Pelayaran Mengenal Fungsi Diri

pulaukecil

“Ustaz, sampai sekarang saya masih belum nampak saya ini sebenarnya Allah cipta untuk buat kerja apa?” tanya Imad.

Salah seorang anak muda yang hadir ke Kuliah Maghrib di KTDI sebentar tadi.

“Maksudnya?” saya menyoal kembali.

“Saya sudah di hujung pengajian perubatan. Belum ada kepastian kelebihan dan kecenderungan saya di mana” ujar beliau.

“Anta adalah orang kedua bertanyakan soalan ini kepada ustaz. Orang pertama adalah diri ustaz sendiri. Bertanya kepada diri sendiri soalan yang sama” saya berkongsi cerita.

Pastinya soalan ini bukan soalan yang terpencil. Anak muda seperti Imad selalu berada di persimpangan kehidupan. Ingin memandang jauh ke hadapan, tetapi seperti kekurangan bekalan untuk menentukan pilihan. Simpang mana yang hendak dipilih, untuk melanjutkan sebuah perjalanan.

“Pertamanya izinkan diri untuk mengembara. Ustaz andaikan seperti sebuah kembara di lautan yang luas terbentang” saya cuba beranalogi.

Imad dan Azhar yang menemani saya minum, terus mendengar.

Mencari jawapan kepada soalan, “saya hidup ini untuk buat kerja apa” … adalah suatu pelayaran di lautan yang luas. Jawapan kepada soalan itu memang luas.

Ya, menjadi seorang doktor… itulah karier yang menanti seorang pelajar perubatan. Tetapi lautan itu masih luas.

Doktor apa? Mahu ke medical atau surgery? Lautannya masih luas.

Itu kalau saya kecilkan soalan kepada kerjaya. Tetapi jika dibesarkan kepada soal menjadi khalifah Allah… khalifah yang bagaimana… maka lautan itu akan terus melebar.

“Habis,bila nak nampak daratannya ustaz?” tanya Imad lagi.

“Itulah persoalannya” tepat sekali soalan Imad kepada saya.

Jika kita berhenti berlayar, dan memilih untuk menjadi pulau kecil di tengah lautan, maka di situlah berakhirnya persoalan “hidup untuk apa” itu tadi.

MEMILIH HIDUP YANG TIDAK BERMAKNA

Melukut di tepi gantang, kata orang Melayu. Hadirnya tidak dirasai, perginya tidak disedari. Sungguh tidak bermakna. Sebutir pulau di tengah lautan bererti cukup sahaja dengan apa yang ada.

Minum air masin, tak apa. Eloklah… daripada tak ada air langsung. Makan ikan sahaja, tak apa. Eloklah… daripada tak ada makanan langsung.

Orang yang malas belayar dan mengambil keputusan untuk bercukup dengan apa yang ada, tidak akan dapat menjawab soalan “apa peranan sebenar saya hidup di dunia ini”.

Kalau seorang doktor, mungkin sehingga jadi chronic MO! Peningkatan diri hanya sekadar pada peningkatan tangga gaji kerana bertambahnya tahun perkhidmatan dengan sedikit kelulusan kursus-kursus induksi.

Tiada pengkhususan dan tidak berjaya untuk tersendiri, kerana berpada dengan apa yang ada. Berhenti belayar dan mencipta daratan sendiri, biar pun hanya sekangkang kera.

Maka kita kena terus belayar… hingga nampak daratan. Pelbagai daratan. Singgahlah di daratan itu, satu demi satu, ketahui realitinya dan bukan hanya memandang pantai dari jauh.

BELAYAR LAJU DAN HINGGA KETEMU

Kuncinya ialah, belayarlah selaju mungkin agar cepat melihat daratan, agar banyak melihat daratan, agar boleh menggunakan masa untuk turun ke daratan demi daratan, dan akhirnya memilih daratan terbaik untuk tercampak ke darat menjadi gunung.

Dalam hidup ini, buat apa pun, buat yang terbaik. Terokai habis-habisan setiap peluang yang ada. Ia seumpama belayar biar sampai jumpa daratan. Beranikan diri turun ke pantai dan ketahui realiti sebenar di pantai itu.

Dengan syarat, anda belayar laju dan optimum. Agar jangan lengah tiba ke satu daratan, kerana mungkin ada beberapa daratan lagi yang perlu dicuba.

“Ustaz harap anta tidak pening dengan analogi tadi” saya tersenyum.

“Saya faham apa yang ustaz maksudkan. Kalau kita buat attachment contohnya, jika belajar sambil lewa, kita pun tak pasti kita berpotensi atau tidak di bidang itu. Kecuali kita buat habis-habisan, barulah kita tahu bidang itu adalah bidang kita atau tidak” Imad cuba menyimpulkan analogi saya.

“Benar. Jika memang bidang kita, segeralah bercucuk tanam dan memakmurkan daratan kita itu. Jika bukan bidang kita, jangan berlengah untuk terus belayar dan mencuba daratan-daratan yang lain” saya menambah.

PELAYARAN SAYA

Saya sendiri, sudah mencuba pelbagai jenis pekerjaan. Bekerja sebagai Imam, cikgu sekolah, Pengetua, Chaplain di hospital, penjara dan universiti, motivator, ustaz, ahli sejarah, cenderung kepada pelajar, cenderung kepada pekerja, cenderung kepada menyokong moral pesakit… pelbagai daratan sudah saya singgah.

Dan di setiap daratan itu saya berikan sepenuh keupayaan untuk menguji bakat, keserasian, minat dan kebolehan. Akhirnya pilihan yang pelbagai itu akan mula menonjolkan diri kita yang sebenarnya.

BAKAT SAHAJA TIDAK CUKUP

Dalam pelayaran mengenal fungsi diri, adakalanya kita ditipu oleh pujian bahawa kita berbakat dalam satu-satu kerja yang kita buat, dek satu dua kejayaan yang terhasil. Kita sangkakan bakat itulah penentu kepada tempat sauh dilabuh. Sedangkan bakat semata-mata, tidak pernah memadai. Ia hanya sebahagian daripada jawapan kita dalam pelayaran mengenal fungsi diri.

Bakat memerlukan kekuatan pada kepercayaan dan keyakinan diri.

Bakat juga berhajat kepada inisiatif untuk menjadi aktif.

Bakat perlu mendambakan fokus diri agar ia terarah.

Bakat juga memerlukan perancangan dan persiapan untuk ia mengambil posisi.

Bakat sangat memerlukan latihan untuk menajamkannya.

Bakat juga amat memerlukan istiqamah untuk terus menghidupkannya.

Bakat hanya akan terpelihara dan terus berguna apabila SIKAP yang betul mengiringinya.

Itulah pesanan John C. Maxwell di dalam bukunya “TALENT IS NEVER ENOUGH” yang amat saya galakkan buat kita semua membacanya.

Mudah-mudahan di hujung percubaan demi percubaan itu, saya, Imad dan kita semua akan bertemu dengan keunikan dan keistimewaan diri sebagai gelanggang kita yang tersendiri… khalifah Allah di muka bumi.

Allah tidak menciptakan manusia ada yang pandai ada yang bodoh. Tetapi Allah mencipta kita semua berbeza kepandaian. Carilah keistimewaan diri masing-masing.

Allah tidak menciptakan manusia ada yang bijak ada yang dungu. Tetapi Allah mencipta kita semua berbeza kelebihan. Carilah keistimewaan diri masing-masing pada kata kunci yang mudah…

Buat apa sahaja, biar sehabis baik!

HASRIZAL @ www.saifulislam.com
Bandar Seri Putra

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

tahiayam

Generasi Y Teruji Kesetiaannya

Dalam setahun dua ini agak ramai pelajar perubatan dan doktor pelatih menghubungi saya, menyatakan keletihan …

5 comments

  1. Dalam usaha mengenal fungsi diri ini yang menyebabkan saya kadang putus asa, tertekan sangat kerana melihat orang lain bergitu berjaya kerana sudah ada matlamat yang jelas yang memacu diri mereka…aku ni nak jadi apa? nak kerja apa? bagaimana mahu menanggung diri? dan bukan semua berani mengambil risiko untuk bertukar2 kerja atau mencuba benda lain ketika mana sesuatu pekerjaan tidak disukai.

    bukankah ianya suatu kecelakaan sekirannya matlamat hidup itu pun sudah tidak jelas?

  2. salam..terima kasih ustaz,, cukup bermakna..dunia ini luas, banyak perkara boleh kita terokai, tinggal lagi kesungguhan dan peluang.. 🙂

  3. Orang Jepun lebih percaya Allah berbanding orang melayu. Orang Melayu percaya pada kerajaan dan position generic dalam syarikat swasta.

    Orang US, Jepun dan Korea tidak percaya semua itu. Tetapi mereka percaya pada value diri sendiri, dan percaya apa saja fokus dan passion mereka akan beri mereka ‘life’.

    Di Malaysia saya lihat pekebun jadi cikgu, rappers jadi mekanik, guru jadi jurutera, pelukis jadi pharmacist. Passion dan so called qualification tak aligned. Lalu masing-masing tak efisyen, terpaksa bahagi masa antara kerja dan hobi. Saya suka kalau diberi peluang untuk kumpul 100 orang dan rearrange balik kerjaya mereka ikut passion dan keunikan masing-masing. The result must be awesome.

    Our system is so third world.

  4. Pengembaraan ini memakan masa..saya tertanya adakah ini disebabkan sistem pendidikan kita yang mungkin tidak meraikan kepelbagaian minat dan bidang…jika pandai u kena ambil sains kurang pandai ambil art…anak yang pandai jadi engineer, doktor, accountant…namun untuk orang yang sudah tamat pengajian mungkin isu itu boleh kita letak ke tepi dan fokus pada pengembaraan kita…tetapi ia sukar kerana pastinya ia akan memberi kesan kepada ekonomi keluarga terutama jika Suami lambat untuk menemui apa yang dikehandaki..isteri kerana sangat memahami dan berdiri teguh dalam memastika suami terus bangun dan berusaha..pengorbanan bukan sikit..namun saya percaya itulah Kehidupan…masalah, penyelesaian, ujian, dugaan, kegembiraan kepuasan, pengorbanan..memberi dan terus memberi..

    Bagi anak-anak pula kita boleh latih dan beri peluang untuk anak memilih apa yang dia suka dan bimbing dia ke arah apa yang diminati…agar pengembaraan mereka lebih terarah..wallahuallam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *