Antara Khaled El-Rouayheb dan Halil Inalcik : The Triumph of Fanaticism

the-ottoman-empire-1300-1600

The Myth of “The Triumph of Fanaticism” in the Seventeenth-Century Ottoman Empire” (Mitos “Kemenangan Fanatisme Pada Kurun ke-17 Empayar Uthmaniah”) merupakan sebuah makalah yang ditulis oleh Khaled El-Rouayheb dan disiarkan di jurnal Die welt des Islams 48 (2008) 196-221.

Makalah ini merupakan sanggahan Khaled El-Rouayheb kepada pendapat yang dikemukakan oleh Halil Inalcik di dalam karya klasik beliau bertajuk The Ottoman Empire. Ia telah diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1973 dan diterima sebagai salah sebuah karya ulung dalam kajian Sejarah Daulah Uthmaniah. Di dalam buku berkenaan, Halil Inalcik memperuntukkan sebuah bab bertajuk “The Triumph of Fanaticism”. Di dalam bab ini, Inalcik telah menjelaskan bagaimana gerakan intelektual dan peradaban Daulah Uthmaniah yang begitu pesat berlaku pada kurun ke 15 dan ke 15 mengalami kemerosotan sehingga tamat disebabkan oleh kemunculan gerakan agama yang radikal. Inalcik meletakkan punca utama kepada kemunduran itu ke atas gerakan Kadizadeli yang diasaskan oleh pengasasnya, Mehmed Kadizade yang meninggal dunia pada tahun 1635. Gerakan Kadizadeli ini mengambil inspirasi daripada seorang tokoh awal yang tegar dengan pendapat-pendapatnya yang keras dalam agama, iaitu Mehmed Birgivi yang meninggal dunia pada tahun 1573. Gerakan fanatik dan ganas ini telah menyapu bersih tradisi awal masyarakat Daulah Uthmaniah yang pro kepada sains rasional seperti falsafah dan astronomi. Kemunduran intelektual ini telah membawa kepada kegagalan Daulah Uthmaniah bertindak balas secara positif kepada perkembangan Sains dan falsafah  kemajuan yang sedang berkembang ketika itu di era Pencerahan Eropah.

Khaled El-Rouayheb melihat kewibawaan yang ada pada Halil Inalcik telah menyebabkan pendapatnya itu menjadi sandaran kepada pengkaji-pengkaji lain untuk turut berpendapat dengan pendapat yang sama, seperti yang dilakukan oleh Marshall Hodgson di dalam karya besar tiga jilidnya yang bertajuk The Venture of Islam. Hodgson sememangnya terkenal dengan pendiriannya yang amat kritikal terhadap pendapat yang mendakwa berlakunya kemerosotan tamadun Islam pasca kurun yang ke-13. Hodgson berpandangan, pendapat sedemikian rupa terjadi kerana para pengkaji sejarah telah terlepas pandang kepada perkembangan intelektual yang pesat berkembang di dalam wilayah Safavid Iran dan Moghul India. Namun, Hodgson turut memetik pendapat Halil Inalcik bahawa kemerosotan intelektual benar-benar terjadi kepada Daulah Uthmaniah pada kurun ke-17, berpunca daripada berkembang luasnya gerakan agama yang radikal seperti yang dinyatakan oleh Halil Inalcik.

Apa yang menimbulkan rasa kesal pada Khaled El-Rouayheb ialah kewibawaan Halil Inalcik dan Marshall Hodgson telah menyebabkan pandangan yang sedemikian rupa diterima seakan muktamad oleh pengkaji-pengkaji yang lain.

Makalah The Myth of “The Triumph of Fanaticism” in the Seventeenth-Century Ottoman Empire” yang dihasilkan oleh Khaled El-Rouayheb merupakan satu usaha untuk membuktikan bahawa pendapat Halil Inalcik itu adalah tidak benar. Pendapat-pendapat Halil Inalcik adalah bersandarkan kepada beberapa pembuktian, iaitu:

i.         Kemunculan gerakan radikal Kadizadeli pada akhir kurun ke-16.

ii.         Pemusnahan Balai Cerap Uthmaniah pada tahun 1580 hanya beberapa tahun selepas operasinya bermula.

iii.         Rujukan Halil Inalcik kepada pendapat tokoh sejarawan Uthmaniah,  Ahmed Taşköprüzade (meninggal dunia 1560).

iv.         Rujukan Halil Inalcik kepada pendapat tokoh bibliografi Uthmaniah, Kâtip Çelebi (meninggal dunia 1657).

Gerakan Kadizadeli, menurut Khaled El-Rouayheb, telah digambarkan oleh Halil Inalcik lebih besar daripada realiti yang sebenar. Kemunculan gerakan itu tidak memberikan impak yang cukup besar untuk mencetuskan kemerosotan minat masyarakat ketika itu kepada sains. El-Rouayheb menjelaskan, fokus utama gerakan Kadizadeli adalah pada memerangi idea dan ritual golongan mistik Uthmaniah daripada kelompok sufi. Seandainya gerakan Kadizadeli begitu berpengaruh, sudah tentu ‘mangsa’ utamanya adalah perkembangan gerakan mistik kelompok sufi ini. Namun catatan sumber tidak menunjukkan demikian. Kemunculan gerakan mistik oleh Ismail Rusukhi Ankaravi (meninggal dunia 1631), gerakana Sari Abdullah Efendi (meninggal dunia 1661), gerakan Abdullah Bosnavi (meninggal dunia 1644) dan seterusnya gerakan Hakki Bursevi (meninggal dunia 1724) adalah di antara gerakan-gerakan mistik kelompok sufi yang begitu luas penyebarannya di era sezaman dan lokasi setempat dengan gerakan Kadizadeli. Seandainya gerakan Kadizadeli tidak berhasil pada menundukkan sasaran utamanya, bagaimana mungkin kita gambarkan keupayaan gerakan tersebut untuk mencetuskan keadaan yang menyebabkan kehilangan minat masyarakat kepada ilmu Sains, yang bukan merupakan sasaran utama serangan gerakan radikal Kadizadeli?

Malah, penghujahan Halil Inalcik turut dipersoalkan oleh Khaled El-Rouayheb kerana Mehmed Kadizadeli merupakan anak murid kepada Mehmed Birgivi (meninggal dunia tahun 1573), seorang tokoh yang secara jelas menyatakan sokongan dan galakan beliau kepada usaha mempelajari cabang-cabang ilmu sains seperti logik, dialektik, matematik dan astronomi. Ini dinyatakan oleh Mehmed Birgivi di dalam magnum opus beliau iaitu al-Tariqa al-Muhammadiyya. Mehmed Kadizadeli yang menjadikan sebagai asas ideologinya, tidak dapat digambarkan mengambil sikap menentang pembelajaran ilmu Sains, yang sangat bertentangan dengan mesej yang terkandung di dalam buku itu. Kenyataan Mehmed Kadizadeli di dalam sebuah khutbah seperti yang direkodkan oleh Kâtip Çelebi menyebut, “siapakah yang hendak menitiskan air matanya apabila seorang ahli kalam mati!” telah dihujahkan oleh Halil Inalcik sebagai bukti sikap anti Sains oleh Mehmed Kadizadeli.  Khaled El-Rouayheb berpendapat, penghujahan itu bersifat agak ‘membesar-besarkan’.

Tindakan gerakan Kadizadeli mendesak Ketua Mufti agar Balai Cerap Uthmaniah dirobohkan pada tahun 1580 sebagai hujah sikap anti Sains mereka juga perlu diteliti semula. Sebagaimana yang telah diketahui, tujuan asal pembinaan Balai Cerap Uthmaniah di bawah seliaan ketuanya, Taqi al-Din Muhammad ibn Ma’ruf (meninggal dunia 1585) adalah untuk perkembangan ilmu astronomi (falak). Tetapi Taqi al-Din telah membuat ramalan berpandukan peristiwa terhempasnya tahi bintang pada tahun 1577 bahawa Daulah Uthmaniah akan berjaya mengalahkan Safavid di dalam peperangan. Ia dianggap oleh gerakan Kadizadeli sebagai satu bentuk penyelewengan motif kerana astronomi sebagai satu cabang ilmu sains Islam telah bertukar kepada astrologi yang bercanggah dengan ajaran Islam. Inilah alasan utama mengapa gerakan Kadizadeli mendesak Ketua Mufti ketika itu agar Balai Cerap Uthmaniah dirobohkan. Khaled El-Rouayheb mempersoalkan Halil Inalcik, apakah anti Sains yang didakwa olehnya itu, merujuk kepada astroloji?

Malah Khaled El-Rouayheb melihat, pendapat Halil Inalcik yang sedemikian rupa banyak berpunca daripada kebergantungan beliau kepada kenyataan-kenyataan Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi yang tidak mencerminkan keseluruhan situasi pada masa tersebut. Seandainya rujukan dibuat kepada sumber-sumber yang lebih luas, kita akan melihat, apa yang berlaku di era itu adalah sebaliknya. Ilmu sains telah berkembang dengan pesat, terutamanya melalui penelitian yang dibuat oleh sejarawan pada era yang sedikit terkehadapan, apabila mereka dapat melihat dengan lebih jelas tentang corak tersebut, berbanding dengan Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi yang melihatnya dari dalam. Misalnya Muhammad Ali b Allan al-Siddiqi (meninggal dunia 1648), Mehmed Saçaklızade Mar’aşı (meninggal dunia 1732-3) memperlihatkan perkembangan pesat yang berlaku kepada ilmu mantiq cabang-cabang sains yang lain pada kurun yang berikutnya. Penghujahan Saçaklızade kukuh pada merumuskan bahawa minat kepada falsafah telah berkembang pesat pada kurun ke-17 dan ke-18 di Daulah Uthmaniah.

Kemunculan tokoh-tokoh falsafah Parsi Sunni, Azeri dan Kurdi turut menyumbang kepada perkembangan ini. Khaled El-Rouayheb telah menyenaraikan ramai tokoh berkenaan di dalam penulisan beliau dan ini juga sejajar dengan pertambahan jumlah sekolah di dalam Daulah Uthmaniah, ketika mana antara subjek teras yang diajar di sekolah-sekolah itu adalah ilmu sains sendiri.

Khaled El-Rouayheb telah membuat kesimpulan, pembuktian-pembuktian yang cuba menyokong idea kemerosotan minat kepada ilmu Sains di Daulah Uthmaniah pada kurun ke-17 adalah suatu mitos. Pendapat-pendapat yang menjadi sandaran, adalah bersifat serpihan dan tidak menggambarkan keseluruhan situasi pada masa tersebut. Penghujahan juga telah membesa-besarkan beberapa insiden seperti kemunculan gerakan Kadizadeli serta perobohan Balai Cerap Uthmaniah. Malah apa yang berjaya dibuktikan oleh Khaled El-Rouayheb adalah sebaliknya, iaitu kurun yang ke-17 Uthmaniah adalah kurun yang menyaksikan kesuburan minat masyarakat kepada bidang sains seperti yang telah dinyatakan di dalam makalah beliau ini.

Saya berpendapat, artikel Khaled El-Rouayheb ini amat signifikan pada memperbaiki kefahaman kita tentang situasi yang berlaku pada kurun transisi Uthmaniah daripada era klasik kepada era moden. Selain  menyanggah pendapat Halil Inalcik berkenaan mitos “The Triumph of Fanaticism” in the Seventeenth-Century Ottoman Empire”, malah turut menimbulkan beberapa persoalan yang menarik untuk dikaji. Paling utama, ia menjelaskan tuntutan untuk meluaskan rujukan untuk menghasilkan pendapat yang konklusif seperti yang berlaku antara Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi kepada Halil Inalcik, dan seterusnya Halil Inalcik kepada Marshall Hodgson dan pengkaji-pengkaji semasa, hari ini.

HASRIZAL @ 43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

itep-lecturers

Menghormati Ilmu Pendidikan Sebagai Batu Asas Sekolah

Program Islamic Teacher Education Program (ITEP) anjuran Razi Group, biar pun hanya peringkat sijil, ia …

4 comments

  1. Ustaz, adakah apa yang ustaz cuba sampaikan berkenaan kritikan Khaled El-Rouayheb terhadap hujah Halil Inalcik itu dinamakan sebagai “kritis hormat” di dalam budaya ilmiah? Mohon pencerahan.

  2. Sanggahan ilmiah sebegini mengingatkan saya kritikan Prof. Syed Hussein Alatas kepada buku Revolusi Mental dan juga Dilema Melaya Tun Dr. Mahathir.

    Buku dijawab buku, jurnal, artikel dan sewaktu dengannya.

  3. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    Assalamualaikum….

    Berat juga artikel ni. Tapi bagi juga untuk menajamkan minda kita.

  4. Terasa kerdilnya diri bila membaca penulisan Ustaz. Terus memotivasikan diri saya untuk terus membaca sejarah islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *