Harapan Untuk Sebuah Legasi Pendidikan: KMSS

kmss02

Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan meluangkan masa menziarahi sebuah institusi yang saya kasihi. Tidak lain dan tidak bukan, iaitulah Sekolah Menengah Islam Tahfiz Mithali Khalifah atau lebih dikenali sebagai Khalifah Model Secondary School (KMSS) di Bandar Baru Salak Tinggi.

Sepatutnya saya hadir lebih awal. Semasa Hari Terbuka dianjurkan Disember lalu, saya berada di Indonesia. Manakala pada hari pendaftaran pelajar baru, kesihatan saya tidak mengizinkan diri untuk menjenguk.

Suatu ketika dahulu, semasa anak-anak saya bersekolah di Khalifah Model School (KMS) Ampang, saya bergiat secara aktif dengan sekolah berkenaan. Program bersama guru, bersama ibu bapa, juga bersama pelajar. Ia saya ungkapkan sebagai sekolah Laskar Pelangi, di dalam buku saya bertajuk Murabbi Cinta terbitan 2012 yang lalu. Saya sayangkan sekolah ini bukanlah kerana kesempurnaannya. Ia masih banyak ruang penambah baikan dan setiap hari masih merupakan survival yang diperjuangkan. Tetapi saya menyayanginya kerana visi dan misi sekolah yang besar.

Sekolah yang berani menongkah arus.

Sekolah yang meyakini bahawa pendidikan adalah untuk melahirkan manusia yang benar-benar manusia, dan kecemerlangan akademik adalah bersifat by-product. Sekolah yang tidak mahu pelajarnya A dalam peperiksaan tetapi D, E dan F dalam kehidupan.

Sekolah yang mengahwinkan tradisi pendidikan Islam dengan psikologi dan pedagogi secara saintifik.

Tetapi pembabitan dengan sekolah rendah terpaksa dihentikan kerana halangan logistik. Tiga bulan saya berulang alik dari Bandar Seri Putra ke Ampang bersama anak-anak, keletihan akibat jarak 80km pergi balik setiap hari, menjadikan KMS tidak lagi memenuhi objektif pendidikan. Anak-anak saya telah berpindah ke sekolah yang lebih hampir iaitu di Sri Ayesha Islamic School Bangi. Sekolah yang juga bagus dan bersungguh pada menjayakan visi dan misi mulianya.

Namun, saya meneruskan pembabitan di dalam Yayasan Pendidikan Khalifah, terutamanya di dalam projek membentuk sekolah menengah. Seperti yang pernah saya sebutkan di dalam forum TFTN beberapa bulan yang lalu, jika pelajar miskin memang mudah kita mengesan bahawa mereka adalah golongan kurang bernasib baik lalu segera boleh diusahakan bantuan untuknya. Tetapi dek kerana sistem pendidikan yang bersarang pelbagai isu, mangsa kepada sistem pendidikan ini bukan sekadar mereka yang tercicir daripadanya, sebaliknya mereka yang mendapat manfaat penuh daripada sistem itu juga adalah ‘mangsa’ yang lebih rumit untuk diperincikan masalah-masalah yang mereka hadapi.

Dilema ini memerlukan kerjasama semua pihak. Usaha di dalam, usaha di luar. Usaha di sekolah kerajaan, dan usaha di sekolah swasta. Dan dengan semangat itulah, pencapaian-pencapaian di sekolah peringkat sekolah rendah (Khalifah Model School), diteruskan di peringkat menengah.

brochure-outside

HALAMAN WEB: KHALIFAHSCHOOL.COM

Di peringkat awal, semua pihak diselubungi perasaan ragu-ragu tentang keupayaan sekolah menengah ini dibentuk.

Tetapi iman kita kepada Allah mendatangkan keyakinan, mustahil niat yang baik ini tidak dibantu oleh-Nya. Apa yang penting adalah keberanian mengambil risiko serta komitmen semua pihak untuk menjayakannya. Alhamdulillah pengambilan pertama sudah bermula pada sesi persekolahan 2013.

Pelajar hanya beberapa belas orang dan kebanyakan mereka adalah graduan KMS sendiri. Tahun pertama operasi KMSS adalah di bangunan sekolah rendah, dan tidak berasrama. Kami mensasarkan tahun 2014 sebagai tahun permulaan KMSS beroperasi sebagai sekolah berasrama di premisnya sendiri.

yahyaibrahim

Alhamdulillah pada 29 September 2013 yang lalu, kami berhasil menganjurkan Hi Tea untuk Fundraising dengan tetamu istimewa berkongsi nasihat dan mutiara hidayah iaitu Sheikh Yahya Ibrahim dari Australia dan Puan Wardina Safiyyah selaku MC. Program berkenaan berhasil mencetuskan momentum besar bagi budaya philanthropic yang mengundang sumbangan kewangan bagi KMSS.

Syukur, apa yang dirancang, beroleh keizinan dari Allah. Walaupun kampus tetap sekolah masih jauh perjalanannya, KMSS sudah memulakan operasinya di sebuah bangunan kedai di Bandar Baru Salak Tinggi Business Centre di tepi jalanraya Nilai – KLIA. Dan saya berasa begitu teruja kerana kini dengan 8 orang guru bersama 60 lebih pelajar Tingkatan 1 dan 2, saya yakin Inshaallah KMSS akan berkembang maju untuk mendidik warganya.

dhuhatalkSaya sudah agak lama meninggalkan dunia motivasi remaja di kem-kem cuti persekolahan. Begitu juga dengan wacana-wacana keibubapaan. Selain sedang memberikan fokus yang besar kepada akademik dalam pengajian sarjana, saya juga mengundurkan diri atas pelbagai faktor luaran berkaitan industri yang mempengaruhi dalaman diri.

Namun dengan serba sedikit pengalaman dan ilmu pengetahuan yang ada, saya bermohon kepada Allah agar pada tahun 2014 ini saya dikurniakan kesihatan dan kelapangan masa yang secukupnya untuk membantu menjayakan KMSS.

Oleh kerana para pelajar kita tinggal di asrama (pulang ke rumah pada setiap hujung minggu untuk mengekalkan bonding bersama keluarga), saya mempunyai ruang masa yang lebih kondusif untuk bersama dengan pelajar dan guru. Inshaallah modul Hijrah Remaja Islam (HIJRI) yang sudah dijalankan selama beberapa tahun sebelum ini, akan saya gubalkan ia menjadi program bersiri dalam bulatan mingguan bersama para pelajar.

Saya juga berharap agar perpustakaan dapat disegerakan operasinya dengan mensasarkan setiap ibu bapa dapat menyumbang dalam bentuk waqaf 10 buah buku. Saya juga Inshaallah akan mewaqafkan sebahagian buku saya untuk perpustakaan pelajar. Dalam masa yang sama, majalah-majalah yang baik mudah-mudahan dapat dilanggan untuk perpustakaan ini. Di ruangan yang terhad ini juga, saya amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang bagi menjayakan projek perpustakaan ini, dan juga KMSS secara keseluruhannya.

Inshaallah idea-idea terbaik tentang pendidikan akan direalisasikan di KMSS.

2_195

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan perelokkanlah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha mengelokkan amalannya. [Al-Baqarah 2: 195]

Membangunkan institusi pendidikan dengan kaedah infaq dan waqaf tidak boleh berdiri hanya dengan sumbangan. Ayat di atas menghadirkan dua tiang yang mesti ditegakkan iaitu “belanjakan milikmu di jalan Allah” dan yang kedua ialah “perelokkanlah kerjamu”. Bahagian yang kedua itu yang sering diabaikan hingga menyebabkan projek-projek membina sekolah dan lain-lain, hanya berjaya direalisasikan di peringkat permulaan tetapi kemudiannya kecundang kerana ia tidak dilakukan dengan sempurna lagi berterusan.

Semoga semangat waqf dalam sejarah Dawlah Uthmaniyyah, serta jiwa mendidik Imam Birgivi dan Darul Hadith beliau di Birgi, mengalir dalam keberkatan Allah ke sekolah kita ini.

Saya bersyukur kepada Allah kerana berpeluang menyertai usahasama ini kerana kerana projek seperti ini adalah projek yang sangat berpijak di bumi nyata, jauh dari retorik dan benar-benar menjadi legasi yang bersinar di dunia dan di Akhirat, ameen.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (97) Pelawat

Comments

2 comments

  1. Assalamualaikum wbt ustaz,
    Saya ingin bertanya, jika saya berhajat utk mewaqafkan bahan2 bacaan utk sekolah ni, bagaimana caranya ye ustaz?

    Terima kasih
    Salam.

  2. Assalamualaikum Ya Ustaz Hasrizal,
    Ana ingin tahu lebih lanjut tentang program Mahaad Tahfiz diNegara Turki.Ana berhajat nak menghantar anak2 kesana.Harap Maklum..Jzkk!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>