Usrah, Fathi Yakan Dan Perjuangan: Agar Jalan Itu Tidak Dialpakan

badar

Menerajui BADAR pada tahun 1991

1990

“Hasrizal, bangun!” saya dikejutkan.

Allah… jam menunjukkan pukul 3 pagi. Siapa pula ini?

“Oh, abang. Baiklah saya bangun” saya terkejut melihat abang Zam berdiri di sisi katil. Seperti biasa di tangan kirinya ada sebatang kayu, teman berjalan malam.

Badan saya terasa amat sakit. Maklum sahaja siang tadi sekolah mengadakan sukan tahunan. Saya seperti biasa, mewakili ‘rumah hijau’ untuk acara tarik tali, dan lontar peluru. Sungguh memenatkan.

Tetapi, tidak pula saya menyangka yang tengah malam ini ada usrah. Abang Zam tidak memberitahu terlebih dahulu. Allah sahaja yang tahu betapa beratnya mata, tubuh badan dan hati saya untuk bangun. Tetapi sudah menjadi kebiasaan, usrah tidak pernah ditolak ansurkan.

Saya bersiap. Di dalam gelap malam saya berjalan menuju ke bilik BADAR. Jam sudah hampir 4 pagi. Angin subuh bertiup sejuk mencelahi bukit hijau di pinggir sekolah.

“Kita mulakan usrah kita dengan al-Fatihah” Abang Zam memulakan usrah.

Saya tersengguk-sengguk. Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain. Boleh dikatakan sepanjang usrah itu kami semua mabuk antara tidur dan jaga.

Usrah berakhir hampir jam 5 pagi. Kami bingkas bangun menuju Musolla, mengambil peluang untuk bertahajjud sebelum menjelang Subuh.

Selepas solat Subuh, seperti biasa apabila tiada sesiapa bangun, saya akan berdiri untuk menyampaikan tazkirah pendek. Sudah menjadi kebiasaan saya sentiasa menyiapkan di dalam kepala satu tajuk. Jika ada sahaja keadaan di mana saya dikehendaki menyampaikan tazkirah, saya sudah bersedia. Habis sahaja tazkirah diberi, saya akan siapkan satu lagi tajuk sebagai persediaan untuk bila-bila peranan saya diperlukan lagi.

Habis tazkirah, saya pergi bertemu dengan Abang Zam.

“Assalamualaikum abang” saya bersalaman. Abang Zam menyambut salam dan tersenyum.

“Ana nak minta maaf sebab sepanjang usrah malam tadi ana tertidur. Letih sangat” saya dihantui rasa bersalah. Jarang benar saya mengantuk di dalam usrah.

Abang Zam tersenyum.

Katanya, “Tak apa Hasrizal. Ana buat usrah malam tadi bukan untuk menyampaikan ilmu. Tetapi sekadar nak menguji kesediaan anta dan ikhwah hadir dalam keadaan yang penat begitu. Kalau sudah sanggup bangun dan datang ke usrah, sudah selesai dengan sempurnalah silibus malam tadi!”

Saya terdiam. Begitu rupanya…

20 TAHUN BERLALU

Peristiwa itu sudah lebih 20 tahun berlalu. Saya baru di Tingkatan 3. Tetapi kesannya terasa hingga ke hari ini.

20 tahun yang lalu usrah masih asing. Pelajar yang ada semangat kepada Islam masih pelik. Zaman itu baju Melayu moden ala Raihan masih belum wujud. Memakai baju sedemikian, disebut baju haraki kerana yang berfikrah dan berusrah sahaja memakainya.

Saya dan rakan-rakan biasa dengan sindiran di zaman itu. Sindiran guru, sindiran teman, pemulauan dan kadang-kadang dimaki hamun bersama ugutan dalam dunia keremajaan… semuanya ditelan, demi sebuah kesedaran, pada usia semuda 15 tahun, mahu hidup untuk Islam. Mudah-mudahan mati juga untuknya.

Usrah zaman itu sangat bermakna.

Setiap pertemuan membekas di dalam diri hingga terbawa ke usia tua. Tatkala dipesan oleh Naqib agar jangan keluar dari rumah kecuali dengan pena dan kertas yang sentiasa ada di poket, disiplin itu kekal hingga ke hari ini setelah usia menjangkau lebih separuh perjalanan (atau mungkin sudah menghampiri hujung ketetapan).

Setengah jam berkongsi ilmu.

Setengah jam berkongsi kefahaman.

Setengah jam berkongsi pengalaman.

Usrah bermula dengan Kaffaratul Majlis dan berakhir dengan Surah al-Fatihah… apabila segala yang dibicarakan dalam halaqah hampir dua jam itu, dihidupkan saban hari hingga ke pertemuan yang berikutnya.

Rumah adalah tempat lahirnya diri ini, usrah tempat kelahiran itu diberi erti.

KEHILANGAN

Masakan tidak tumpah air mata, dan bergetar tubuh dan jiwa, tatkala menyambut berita sedih kepulangan insan yang paling kerap meneman hidup di gelanggang usrah, biar pun tidak pernah berkenalan atau bersua muka, namun juzuk-juzuk diri ini banyak terbentuk daripada sentuhan Murabbi umat ini… Al-Sheikh Fathi Yakan.

3 Jun 2009, ketika catatan ini dinukil, Allah menjemput pulang salah seorang Naqib usrah sedunia, Fathi Yakan, meninggalkan umat ini buat selamanya.

 FILES-LEBANON-DIPLOMACY

Sebanyak-banyak doa kuiringkan, agar kepulanganmu kepada Allah, adalah kepulangan kekasih kepada Kekasih yang dirindu. Kehilanganmu bukan sekadar kehilangan manusia bernama bapa, suami, teman dan guru di sisi insan-insan yang berada di sekitarmu. Tetapi pemergianmu adalah kehilangan buat umat, tercabutnya satu lagi mata rantai ilmu dan ilmuwan, dari umat yang masih di perjalanan, mencari kemenangan.

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan merentapnya dari dada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan Ulama. Apabila tiada lagi ilmuan, maka nantinya manusia akan mengambil pemimpin-pemimpin yang jahil, pemimpin itu ditanya lalu mereka berfatwa tanpa ilmu, maka sesatlah golongan yang bertanya, sebagaimana sesatnya juga golongan yang ditanya” [Hadith riwayat al-Tirmidhi]

Kepulangan Sheikh Fathi Yakan ke Rahmatullah pada Subuh Sabtu 13 Jun 2009 yang lalu, meninggalkan kita sejumlah hasil tulisan dan pengalaman, buat teladan umat ini.

aesmi-fathi yakan

Janganlah disepikan khazanah itu.

Janganlah dialpakan jalan itu.

Atau nanti binasalah umat ini tanpa bimbingan, tanpa panduan, tanpa da’ie dan tanpa dakwah, yang semua itu menjadikan kita, umat terbaik dalam sejarah manusia ini.

hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

tahiayam

Generasi Y Teruji Kesetiaannya

Dalam setahun dua ini agak ramai pelajar perubatan dan doktor pelatih menghubungi saya, menyatakan keletihan …

4 comments

  1. ustaz, mohon ustaz mengulas perkembangan di syria.. 🙂

  2. indahnya berusrah..

  3. Beruntung Ustaz kerana diberi ruang oleh Allah SWT untuk berusrah dalam fikrah Islam ketika usia muda lagi. Bagaimana saya yang tua ini ingin melalui tarbiyah usrah ini? Ingin berkongsi cerita dan bertakzirah, menyampaikan. Bukan sekadar mendengar? Kumpulan mana atau NGO mana yg perlu saya sertai?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *