Kuasa Sebenar: Antara Magis dan Kasih Sayang

“Tapi Abi, magic lagi hebat” Saiful Islam berdebat dengan saya.

Tetap mahu membuktikan kuasa ILMU bukan kuasa yang diimpikannya.

“Kenapa pula?” saya bertanya.

“Ye la, dengan magic, kita boleh tukar dapat apa yang kita nak” hujahnya.

“Yop memang percaya magic tu wujud ke?” saya mahukan kepastian.

“Takde la. Saja je!” katanya.

Ketawa kecil.

Petang itu kami berbalas debat. Sebagai bapa, ada juga rasa sakit hati apabila hujah kita dinafikan oleh anak. Tetapi jika anak sudah dibiasakan berapa berpendapat dan mempertahankan pendapat, ibu bapa perlulah kuat semangat untuk mengendalikan ‘sesi latihan’ di rumah.

Tumpaskan ego.

Tingkatkan kesungguhan, mahu anak-anak berani berpendapat.

“Okay, Yop ingat tak cerita raja yang ada magic tu? Yang boleh tukar barang jadi emas” saya bertanya.

“Raja apa ya?” anak saya ingat-ingat lupa.

“Raja Midas. King Midas!” saya mengingatkannya.

“Hah, Yop ingat dah. Raja itu apabila dia sentuh barang, terus barang tu bertukar jadi emas. Sampai anak dia pun jadi emas” Saiful Islam menceritakan kembali apa yang beliau ingat tentang cerita ini.

“Hah, itulah contohnya. Kalau sentuh anak dengan magic, anak jadi ketulan emas. Dan emas ketika itu tidak berguna. Tapi kalau sentuh anak dengan kasih sayang, anak lebih berharga daripada emas. Betul tak?” saya menyudahkan kisah.

“Kuasa kasih sayang” Saif menyebut perlahan.

Seperti ada rasa kekok menyebutnya.

Saya juga kekok mendengarnya.

Menyebutnya di dalam ceramah tidak kekok. Menyebutnya dalam kondiri keluarga sendiri, baru teori benar-benar teruji. Rasa kekok itu jika dibiarkan, akan terus menjadi kekok dan menjauhkan diri daripada mencapai hajat. Ia perlu diatasi.

“Maknanya Yop, magic kalah dengan ilmu. Magic juga kalah dengan kasih sayang. Keputusan akhirnya, yang magic dalam hidup ini ialah ilmu dan kasih sayang” saya membuat rumusan.

“Macam mana tu?” tanya Saif.

“Ingat tak Abi pernah cerita kisah Da’thur bin al-Haris? Orang jahat, jumpa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tengah berehat. Da’thur ambil pedang dan hulur ke tengkuk Rasulullah dan ugut dengan katanya “siapa yang boleh menyelamatkan kamu?” Ingat tak?” saya memetik kisah berkenaan.

“Lepas tu apa ye?” anak saya menyambung pertanyaan.

“Baginda menjawab: ALLAH! Da’thur terkejut dan pedang di tangannya terlepas. Rasulullah ambil pedang tu dan hunus kepada Da’thur dan tanya: siapa yang boleh menyelamatkan kamu? Da’thur takut dan yakin dia akan dihukum. Tetapi Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam maafkan. Sebab Baginda pengasih. Pemaaf!” saya berceloteh.

“Lepas tu?” anak saya seperti tidak ingat langsung cerita yang pernah dikisahkan sebelum ini.

“Kalau Rasulullah hukum, memang Da’thur patut dihukum. Tetapi apabila Rasulullah maafkan sebab baginda gunakan kuasa kasih sayang, berlakulah magic. Musuh bertukar jadi kawan!” saya menyudahkan rumusan.

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

 Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41: 34]

Jika Da’thur dihukum, musuh mati, kawan tidak bertambah.

Jika Da’thur dimaafkan, musuh ‘mati’ kawan bertambah.

Itulah kuasa memaafkan. Sesuatu yang hanya boleh berlaku dengan adanya sifat kasih sayang. Keupayaan untuk membalas kejahatan dengan kebaikan. Manusia sendiri pun ramai yang bertaubat apabila kejahatan demi kejahatan yang dilakukannya, akhirnya mereka tersedar yang Allah masih membalas kejahatan mereka, dengan KEBAIKAN!

Anak saya termenung.

Perbualan kami terhenti.

Sama seperti kursus-kursus motivasi yang saya jalankan, menilai keberkesanan bukan melalui tangisan. Apa yang lebih utama adalah mendidik nilai yang betul, dan melaluinya persoalan jadi jelas, dan jalan menemukan jawapan terbuka luas.

Persoalan kehidupan.

Di akhir zaman, di era fitnah Dajjal ini, AGAMA mesti dicerakinkan kepada ritual amali, dan konseptual nilai di dalam diri.

TUJUH BUAH FIKIRAN

  1. Kasih sayang adalah manifestasi sifat RAHMAN dan RAHIM Allah yang paling kerap diulang kerana Allah SWT mahu Diri-Nya lebih dikenali dan diingati oleh para hamba sebagai Tuhan yang Mengasihi, lebih daripada Menghukum dan Membinasa.
  2. Kaedah penceritaan amat berguna lagi berkesan dalam menerangkan konsep-konsep yang rumit kepada pelbagai lapisan sasaran, terutamanya kanak-kanak.
  3. Sampaikan cerita dengan menggunakan ayat yang pendek-pendek, berselang seli antara kita yang menyampaikan, dengan sasaran yang mendengar.
  4. Kisah-kisah seperti Raja Midas adalah alegori yang diceritakan untuk menyampaikan mesej nilai. Ibu bapa perlu membaca cerita ini secara tersurat lagi tersirat.
  5. Ibu bapa yang bersungguh-sungguh mahu mendidik anak-anak secara ini, perlu meluangkan masa membaca kembali kisah-kisah rakyat, koleksi Aesop, juga kisah-kisah yang terdapat di dalam rujukan Islam terutamanya al-Quran dan al-Sunnah untuk memperbanyakkan modal bercerita.
  6. Dari semasa ke semasa, proses ini memerlukan ibu bapa untuk bersabar memperuntukkan masa, secara yang tidak formal, untuk melaksanakan projek ini.
  7. Adakalanya, proses bercerita ini menimbulkan rasa kekok sama ada kepada ibu bapa, mahu pun anak-anak. Rasa kekok itu perlu diatasi bukan dengan memberhentikan perbualan, tetapi meneruskannya dengan melawan rasa tidak selesa yang hinggap di dalam fikiran dan perasaan. Sekali lagi, komunikasi yang efektif adalah fondisi terbesar proses pendidikan.

HASRIZAL
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

bondaku

Selamat Hari Guru, Ibu!

“Siapkan latihan ini dan jangan bising” kata cikgu di hadapan. Soalan-soalan di papan hitam, perlu …

10 comments

  1. terima kasih banyak2 ustaz…

    • terima kasih kerana sudi memanfaatkannya

      • assalamualaikum ustaz..
        mohon pendapat dan sedikit pencerahan dari ustaz..

        saya ummi kepada seorang anak lelaki. saya berhasrat untuk memberikan anak saya pendidikan yang terbaik dengan menyekolahkannya di sekolah yang bertunjangkan ISLAM sebagai konsep dan modul dalam pendidikan bt anak2 didik mrk..

        namun kebanyakan tadika yang berkonsepkan islam yang ada berhampiran dengan tempat tinggal saya semuanya mengenakan yuran bulanan yang agak mahal, nak mencecah dengan nilai bayaran bulanan sebuah kereta. dengan pendapatan yang tak menentu sebagai peniaga membuatkan saya terfikir, perlukan saya peruntukan sejumlah wang yang agak banyak untuk keperluan tersebut? walhal, kami sudah punya komitmen bulanan yang agak tinggi..

        namun kerana niat untuk memberikan pendidikan terbaik buat anak yang telah Allah amanahkan, membuatkan saya berserah dan tawakkal semoga ALLAH mengurniakan rezeki yang lebih dalam perniagaan saya setiap bulan sebaik anak saya memulakan persekolahan..

        wajarkah tindakan saya ini?

        adakah saya perlu mengikut kata2 orang2 disekeliling saya “tgk anak akak tu, g sekolah yang murah2 pun, pandai juga, best student tiap2 tahun”.

        saya bukan mahu anak saya pandai sebagai kelebihan utamanya, tetapi saya mahu dia menjadi hamba ALLAH yang menjadikan cara hidup islam yang utama, saya mahu anak saya menjadi seorang hufaz yang berkerjaya dan berjaya, yang In Shaa Allah bukan sahaja mahir dalam pekerjaannya kelak tapi boleh menjadi Da’i dalam masa yang sama.

        saya dah lihat ramai anak2 yang cemerlang akademik, sudah mencecah usia remaja dan baligh tapi solat masih cuak, berjaga hingga 2-3am masa musim cuti untuk melayan drama2 korea, pakaian yang bukan menurut syariat islam. bila saya tanya dgn c ibu, inilah jawapan yang saya perolehi “biarlah, sampai seru juga tu nanti” / “bagus juga, pandai2 sudah sikit cakap korea” dan banyak lagi jawapan yang membuatkan saya rasa sangat sedih, sayang benar anak2 yang begitu bijak yang sepatutnya boleh mengembalikan kegemilangan cendiakawan tersohor dikalangan anak2 islam. bukan seperti sekarang ini, hanya orang2 yang bukan islam tersohor dalam apa jua bidang ilmu..

        bukan ini yang saya mahu untuk anak saya…
        saya dan suami mahu persiapkan anak untuk akan datang…
        saya mahu anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan saya dan suami kelak…

        mohon pencerahan dari ustaz, moga dengannya akan bertambahlah keyakinan saya dan suami, dan semoga juga boleh jadi panduan buat ibubapa yang lain dalam buat keputusan untuk memlih yang terbaik untuk anak2 yang telah diamanahkan kepada tiap institusi
        keluarga..

        terima kasih ustaz…

  2. suatu perkongsian yang menarik…terima kasih ustaz..boleh juga dipraktikkan dgn ank2 kecil di sekolah2 ya ustaz.. 🙂

  3. terima kasih atas perkongsian ilmiah yang amat berguna ini…moga boleh dipraktikkan pada anak saya yang baru berusia kurang dua tahun ini ..

  4. owh, bagi sy agak sukar untuk memanipulasikan (menukarkan sst cerita / mengaitkannya) kpd satu ‘buah fikiran’ baru, untuk dijelaskan kpd anak2… Tahniah,ust!

  5. Salam. Bila membaca artikel-artikel ustaz berkaitan dialog ustaz dgn anak, saya rasa nak print, compile untuk panduan. Tapi tak seronok pulak. Harapnya ada satu buku lagi buah tangan ustaz khusus berkaitan pendidikan anak-anak.Permintaan: harapnya dibuat dalam format buku bercetak.Syukran

  6. Betul kata Ustaz…kasih sayang dan ilmu mengatasi magis…Ilmu dan kasihsayang jika dipraktikkan dengan betul yang mendatangkan magis…Arwah ayah yang dilihat secara kasar hilang kasihsayang sewaktu masih kecil telah menggunakan ilmu yang dia perolehi untuk meraih kasihsayang dalam keluarga kecilnya…sampai hari ni lebih 20 tahun beliau pergi,ibu dan kami adik-beradik saban hari mendoakan beliau…I miss him so much…Tetapi saya sendiri merasakan saya telah gagal dalam keluarga kecil saya…mungkin benchmark itu jadi masalah…harapnya cuma saya saja yang merasainya…mungkin suami dan anak-anak punya benchmark yang lebih rendah sebab tidak pernah ada perbandingan…Moga Allah menjadikan kita menyayangi Allah dan orang2 yang menyayangi Allah bersama kita.Sobering stats recently published states that the rate of selfishness is increasing…and more people are selfgifting this christmas hols…minta dijauhkan fenomena ini…Motto hidup untuk memberi kena war-warkan Ustaz…

  7. Apa yang Ustaz maksudkan dengan ritual amali di sini? adakah ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya? Atau ibadah ‘am.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *