Pemimpin Harus Punya Idea

“Ana harap, di Duty Free nanti, ustaz beli sebuah buku bertajuk Ru’yati: al-Tahaddiyyaat fee Sibaaq al-Tamayyuz” kata Ustaz Hasan kepada saya. Buku berkenaan adalah karangan Mohammad bin Rashid al-Maktoum pemerintah Dubai. Beliau juga merupakan majikan yang membiayai posting saya sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre tidak lama dulu. Saya bekerja dengan tajaan Al-Maktoum Foundation.

“Anta baca buku itu dan hayati kupasan beliau tentang plan dan misinya membangunkan Dubai. Juga kritikannya kepada idea Samuel Huntington berkenaan dengan Clash of Civilization” pesan Ustaz Hasan kepada saya.

Kami berpelukan tanda perpisahan. Insya Allah ia hanya perpisahan yang sementara kerana kami berkongsi cita-cita yang sama. Jika masing-masing konsisten di jalan ini, pasti ketemu di hujung sana. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Ustaz Hasan atas mutiara-mutiara berharga yang dikongsinya bersama, dalam tempoh pertemuan yang singkat di Dubai.

Terima kasih juga kepada Abu Muaz yang memperkenalkan kami.

MY VISION

Tidak sulit untuk saya bertemu dengan buku yang dimaksudkan.

Kulit buku yang tebal, hitam keemasan dengan wajah Mohammad bin Rashid al-Maktoum, saya membayar 70 Dirham untuk senaskhah.

Sepanjang penerbangan dari Dubai ke Kuala Lumpur, saya membelek lembaran demi lembaran buku yang dikarang sendiri oleh pemerintah Dubai yang hebat itu.

IDEA DAN KEPIMPINAN

Sememangnya saya amat menghormati pemimpin yang mempunyai visi yang jelas.

Pemimpin harus memimpin dengan pemikirannya yang berbaloi dibaca dan dikaji. Bukan pemimpin yang dungu oleh teks yang disediakan orang lain atau yang tidur di lensa massa.

If you would not be forgotten, as soon as you are dead and rotten, either write things worth reading, or do things worth writing. Benjamin Franklin (1706-1790)

Kita boleh bersetuju atau menolak idea dan pemikiran seorang pemimpin. Tetapi pemimpin yang tidak mempunyai sebarang pemikiran dan idea, harus awal-awal lagi ditolak. Pemimpin tanpa idea, memimpin ke arah binasa dan memimpin sebagai boneka.

Mangsanya kita, rakyat jelata. Dari marhaen hingga pakar yang tiada harga.

Namun, pandangan saya terhenti pada bilah-bilah kata Sheikh Mohammad al-Maktoum ini di muka surat 13. Katanya:

Setiap pagi, si rusa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu alpanya dia akan mengundang bencana. Dia akan dibaham singa jika lengah dan tidak peduli kepada datangnya pagi.

Setiap pagi juga, si singa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu alpanya dia akan mengundang bencana. Dia akan kehilangan rusa dan mati kelaparan, jika lengah dan tidak peduli kepada datangnya pagi.

Sama ada kamu rusa atau singa, itu tidak penting. Apa yang utama ialah kamu harus segera berlari dan terus berlari lebih pantas dari sainganmu untuk mencipta kejayaan. Itulah falsafah saya, dalam membangunkan Dubai [terjemahan bebas oleh saifulislam.com]

Saya terpegun.

Ia adalah pesan Ustaz Hasan kepada saya. Ternyata Ustaz Hasan tahu apa yang patut saya fokus di dalam buku ini. Beliau berpesan agar saya mencari mutiara di dalam kisah rusa dan singa.

Ustaz Hasan itu kecilnya kecil cili padi

Bangunkan mangsa untuk bangkit mencari pembelaan. Bangunkan pihak yang sudah punya kemenangan agar tidak terlepas dari genggaman. Sama ada kamu mangsa atau pemangsa, rusa atau singa, pemerintah atau pembangkang kamu harus terus berlari.

Jangan berlengah

Semua harus berlari dan berlari. Hanya yang lengah dan membuta tuli, tersingkir dari pertandingan. Menyerahkan tampuk kepimpinan kepada tangan si malas lagi culas adalah jalan pintas menuju binasa.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
EK342 Emirates DXB-KUL

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share