Kajian Semalam Yang Sangat Futuristik

iba-lastclass

Sudah agak lewat bagi saya untuk menempuh pengalaman ini.

Sesuatu yang menjadi kebiasaan ramai pelajar lain pada usia yang lebih muda.

Malah semasa kelas ini berlangsung, saya adalah pelajar kedua tertua. Paling tua adalah Profesor Liladhar daripada Universiti Berkeley di California USA. Namun beliau masih bujang. Saya yang sudah berumahtangga dan anak empat.

“Oh, Hasrizal. Dia sudah berumahtangga dan ada 4 anak!” itulah ungkapan paling popular rakan-rakan sekelas semasa berbicara tentang saya.

Summer School anjuran İstanbul Bilimler Akademisi (İBA) dan Yünus Emre Enstitut ini diadakan selama hampir sebulan lamanya di Fatih Sultan Mehmet Vakıf Üniversitesi. Saya sendiri tidak menyangka permohonan untuk menyertainya berjaya. Hanya 20 kerusi ditawarkan untuk peserta dari seluruh dunia, dan syukur dengan izin Allah saya terpilih sebagai wakil tunggal Malaysia.

Program ini menyediakan kursus intensif pengajian Bahasa Turki Uthmaniyyah (Osmanlıca) dan Sejarah Dawlah Uthmaniyyah. Biar pun tempoh 19 hari pengajian itu singkat, namun cukuplah untuk saya mencapai impian, menuntut ilmu di bumi Turki. Peluang yang sulit sekali untuk terjadi pada usia seperti saya ini.

Kagum.

Itulah yang boleh saya ungkapkan tentang rakan-rakan sepengajian saya.

Kecintaan kepada ilmu, sejarah dan Dawlah Uthmaniyyah menghimpunkan kami di bawah satu bumbung. Saya ada rakan dari Finland, England, Jerman, Itali, USA, Kanada, Sepanyol, termasuk juga daripada negara Muslim seperti Morocco, Algeria, Mesir, Ethiopia, Pakistan, dan tetangga Nusantara, Indonesia.

Keseronokan belajar di dalam program ini, saya dapat menikmati suasana belajar yang saya kejar suatu ketika dahulu, iaitu lari daripada persekitaran Melayu. Bukan isu orangnya, tetapi persekitaran yang selalu hadir apabila Melayu berkumpul lebih dari satu. Tidak mahu bertanya. Mendiamkan diri. Enggan memimpin diskusi. Duduk di belakang. Dan maklum balas pun banyak berlegar di belakang.

Bukan semua.

Tetapi selalu jadi begitu.

Orang Melayu pandai. Bijak. Tetapi kebijaksanaannya selalu terhijab dengan sikap ini.

Jika sikap ini boleh dibuang, kita boleh pergi jauh ke hadapan.

Pengalaman mengikuti Summer School ini penting bagi saya kerana ia membantu saya membina keyakinan diri. Apabila topik kajian saya dikongsi dengan rakan lain, saya boleh menguji adakah kajian saya berada pada standard antarabangsa, untuk pada masa-masa akan datang saya mencuba peluang di seminar luar negara.

Saya ada Ville Suomalainen dari Finland. Beliau mengkaji pemikiran Sheikh Ismail Ankaravi (meninggal dunia 1631), ulama terkenal yang menghasilkan syarah kepada Mesnevi Jalaluddin al-Rumi. Ville merupakan pelajar di Universiti Helsinki, Finland. Kesungguhan beliau mengkaji tokoh ini, di sebuah tempat yang sangat jauh daripada bayangan saya tentang wujudkan bidang pengajian Islam, meniup semangat kepada saya untuk terus belajar.

Demikian juga Zacky Khairul Umam, sahabat saya dari Indonesia. Beliau pula mengkaji pemikiran dan jaringan intelektual Sheikh Ibrahim al-Kurani (meninggal dunia 1690), seorang ulama penting dalam penyediaan fondisi era pencerahan Islam pada kurun ke-18.

Bersama dengan saya yang mengkaji pemikiran Imam Birgivi (meninggal dunia 1573), kami bertiga berkongsi banyak literatur yang sama kerana hanya kami bertiga yang bertumpu kepada Intellectual History.

Di dalam kelas kami juga ada Gemma Norman, pelajar PhD daripada Universiti Birmingham di England. Gemma mengkaji tentang korupsi Janissaries, iaitu tentera Sultan Dawlah Uthmaniyyah yang menjadi tunggak kepada kuasa Dawlah ini selama ratusan tahun sehingga ia dibubarkan pada tahun 1826 di era Sultan Mahmud II .

Bersama kami juga, Ersin Mihci dari Jerman. Beliau mengkaji tentang sejarah muzik dalam penyebaran Nasionalisme di kurun-kurun akhir Dawlah Uthmaniyyah. Ersin mengagumkan kami pada keupayaan beliau menguasai begitu banyak bahasa. Jerman, Itali, Perancis, Greek, Latin, Turki, pada usia pertengahan 20’an beliau.

Kami juga ada Daniele Bruno daripada Napoli, Itali. Peserta paling muda, berusia 21 tahun, Daniele mengkaji beberapa aspek berkaitan dengan komuniti Druze di Lubnan dan Palestin. Daniele bertutur Bahasa Arab dengan baik, walaupun tidak pernah ke negara Arab dan hanya mempelajarinya di universiti beliau di Napoli.

Rakan sebilik saya, Eric Halsey berasal dari Washington USA. Beliau merupakan pelajar Fulbright Scholarship dan bermastautin di Bulgaria untuk menyempurnakan kajian beliau tentang sejarah Bulgaria di era Uthmaniyyah.

Abdelwahab Shaker pula, adalah sahabat kami dari Iskandariah Mesir. Beliau merupakan pelajar Phd dengan tumpuan kajian berkaitan dengan Sultan Abdul Hamid II. Demikian juga dengan Rasha El Baz.

Sebahadin Kedir, adalah kenalan istimewa saya yang berasal dari Etiopia. Beliau kini merupakan pelajar sarjana di Universiti Istanbul di dalam bidang pentadbiran. Beliau mahu mengkayakan kajiannya dengan latar belakang sejarah pentadbiran Dawlah Uthmaniyyah. Saya menjangkakan Insha Allah beliau akan menjadi seorang ahli politik yang penting di negaranya suatu hari nanti.

Berada di dalam kelompok peserta Summer School ini, saya dapat merasakan bidang kami sebagai bidang yang mengkaji semalam, tetapi bersifat sangat futuristik. Semoga seluruh rakan dan pensyarah kami, sukses dalam mencapai cita-cita semua, ameen.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

2 comments

  1. Tahniah Ust,

    Garapan ini walau ringkas membangkitkan semangat pelajar seperti saya.

    Terima kasih

  2. Kisah ini sedikit sebanyak membakar semangat sesiapa sahaja yang bergelar penuntut ilmu!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *