Nasib Menanti Golongan Pencacai – Ibrah Kisah Ashaab al-Ukhdud

20130115-215608.jpg

“Bawa budak itu ke puncak gunung.

Tiba di sana, kamu ugut dia.

Jika dia mengalah dan meninggalkan kepercayaannya, maka biarkan dia. Tetapi andai dia berdegil, campakkan sahaja budak itu dari puncak gunung ke bawah!” kata raja yang zalim itu kepada orang-orangnya.

Di puncak gunung, keadaan menjadi sangat genting.

Orang-orang suruhan raja yang zalim itu sudah bersedia untuk melaksanakan arahan.

“Ya Allah, percukupkan aku daripada kejahatan mereka dengan apa-apa sahaja cara yang Engkau kehendaki!” doa si anak muda itu.

Gunung bergegar.

Lantai bumi bergoncang.

Seluruh orang suruhan raja yang zalim itu jatuh dari puncak yang tinggi itu. Mati terbunuh dengan cara kerja Allah yang tidak mereka jangkakan.

Budak muda yang beriman itu ada peluang untuk melarikan diri. Dia sendirian di puncak gunung, menyaksikan kejadian yang dahsyat itu. Tetapi perjuangannya belum selesai.

Dia pulang ke istana, mencabar raja yang zalim itu.

Ada seribu satu hikmah daripada pilihan budak muda itu.

Setibanya dia di istana, raja amat terkejut.

ما فعل أصحابك؟

“Apa yang orang-orang kamu sudah buat!” herdik raja kepada budak itu.

Orang kamu?

Orang aku?

Ada kekeliruan di situ!

PENGAJARAN

Cerita di atas adalah petikan daripada kisah anak muda dan Ashab al-Ukhdud di kota Najran.

Ia dikisahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam Surah al-Buruj, dan diperincikan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam sepotong hadith yang panjang di dalam Sahih Muslim.

Kisah itu penuh iktibar.

Tetapi salah satu kejutan besarnya ialah, tindak tanduk raja pemerintah yang zalim itu. Pelbagai pendedahan dilakukan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang isi perut dan benak hati raja yang zalim itu, agar kita meneladaninya sebagai petunjuk sepanjang zaman.

Lucu sekali, raja itu ramai orang suruhannya.

Diarahkan mereka agar mengheret budak itu ke puncak gunung dan kemudiannya ke tengah lautan untuk menghapuskan kebenaran. Tetapi tatkala orang-orang suruhannya gagal melaksanakan misi itu, sikap raja terhadap orang-orangnya terus berubah.

Kata raja itu (seperti yang disebut di dalam hadith):“Apa yang orang-orang kamu telah buat?”

Tidakkah ganjil, raja itu menisbahkan orang-orang suruhannya yang gagal itu kepada budak yang dimusuhinya?

Demikianlah para Ulama’ menjelaskan, bahawa itu adalah sikap pemerintah yang zalim. Ketika dia mahu menggunakan orang-orangnya, pelbagai perkara dibuat untuk membina kesetiaan. Tetapi orang suruhan yang setia itu, tatkala khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi, dibuang begitu sahaja tanpa sebarang erti.

Inilah pesanan Allah dan Rasul buat sekalian pencacai yang memperhambakan diri kepada manusia zalim dan kezalimannya, yang sanggup bermati-matian melaksanakan kerja-kerja kotor majikan yang menggajikannya dengan sekelumit habuan dunia, kalian hanyalah tebu-tebu yang habis madu sepah dibuang.

Andai masih ada ruang dirimu diselamatkan.

Insaflah, aduhai ‘macai’!

HASRIZAL
43000 BSP

Takhrij hadith:

الراوي: صهيب بن سنان الرومي القرشي المحدث: مسلم – المصدر: صحيح مسلم – الصفحة أو الرقم: 3005
خلاصة حكم المحدث: صحيح

 

Check Also

Perangkap New Age Movement Untuk Agamawan

Bagaimana agamawan terjebak ke kancah New Age Movement? Saya tiada jawapan mudah. Tetapi saya boleh …

13 comments

  1. Kisah perjuangan ghulam dalam mempertahankan aqidahnya memang patut dijadikan teladan buat kita. Seandainya di dalam darurat, kita diberi pilihan sama ada hendak terus mempertahankan aqidah ataupun hanya melafazkan sahaja kekufuran di bibir tetapi di hati kita tetap beriman, yang manakah lebih utama? Mohon pencerahan.

    • Tingkatan terendah ada Neraka, tingkat atas hingga ke perutnya yang hitam.

      Tingkatan teratas ada Syurga. tingkat bawah hingga ke kemuncaknya yang amat indah lagi bahagia.

      Pilihan di tangan kita

  2. ustaz, banyakkan cerita macam nie.. suka!

  3. Allahuakbar..begitu hebat iman ghulam pada tahap mentaati ALLAH, memalingkan wajah dan resepsi diri sebati setia pada ALLAH dari pemerintah yg zalim dan kotor, dan macai-macai yg akhir memakan kekotoran yg dperintahkan dek krn hidangan-hidangan lazat di dunia.

    Syukran ustaz atas kisah ini. =)

    • Semoga Allah memelihara kita semua.

      Hati kita amat mudah berbolak balik, moga akhirnya Husn al-Khatimah

  4. Siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya…hihihi^^,

  5. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    Assalamualaikum Ust Haji Hasrizal (Dr. to be). Terima kasih atas ‘entry’ kali ini. Cetusan yang ust bawa, menyebabkan kami sekeluarga ulangkaji dalam bentuk usrah ‘family’ berkenaan dengan asbabul nuzul surah Al-Buruj.

    • Waalaikum al-Salaam Encik Mohd Dzulhuzmi Nasruddin (Ir. to be). Terima kasih kerana setia berkunjung ke sini. Artikel-artikel di sini sama sahaja seperti contengan di dinding dan tembok, hinggalah datang insan baik hati, memanfaatkannya.

      Sesungguhnya ada sebab al-Buruj dan Ashaab al-Ukhdood berada dalam wacana usrah kita. Salam ukhuwwah

  6. Ummuninasmaysar

    Salam’alaik Ustaz,

    Bila “orang biasa” macam saya mula kembali “membaca” Al Qur’an…tak henti-henti hati ni berkata “Wow… God is saying this and that to me as hamba” and again, you go “wow!”. Semuanya bermula bila saya mengikuti seminar ibrah surah al Hujurat Disember lepas. Tak pernah melihat Al Qur’an sebegitu rupa.

    Saya berharap ustaz boleh kupaskan ibrah dari surah As Syu’ara pula. Bila saya baca, terasa sarat dengan iktibar penting untuk golongan yang berusaha menegakkan kebenaran. Saya inginkan pencerahan.

    Terima kasih ustaz.

  7. pendapat ana, raja zalim itu menisbahkan pengikut2 nya kepada ‘kamu’ kerana menurut anggapan raja, pengikutnya telah berkomplot & bkerjasama dgn budak tersebut & membiarkan budak tersebut terlepas..sebab itulah dinisbahkan kepada ‘kamu’.

  8. kisah ni similar dengan kisah nabi Musa dengan firaun. lepas Mukjizat Nabi Musa as menewaskan sihir ahli sihir firaun, firaun terus menuduh Nabi Musa adalah sifu kepada ahli-ahli sihir tersebut. pencacai-pencacai sekalian terus direject kalau boss dah kalah…

Leave a Reply to saifulislam Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share