Sunnah: Antara Teknik dan Fitrah

20130201_142141

“Aku pun sudah makin risau dengan Beyza. Makin besar cabarannya” kata Fatih.

“Ya, anak-anak kita mula meningkat remaja. Saiful Islam pun sudah 11 tahun” saya membalas.

Beyza lebih setahun usianya berbanding Saiful Islam. Semasa masih kanak-kanak, mereka pernah bermain bersama-sama, ketika saya berkunjung ke Turki pada tahun 2003. Saif setahun, Beyza dua tahun.

“Apa perancangan kamu?” saya bertanya.

“Buat masa ini, cabaran paling besar adalah sekolah. Rasanya dia perlu ditukarkan ke sekolah Ozel (sekolah swasta). Persekitaran penting” jawab Fatih.

“Hmm… setakat ini ketiga-tiga anak kami bersekolah di sekolah swasta. Banyak sebab. Tetapi salah satunya, mungkin sama dengan isu yang engkau timbulkan” saya menyambung.

Terasa yang kami semakin beransur ‘tua’. Sembang pun mula masuk bab cabaran anak remaja.

“Engkau tidak ada baca apa-apa buku tentang teknik mendidik anak?” saya bertanya.

Soalan saya spesifik.

“Errr!” Fatih berpaling ke arah saya.

Hairan dengan pertanyaan itu.

Dalam senyumnya, saya tidak melanjutkan pertanyaan. Saya cantumkan wajah-wajah yang sama ketika saya bertanya tentang anak-anak kepada semua rakan yang sempat ditemui.

Agak ganjil buat saya, boleh dikatakan hampir semua rakan yang sempat saya temui di Turki, tidak kelihatan pada mereka sebarang tanda yang mereka menggunakan teknik-teknik tertentu dalam mendidik, menegur, mendisiplin malah menghukum anak-anak. Saya perhatikan buku mereka di rak masing-masing.

Tiada buku keibubapaan.

Tiada buku teknik.

Di kedai-kedai buku juga, saya hampir tidak bertemu dengan buku-buku Self Help yang menawarkan teknik-teknik berhubung dengan kemanusiaan manusia. Walaupun Fatih tidak menolak pentingnya kursus untuk syarikat, seperti yang dilakukan oleh seorang trainer, jiran beliau yang tidak sempat ditemukan dengan saya walaupun telah berjanji.

“Sesekali perlu. Memberhentikan kebiasaan” ujar Fatih.

Tetapi ia tidak sampai mewarnai kehidupan harian.

Biar pun tiada buku-buku teknik seperti itu, pemerhatian saya terhadap cara para rakan berinteraksi dengan isteri dan anak-anak mereka amat semulajadi. Anak-anak pun bukan tiada yang nakal, tetapi cukup tertibnya.

Cenksu di Ankara.

Hamzah di Maltepe.

Fatih di Uskudar.

Hasan juga.

Pemerhatian ini mendesak saya melontarkan sebuah soalan yang serius. Soalan yang bersifat muhasabah ke atas diri sendiri. Setelah 10 tahun berkecimpung (baru 10 tahun bagi yang lebih berpengalaman) di dalam dunia latihan dengan tumpuan kepada soal keibubapaan, komunikasi efektif suami isteri serta hal ehwal pendidikan formal dan tidak formal, saya tertanya-tanya.

Saya sudah menyaring teori Dr. Haim G. Ginott di dalam bukunya Between Parent and Child berkaitan dengan tragedi cemburu (Jealousy: The Tragic Tradition), memilih kasih dan Sirah Nabi Yaaqub alayhi al-Salaam.

Saya juga sudah meneliti teori 5 Love Languages yang dikemukakan oleh Gary Chapman pada menilainya daripada perspektif Sunnah Nabi sallallaahu alayhi wa sallam.

Tetapi saya agak terlepas pandang.

Apabila Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam mencium Hasan dan Husin, adakah ciuman itu suatu TEKNIK, atau ia merupakan tindakan semulajadi yang terbit secara FITRAH daripada kemurniaan diri Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam?

Tatkala baginda sallallaahu alayhi wa sallam melakarkan garisan di tanah pada menjelaskan jalan Islam berbanding jalan Syaitan dan Jahiliah, adakah perbuatan melakarkan garisan itu merupakan suatu TEKNIK atau FITRAH?

APA BEZANYA?

Jika ia sebuah teknik, maka teknik itu boleh dipetik daripada perbuatan Baginda sallallaahu alayhi wa sallam, dirumuskan, dan diajar kepada orang lain.

Jika ia sebuah tindakan semulajadi yang fitrah, maknanya, perbuatan Baginda itu adalah terbitan peribadi Baginda yang dibentuk oleh Aqidahnya. Maka untuk menghasilkan seorang bapa yang mencium anak sebagai ekspresi kasih sayang, caranya bukan dengan mengajar ciuman sebagai teknik berkasih sayang, tetapi membentuk sistem kepercayaan, pandangan hidup dan nilai di dalam diri bapa agar mencontohi apa yang ada di dalam batang tubuh Nabi sallallaahu alayhi wa sallam.

Ertinya, ciuman itu adalah output.

Jika ia dianggap sebagai teknik, maka ciuman itu adalah proses.

Implikasi kepada perbezaan ini, perbuatan-perbuatan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam mungkin menjadi sasaran pembangun modul untuk merumusnya menjadi sebuah teknik. Apa yang telah dirumuskan itu, boleh diajar kepada manusia lain, hatta kepada manusia yang berbeza perisian dalamannya dengan perisian Nabi sallallaahu alayhi wa sallam.

Dia mendidik anak gaya Nabi (sallallaahu alayhi wa sallam), tetapi Aqidahnya bukan aqidah baginda.

Dia memujuk muridnya seperti perbuatan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam kepada Malik bin al-Huwayrith radhiyallahu ‘anhu yang berkampung 20 malam bersama baginda, tetapi pandangan hidup dan nilainya jauh berbeza daripada apa yang diajarkan oleh Nabi sallallaahu alayhi wa sallam.

AMAL SELF HELP BARAT TANPA MENJADI KRISTIAN

Sebagaimana saya boleh mengamalkan teknik-teknik yang diajar oleh John C Maxwell tanpa saya menjadi Kristian, demikianlah seseorang boleh mengamalkan teknik-teknik Nabi tanpa menjadi Muslim.

Ada sisinya, ia positif. Ia menjadikan Islam, terpakai untuk semua, hatta kepada non Muslim.

“Islam menjadi rahmat buat alam” kata kita.

Namun sampaikah Islam kepada non Muslim melalui teknik itu? Adakah dengan mengamalkan teknik itu mereka jadi bahagia, tanpa perlu menjadi Muslim? Jika tanpa menjadi Muslim sudah mendapat nikmat kebahagiaan, apa perlunya menjadi Muslim?

Dan Muslim yang mengamalkan teknik Nabi sallallaahu alayhi wa sallam, sampaikah sebenar-benarnya Sunnah baginda kepada keislaman Muslim?

Memetik teknik Nabi, mengasingkannya daripada Aqidah, apatah lagi dengan melunturkan wajah agama padanya dengan membuang selawat semasa berteknik dengan teknik Nabi, menyebabkan terjadinya MISSING LINK antara ‘SUNNAH’ dan RASULULLAH SALLALLAAHU ALAYHI WA SALLAM.

Missing link ini merbahaya.

Missing link ini mengundang fitnah Dajjal. Apa-apa vakum yang wujud antara Ketuhanan dan alam, akan direbut oleh Dajjal.

Ia adalah seperti yang diberi amaran oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadwi bahawa mazhab Dajjal adalah materialisme. Materialisme bukan bermaksud gila harta, tetapi memutuskan SPIRITUAL daripada FIZIKAL, EMOSIONAL dan INTELEKTUAL.

Saya masih merenungi dan berusaha untuk memahami akan hal ini.

Apa yang kelihatan setakat pengetahuan dan kefahaman agama yang amat cetek, fakir lagi terbatas ini, seruan Islam adalah pada membetulkan dalaman manusia. Jika umumnya ia disebut sebagai AQIDAH, Sayyid Qutb memecahkan ia kepada tiga komponen itu, sistem kepercayaan, cara berfikir dan melihat (pandangan hidup) serta sistem nilai.

Dalam erti kata yang lain, TEKNIK adalah sesuatu yang rapuh. Ia mungkin cepat pudar, sebagaimana The 7 Habits oleh Covey yang mula dipersoalkan selepas 10 tahun ia berada di pasaran. Lalu keluarlah pelbagai penambahan untuk menampal teknik-teknik yang diajarkan oleh Covey sebelum ini.

Pendekatan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam adalah pada membetulkan dalaman manusia. Dan kemudian, segala perilaku positif dan betul dalam mendidik, memimpin dan berinteraksi dengan manusia lain, terjadi secara sejahtera malah tidak terbatas kepada satu dua cara sahaja.

Tetapi untuk mengajar Aqidah dalam kursus motivasi, industri tidak memberi restu.

Kerana itulah saya resah dengan kemunculan pelbagai teknik yang disandarkan kepada Nabi sallallaahu alayhi wa sallam dalam pasaran industri latihan semasa, lantaran ada kebimbangan yang amat besar di dalam diri. Saya kekurangan perkataan untuk mengungkapkannya. Cukup sekadar sebuah analogi:

Buah, bunga, ranting dan dahan yang indah-indah, segera mati dan pupus tanpa akar sebagai sumber.

Bak kata Ustaz Pahrol M Juoi, umat kita dilanda bukan masalah mati pucuk, tetapi masalah mati akar.

Akar Spiritual yang dicabut daripada Intelektual, Emosional dan Fizikal, atas nama sebuah TEKNIK.

Saya masih bermuhasabah pasca pemergian ke Turki. Sebuah negara yang rancak membaja akar. Kita mahu segera memetik pucuk.

Persis monyet, kura-kura dan pokok pisang yang malang!

HASRIZAL @ 43000 BSP

 

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

6 comments

  1. Assalamualaikum ustaz.

    saya pun suka dgn penulisan ustaz versi PASCA SARJANA nie.. pengaliran info yang sangat deras.. Kaedah penulisan sebelum ini diakhir pembacaannya ada yang mewujudkan tanda soal. tiada noktah di minda saya. (sesetengah artikel). suka perkongsian ustaz di turki.

  2. Secara peribadinya saya melihat isu teknik ini timbul kerana kami generasi yang lahir sekitar 70-80 an dididik dengan cara/teknik yang mana ibu bapa sukar meluahkan rasa, melahirkan perasaan, tidak pandai memberikan penghargaan. Saya tahu dan yakin ibu dan bapa saya sangat meyayangi saya adik beradik banyak pengorbanan yang telah kedua ibu bapa saya lakukan. Abah saya kerja sangat kuat untuk mengubah hidup dirinya dan kami dari seorang anak kampung berubah menjadi seorang professor begitu juga ibu saya. Pengalaman ini turut dillalui oleh suami, ayahnya juga seorang anak kampung yang berkerja keras sehinggalah menjadi seorang jurutera, pastinya laluannya penuh dengan cabaran dan kesukaran. Kami adik beradik dirotan dimarahi kerana mereka sayang kami dan mahukan yang terbaik untuk kami. Saya tidak boleh nafikan sepanjang kami membesar ada ketika kami memberontak kami marah kami rasa ketidak adilan berlaku, pergolakan emosi dan jiwa bukan mudah untuk didamaikan dan distabilkan. Bila kami salah atau sebelum kami dibuktikan bersalah kami sudah di rotan, ditengking dll. Namun Alhamdullilah kerana kami dididik dengan islam akhirnya kami menjadi ‘manusia’.

    Setelah menjadi ibu dan bapa kami memahami dan menerima khilaf ibu dan bapa kami. Kami tidak salahkan mereka kerana kami tahu dan percaya mereka dibesarkan dengan keadaan yang lebih susah dan keras. Maka sebab itulah kami baca banyak buku pasal parenting untuk memperbaiki cara kami pada masa yang sama untuk kami memahami apa yang telah kami lalui. Ini semua sebagai usaha untuk memastikan kami tidak tersilap walaupun ilmu-ilmu itu bukanlah jaminan kepada kejayaan kami dalam mendidik tetapi adalah sebagai usaha untuk kami memahami dan mententeramkan pergolakan emosi dan jiwa anak-anak kami.
    Namun tidak dapat dinafikan teknik tanpa fitrah/rasa/perasaan semuanya akan palsu. Teknik ini adalah hasil penghayatan dan kefahaman kita terhadap fitrah. Bagi memastikan kita konsisten semuanya kena lahir dari fitrah dan tidak boleh sama sekali dibuat-buat 😉 Sebenarnya kesan kepada kesilapan dalam teknik mendidik ini kami telah nampak melalui apa yang berlaku di kalangan kami adik beradik, ada yang menjadi dan ada yang masih sukar menstabilkan emosi dan jiwa.

