Tafakkur di Masjid Yavuz Sultan Selim: Nilai Sejarawan

yavuz-selim-cami

“Okay, kita jumpa nanti ya” saya berjabat tangan dengan Ville.

Ville Suomalainen.

Rakan dari Finland yang duduk di sebelah saya di dalam kelas, adalah antara teman yang akrab sepanjang Summer School berlangsung.  Selain daripada fokus kajiannya adalah di dalam cabang sejarah pemikiran seperti saya (yang menjadikan kami minoriti),  sifatnya yang merendah diri, gemar mengetahui perkara yang baru, membolehkan banyak perkongsian berlaku dalam perbualan harian kami.

Beliau adalah pelajar sarjana di dalam pengajian Islam di Universiti Helsinki, Finland. Tumpuan kajiannya adalah pemikiran Ismail Ankaravi yang terkenal sebagai ilmuwan yang mensyarahkan Mesnevi Jalaluddin al-Rumi.

“Baik. Maklumkan kepada rakan-rakan saya tidak makan malam di Validebağ, ya” saya berpesan.

“Jumpa lagi” Ville menaiki bas bersama rakan-rakan yang lain pulang ke rumah penginapan kami.

Saya ingin menyendiri petang ini. Menyendiri ke lokasi yang semua warga Istanbul nampak, tetapi sedikit yang mendekatinya.

Saya mahu ke Masjid Sultan Selim.

Yavuz Selim Camii itu adalah masjid kedua tertua di Istanbul. Ia dibina oleh Kanuni Sultan Suleyman pada tahun 1527 atau 1528 bagi memperingati ayahanda yang dikasihinya, Sultan Selim. Baginda meninggal dunia pada tahun 1520 selepas menyertai siri peperangan panjang terutamanya di bumi Syam dan Mesir.

Senibina masjid ini agak sederhana.

Arkiteknya adalah Alaüddin (Acem Alisi).

Lokasi masjid ini yang terletak di atas bukit ke-5 di Istanbul, tersembunyi sedikit daripada masjid-masjid utama seperti Suleymaniye dan Masjid Sultan Muhammad al-Fatih. Kita perlu berjalan kaki kira-kira 2km menelusi kawasan ikhwah dan akhawat kita di perkampungan Tarekat Naqshabandiyyah menghampiri Draman.

Masjid ini sedikit jemaahnya jika dibandingkan dengan masjid-masjid besar yang lain. Berada di dalamnya memberikan rasa ketenangan yang mendalam pada diri saya, terutamanya semasa duduk melunjurkan kaki di atas kuda-kuda di pinggir tembok, mengadap Galata yang sayup di seberang Halic.

Sebuah masjid yang dibina oleh anak sempena memperingati bapanya. Satu lagi nilai tambah yang menjadikan saya bermelankolik setiap kali mengunjunginya.

Usai solat Asar, saya termenung sendirian. Seekor kucing yang keletihan, saya usap buatnya berdengkur kerehatan.

“Bisakah diriku menjadi seorang sejarawan?” saya menyoal diri.

Trauma dengan pengajian di UIA yang gagal dilunaskan, hati saya berdebar menyambut kehidupan sebagai pelajar sarjana UKM, pasca langsai kerja kursus.

Pada masa itu, saya membuka ipad dan membaca nota dari kelas Dr. Azmul. Jamal Mahmud Hajar dan ‘Adel Hasan Ghanim di dalam kitab mereka Fi Manhaj al-Bahts al-Tarikhi telah menukilkan 10 noktah penting tentang ciri-ciri yang mesti ada pada seorang sejarawan.

Inilah ciri sejarawan, yang saya perlu ada. Saya perlu usahakan.

cami01

MELANGSAIKAN PEMBACAAN UTAMA

Seorang sejarawan itu mesti mengenal, membaca, memahami dan menguasai karya-karya utama di dalam bidang sejarah, bermula daripada karya umum seperti naskhah oleh Herodotus, diikuti dengan maha karya ilmuwan Islam seperti Tarikh al-Rusul wa al-Muluk wa Akhbaruhum oleh al-Tabari. Demikian juga dengan al-‘Ibar dan khususnya al-Muqaddimah kepadanya karya Ibn Khaldun. Termasuk juga karya-karya yang membentuk disiplin sejarah moden seperti Arnold Joseph Toynbee dengan karyanya A Study of History.

PEMIKIRAN YANG SISTEMATIK

Seorang sejarawan itu juga mestilah seorang yang pemikirannya sistematik, mampu menyusun, menyelaras dan seterusnya mengambil manfaat daripada bahan-bahan sejarah yang berada di hadapannya. Beliau juga mampu untuk melakarkan garis sempadan kepada idea agar menjadi sebuah topik untuk diberikan fokus kepadanya, dan bukan semata-mata tenggelam dalam lautan maklumat serta perincian hingga ke masalah-masalah cabang dan sisi.

BAKAT MENGANALISA DAN MENGKRITIK

Seorang sejarawan itu juga perlu memiliki bakat dalam menganalisa dan mengkritik. Dia mampu membuat pemeriksaan, melakukan perbandingan dan kaji selidik dan seterusnya memahami hubungan yang mengaitkan beberapa perkara yang dilihat secara kasarnya sebagai saling bertentangan. Beliau juga tidak secara mudah untuk terus mempercayai apa sahaja yang dibaca atau didengar, malah menelitinya dengan terpeinci, menggunakan seluruh upaya akalnya untuk menjernihkan keabsahan mana-mana naskhah yang dirujuk, dan seterusnya mencapai dapatan yang sewajarnya.

SABAR DAN TENANG

Seorang sejarawan itu juga mestilah memiliki sifat sabar, tenang dan tidak tergesa-gesa pada menatijahkan hukum atau penilaian dirinya. Beliau mesti memberikan masa yang cukup untuk kajiannya dibincangkan, dibuat perbandingan dan dihuraikan. Dia tidak perlu membebankan diri menjelaskan segala fakta yang ditemui di dalam topik yang dikaji, sebaliknya tertumpu dan menghadkan diri hanya kepada fakta-fakta yang menyampaikan dirinya kepada natijah yang dikehendaki. Sejarawan itu juga perlu menyediakan ruang untuk fakta-fakta yang tidak mampu beliau jelaskan itu, disambut oleh pengkaji lain untuk mengkajinya pada masa-masa yang menyusul.

BEKERJA KERAS

Seorang sejarawan itu juga mestilah seorang yang bekerja keras, untuk mendapatkan, dan kemudian memanfaatkan semua sumber kajian yang diperlukan untuk menjayakan kajiannya. Beliau juga tidak harus mengalah dengan apa-apa kesusahan hidup serta bebanan yang terpaksa ditanggung sebagai pengorbanan untuknya. Sejarawan tidak boleh meletakkan pergantungan kepada sebahagian sumber rujukan ketika mana dia tahu ada rujukan lain yang perlu dirujuk ke arah mengukuhkan kefahamannya tentang tajuk yang dikaji, atau yang mungkin boleh mengubah pandangannya terhadap topik yang dikaji. Lihat sahajalah Abu al-Faraj al-Asfahani, meluangkan masa selama lima puluh tahun untuk menyempurnakan kitabnya.

OBJEKTIF DAN ADIL

Seorang sejarawan itu mestilah bersifat adil, objektif dan neutral, tidak terpengaruh oleh kecenderungan peribadi terhadap kajiannya. Dia tidak sepatutnya menjadikan pendapat peribadi, akidahnya dalam beragama, kecenderungannya di dalam politik, mempengaruhi kajian hingga mengubah hakikat kebenaran. Dia juga tidak boleh mengkaji sesuatu dalam keadaan kesimpulan akhir sudah pun dimuktamadkan sebelum kajian hendak dibuat. Teladanilah Abd al-Rahman al-Jabarti, yang telah menempuh pelbagai cabaran di zaman Muhammad Ali Pasha. Walaupun beliau meyakini bahawa orang-orang Muhammad Ali Pasha telah membunuhnya anaknya, tatkala al-Jabarti menulis tentang Muhammad Ali, beliau memberikan hak kebenaran dengan menulis apa yang baik sebagai baik, berkenaan Muhammad Ali. Keadilan yang ditunjukkan oleh al-Jabarti itu menjadi teladan yang sungguh luar biasa untuk eranya.

BERANI DAN TEGAS

Seorang sejarawan itu juga mestilah berani pada mengemukakan pendapatnya, pada menyatakan kebenaran yang sampai kepada pengetahuannya. Beliau mestilah menjauhkan diri daripada sifat bermuka-muka, nifaq, menyembunyikan apa-apa kebenaran yang diketahuinya serta komited meletakkan matlamat kajiannya adalah pada memberikan khidmat untuk kebenaran. Kita boleh meneladani peristiwa ketika mana Muhammad Syafiq Gharbal berdepan dengan Revolusi 1952 di Mesir semasa hendak menerbitkan bukunya. Rakan-rakan beliau menasihatinya agar menarik balik isi penting bukunya daripada penerbitan dan menyemak kembali apa yang telah dicatat kerana beliau telah memberikan kredit yang positif kepada beberapa usaha pemerintahan keluarga Muhammad Ali Pasha, yang sudah tentu akan menimbulkan kemarahan kepada pejuang Revolusi. Gharbal menolak saranan tersebut dan mengambil risiko mendepani apa sahaja tindakan yang bakal dikenakan, tanpa berganjak daripada apa yang diyakininya sebagai benar.

BERUPAYA MEMAHAMI KEPELBAGAIAN KONTEKS

Seorang sejarawan itu juga mesti berupaya untuk membayangkan secara lengkap persekitaran yang melingkungi topik yang dikaji. Beliau mampu memahami perkara-perkara sampingan yang wujud di sekitar tokoh yang dikaji, atau peristiwa yang diteliti mahu pun idea yang dihalusi kerana semua yang wujud di sekitar subjek kajiannya, mempengaruhi apa yang dikaji.

SENSITIF DAN PEKA PANCAINDERA

Seorang sejarawan itu juga mestilah seorang yang peka pancainderanya, kuat dorongan emosinya, dan mendalam keinsanan pandangannya. Kepekaan itu akan membantu beliau menyelami pemikiran, perasaan dan perkara-perkara yang mungkin tidak nyata pada apa yang dikaji, namun amat mempengaruhi hakikat kebenaran yang dicari.

MENCINTAI PERANAN

Seorang sejarawan itu juga mestilah sentiasa bersemangat dengan apa yang dilakukannya, mencintai peranan yang dimainkannya demi memelihara kebenaran, tanpa cenderung kepada motif-motif lain seperti mengambil manfaat daripada pemerintah, mendapat pangkat atau memperalatkan sejarah untuk kepentingan siasah.

Semakin banyak seorang sejarawan itu memiliki sifat-sifat yang dikemukakan di atas, semakin tinggilah peluang kejayaannya untuk menemui kebenaran.

Sesungguhnya mengkaji sejarah, adalah sebuah perjalanan mencari dan mengenal KEBENARAN, demi Allah Tuhan yang AL-HAQ itu.

BERANSUR PULANG

Hari sudah lewat petang. Masjid ini pernah menjadi tempat berkhutbahnya Imam Birgivi, anaknya Fadlullah Efendi, juga tokoh kontroversi berinspirasikan Birgivi, Mehmed Kadızade.

“Okay ‘Kedi’, saya pulang dahulu.

Si comel yang hampir lena itu bangun kembali.

Moga dia dan seluruh haiwan di darat dan di lautan, mendoakan diriku dan murid-murid ilmu yang lain, agar diampunkan oleh Allah dosa-dosa mereka, dan dibantu mencapai cita-cita, demi berbakti kepada ummah.

HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

syrianchildreninistanbul

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

4 comments

  1. Alhamdulillah, rezeki turun dari langit ^_^
    Terima kasih ustaz!

    Ada benda yg perlu difahami oleh hati dan mida saya. Untuk merungkaikan ketidakfahaman tersebut, salah 1 cabang ilmu yg perlu saya pelajari adalah sejarah dunia. Tapi saya xtau nak mula dari mana. Alhamdulillah, ustaz dah kongsi ilmu nak mula dari mana.

    Thanks again!

  2. Assalamualaikum Ustaz,
    diharapkan Ustaz sihat disamping isteri dan anak-anak tersayang. Saya mendoakan ustaz terus sukses dalam bidang pengkajian ustaz. Sejak ustaz tutup akaun facebook, kelihatan ustaz semakin bahagia dan tenang. Saya mengharapakan perkara ini baik bagi ustaz. Cuma saya sangat berharap kalau Ustaz dapat memuatkan kembara ustaz untuk mengkaji tentang Imam Birgivi di Turki dalam travelog. hampir kesemua buku tarvelog ustaz saya miliki.

    Semoga Allah merahmati dan memberkati ustaz.

    • Waalaikum al-Salam sahabat.

      Terima kasih kerana sudi berkunjung ke halaman ini. Terima kasih juga atas doa dan sokongan. Saya sedang menyiapkan bahagian akhir bagi travelog terbaru. Saya sasarkan Pesta Buku akan datang ini untuk penerbitannya. Mohon doakan. Salam ukhuwwah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *