kepada apa-apa sahaja masalah yang sedang dihadapi, syukur jika masalah itu selesai, dan syukur juga jika masalah itu belum selesai. Sekurang-kurangnya dia masih punya sesuatu untuk diusahakan dalam sebuah perkahwinan. Namun bagi yang masalah sudah selesai di tahun satu pernikahannya, apa lagi cita-cita dan azam yang ada dalam visi dan misinya bagi melangsungkan usia perkahwinan?

Daripada gelisah menjadi tenang dengan nikah.

Timbul jemu, mahu mencari tenang dengan membatalkan nikah?

Naudhubillah

Tidak sedikit air mata sang isteri tumpah semasa suami mereka berterus terang berkata, “mengahwinimu adalah suatu kesilapan!”

Sepatutnya masalah seperti ini tidak timbul.

Tetapi realiti sering meninggalkan banyak ’sepatutnya’ terkontang-kanting menjauhi kesempurnaan.

Perkahwinan menyelesaikan.

Tetapi ia bukan sekadar sebuah penyelesaian.

Ia adalah sebuah gagasan.

Impian yang memerlukan pandanganmu jauh sampai ke usia tua, sampai cangkul dan tanah memisahkan jiwa, sampai ke kubur, sampai kamu ke Syurga.

Jadikanlah perkahwinan itu kenderaan yang membawa dirimu untuk ke Syurga Akhirat.

Jangan sekadar syurga dunia.

اتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ 

“Bertaqwalah kamu kepada Allah dalam urusan kaum wanita (isterimu) kerana sesungguhnya engkau mengambil mereka sebagai amanah Allah dan dihalalkan untukmu kemaluan mereka itu adalah dengan kalimah Allah” (Sunan Abi Dawud 1905)

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share