    Saya percaya ibu bapa dahulu tidak tahu mengeluarkan output fitrah mereka. Susahnya untuk mendapat pujian, sentuhan kasih sayang, hadiah, penghargaan daripada mereka. Hanya bahasa cinta “service” yang kami dapat. Ambil sahaja contoh yang mudah sehingga kini ibu bapa generasi 70-80 an ini tidak boleh menerima keberadaan kanak-kanak di masjid. Secara fitrah mereka sayang dan mahu generasi akan datang cinta akan masjid tetapi secara tekniknya mereka gagal melaksanakan fitrah atau keinginan mereka. Saya beranggapan sebab itulah generasi kini mencari teknik meluahkan fitrah ini kerana kami tidak memperolehi tidak “pandai” meluahkan fitrah kami secara semula jadi. Kami tidak dibiasakan tidak dibesarkan tidak dipertontonkan bagaimana ingin melahirkan fitrah ini.

    Saya tidak pasti sama ada anak-anak turki melalui apa yang kami lalui tetapi yang pasti kami patut belajar bagaimana masyarakat mereka dapat melahirkan fitrah ini tanpa untuk mereka mempelajari atau mencari-cari teknik yang sesuai.

    Tetapi mungkin juga sebenarnya ini semua berlaku kerana adanya missing link atau akidah atau pemahaman islam secara menyeluruh tidak berlaku dalam masyarakat Malaysia. Kompleks tetapi masih ada masa dan ruang untuk kita semua baiki 😉

    p.s Ustaz apa yang saya perkatakan berdasarkan penglaman dan pandangan saya sebagai seorang tidak ada pendidikan formal dalam bidang agama, hanya pengalaman sebagai anak dan ibu dan berdasarkan sedikit pembacaan daripada buku-buku dan majalah 😉

  3. Betul tu Ustaz. Asasnya aqidah itu yang penting, maka outputnya akhlak yang terpuji. Akhlak menjadi pelengkap kepada aqidah. Jika tak berakhlaq, maka aqidahnya boleh dipersoalkan. Jika zahirnya barat mempunyai nilai-nilai terpuji, tetapi dalamannya kosong. Sebab itu jangan dinafikan mereka juga masyarakat yang bermasalah, nampak di luar memang cantik, tapi jiwanya kosong, tanpa bahagia.

  4. Alhamdulillah and I’m really touched.

    Saya juga akan terus berusaha untuk memahami & menghayati hal ini.
    Sungguh-sungguh terima kasih ye ustaz.

  5. Salam ustaz, moga ustaz sihat selalu.

    Jauh berjalan, makin luas pemandangan. barangkali sebab itu Islam menggalakkan kita bermusafir mengunjungi sahabat yg dikasihi ataupun melihat keindahan alam. Saya jarang sekali dapat berbuat begitu.

    Mencium anak, sama ada proses atau kerana selepas prosesnya (output), mempunyai kualiti yang tinggi untuk dibincangkan. Ramai orang hanya mampu mencium anak sekadarnya kerana keletihan. Senyum pun letih, memeluk pun letih.. Mungkin kerana perlu mnjaga stamina dan kesihatan.
    Insya Allah tarbiah yang berterusan mampu menigkatkn kualiti umat Islam sbg ibubapa yang melahir dan mendidik anak-anak yang berkualiti, jauh dari kepincangan.

  6. Assalamualaikum;

    Saya bukan cikgu, bukan juga pensyarah jauh sekali profesor di menara gading, tapi hanya seorang insan bergelar ibu yang diamanahkan ‘memanusiakan’ enam orang zuriat saya (5 orang perempuan dan seorang lelaki). Memang disedari membesarkan anak lebih-lebih di tengah bandar yang banyak cabarannya ditambah lagi dengan kepesatan teknologi yang tak terkejar dengan kemampuan kita, suatu keadaan yang meletihkan. Tiga orang anak saya seperti anak-anak lain, mendapatkan asas pendidikan disekolah arus perdana. Tetapi diperingkat menengah saya berusaha keras untuk menempatkan mereka di sekolah aliran agama (dengan kemampuan kewangan yang terbatas dan kelayakan akademik yang minimum). Tiga orang anak lagi saya gagahkan diri dengan menghantar ke sekolah tahfiz. Dirumah saya adalah remote TV buat mereka, hiburan saya lazimkan dengan nasyid malah astro pun saya tak langgan (memang tak mampu pun). Alhamdulillah sekarang anak yang sulong hampir menamtkan pengajiannya dalam bidang sains dan bongsu di sekolah tahfiz di Melaka. Yang paling penting, saya rasa saya berjaya memanusiakan mereka. Ameen.

Leave a Reply to ummusolehah Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share