Jangan Berhalakan Pemimpin dan Parti

20130310-082756.jpg

Bersama Pakcik Mehmed Kayacan di rumah serba sederhananya di Eyup

“Pakcik Mehmed datang dengan apa?” saya bertanya.

“Dia datang dengan bas. Memang dia yang mahu begitu” jelas Fatih.

Selepas tidak lagi memegang jawatan Datuk Bandar dan bersara sepenuhnya daripada politik, Pakcik Mehmed Kayacan tidak lagi tinggal di Bolvadin. Agar dekat dengan anak-anak, beliau dan makcik berpindah ke Eyup di Istanbul dan hanya menjenguk rumah di Bolvadin pada musim panas.

Kakak-kakak Fatih tinggal di Eyup.

Fatih dan perniagaannya tertumpu di Uskudar.

Hampir setiap hari, Pakcik Mehmed akan menaiki bas, menyeberang Selat Bosphorus dari tebing Eropah ke Asia, menjenguk kedai Fatih. Kadang-kadang lucu juga saya melihat gelagat Pakcik Mehmed yang sentiasa memberi pendapat tentang serba serbi perniagaan Fatih, hingga memeningkan Fatih.

“Sebagai anak, saya hanya mengiyakan semua saranan ayah. Ada barakahnya, bukan pada melaksanakan nasihat ayah, tapi menerima dan meraikannya” kata Fatih antara bergurau dan serius.

“Tentu susah bagi pakcik untuk bersara, bukan?” saya menyoal.

“Sungguh. Kamu pun tahu, kan? Ayah keluar awal pagi, balik hingga lewat malam, setiap hari. Daripada sudut bekerja dan beraktiviti, memang sangat berat buat ayah untuk bersara dan meninggalkan dunia pekerjaannya. Tetapi ayah sendiri tidak mahu terus bertanding selepas menang dua penggal. Tidak mahu Bolvadin menjadi seperti ‘milik’ Mehmed Kayacan” jelas Fatih.

Ada sesuatu yang menarik untuk saya pelajari di situ. Jika dilihat kepada sejarahnya, Pakcik Mehmed semenjak memenangi pilihanraya Majlis Perbandaran pada 1994, merupakan antara Datuk Bandar paling lama tempoh pentadbirannya, berlangsung hingga ke tahun 2004.

Ada kestabilan yang terhasil pada masa itu.

Dan selama 10 tahun itu jugalah saya berulang alik ke Bolvadin, melihat sendiri bagaimana sedikit demi sedikit bandar itu dibangunkan, disusun dan kehidupan masyarakat dipertingkatkan dengan baik. Tentu sahaja, pada kiraan saya, Pakcik Mehmed disayangi penduduk Bolvadin. Dan jika bertanding sekali lagi, mungkin boleh menang.

Namun, itu tidak sihat.

Sebagus mana pun kita memimpin, kita tidak boleh membentuk satu suasana yang menjadikan persekitaran berpaut kepada peribadi. Itu pandangan Pakcik Mehmed.

10 tahun pentabiran Pakcik Mehmed di Bolvadin, ia menjadi simbol kepada era kebangkitan Islam di Turki. Era kegemilangan Parti Refah yang dipimpin oleh al-Marhum Prof Necmettin Erbakan. Era, Bolvadin menjadi satu-satunya bandar di wilayah Ege (Aegean) yang dimenangi oleh Parti Islam ketika mana wilayah itu terkenal menjadi kubu kuat CHP dan MHP.

“Tapi kamu pun masih ingat, kan Hasrizal? Semasa kali pertama ayahku menang pilihanraya, beliau menang dengan jumlah majoriti yang amat kecil. Mujurlah pakcik-pakcikku tidak tidur di hari pengundian. Jika mereka ponteng, tentu kalah!” kata Fatih.

Kami ketawa.

Teringat kepada kisah ini yang pernah saya catatkan di dalam buku Secangkir Teh Pengubat Letih.

Memang benar. Pakcik Mehmed menang dalam seribu satu kepayahan. Ketika keadaan tidak berpihak kepadanya. Namun penduduk memilih untuk menukar parti yang memerintah kerana mahukan perubahan.

Tetapi selepas sepuluh tahun mentadbir, masyarakat sudah biasa dengan Parti Refah dan Fazilet. Sebab itu dalam pilihanraya 2004, Ahmet Naci Helvaci menang dengan mudah. Meneruskan kesinambungan legasi Mehmed Kayacan.

“Beliau menang besar. Tetapi beliau tidak dapat bekerja dengan baik. Banyak kepincangan” jelas Fatih.

Sudah tentu tidak mudah untuk menyambung apa yang telah Pakcik Mehmed lakukan. Setelah Bolvadin berjaya dipimpin menempuh tahun-tahun politik paling sukar di Turki, rampasan kuasa tentera, kejatuhan ekonomi dan keresahan sosial yang memuncak, Ahmet Naci menerima Bolvadin yang telah stabil. Tugas beliau hanya meneruskannya.

Tetapi menurut Fatih, beliau tidak dapat melakukannya dengan baik.

Banyak timbul rasa tidak puas hati di kalangan penduduk.

Pada pilihanraya 2009, masyarakat Bolvadin menolak AK Partisi. Mereka beralih kepada MHP dan pilihanraya dimenangi oleh Mehmet KOÇUM. Ketentuan Allah, Mehmet KOÇUM meninggal dunia pada tahun 2010 dan kini jawatan tersebut dipimpin oleh seorang wanita, iaitu Nazmiye Kılçık.

“Aku sedih dengan kekalahan AKP. Tetapi pada masa yang sama, aku bangga dengan penduduk Bolvadin yang berfikir baik. Mereka tidak menyimpan AKP. Sesiapa yang bekerja, akan dipilih. Sesiapa yang tidak bekerja, akan ditolak. Itu politik sihat” kata Fatih.

“Haha, macam perli pulak. Menyindir Malaysia ya?” saya mengusik.

“Betullah tu. Aku masih ingat gurauan engkau dahulu. Walaupun Malaysia mewarisi sistem British, tetapi Malaysia mengambilnya dengan cara yang pelik. Di Britain, Ratunya memerintah sudah berpuluh tahun, Perdana Menteri bertukar-tukar setiap empat atau lima tahun. Di Malaysia, Yang Dipertuan Agong bertukar setiap empat lima tahun, Perdana Menteri tidak bertukar-tukar selama berpuluh tahun!” Fatih memetik cerita lama saya.

“Haha. Mana pula tidak bertukar. Sudah tukarlah. Mahathir sudah digantikan oleh Abdullah. Dan Abdullah sudah digantikan oleh Najib” saya bercerita.

“Ya, tetapi masih parti yang sama. Masih UMNO. Dan di belakangnya masih Mahathir, kan?” soal Fatih.

Nadanya penuh provokasi, dalam gurauan.

Ya.

Sesuatu yang sukar untuk saya nafikan.

Kerisauan saya bukan kepada siapa yang memerintah itu, tetapi mengapa sulit benar masyarakat Malaysia hendak membuat perubahan.

Seolah-olah hanya UMNO yang boleh memerintah.

Sudah menjadi seperti berhala yang disembah.

Tanpa UMNO, Malaysia tidak boleh hidup. Seakan-akan begitu.

“Itu ciri-ciri pemerintah yang zalim. Menanam kepala rakyat bahawa mereka tidak boleh hidup tanpanya” tegas Fatih.

Tidak seperti Dzulqarnain yang selepas menyiapkan projek mega membina tembok penghadang Ya’juj dan Ma’juj, katanya:

قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي
“(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku…” [Al-Kahf 18: 98]

Di Malaysia, semua projek akan dilabel “Satu Lagi Projek Barisan Nasional”.

“Doakanlah kami” saya keletihan. Mahu memberhentikan perbualan.

“Aku berdoa, dan engkau pula masuklah pilihanraya. Kita sama-sama bertanding!” usik Fatih.

“Dan lawatan aku ke Turki ini nanti, akan disensasikan media sebagai menghabiskan duit rakyat!” saya berkata.

“Haha! Selamat maju jaya untuk Malaysia dalam pilihanraya akan datang. Kalau UMNO bermasalah, tukarlah kepada PAS. Kalau PAS tidak bekerja dengan baik, tukarlah semula. Jangan berhalakan UMNO, jangan berhalakan PAS. Ala barakatillah!” simpul Fatih.

Ameen, mohon bantuan-Mu ya Allah.

HASRIZAL @ 43000 BSP

 

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (11413) Pelawat

Comments

14 comments

  1. salam us, macam mana pula idea yg sama mahu dilaksanakan di Kelantan sekarang?

    • Bukan di Kelantan sahaja. Kalau boleh biar idealogi ni masuk ke seluruh tanah air. Kamu tanya macammana mahu dilaksanakan di Kelantan sekarang? Kenapa tak tanya “macam mana pula idea yg sama mahu dilaksanakan di Johor sekarang?”.

      Orang Kelantan adalah antara orang yg paling aneh pada pendapat saya. Projek kerajaan pusat tak sampai2, tapi sampai PRU masih kerajaan negeri yang sama. Mu dok tanya kenapa?

  2. untuk UMNO dan BN, serasa saya, semua kita akan bersetuju. dan, sudah lama juga saya fikirkan ini untuk dilaksanakan di Kelantan.

    tapi entahlah. nanti dikatakan arus baru pula.

    mungkin tulisan ust boleh dijadikan titik mula untuk mereka berfikir. biiznillah. ameen.

  3. parti yang memegang media akan memegang negara. media ustaz..media. sebab tu rakyat sukar buat perubahan dulu. media dah kurung minda rakyat.

    kat turki media diorang mcmmana ustaz?

  4. Kamarul Zaman

    Artikel yang menarik.. memilih si pembuat kerja dan amanah. menolok si goyang kaki dan tidak amanah.. :)

  5. saya sangat2 bersetuju dengan artikel ini. Sepatutnya kita menjadi TUAN kepada wakil rakyat…. dah nama pun WAKIL RAKYAT bukan HAMBA wakil rakyat… ikut sembrono hatta kepada yang salah sekali pun… kita pilih orang yang AMANAH dan IKUT SUNNAH NABI….. kalau yg dipilih pun 2×5 kita tukar lah pulak sehingga TERTEGAKNYA ISLAM dengan pemimpin2 yang betul2 AMANAH.

  6. Tak nampak pula UMNO tak buat kerja.
    Boleh ajak pakCik ustaz duduk di Malaysia, sabah 10, 12 tahun. Biar merasa 2 kali pilihanraya.
    Sya tidak bertuhankan parti, tapi yang sering bermain dalam kepala saya selama ni, barisan alternatif buat kerja ke?

  7. Ahmad Ibrahim

    Ustaz, mohon untuk dimuatkan semula ruangan 7 buah fikiran di hujung artikel ini. Nampak gaya ramai akan salah faham maksud ustaz sekali lagi

  8. Ustaz, sy sgt2 bersetuju dgn saranan ustaz supaya jangan berhalakan pemimpin dan parti. Situasi sekarang yg jelas terlihat masyarakat bersifat sgt kepartian,’ if you are not with us then you are against us’. Perkara-perkara yg jelas salah, dihalalkan semata-mata kerana ‘kita’ yang buat, kalau pihak satu lagi yg melakukan akan digali, dikorek segala ceruk dan lubang lalu dipukul canang seluruh alam akan keburukannya. Hipokrasi atau ‘double standard’ ini sgt memualkan. Rakyat Malaysia perlu lebih objektif dan rasional dalam menilai prestasi seseorang pemimpin, bukannya berpandukan emosi dan sentiment ‘holier than thou’.

    Walaubagaimanapun saya kurang selesa apabila ustaz mempersoalkan mengapa hanya UMNO menjadi pilihan rakyat Malaysia dari dahulu hingga sekarang. Bukan hanya UMNO yg menjadi pilihan rakyat, ini cukup jelas dalam pilihanraya yg telah lepas bahawa pihak lawan berjaya menguasai 5 negeri pada mulanya; cuma di dalam sistem demokrasi, siapa yg mendapat lebih majority, dia akan memegang kuasa.
    Politik Malaysia tidak sama dengan politik Turki. Malaysia mempunyai terlalu banyak ‘variables’ atau pembolehubah, jadi formula siasahnya takkan mungkin sama dengan Turki atau mana2 negara lain di dunia. Paling mudah, komposisi kaum negara kita yg sgt rencam dalam mempengaruhi situasi sosio-ekonomi. Pemikiran seorg pengundi di Bangsar mungkin berbeza dengan sangat ketara dengan pemikiran seorg pengundi di Kodiang. Oleh itu sesebuah parti politik perlu memikirkan factor sosio-ekonomi ini dengan sangat terperinci dalam merangka polisi kepartian mereka.
    Sudah pastinya ‘berhala-berhala politik’ yg ustaz maksudkan termasuklah mereka yg sudah lama di tampuk kuasa tetapi masih tidak mahu mengundurkan diri; Mahathir pun sudah bersara, NIk Aziz bila pula? Apakah KPI untuk pemimpin-pemimpin lain seperti Hj Hadi Awang, Lim Kit Siang, dan Karpal Singh? Sudah berpuluh-puluh tahun menjadi pemimpin tetapi masih gagal menewaskan lawan mereka, bukankah mereka dikira gagal dan sepatutnya disingkirkan oleh parti masing-masing?
    Rakyat Malaysia tidak pernah kekurangan pilihan, namun hakikatnya kami terpaksa memilih yg paling kurang mendatangkan mudarat daripada pilihan sedia ada.

  9. HAhahahaha…artikel yg banyak mendapat respon..semuanya apabila mata cekap menangkap cerita pasal politik..politik di malaysia lain mcm..ketagih dan x pernah puas =) hahahahaha

  10. Ada Apa Dengan Politik

    Parti politik di Malaysia semua tidak berkembang..DAP=Lim Kit Siang kpd anak Lim Guan Eng..Karpal Singh kpd Gobind Singh, PAS=Nik Aziz dah terlalu tua dan lama, PKR=Anak beranak Anwar-Wan Azizah-Nurul Izzah, UMNO=TUN abdul Razak kpd anak Najib dan Mahathir masih terus bersuara mempengaruhi rakyat menyyokong BN..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>