Sebaik-baik Bekal Adalah Taqwa

20130126_061735

“Bahasa Turki tidak sempat disemak, tiada apa-apa persiapan yang sempat dibuat” saya mengomel di dalam pesawat.

Menarik nafas lega.

Lega kerana semalam hingga ke subuh ini, perjalanan minit ke minit sungguh luar biasa. Terdesak untuk menghantar 4 assignments sebelum jam 4 petang, saya menulis seperti orang gila. Tidak keluar bilik, tidak makan, tidak minum, malah tidak sempat mandi!

Anak-anak sudah mengamuk dan bergaduh sesama sendiri. Mendamba perhatian abi mereka.

Isteri pun serabut cuba menyiapkan beg saya. Apa yang hendak dibawa? Apa yang tidak perlu dibawa?

Jam 5 sudah perlu ke KLIA kerana pesawat dijadualkan jam 7 petang.

KELEGAAN

Ketentuan Allah mengatasi segala-galanya… semasa hendak check-in, saya dimaklumkan bahawa pesawat Emirates yang sepatutnya saya naiki, masih belum berlepas dari Dubai kerana cuaca buruk. Ertinya, pesawat delay sekurang-kurangnya 8 ke 10 jam! Biar pun ia bukan berita baik bagi kebanyakan penumpang, saya menarik nafas lega.

“Alhamdulillah. Jom makan semua!” saya menyampaikan khabar gembira.

Blessings in disguise, kata orang London!

Tempoh masa yang ada itulah saya gunakan untuk makan dan minum bersama isteri dan anak-anak, berbual, menggembirakan hati semua agar saya terbang ke Istanbul dalam keadaan radhiyatan mardhiyyah!

Penumpang lain dibawa ke hotel di Subang Jaya. Saya memilih untuk pulang ke rumah yang hanya 20 minit perjalanan daripada KLIA. Mereka berjanji akan menefon saya apabila telah tetap jam penerbangan pesawat. Tiga nombor telefon saya tinggalkan.

MUJUR

Sehingga jam 12 malam saya masih belum mendapat berita. Mahu tidur, mata tidak lena. Kepala berdenyut, tersisa oleh assignments siang tadi.

Saya berijtihad sendiri, datang ke KLIA jam 4 pagi dan… saya penumpang terakhir masuk kerana pesawat terbang jam 5 pagi!

Allahu Akbar.

“Mengapa tidak telefon saya? Tiga nombor telefon saya tinggalkan! Ini buktinya…” saya menunjukkan vaucher makanan yang diberikan kepada penumpang.

Mujurlah saya sudah check in secara online.

Semasa diperiksa sekuriti, sekali lagi saya ditahan kerana boarding pass saya bertarikh ‘semalam’. Aduh!

Setelah satu demi satu halangan, akhirnya dapat juga saya melabuhkan diri di perut Airbus A380 yang gergasi itu.

Di dalam pesawat, saya menarik nafas lega kerana cabaran pertama selesai. Semua peperiksaan sudah selesai, semua tugasan akademik sudah dihantar (walaupun hodoh penulisannya) dan keluarga juga sudah sempat digembirakan hati mereka. Namun timbul rasa berdebar, tatkala memandang ke hadapan.

Sudah 10 tahun saya tidak ke Turki.

Selain Bahasa Turki yang hampir kosong, saya juga tidak sempat menyusun jadual mahu ke mana serta bertemu siapa di sana. Hanya berserah kepada Allah, dan berjanji kepada diri untuk tidak mengabaikan masa. Kewangan tidak pasti, kad bank seperti hampir rosak, ahh, saya hilang semua skill yang lazim ada pada seseorang yang sudah biasa mengembara.

Paling sedih, buku Secangkir Teh Pengubat Letih yang saya janjikan dengan kawan, tidak sempat dibawa bersama.

Saya abaikan semuanya. Utamakan yang utama. Fokus!

Akademik.

Ukhuwwah.

Dakwah.

Tarbiyyah.

Rehlah!

Semuanya perlu disusun dengan sebaik mungkin.

CERITA DI DUBAI

Persinggahan dua hari di Dubai berjalan lancar. Sempat dua kali berprogram. Ceramah Maulid al-Rasul, dan bengkel ringkas Pengurusan Hidup Berteraskan Surah al-Kahf.

Sekali lagi perjalanan saya teruji. Terlewat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, saya hampir-hampir terlepas pesawat. Rug sack 30kg tidak sempat dimasuk, saya perlu membawanya bersama hand luggage berbentuk bag pack 10kg. Berkejaran menggendong 40kg melepasi sekuriti, tangga demi tangga, tingkat demi tingkat, saya hampir pitam.

Alhamdulillah, duduk sahaja di kerusi, saya menarik nafas lega. Pantas tertidur kepenatan.

Hanya beraman jiwa dengan firman-Nya:

 وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

“…Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” [Al-Talaq 65:2-3]

Pesawat terbang aman.

Mentari semakin merah.

Tepat jam 5:40 petang, penerbangan Emirates mendarat di Istanbul Ataturk International Airport.

Penantian 10 tahun berakhir dan selepas pasport dilunaskan, saya bertemu dengan Emad, Azri dan Syafiq.

“Selamat datang ke Istanbul, ustaz!’ kata mereka.

Seorang pelajar dan usahawan, seorang jurutera, seorang graduan Mu’tah yang menyambung pengajian sarjana di Konya, saya kaget disambut warga Malaysia, di bumi yang pernah begitu asing bagi semua, Turki!

“Hoş bulduk, terima kasih kerana menyambut ana!” saya berpelukan dengan mereka.

Kembara mencari Imam Birgivi, bermula dengan lafaz Bismillah…

Hasrizal @ 43000 BSP

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (4261) Pelawat

2 comments

  1. Subhanallah..wah terujanya bila melihat video ketibaan di Turki =)

    Pengembaraan ibrah!

    Syukran krn bkongsi pengembaraan ini..

  2. Mohon maaf.. Saya yang masih mentah ini berpendapat cara terburu2, last minute, dan cuba memuatkan terlalu banyak pekerjaan dalam satu masa boleh mendatangkan kemudharatan pada tubuh.. Bukankah badan kita juga ada haknya?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>