Tidak Perlu Menjadi BoBoiBoy Untuk Hebat!

Best kan? Kalau ada kuasa macam cerita BoBoiBoy?’ kata Imad.

“Ha ah. Macam Gopal pun ok dah!” balas Saif.

Kami sedang bersarapan pagi. Saya membaca jurnal di iPad, sambil meneman anak-anak yang rancak makan bihun.

“Kenapa Allah tak bagi kita power macam BoBoiBoy kan?” sambung Imad lagi.

Naurah dan Muiz khusyuk mendengar perbualan budak lelaki dua orang itu.

“Kan Abi?” Saif menegur saya yang semenjak tadi tidak menyertai perbualan mereka.

MELENTUR BESI

Sambil membaca, telinga saya mencuri-curi dengar apa yang mereka bualkan. Maknanya, jurnal saya itulah yang saya tidak faham, barangkali. Mata boleh melihat banyak benda dalam satu masa, tetapi mendengar dan faham hanya berupaya terjadi satu dalam satu-satu masa.

Antara mahu mendengar perbualan anak-anak, dengan risaukan assignment pengajian yang masih berlambak tidak selesai.

Saya terpandang sudu dan garfu di dalam bekas.

“Cuba tengok ni. Garfu ni dibuat daripada apa?” saya bertanya.

“Besi!” jawab mereka.

“Tengok besi ni, kalau Abi lepaskan, apa yang akan terjadi?” saya memegang garfu di hujung jari.

“Jatuhlah!” jawab Naurah.

Garfu berkenaan saya lepaskan dan ia terjatuh ke lantai.

“Yop tahu, sebab ada graviti!” Saif menambah.

“Graviti tu apa, Yop?” Imad menyoal.

Gabiti tu apa Yop?” Muiz pun menyampuk sama.

“Mana Yop tahu. Tapi ada la!” Saif menjawab acuh tidak acuh.

Bukan tidak tahu, tetapi malas hendak melayan soalan-soalan adiknya.

“Garfu buat daripada besi dan besi jatuh apabila kita lepaskan. Cuba semua orang tengok kapal terbang. Kapal terbang buat daripada apa?” saya bertanya.

“Besi!” jawab mereka.

“Tapi kali ini besi boleh terbang. Boleh naik, boleh turun. Kita boleh kawal besi tu, kan?” saya menyambung.

“Ha ah” jawab Naurah.

“Itulah kuasa ILMU! Apabila kita ada ilmu, kita boleh terbangkan besi. Ilmu sebenarnya lebih power daripada power Yaya, Ying, Gopal dan lain-lain. Jadi, kalau mahu power, carilah power ILMU! ” saya menyudahkan kesimpulan.

The power of knowledge!” ujar Saif.

“Sebab itu kita kena pergi sekolah, kan?” Imad menambah.

“Cakap pandai, kenalah buat. Jangan menangis-nangis pagi-pagi tak nak pergi sekolah. Dapat ilmu baru POWER. Besi pun boleh terbang!” saya mencuit Imad.

Rasa seperti mahu sarcastic tetapi cepat-cepat mempositifkan ayat penjelasan. Geram dengan Imad yang suka meragam pagi-pagi hari persekolahan.

MENUNDUKKAN KECEMASAN DENGAN ILMU

Saya juga kongsikan kisah bagaimana dengan ilmu, sesuatu yang mencemaskan, tidak lagi mencemaskan.

Lihat sahaja Ummi, menjadi doktor pakar perubatan kecemasan. Apabila berlaku kemalangan dan mangsa patah riuk, ia amat mencemaskan. Tetapi kerana Ummi ada ilmu dan kemahiran yang diperlukan, semua yang mencemaskan itu dapat distabil dan ditenteramkan.

Bukan sahaja seorang pesakit.

Kalau ramai-ramai pun, ada ilmu menguruskannya.

Itulah kuasa ilmu.

“Jika anda mahu power, tidak perlu jadi BoBoiBoy atau Power Rangers. Dengan ilmu, anda power!” slogan yang kami sepakati bersama.

Firman Allah:

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. [Luqman 31:16]

TUJUH BUAH FIKIRAN

  1. Biar pun kita mungkin tenggelam dalam kesibukan tugasan orang dewasa, berusahalah untuk tidak terpisah daripada dunia anak-anak yang sedang menunggu input.
  2. Pembelajaran amat berkesan apabila ia berlaku dalam suasana yang menyeronokkan. Tiada kejayaan yang lebih besar untuk masa depan anak-anak selain berjaya menjadikan mereka kanak-kanak yang gembira dan bahagia.
  3. Manfaatkan topik yang mereka suka, untuk menyampaikan apa yang mereka perlu. Justeru ibu bapa perlu mengetahui apakah topik perbualan, gurauan dan isu-isu semasa anak kita dan rakan mereka.
  4. Luqman di dalam Surah Luqman ayat ke-16, boleh terus menyebut tentang Allah sebagai Tuhan yang Maha Teliti (Latif) dan Mendalam Pengetahuan-Nya (Khabir), tetapi beliau menggunakan proses berfikir untuk melakukan pembuktian Tauhid buat si anak.
  5. Berusaha mengesan intipati dan tidak menghukum hanya pada apa yang zahir. Pada zahirnya, anak suka kepada animasi, televisyen dan kartun, tetapi hakikatnya mereka mengagumi kehebatan. Mereka mahu jadi hebat, maka berikan input yang lebih sebenar untuk kemahuan tersebut.
  6. Berikan contoh-contoh yang mereka boleh faham, dan sebagai bonus, contoh yang berada di dalam kehidupan keluarga kita sendiri untuk mengukuhkan kefahaman.
  7. Pendidikan anak-anak sangat memerlukan upaya komunikasi antara ibu bapa dengan mereka. Memang ramai ibu bapa pendiam yang anak-anak mereka masih berjaya. Namun jika mereka boleh lebih baik daripada menjadi pendiam, tentu anak-anak LEBIH berjaya

HASRIZAL
43000 BSP

 

Check Also

Perjalanan Sengsara Mendidik Anak Remaja

“Mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan mahu meluangkan masa bersama supaya kita boleh …

6 comments

  1. Benar ustaz. Satu respon yang baik kepada anak-anak. Anak-anak juga mengharapkan mereka dilayan dengan idea dan panduan dan bukan dengan sindiran dan ayat acuh tak acuh. Sebenarnya mereka perlukan perhatian yang lebih serius daripada ibu bapa.

  2. Saya antara orang yang banyak tertarik dengan artikel ustaz.
    ustaz selalu menghidupkan artikel ustaz dengan perumpamaan dan analogi yang mana selalu akan memberikan impak.

    cuma saya selalu tertanya-tanya, macam mana ingin memberi ilmu dengan analogi? adakah memerlukan pengalaman?

  3. Just to add. Parents jangan lepaskan tanggungjawab mendidik dan berkomunikasi dengan anak-anak pada ipad sepanjang masa. Impak pergantungan pada ipad akan boleh dilihat dalam masa 10 tahun akan datang.

  4. Teringat pula kisah Nabi Sulaiman yang juga menunjukkan comparison kuasa dan ilmu:

    Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”. Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” (An-Nahl 24:38-40)

  5. Salam. Ustad, adakah panggilan antara adik beradik (panggilan nama sahaja atau gelaran2 tertentu mengikut senioriti seperti along/angah/ateh dan seterusnya) memainkan peranan dan faktor kepada komunikasi dan pendidikan dalam keluarga? Yop tu biasa orang perak guna kan Ustad:)

Leave a Reply to anna Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share