Nilai Air di Luar Dunia Padang Pasir

air-oh-air

“Hah, cepat! Cepat!” Khairul memekik memanggil kami semua yang sedang berbual di bawah pokok plum.

“Cepat apanya?” saya bertanya.

“Air dah sampai” Khairul membalas.

Kami segera bingkas bangun menuju ke dalam rumah. Memang setiap minggu, inilah rutin kami. Menunggu air masuk ke tangki. Sudah seminggu air tidak datang. Bukan minggu ini sahaja, malah setiap minggu.

Kehidupan di Jordan pada musim panas memang memeritkan. Keperitan itu pelbagai, namun yang paling kami bimbangkan adalah masalah kekurangan air.

Memang tidak dinafikan cuaca pada musim panas di Jordan, memang panas dan terik. Ada kalanya mencecah 45°C. Apabila kami ke kelas, mata terpaksa dipejam kecil kerana tidak berupaya menahan silau matahari. Segera masuk ke kelas, segera pulang ke rumah. Panasnya tidak terkata.

Tetapi bukanlah kepanasan itu yang menjadi punca utama Jordan kekurangan air. Ada banyak faktor yang menjadikan Jordan kering lagi kontang.

Saya masih ingat, dalam perjalanan pertama dari Amman menuju Mu’tah, hati saya berdebar-debar. Pelajar senior sudah sedari awal menakut-nakutkan kami dengan pelbagai cerita tentang Mu’tah.

Jauh!

Terpencil!

Badwi!

Dan entah apa lagi!

Tetapi rasa berdebar di hati saya timbul apabila bas yang kami naiki, melalui lereng gaung yang kosong. Perjalanan ngeri di antara pekan al-Qatrana dengan al-Karak. Sayup-sayup ke bawah kelihatan alur, seperti bekas sungai yang sangat besar dan luas. Namun kini, yang tinggal hanya lopak-lopak berisi air hijau menanti kering.

Apa yang telah berlaku di bumi ini? Ini bumi Isra’, bumi yang subur di hari-hari itu.Bekalan air semakin berkurang, tahun demi tahun selama saya menetap di Jordan.

wadimujib
Jalan Wadi Mujib sering mengalami tanah runtuh

Jika dahulu, kami boleh pergi ke persisiran Laut Mati menuju ke beberapa batang sungai yang mengalir dari Wadi Mujib ke Laut Mati. Airnya dingin, dan cukup dalam untuk terjun tiruk! Jika ke Ma’an, ada air terjun yang panas, dan ia sedikit sebanyak menghilangkan rindu kami kepada Malaysia.

Tetapi satu demi satu sungai itu kering.

Jika di Malaysia, orang boleh lemas kerana jatuh ke sungai. Tetapi di Jordan, hati-hati! Kemalangan yang sama mungkin mengakibatkan anda patah tulang. Tiada air di dalam sungai. Semuanya kering, kontang!

Setiap kali menjelang musim panas, kami menanti-nanti kedatangan hari Jumaat. Awal pagi, air akan untuk giliran minggu berkenaan, dan sepanjang hari, aktiviti kami akan berkaitan dengan air. Pada hari itulah kami semua membasuh kain, membersihkan rumah, mengisi botol-botol dan puluhan tong simpanan air, malah ada kalanya membasuh pinggan mangkuk yang berhari-hari terbiar kering tidak berbasuh. Malah apabila makan di talam, talam itu kami lapik dengan plastik agar talam tidak kotor. Habis makan, buang sahaja plastik tersebut. Memasak pun, perlu kurangkan sedikit minyak, agar mudah membasuh periuk. Semuanya kerana air!

Cukup dikenang, sewa rumah pun ditentukan oleh berapakah saiz tangki air rumah yang hendak disewa? Jika besar tangkinya, mahal jadinya sewa rumah tersebut. Sesuatu yang tidak dapat dibayangkan di negara seperti Malaysia.

miyahsolehah

Selama di Jordan, kami mesti meninggalkan tabiat ‘hantu air’ yang ada pada kebanyakan orang Malaysia. Pelajar baru sentiasa diingatkan agar jangan menyakiti hati senior dengan perbuatan mandi berkali-kali setiap hari, atau membasuh baju sesuka hati, kerana semuanya ada peraturan yang tersendiri.

Belajarlah untuk mandi tiga atau empat hari sekali. Kalau boleh, biar yang wajib-wajib sahaja!

Dan apabila mandi, bunyinya sahaja mandi sebab ada kalanya kami kena belajar mandi hanya dengan sebotol air 2 liter. Wudhu’ usah dikira, secawan sudah memadai.

Mungkin perit dan derita benar bunyinya. Tetapi alah bisa tegar biasa. Selepas tahun demi tahun hidup di Jordan, pengalaman itu adalah kebiasaan yang kami tempuhi dengan tenang. Barulah terasa benar hikmah mengapa Islam menggesa setiap lelaki yang sudah aqil dan baligh, untuk mandi pada hari Jumaat. Ia hanya dapat dihargai apabila kita tinggal di negara seperti Jordan, di mana sekurang-kurangnya seminggu sekali, setiap lelaki akan berusaha untuk mandi. Terasa sungguh cantik dan indahnya hari Jumaat. Kami membasuh kain, mandi betul-betul, malah memasak sungguh-sungguh. Seperti pesta dan hari raya. Mahu tidak mahu, kerana orang Jordan berdepan dengan krisis air, maka mereka perlu mengubah sikap dan kebiasaan. Perubahan ini bukanlah perubahan yang mengubah norma kehidupan, tetapi ia sebenarnya perubahan kepada apa yang lebih menepati Sunnah Rasulullah S.A.W. Islam mengajar kita sebagai khalifah, agar memuliakan air sebagai keperluan asasi kehidupan.

Allah SWT menyebut:

21_30

Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? [Al-Anbiya’ 21: 30]

Allah SWT juga menyebut:

16_65

Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu ia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya). [Al-Nahl 16: 65)

Air itu dari Allah. Allah berikan kita air untuk kita sebagai hamba, menggunakan air itu sebagai perhambaan diri kita kepada-Nya. Tetapi, apabila manusia tidak lagi menghargai wahyu dari langit untuk roh dan jiwanya, manusia itu juga akan meremeh-temehkan air yang datang dari langit untuk fizikalnya. Kehidupan manusia derita kerana masalah air, seiringan dengan derita jiwa dan batin manusia yang meremeh-temehkan wahyu dari ‘sana’.

Sedari awal lagi, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam  sudah mengajar kita agar mempunyai akhlak atau sikap yang betul di dalam penggunaan air.

Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam pada suatu ketika, melintasi Saad ibn Abi Waqqas R.A. yang sedang berwudhu dengan menggunakan air yang banyak. Lalu baginda bertanya, “Mengapakah dengan pembaziran ini?” Saad bertanya kepada baginda: Apakah di dalam soal berwudhu’ pun dikira pembaziran? Baginda S.A.W menjawab, “Ya, (membazir tetap membazir), walaupun kamu berada di sungai yang mengalir” – [Hadith Riwayat Ibn Majah]

Ya, bukan soal banyak atau sedikitnya air yang ada, tetapi sikap kita dalam menggunakannya. Islam tidak mengajar kita menjadi ayam yang bertelur di dalam kepuk padi, tidak tahu menghargai nilai yang ada pada padi tersebut. Jangan lupa harga air, semata-mata hidup ini penuh dengan sumber air.

Jangan bazirkan air, walaupun kamu berwudhu’ di sungai. Itu pesan Islam. Sikap manusia yang tidak menghargai air, mengundang musibah lagi bencana.

Saya jarang sekali berjumpa dengan orang Arab yang menghadapi masalah was-was dengan air dan wudhu’. Hampir tidak pernah saya bertemu dengan Arab yang berbasah lenjun ketika berwudhu’. Walaupun Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah mengingatkan kita tentang syaitan Walahan yang mendatangkan was-was semasa berwudhu’, namun dengan sikap positif, ada disiplin diri untuk menghadkan penggunaan air, ruang was-was syaitan itu dengan sendirinya menjadi sempit.

Tetapi terlalu biasa kita bertemu penyakit berkurung di dalam bilik air hanya kerana mahu berwudhu’. Sampai ke tahap Obsessive Compulsive Disorder (OCD) agaknya.

Apakah punca semua itu? Mungkin sebab pertama, ialah pada cara kita berfekah. Ketika Islam bersederhana di dalam masalah Thaharah, masyarakat kita amat berminat dengan kesusahan-kesusahan yang ditimbulkan dalam ibadah. Kerana setitik liquid paper di atas tangan, wudhu’ mesti diulang. Kerana sebuah restoran pernah menghidangkan sosej yang dikhuatiri bersalut usus babi, kita sanggup menyimbah seluruh restoran dengan air tanah liat.

Fekah seperti ini seronok diamalkan di tempat yang banyak air seperti Malaysia. Tetapi sejahterakah hukum-hukum seperti itu, di tempat yang menghadapi masalah kekurangan air? Tak perlu fikir, kita memang banyak air!

Keputusan bekalan air dan pencemaran sumber air, adalah kesan buruk sikap manusia sendiri.

Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam memaksa kita agar mengubah sikap dan tidak membazirkan air.

Tetapi seperti yang sering saya ingatkan, manusia yang berubah kerana terpaksa adalah mangsa. Manusia yang memaksa dirinya untuk berubah, mereka itulah yang berjaya.

hotweather

kredit foto: www.themalaymailonline.com

Malaysia hari ini sangat gersang. Hampir kesemua empangan di seluruh negara mencatat jumlah air menghampiri paras kritikal. Kebakaran hutan di sana sini, setiap hari.

Selagi masih ada air keluar dari paip rumah, kita boleh bersikap endah tidak endah.

Apabila air putus, kita segera mencari pihak berkuasa yang hendak dipersalahkan.

Mungkin selepas haiwan mati bergelimpangan kekeringan di tepi jalan, baru kita tersedar, bahawa yang zalim adalah diri kita sendiri.

Ini masa-masa yang kritikal untuk beristighfar kepada-Nya.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

4 comments

  1. Absolutely true love. Again, we should never stop to educate this to ourselves and our kids.

    • Alhamdulillah. I had also requested the school to highlight this issue and teach the students how to make wudhu’ using as little water as possible. And Inshaallah we and all the parents will also continue at home.

  2. Baca lepas Subuh tadi, terus terfikirkan sebelum ini lama dalam bilik air masa mandi. Sedangkan masa kecil dulu mak ayah dan ajar, nak mandi, basahkan badan dua cebuk, lepas tu sabun, bilas balik dalam empat cebuk. Tetapi bila dah mula pakai ‘air hujan’ terlalai nak jimatkan air.

  3. Oleh kerana kuatnya pengaruh media sosial, saya sarankan ustaz selebriti seperti Ustaz Hasrizal agar buatkan video demo ringkas cara ambil wudhuk dengan air yang minima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *