03. Teknik Penulisan ‘Pemungkin’ Novel Sejarah Dihasilkan

581173_219611651512087_879081807_n

ENTRI FACEBOOK BERTARIKH 1 MAC 2013:

Saya mengikuti kursus penulisan anjuran PTS pada tahun 2005 di Taman Permata, KL. Saya belajar dengan sifu penulisan saya Puan Ainon, teknik menyampaikan agama melalui cerita. Sampaikan agama melalui cerita, menjadi tema saya di blog www.saifulislam.com semenjak itu dan dengan teknik yang sama jugalah terhasilnya buku Aku Terima Nikahnya, dan KESEMUA buku saya yang lain. Namun ketentuan Allah, buku-buku saya diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd dan bukannya PTS.

Berulang-ulang kali usaha dibuat untuk saya boleh menulis dengan PTS tetapi sentiasa terhalang dan saya menganggap halangan itu berpunca daripada kelemahan saya.

Semenjak 2005-2006 sudah ada dorongan untuk menulis tentang sejarah Islam melalui penceritaan atau kemudiannya disebut sebagai Novel Sejarah Islam. Saya juga mendapat pelawaan dalam bentuk cadangan oleh penerbit melalui editor (maaf saya tidak ingat siapa) untuk menulis tema ini. Tetapi sesiapa sahaja yang belajar ilmu Syariah akan tahu betapa hajat ini AMAT-AMAT SUKAR untuk dibuat.

Saya tidak mampu melakukannya.

Saya hanya mampu menulis sebuah artikel yang kemudiannya menjadi penutup di dalam buku saya yang bertajuk MURABBI CINTA. Saya gunakan riwayat-riwayat yang sahih untuk membina dialog detik-detik akhir hayat Baginda SAW. Sedikit demi sedikit riwayat saya pecahkan, perenggankan ia, tanpa mereka sendiri dialog kerana apa sahaja teori novel, pencerekaan, penghasilan novel, asalkan ia mahu dinisbahkan kepada Rasulullah SAW, ia wajib tunduk kepada peraturan syara’ yang ketat.

Saya hanya mampu menghasilkan sebuah artikel. Jauh sekali berpuluh buku.

Akan tetapi di dalam travelog Rindu Bau Pohon Tin dan Secangkir Teh Pengubat Letih, saya sampaikan fakta sejarah melalui penceritaan saya kepada rakan, merujuk kisah benar perbualan saya dengan mereka, atau pun penceritaan saya kepada pembaca. Monolog yang berlaku, ialah monolog saya tentang peristiwa. Bukan monolog insan-insan benar di alam barzakh yang ingin saya ceritakan tentang mereka.

Apabila kita belajar sejarah, asas paling besar ilmu sejarah adalah SUMBER.

Saya menilai Sirah Nabawiyyah oleh Ibnu Hisham sebagai salah satu rujukan yang disenaraikan oleh Ayahanda Pak Latip sebagai rujukannya dalam penghasilan Novel HIJRAH, sebab ia adalah rujukan PRIMER (MASDAR). Jika tiada di dalam Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam, mungkin boleh rujuk riwayat-riwayat lain yang dibawa oleh al-Bukhari dan rujukan-rujukan berotoriti lain.

Tidak mungkin jika tiada di dalam al-Sirah oleh Ibnu Hisham, rujuk karya Tarikuddin Hasan. Ia tertib yang amat salah.

PEMBABITAN

Semenjak awal lagi, saya tahu wujudnya geran untuk projek mengkaji novel sejarah islam ini. Dan saya berusaha untuk mengelakkan diri daripada terbabit di dalam projek akademik Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM ini. Saya tahu, jika saya terbabit, saya terpaksa mengkritik insan-insan yang amat dekat dengan diri saya. Tetapi saya patuh kepada keputusan pensyarah saya yang menghendaki saya menyertai usaha ini. Projek ini dilakukan secara berkumpulan. Pasukan yang terbabit di dalam projek ini melawat, menziarahi Pak Latip tetapi saya tidak dapat turut serta kerana berada di Turki selama hampir sebulan.

Semasa di Turki, saya berbual dengan tokoh-tokoh ilmuwan tentang buku-buku populis dalam penyampaian sejarah Islam, terutamanya di Turki. Dr. Hasan Tuncay Başöğlu, Timbalan Direktor İSAM (Centre for Islamic Research) di Istanbul tersenyum dan mengatakan, “ini masalah”.

Itu sahaja.

Saya meluangkan masa yang panjang mengkaji melalui blog Pak Latip terutamanya untuk mendapatkan maklumat motif penulisan novel sejarah Islam beliau. Saya korek blog dan alhamdulillah saya bertemu sebuah entri pada tahun 2008. Saya bentangkan ia di dalam seminar minggu lalu di UKM, bahawa niat Pak Latip mulia, mahu menyampaikan al-Quran dan al-Sunnah. Saya juga nyatakan di dalam seminar, kita semua perlu berasa segan dengan kesungguhan Pak Latip berusaha menulis secara istiqamah. Ahli akademik tidak prolifik seperti Pak Latip malah mungkin anak-anak pensyarah sendiri membaca buku Pak Latip sendiri dan bukan jurnal akademik ibu bapa mereka, seperti kata penyelia akademik saya.

Dalam nada mengusik.

Malah saya bentangkan juga, beberapa perbualan Pak Latip dengan pembaca yang ditulis di blog beliau, tentang persoalan-persoalan fakta sejarah seperti perkahwinan Rasulullah SAW dengan Khadijah pada usia 40’an. Saya buktikan kepada hadirin seminar bahawa Pak Latip sedar tentang isu-isu yang wujud di dalam sejarah Islam dan berusaha menjernihkan mana-mana yang kabur.

Saya juga mengelakkan diri daripada mengkritik novel ini daripada disiplin kesusasteraannya kerana ia tugasan disiplin sejarah islam, dan menghormati disiplin sastera yang mempunyai peraturan-peraturannya yang tersendiri. Jika dikupas daripada sastera, mungkin impaknya lebih besar.

Tetapi saya simpulkan di dalam pembentangan, niat yang murni serta kesedaran tentang manhaj oleh penulis novel HIJRAH, tidak dapat mencegah novel itu daripada kesalahan fakta kerana permasalahan yang wujud semenjak di awal penulisan iaitu

  1. Keterbatasan penulis untuk merujuk (upaya Bahasa Arab dan Inggeris)
  2.  Masalah teknik pencairan fakta beku dalam sejarah melalui pengembangan watak dan peristiwa, yang menyebabkan dialog-dialog terhasil.

Saya buat pemeriksaan di MPH serta Popular, dan saya dapati novel sejarah Pak Latip yang bersifat fiksyen (walaupun Pak Latip dan PTS tidak setuju) dan karya asal ilmiah oleh Dr MAZA berkenaan para Sahabat (asalnya tesis beliau) diletakkan di rak yang sama. Masyarakat tidak dapat membezakan antara karya populis, akademik, dan semi ilmiah.

Lebih memburukkan keadaan, pelajar universiti membuat tugasan akademik pun, merujuk novel sejarah Pak Latip.

Saya pilih novel HIJRAH sebab tugasan ini asalnya adalah untuk subjek Fiqh Sirah. Jika diberi pilihan, saya mungkin akan pilih novel berkaitan al-Khulafa’ al-Rashidin yang lebih sarat dengan permasalahan. Tetapi besar hikmahnya novel HIJRAH dipilih sebab disiplin penulis terhadap RASULULLAH SALLALLAAHU ALAYHI WA SALLAM adalah penentu komitmen ilmu tertinggi. Kalau dengan baginda pun, kita tidak jaga, apatah lagi dengan yang lain.

Saya sampaikan semua ini sebagai wacana terbuka sebab jumlah buku Pak Latip di pasaran mencecah ratusan ribu naskhah. Saya sampaikan secara berakhlak, menyantuni, memuji, memberikan saranan sebaik mungkin dan mengharapkan agar hasilnya adalah PENAMBAH BAIKAN.

Walaupun jauh di hati saya berkata, MUSTAHIL novel-novel sejarah ini boleh dibetulkan kerana kecamuk isi kandungannya. Mungkin apa yang boleh dibuat ialah menukar label kategori buku ini. Bukan lagi novel sejarah Islam tetapi novel fiksyen.

Ia fiksyen.

Membaca novel Pak Latip, saya terasa seperti watak di dalam Sirah dan Sejarah ini adalah MELAYU, dan bukan lagi Arab.

Ia memang fiksyen.

Semoga Allah nampakkan kita kebenaran sebagai kebenaran dan direzekikan kita mengikutinya, dan direzekikan kita nampak kebatilan sebagai batil, dan direzekikan kita meghindarinya, ameen.

Salam Jumaat, bacalah surah al-Kahf untuk perlindungan fitnah hidup di akhir zaman ini.

HASRIZAL @ 43000 BSP

 

Check Also

Menamatkan Pendidikan Kiasu

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini. Setelah anak nekad terjun membunuh …

One comment

  1. Assalamualaikum Ustaz,

    Apa pendapat ustaz berkenaan buku Biografi Muhammad bin Abdullah, yg mana ada pembinaan dialog, cuma saya rasa dialog tersebut dinisbahkan kpd hadith.

    Dan bagaimana pula dgn para penceramah/da’i/asatizah di Malaysia yg rephrase semula dialog berdasarkan hadith (kdg2 smpai guna bahasa negeri) utk memudahkan audien memahami maksudnya.

    TQ Ustaz.

Leave a Reply to Badrul Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share