01. Analisa Perkembangan Novel Sejarah Islam di Malaysia

11351_219611618178757_1403992622_n

Di awal semester 1 sekitar bulan Oktober, saya sudah maklum bahawa Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam (JPATI) di Fakulti Pengajian Islam UKM mempunyai geran untuk melakukan kajian ke atas perkembangan novel sejarah Islam semasa.

Biar pun ia menarik, saya berusaha untuk tidak terlibat, kerana fikiran saya langsung pergi kepada andaian bahawa jika saya terbabit, nescaya saya akan terheret ke konflik mengkritik rakan penulis, editor dan syarikat penerbitan yang kebanyakannya amat dekat dengan diri saya.

Namun, saya dikehendaki mengambil dua subjek pre requisite dan disyaratkan lulus tanpa kiraan markah. Salah satunya adalah Fiqh al-Sirah. Saya tidak perlu hadir ke kelas. Hanya menyelesaikan tugasan yang ditentukan menurut budi bicara pensyarah. Ketentuan Allah datang dengan 1001 hikmah, pensyarah meminta saya agar terbabit di dalam projek penyelidikan novel sejarah Islam berkenaan, dan saya dikehendaki mengkaji novel Perang-perang Yang Benar, karya Abdul Latip Talib, atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Latip.

Hijrah

Selepas mengadakan perbincangan, pensyarah bersetuju dengan permintaan saya agar buku Perang-perang yang Benar itu ditukar kepada novel HIJRAH oleh penulis yang sama. Saya kira, buku HIJRAH mungkin baik menjadi permulaan, kerana ia menyentuh hampir keseluruhan fondisi subjek Sirah Nabawiyyah itu sendiri, dan saya rasa, buku itu mudah sedikit untuk diteliti, berbanding buku pertama yang terus menjurus kepada dimensi al-Maghazi (peperangan).

Pembentangan, asalnya dijadualkan pada semester lepas (Disember 2012). Namun disebabkan oleh musafir saya ke Ireland, pembentangan ditunda ke bulan Februari 2013.  Pada bulan Januari 2013, saya bermusafir selama hampir sebulan, dan tidak dapat menyertai tim penyelidikan untuk bertemu dengan Pak Latip di kediaman beliau di Negeri Sembilan. Saya hanya menyampaikan salam dan mengkaji novel HIJRAH semasa di Turki.

Pensyarah menetapkan pembentangan berlangsung pada 22 Februari 2013. Ia dibuka kepada seluruh warga FPI dan orang awam, namun dengan kapasiti yang terhad kerana pembentangan berlangsung di bilik mesyuarat Jabatan Usuluddin dan Falsafah yang hanya boleh menampung hadirin sekitar 40 orang.

Pak Latip turut dijemput hadir bersama oleh pensyarah, namun beliau tidak berkesempatan hadir kerana saya difahamkan beliau berada di luar negara pada tarikh berkenaan.

Berikut adalah catatan pertama saya, usai pembentangan, yang saya kongsikan di halaman Facebook bertarikh 22 Februari 2013:

602135_219611518178767_419095115_n

Perbincangan pagi tadi amat baik, hasil input para hadirin daripada pelbagai latar belakang. Ia menampung banyak kelompongan yang saya bawa dek ketiadaan maklumat mengenainya. Saya juga lega kerana pembentangan pagi tadi dapat memberikan kredit yang tinggi kepada Tuan Abdul Latip Talib atas niat murni dan usaha gigihnya.

Namun, disebabkan oleh pencerekaan beliau di dalam novel HIJRAH ini membabitkan Rasulullah SAW, kita terpaksa akur bahawa pengembangan watak dan peristiwa melalui dialog-dialog yang direka termasuk monolog (unspoken soliloquy) dan kemudian menisbahkannya kepada Rasulullah SAW, adalah salah dari segi hukum agama dan wajib dibetulkan. Inilah titik bahaya paling besar karya Pak Latip ini.

Dari sisi penerbit pula, menamakan karya ini sebagai novel sejarah Islam menjadikan novel-novel ini sebagai masalah kepada keilmuan Islam dan tidak dapat dineutralkan oleh tujuan dakwah, galakan membaca kepada masyarakat kerana ia tidak membantu pembaca membuat kesediaan mental bahawa apa yang dibaca adalah novel. Sepatutnya ia digelar novel fiksyen sejarah Islam. Perkataan fiksyen itu perit, tetapi dengan perkataan itulah karya Pak Latip dapat ditimbang positif dan tidak sebaliknya.

Mungkin ini berbalik kepada polisi PTS sendiri yang banyak memakai istilah-istilah yang besar, hingga menjadi fitnah kepada usaha murninya.

Misalnya Teknik Surah Yusuf bagi Penulisan, mungkin lebih sejahtera jika dinamakan Teknik Penulisan PTS berinspirasikan Surah Yusuf.

Motivasi Tim Hadith Psikologi juga boleh memilih istilah yang lebih ringan berbanding istilah GAYA NABI.

Apabila guna istilah berat, tanggungjawab jadi berat, dan kritikan juga jadi berat.

Momentum Novel Sejarah Islam ini perlu diteruskan kerana sumbangannya besar. Cuma, perbaikilah kekurangan tadi terutamanya:

  1. Upaya rujuk sang penulis.
  2. Mengawal pencairan kebekuan fakta
  3. Kawalan lebih ketat ke atas penisbahan terhadap Nabi saw.
  4. Menukar istilah novel sejarah Islam kepada novel fiksyen sejarah islam atau apa-apa yang menjelaskan bahawa buku berkenaan bukan Buku Sirah.

“Barangsiapa yang mendustakan aku dengan sengaja maka tersedialah baginya tempat di Neraka!”

Untuk mengekang novel sejarah, tidak mungkin. Apa yang boleh dibuat ialah membanyakkan wacana sebegini, dan mendidik masyarakat agar sensitif dengan keabsahan maklumat lalu pembaca itu sendirilah yang menjadi kuasa pendesak yang akan mendesak penulis serta penerbit untuk amanah dalam pengkaryaan.

Tidak boleh digunakan alasan, “buat je. Nanti betulkan” kerana kesalahan sudah terjadi semenjak di permulaan dan setelah puluhan judul dan ratusan ribu naskhah di tangan masyarakat, melaksanakan perintah Allah di dalam Al-Baqarah 160 amat sukar.

Semoga kita sama-sama terpimpin dalam niat memimpin, ameen

HASRIZAL @ 43000 BSP

Check Also

Menamatkan Pendidikan Kiasu

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini. Setelah anak nekad terjun membunuh …

One comment

  1. Sangat bermanfaat. Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share