Yavuz Sultan Selim: Antagonis Alevi Dipotretkan Alevi

20130803-011554.jpg

“Sekarang ini, nama Sultan Selim hangat kembali. Alevi di Turki marah sebab kerajaan mahu menamakan jambatan ketiga menyeberangi Bosphorus itu sebagai Jambatan Sultan Selim” cerita Zacky.

“Sultan Selim memang berhak untuk dikenang dengan memori yang besar. Sebesar peranan beliau menyatukan dunia Turki dan Arab, menyertakan ketiga-tiga Tanah Suci di bawah sebuah pemerintahan” saya menambah.

Kami sedang berbual-bual di dalam bas Summer School yang baru selesai membawa kami bersantai-santai di Yeniköy.

Teringat saya kepada Cenksu di Ankara. Semasa melawat beliau Februari lalu, Cenksu berkongsi serba sedikit berkenaan dengan kajian PhD beliau mengenai pemikiran, kebudayaan dan kepercayaan golongan Alevi di Tokat. Ia sudah pun diterbitkan dalam bentuk buku di bawah tajuk Tokat Yöresinde Geleneksel Alevilik.

Golongan Alevi ini sering menyebabkan kita terkeliru antara mereka dengan Alawi(ʿAlawīyyah) di dunia Arab. Golongan Alawi ini kurang mengelirukan kita dengan Alevi di Turki, jika Alawi itu dirujuk sebagai Nusayri, sempena nama pengasasnya Abu Shu’ayb Muhammad ibn Nusayr atau lebih dikenali sebagai Ibn Nusair pada kurun ke-8 dahulu, imam ke-10 dalam tradisi Syiah Itsna Ashariyyah. Inilah keluarga Bashar al-Assad yang sedang bermaharajalela membunuh rakyatnya sendiri sekarang ini. Semoga Allah binasakan mereka sebagaimana Ababil dan tenteranya menjadi daun kering yang dimakan ulat!

Tetapi Alevi di Turki ini, di dalam sejarah mereka lebih dikenali sebagai golongan Kızılbaş. Mereka mempunyai sejarah yang panjang pada mencetuskan pelbagai masalah di kurun ke-16 dan 17 Dawlah Uthmaniyyah. Biar pun Alevi dipandang sebagai Syiah di Turki, tetapi sebenarnya tidak begitu. Di Turki, kaum Syiah berimamkan Imam Jaafar maka mereka dikenali sebagai Syiah Ja’fari. Ada pun Alevi ini, mereka mempunyai akar umbi yang jauh ke kumpulan Kaysaniyyah  dan Khurramiyyah, yang turut memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan Safavid. Alevi ini adalah dari kelompok Syiah Ghulat.

Disebabkan oleh pelbagai kehuru haraan mereka cetuskan di peringkat masyarakat untuk mengganggu pemerintahan Uthmaniyyah di Istanbul, dalam perjalanan Sultan Selim untuk menundukkan mereka, seramai 40 ribu Alevi telah terkorban dalam serangan pada tahun 1514. Inilah yang menjadikan golongan Alevi sangat berdendam dengan Sultan Selim.

Menyedari akan ancaman mereka, Sultan Selim memang meletakkan kata putus hitam putihnya tidak membenarkan sebarang urusniaga atau kerjasama dengan kerajaan Safavid, sehinggalah sekatan ini dimansuhkan oleh anakandanya Sultan Süleyman al-Qanuni kerana kondisi politik yang dibaca oleh Süleyman sebagai kondusif dan mengizinkan.

Ironi sekali.

Sultan Selim merupakan antagonis kepada Alevi atau Kızılbaş. Tetapi lain pula kisahnya dengan potret baginda.

Hampir kesemua bahan bacaan yang sampai kepada kita berkenaan Yavuz Sultan Selim (1465–1520), jika disertakan dengan imej baginda, maka potret yang terpampang adalah seorang lelaki yang memakai anting-anting di telinga kirinya, manakala serbannya pula berwarna merah.

Benarkah itu potret Sultan Selim?

Saya sendiri menemui kenyataan ini di dalam buku-buku yang saya anggap baik penulisannya, bahawa itu adalah potret Sultan Selim. Anting-anting itu pula dipakai, kerana Sultan Selim mahu mengingatkan dirinya bahawa beliau masih seorang hamba, kepada Allah. Walaupun kerajaannya ketika itu terbesar di dunia.

Jika ia sebuah ‘fakta’, maka ia adalah fakta yang mengujakan kita.

Namun, sebagai mematuhi disiplin asas dalam sejarah, kita perlu sering bertanya:

من آين لك هذا؟
“Dari mana kamu perolehi perkara ini?”

