Sunnah Meminta Pendapat Anak

“Kalau Abi tanya sikit, boleh?” saya memecah sepi di dalam kereta.

“Tanyalah” jawab Saiful Islam.

“Apa tentang Abi yang paling Yop suka?” saya menyoal.

“Hmm…” anak sulung saya mengeluh perlahan.

Lama beliau berfikir.

Sambil memandu, saya memandang di ekor mata memerhatikan gelagatnya.

“Sabar! Yop rasa Abi seorang yang sabar” jawabnya.

“Kenapa agaknya Yop kata Abi sabar?” saya menyoal lagi.

“Bukan senang jadi bapa. Anak-anak buat perangai macam-macam. Tapi Abi sabar” terang beliau.

“Sesekali Abi marah juga. Yop pun pernah kena rotan juga, kan?” saya mahukan kepastian.

“Sesekali tak apalah. Biasalah tu” jawabnya.

Jawapan yang Saiful Islam berikan itu mencetuskan rasa lega sedikit buat diri saya. Sekurang-kurangnya dia faham mujahadah yang saya alami setiap hari untuk berusaha menjadi bapa yang baik. Adakalanya, kita seperti itik yang berenang. Nampak tenang dan damai di permukaan air, sedangkan kaki terkapai-kapai berkayuh di balik pandangan.

“Apa tentang Abi yang paling Yop tak suka?” saya bertanya soalan bahagian kedua.

“Hmm… hmm… hmm…” beliau mengusap-ngusap dagunya gaya berfikir.

“Apabila Abi tanya, maknanya Abi nak dengar jawapan Yop. Abi tak kisah dan tak marah apa-apa pun jawapan yang Yop bagi” saya cuba meyakinkannya.

“Sibuk!” jawab beliau. Sepatah.

Kereta petang itu meluncur di lebuhraya. Saya hening dalam menyambut jawab balas si anak.

“Rasa-rasanya Yop tahu tak kenapa Abi sibuk?” saya bertanya lagi.

“Tahu. Sebab Abi ustaz. Abi kena berdakwah” jawab beliau lagi.

“Selain kena berdakwah, Abi juga kena kerja cari pendapatan. Keperluan kita pun macam-macam, kan?” saya menambah.

“Memanglah. Sekarang ni semua benda mahal. Nak pakai duit” ujar beliau.

Kami hanya berdua di dalam kereta. Naurah tidak bersekolah hari itu. Jika tidak, saya juga mahukan maklum balas si anak dara yang seorang itu.

“Banyaknya Abi tanya. Penat Yop nak fikir jawapan!” kata Saiful Islam.

Memang penat. Mungkin lebih penat daripada saya. Kelasnya bermula jam 8, berakhir jam 5. Sudah seperti orang bekerja pejabat.

“Ok, soalan terakhir. Abi nak kurangkan ceramah dan kerja, Abi cuba. Tetapi apa penyelesaian yang Yop boleh fikirkan?” saya meminta pendapatnya.

“Hmm… bagi Yop ikut Abi pergi mana-mana ceramah yang Abi rasa Yop boleh ikut” cadangnya.

“Ok! Insha Allah! Tapi jangan tertidur pula! Ceramah Abi kadang-kadang membosankan” saya bergurau sambil menyetujui cadangan.

“Yop suka dengar ceramah Abi. Tapi kadang-kadang Yop dah dengar ceramah tu. Yop pun tak tahu kenapa Yop ketawa” tambah beliau.

Tol sudah dibayar, kereta kami sudah masuk ke Bandar Seri Putra. Saya berpuas hati dengan perbualan kami petang itu. Perbualan yang mengingatkan saya kepada sunnah yang diajar oleh Ibrahim ‘alayhi al-Salaam dalam komunikasi baginda bersama anaknya Ismail ‘alayhi al-Salaam:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?“. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [Al-Saffat 37: 102]

Biar pun perintah menyembelih itu adalah perintah Allah yang pasti ditunai, Ibrahim melakukan sesuatu yang masih penting dalam mendidik Ismail secara efektif.

Ibrahim meminta pendapat anaknya.

Tidak mudah untuk sunnah yang satu ini dilaksanakan.

Tidak biasa.

Tidak punya masa.

Namun ia perlu.

Dan apabila ia diwartakan sebagai keperluan, mahu tidak mahu, kita tiada pilihan beralasan melainkan terus berusaha agar ia dapat dilaksanakan. Tidak biasa kena dibiasakan. Tiada masa, perlu dicari masa.

Demi anak-anak kesayangan.

Demi Tuhan!

TUJUH BUAH FIKIRAN:

  1. Faktor kualiti masa jauh lebih penting berbanding kuantiti masa
  2. Kualiti masa boleh dihasilkan dengan meningkatkan kualiti komunikasi
  3. Meminta pendapat anak berkenaan kualiti kita sebagai ibu bapa adalah sunnah dan salah satu bentuk komunikasi berkualiti
  4. Untuk menjayakannya, langkah pertama adalah pada membina kepercayaan antara kita dengan anak-anak bahawa kita ikhlas bertanya dan tidak meletakkan syarat pada jawapan
  5. Pertanyaan hendaklah diungkai kepada pertanyaan-pertanyaan yang kecil, satu persatu dan tidak bersifat konsepsual yang sukar anak fahami
  6. Berikan peluang untuk anak memikirkan solusi
  7. Ucapkan terima kasih sebagai penghargaan kepada kesudian anak bekerjasama memberikan maklum balas tersebut

HASRIZAL
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

bondaku

Selamat Hari Guru, Ibu!

“Siapkan latihan ini dan jangan bising” kata cikgu di hadapan. Soalan-soalan di papan hitam, perlu …

9 comments

  1. Menarik sungguh perkongsian ustaz!
    TERIMA KASIH
    Secara peribadi saya gemarkan entri ustaz yang bertemakan ‘kekeluargaan & keibubapaan’ sebegini…
    Menjadi info & panduan saya kepada anak-anak akan datang

  2. seronok baca entry ustaz..
    sebuah perkongsian y menarik,
    agak2nye, brapa ye umur saiful islam tu?
    kadang2 susah nk dapatkan pendapat y begitu dari seorng ank.
    pendapat y bernas..
    saya suka. 🙂

    #insyaallah, perkongsian ustaz pada hari ini saya akan gunakan di masa hadapan (sekarang xde anak lg :D)

  3. ustaz, bolehkan diluaskan skop ayat ni, dengan mengatakan bahawa tidak salah furu’ memberi pendapat kpd usul apabila ditanya oleh usul, yang dominan meminta pendapat yang minor/resesif?

  4. Assalamualaikum Ustaz..

    Pendapat ana, menjadi ibubapa, bukan sekadar pergi kerja, balik kerja, menunjukkan kepenatan dengan suara yang tinggi apabila anak-anak bertanya, mengungkit kepenatan bekerja kerana mahu bayar segala hutang isi dunia, dan mengharapkan anak-anak faham situasi namun tidak mahu memahami isi hati anak-anak, jauh lagi mahu bertanya seperti cerita Ustaz diatas..

    ianya berkenaan hubungan yang perlu asasnya adalah kasih sayang yang utuh, kasih sayang yang bukanlah disembunyikan kerana ego, namun yang diuahkan kerana itulah penyelamat dari keruntuhan rumahtangga..

    segalanya bermula dari ilmu.. ilmu penyuluh seisi rumah, jika blackout pun kita sudah kelam kabut, inikan pula membina rumahtangga tanpa ilmu..jauh bezanya..lain kesannya..

    maka, cerita Ustaz diatas, sangat dikagumi, dan yang penting perlu dicontoi, benar ianya bukan mudah, tapi jika LillahiTa’ala, Insyaallah..dari perbualan sebentar itu, boleh menghasilkan kesan pada masa akan datang, yang pasti kesan yang baik!!

  5. Love the picture of you and your son! Haha

  6. saadatul abadiyyah

    Terima kasih ustaz kerana memberi satu perkongsian ilmu yang berguna untuk meningkatkan perhubungan anak dan ibu bapa! Konsep ini menjadi satu bukti bahawa sebahagian konsep “parenting skill” sebenarnya ada disebut dalam al-Quran.

  7. salam ustaz…

    pertama sekali jazakallah kepada ustaz kerana penulisan ustaz telah banyak membantu proses pemikiran saya, satu perkara kerana pada saya, penulisan ustaz lain dari yg lain, membantu saya melihat suatu perkara dari sudut yg berbeza.

    kedua, saya adalah seorang yang membawa usrah, dan saya selalu merasakan penulisan ustaz berkenaan kekeluargaan (khususnya bab anak2) boleh diamalkan dalam perhubungan murabbi usrah dan mutarabbinya. cumanya perlu diolah supaya sesuai dgn umur mutarabbi. oleh itu, saya ingin mencadangkan supaya ustaz turut selitkan juga fiqh2 mendidik mutarabbi usrah. lagipun usrah itu sendiri dari segi istilah dan bahasanya bermaksud keluarga.

    sekadar cadangan.

  8. Love this post to bits. Well done ustaz! Indeed. Effective parenting needs a two-way communication between parents and children. It’s a win-win situation. Children too need to be heard. Otherwise parenting becomes a dictatorship for the kids.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *