Psikologi Dakwah: Berbilang Jemaah Antara Pemikiran Scarcity dan Abundance

20130104-191150.jpg

Gambar Hiasan

Fenomena berbilang jemaah dan kumpulan dakwah adalah realiti.

Sesuatu yang kita tidak dapat lari daripadanya, dan menuntut keupayaan diri untuk menguruskannya.

Jika ulama membahagikan berbilang (ta’addud) itu kepada yang harus dan tidak harus, realitinya perjuangan kita adalah untuk menarik apa yang ada kepada yang harus, bermanfaat, serta mengecilkan mudarat yang sedia menanti. Ta’addud yang tudhad (تضاد) kepada ta’addud yang saling melengkapkan.

Namakan ia impian, namakan ia angan-angan. Hakikatnya ia sesuatu yang telah pun Allah berikan amaran:

ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ

“Dan tegakkanlah urusan agama, namun jangan sekali-kali kamu berpecah belah dalam melakukannya” [Al-Shura 42: 13]

Berbilang jemaah ini semakin merumitkan apabila bebanan sejarah silam, dibiarkan tanpa meraikan perubahan yang berlaku terhadap cara berfikir generasi semasa. Apatah lagi mereka merupakan generasi yang tidak mengalami luka-luka semalam, seperti abang kakak serta pakcik makcik mereka.

Maka mengulang-ulang cerita semalam, jika maksudnya adalah untuk meraih sokongan mungkin boleh bertukar menjadi sebaliknya.

Fakta tidak boleh diubah.

Hanya yang berdusta sahaja berani mengubah fakta. Semoga Allah melindungi jemaah dakwah daripada sifat dusta yang amat dikeji ini.

Tetapi fakta yang sama boleh diolah secara yang lebih positif. Secara yang boleh meraih sokongan, tanpa mencipta musuh dan pertentangan.

Bagi jemaah PAS, fakta PAS sebagai jemaah terawal, tertua, pertama dan mendahului jemaah kontemporari yang lain, adalah fakta yang kekal di dalam sejarah. Tetapi bagaimana ia ditafsir dalam konteks berbilang jemaah?

Apabila fakta ini dilihat daripada sudut SCARCITY MENTALITY, pendukung PAS akan berkata, “oleh kerana PAS jemaah pertama, maka jemaah inilah yang mesti diikut. Kemunculan jemaah lain selepasnya adalah tidak syar’i, justeru memilih PAS adalah tuntutan syara’!”

Pendapat seperti ini, diterima dan tidak dicabar secara terbuka di era abang kakak dan pakcik makcik. Tetapi sejauh manakah ia mampu mencapai objektif semasa?

Apabila hakikat PAS sebagai jemaah pertama dioleh sedemikian rupa, ia meletakkan hanya dua pilihan di hadapan. Dua pilihan yang saling bertentangan. Bahawa memilih PAS adalah memilih kebenaran dan tidak memilih PAS adalah memilih kebatilan. Jika tawaran itu (jika boleh dinamakan sebagai tawaran) disambut maka bertambahlah rakan dan saudara seperjuangan. Tetapi jika ditolak (atas apa jua alasan dan sebab), maka secara otomatik ia menjadikan prospek kawan itu tadi kepada LAWAN.

Maka terhasillah ramai LAWAN PAS di dalam program PAS sendiri.

Kerangka sebegini disebut sebagai SCARCITY MENTALITY. Ia melihat dunia ini sangat sempit pilihan, kemenangan lawannya adalah kekalahan, maka risiko menerima kekalahan sentiasa dihindari. Akibatnya, kekalahan jua yang sering berlaku.

Itu belum lagi dikira ada anak muda yang menempelak dengan berkata, “sebab itulah jemaahnya nyanyuk. Sudah tua!”

Bagaimana jika fakta yang sama diolah dalam bentuk yang lebih meraikan?

PAS sebagai jemaah pertama, maka PAS kaya dengan pengalaman. Sudah menempuh pelbagai ijtihad dakwah dan politik. Pernah bekerjasama dengan kerajaan pemerintah, pernah dikhianati, pernah kehilangan Presiden dan Timbalan Presiden yang berpaling arah, dianggotai oleh segenap lapisan masyarakat dan mencerminkan realiti sebenar masyarakat Malaysia, justeru dengan memilih PAS, inilah yang ‘kami’ tawarkan!

Jika tawaran disampaikan dalam bentuk menawarkan kelebihan, ia tidak memerangkap manusia dalam dilema. Jika prospek menerima pelawaan, maka dia menjadi rakan dan saudara seperjuangan. Namun jika tidak menolaknya, ia tidak secara otomatik menjadikan beliau itu musuh. Malah jika dia kemudiannya menyertai jemaah lain, ada ahli dalam jemaah itu yang memahami PAS!

Akhirnya, dia menerima atau menolak, dakwah ‘kita’ tetap menang. Dia terima, kita menang. Dia tolak pun, kita menang.

Itulah kuasa pendekatan positif.

Pendekatan yang berada di dalam kerangka ABUNDANCE MINDSET. Satu cara pandang yang melihat kebaikan di dalam masyarakat itu sangat luas dan banyak.

Biar seteruk mana sekali pun sebuah jemaah itu dikhianati oleh jemaah lain (malangnya), keupayaan untuk memilih sikap positif sentiasa menjadikan sebuah jemaah itu menang.

Menang ahli.

Menang moraliti.

Dan inilah yang disebutkan oleh Allah:

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41: 34]

Mampukah kita meyakini janji Allah ini, dan mengubah sikap kita dalam mengajak kepada sokongan?

وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat 41: 35]

Keimanan kepada keluasan bahagian dunia dan Akhirat, menjadikan kita berupaya untuk menghayati pemikiran menang-menang, lebih daripada teori Scarcity Mindset vs Abundance Mindset yang diutarakan oleh Stephen Covey di dalam gagasan 7 Habits beliau.

Ini bukan soal mengutamakan akal lebih daripada nas.

Ini soal menjauhkan akal dari nas.

Hingga nas diabaikan.

Hingga akal menumpulkan.

Kita juga yang rugi.

Ummah juga menanggung rugi.

Pertimbangkanlah!

HASRIZAL
43000 BSP

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (9923) Pelawat

Comments

15 comments

  1. assalamualaikum.

    sy masih x paham lg tentang taadud jamaah. boleh ustaz bg pnrangan? :)

  2. Menantikan kesepakatan yang lebih besar antara jemaah-jemaah di Malaysia. Yang sudah pasti, masing-masing memiliki keupayaan tersendiri. Berbilang jemaah itu bukan bencana bahkan ia adalah rahmat. Meski berbagai ijtihad, objektifnya di akhir tetap satu ;

    ” Memastikan syariat Islam tertegak di setiap penjuru dunia ”

    Wallahualam

  3. Kamarul Zaman

    Terbaik…
    sayang ustaz dengan olahan yang hebat ini :)

  4. hebat !!! sy menantikan sambungannya ustaz !

  5. “oleh kerana PAS jemaah pertama, maka jemaah inilah yang mesti diikut. Kemunculan jemaah lain selepasnya adalah tidak syar’i, justeru memilih PAS adalah tuntutan syara’!”

    Saya pernah diajak ke arah PAS dengan alasan/argument di atas selepas SPM dulu. Maka saya katakan padanya, “maka, kamu menafikan kebaikan dan usaha yang dilakukan oleh orang lain dan jemaah lain, begitu? siapa tahu, datangnya orang kepada PAS antara sebabnya kerana pemahaman Islam yang dia dapat dari jemaah atau orang lain. Siapa tahu, orang-orang yang beramal dengan Islam, mendapat pemahaman dari orang lain selain PAS.

    Melihatkan pengalaman-pengalaman dakwah rakan-rakan juga, ada mad’u yang diajak, dan berjaya dirapati, ditarbiyah, namun akhirnya dia memilih ke jamaah lain. Sedih juga, lagi best kalau dia bersama, tapi tak palah, the bigger picture is, kita mengajak dia kepada Islam bukan kepada kita.

    • menang atau syahid irsalena

      orang yg memiliki pemikiran abundance akan melihat dari sudut positif.. apa2pun positif..

    • Betul, itulah bagaimana say kenal dunia Islam yg membawa kpd penyokong PAS – melalui jemaah lain. Tak boleh duduk serumah takpe. Penting ialah muafakat

    • kita tidak menafikan peranan orang lain membantu kita kenal PAS…tetapi hakikat ang perlu kitasedar sebenarnya,hidayah itu milik siapa?milik jemaah-jemaah atau Allah?

  6. baihaqi hassan

    Guru2 kami sering berkata,
    “Orang yang baik hanya melihat kebaikan, orang yang buruk hanya melihat keburukan. Masalah orang sekarang, terlalu banyak memikirkan orang lain, sehingga lupa akan dirinya. Walhal, yang ditanya di Akhirat kelak adalah dirinya, bukan orang lain.

    Jika kamu memikirkan dirimu, kamu akan bersungguh2 memikirkan orang lain. Akan tetapi, jika kamu hanya sibuk memikirkan orang lain, kamu akan melupakan dirimu.”

  7. Ada kalanya saya tertanya-tanya apa pandangan orang bukan islam atas pelbagai jemaah yang ditubuhkan atas dasar islam.
    Sejauh mana jemaah ini membantu saya memahami islam dan saya cuma sampaikan apa yang saya faham tentang islam pada orang bukan islam.

    Masih keliru …

  8. Salam ustaz,

    Saya ikut penulisan ustaz tentang berbilang jamaah sejak era ummah centric-jamaah centric dahulu.
    memang penulisan ustaz yg terbaik.

    rasanya kalau jamaah-jamaah islam bergaduh elok panggil ustaz leraikan hehe

    Jammah itu keperluan , ummah tu tujuan……..alamak tiru ayat ustaz

  9. khairul syafiq

    Ustaz pula jemaah mana?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>