Membaca lebih lanjut berkenaan baginda daripada sumber-sumber yang baik, memperlihatkan kepada kita bahawa Sultan Selim adalah seorang yang berkeperibadian teguh serta kuat pegangannya kepada Syariat Islam. Dalam siri sultan-sultan Uthmaniah, Sultan Selim dan Sultan Muhammad al-Fatih, ada dua orang sultan yang disebut-sebut sebagai seorang mujaddid, oleh sejarawan Uthmaniah seperti Lütfi Paşa di dalam Tawārīkh Āl Uthmān.

Ketegasan baginda pada menjauhi elemen-elemen perhiasan diri yang mencemar syara’ serta menghilangkan sifat kewibawaan seorang lelaki dan pemimpin, boleh dilihat dalam teguran baginda kepada anaknya Süleyman, sekembalinya baginda beliau daripada misi menguasai Mesir. Kata baginda, “wahai Süleyman, jika engkau memakai pakaian seperti ini, apa yang ibumu hendak pakai nanti?”

KISAH SANG POTRET

Potret yang sering kita lihat itu, adalah potret Sultan Selim bersaiz 70sm x 65sm, didaftarkan dengan nombor 17/66 di Department of Potrait di Istana Topkapı. Ia memaparkan Sultan Selim memakai anting-anting. Potret-potret ini dilukis oleh pelukis Eropah berdasarkan imaginasi mereka. Bukan setakat anting-anting itu, malah kelihatan juga pada potret berkenaan Sultan Selim memakai rantai mutiara di leher, mahkota di kepala. Gambar itu menyanggahi maklumat-maklumat yang jelas tentang tatacara pemakaian rasmi para Sultan Uthmaniah.

Ahmed Akgündüz dan Said Öztürk menyatakan bahawa potret itu dibawa dari istana Dolmabahçe pada tahun 1926 dan tidak diketahui dari mana asal usulnya semasa diletakkan di istana berkenaan. Mereka juga menegaskan bahawa foto itu sebenarnya adalah foto Shah Ismail pemerintah kerajaan Syiah Safavid. Serban merah (kızıl börk) itu hanya dipakai oleh penganut Syiah di zaman tersebut. Tambahan pula di dalam Fiqh Syiah ketika itu, pemakaian anting-anting lelaki difatwakan sebagai harus, secara spesifik.

Kritikan yang dikenakan ke atas potret itu, bersangkutan dengan keabsahannya pada mencerminkan realiti, tidak memungkinkan kita untuk menerima ia sebagai wajah Sultan Selim.

Biar pun kedudukan Sultan Selim sudah tentu bentuknya di sisi Allah, tidak bertambah atau berkurang dengan pendapat kita mengenai baginda, namun usaha kita untuk memahami kisah yang sebenar, mengajar kita yang hidup lebih 500 tahun selepas zaman berkenaan, agar memuliakan kebenaran.

Yang menjadi inti pati hakikat diri sebagai seorang Muslim.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

syrianchildreninistanbul

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

4 comments

  1. Semasa dalam Topkapi, ana ada terperasan satu buku klasik yang bergambar di situ. Ada lukisan buraq, Nabi berwajah putih, dan malaikat bersayap. Saya berpandangan buku-buku Parsi banyak melukis watak-watak dalam Sirah. Saya temuinya juga di beberapa tempat lain di Turki.

    Sejauhmana pengkarya Parsi begitu berani mengimaginasikan banyak watak dalam sejarah? Perkara ini mungkin knowledge gap yang boleh Ustaz ungkaikan untuk kami. Adakah Persian melakukannya kerana tafsiran Syiah yang membenarkan lukisan wajah Nabi dan keluarganya?

    Saya teringat dengan hujah Kerajaan Denmark apabila Muslim mengamuk mengutuk karikatur Nabi. Kerajaan Denmark telah membuat research sejauhmana wajah Nabi dan keluarganya ada dalam karya klasik Muslim. Dalam laman web rasmi kerajaan ketika itu, mereka mengupload ratusan gambar daripada karya klasik yang majoritinya datang daripada Parsi.

    Saya berharap Ustaz teruskan momentum menulis berkaitan Uthmaniah, dengan memfokuskan kajian semasa Ustaz, Sheikh Birgivi. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada Ustaz dan semoga kami mendapat manfaat daripada Ustaz.

    • Insha Allah akan ana siasat hal ini. Bernard Lewis ada membahaskan dengan agak panjang lebar tentang sejarah seni lukis Islam parsi. Pernah baca lama dulu, dah lupa. Kena tengok balik.

      Hehe, mudah betul terbabas. Membaca tentang tajdid, jumpa kenyataan Lutfi Pasa tentang Sultan Selim sebagai Mujaddid, jatuh ke topik anting-anting Sultan Selim.

      Terima kasih atas perkongsian ustaz

      • “mudah terbabas” it’s common Ustaz kalau baca journal :)…after all, all these readings slip are within your learning materials…

        Terima Kasih atas perkongsian

  2. Terima kasih ustaz.satu perkonsian wacana yang sangat menarik dan mengesankan.Moga Allah permudahkan kembara ilmu ustaz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *