Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

syrianchildreninistanbul

kredit foto: demotix.com

“Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya.

Dia bukan anak Turki.

“Kamu dari mana?” saya bertanya.

Budak itu diam.

“Kamu dari Syam (Syria)?” saya bertanya, dengan lebih spesifik.

Dia mengangguk.

Peperangan di Syria masih belum reda. Bashar Hafez al-Assad  meneruskan sahaja legasi bapanya, sang zalim yang pernah disangka sebagai Yakjuj dan Makjuj oleh orang Turki pada awal 1990’an kerana keganasan dan kekejamannya. Sering saya ceritakan kepada rakan-rakan, bahawa orang Arab itu ekstrim. Kalau baik, sangat baik. Kalau kejam, kekejamannya melangkaui apa yang mampu manusia bayangkan.

Kini, anak-anak kecil itu berkeliaran di Istanbul.

Sebuah tempat yang sangat asing.

Sudah lebih setengah juta warga Syria berhijrah ke Turki. Saya ada membaca laporan UNHCR tentang statistik ini. Di Istanbul sahaja, jumlah pelarian Syria mencecah 100 ribu orang. Apa yang menyulitkan keadaan mereka ini adalah ramai yang berada di Istanbul dan Turki secara umumnya, tanpa sebarang dokumen pengenalan diri. Ia menyebabkan pihak berkuasa Turki berdepan dengan banyak masalah birokrasi bagi menghulurkan bantuan.

Ada pun pelarian yang ada dokumen pengenalan diri, nampaknya Turki adalah negara yang meneruskan kelangsungan budaya philanthropy yang wujud zaman berzaman. Kerajaan Turki mengusahakan rumah kabin, makan minum, perubatan, juga persekolahan untuk anak-anak ini, terutamanya di kem-kem pelarian berhampiran sempadan Turki – Syria.

Di Istanbul, ada rakyat tempatan yang menyediakan penginapan sementara untuk pelarian Syria ini sedaya kemampuan masing-masing, memberi mereka pakaian dan serba sedikit bekalan makanan, juga pekerjaan sebagai ‘buruh kasar’ di kilang-kilang tekstil, biar pun bimbang dengan risiko undang-undang kerana mengambil pekerja secara tidak sah.

Layanan baik yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat Turki, jauh berbeza daripada budaya Eropah semasa yang nampaknya begitu jijik dengan perkataan pelarian, imigrasi dan yang berkait dengannya. Di satu peringkat, Turki mahu menyertai Kesatuan Eropah untuk memperbaiki peluangnya menyelamatkan politik, ekonomi dan sosial serta hak asasi manusia. Tetapi dengan hikmah yang pelbagai, Turki semakin menampakkan keupayaannya untuk berdiri sendiri, termasuk pada mengemukakan teladan paling bertamadun, dalam menyantuni mangsa peperangan di Syria ini.

Anak kecil yang meminta sedekah di Eminönü itu saya berikan sedikit wang.

Hati saya tersentuh melihat budak kecil itu mengagihkan pemberian saya kepada rakan-rakannya.

Semoga Allah merahmati mereka. Apakah mungkin peperangan di Syria itu hanya akan berakhir dengan Kiamat?  Entahlah, ketika Baghdad musnah pada tahun 1258 pun, ramai yang menyangkakannya sebagai Kiamat. Tetapi ummah terus bernafas. Apa yang penting, adalah menguruskan semasa. Bukan berdebat tentang masa hadapan, atau tersangkut dengan kejadian semalam.

Petang itu saya melangkah sendirian. Menelusi lorong-lorong Istanbul, jauh dari kenalan, Malaysia atau Turki. Ramai yang masih belum sempat saya jumpa. Namun, saya perlu mengambil masa untuk menyendiri. Banyak yang perlu saya muhasabahkan tentang diri dan dunia di mana saya berteduh.

galata

Bahan-bahan rujukan untuk saya mengkaji Imam Birgivi sudah cukup, bagi peringkat ini. Pelbagai input yang saya terima daripada sarjana dan rakan pengkaji lain. Kepulangan saya ke Malaysia kali ini, bukan sekadar membawa ‘Imam Birgivi’, tetapi membawa satu perasaan baru terhadap kehidupan. Sepertinya saya sudah tidak dapat berperanan seperti sebelum ini. Melihatkan kepada beratnya kemusykilan ummah terhadap diri mereka sendiri, saya rasa terpukul untuk menilai kembali usaha dakwah sedia ada di tanah air. Apa yang popular seperti dakwah yang ringan-ringan itu terasa seumpama ‘bermain-main’ dengan agama.

Apakah da’i di Malaysia telah terlajak memanjakan mad’u? Sejauh mana kita perlu memudahkan proses pembelajaran kerana meraikan kondisi mad’u? Tidak boleh mendengar penerangan lebih setengah jam, tidak boleh mengendalikan wacana yang berat, perlu diselang seli dengan permainan, nasyid dan video.

Pelbagai.

Sunnah mengaji hingga kematu buku lali, bak kata Ustaz Zamri, ayahanda Pengetua sekolah dahulu, seperti sudah mustahil. Mengaji mahu yang mudah-mudah, ringan-ringan, tetapi keghairahan untuk menyentuh hal-hal besar tidak sepadan. Kail sejengkal, perahu sebidang bahu, tetapi begitu mahu meredah ribut pahit dan laut bergaram.

Kita reka bentuk buku agar ergonomik, kita warna warnikan buku, kita ilustrasikan mesej yang hendak disampai membawa kepada kita permudahkan penyampaikan, kita ringankan penjelasan, kita murahkan harga buku.

Akhirnya, semua jadi ceroi.

Cair.

Mungkin ia sebahagian daripada tragedi kita membelakangkan sendi ilmu. Sedangkan, mahu memudahkan penyampaian, mahu menyampaikan secara kreatif, juga perlu kepada ilmu. Bukan buat sesuka hati, hingga hikmah menjadi bid’ah, dan bid’ah menjadi asabiyyah.

Kita tidak berupaya menjadi Ulu al-Albaab kerana al-Albaab itu adalah isi dan inti. Pepatah Melayu sudah menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kita tidak sabar memecahkan ruyung untuk menikmati sagu, hingga kita berkenyang-kenyang mengunyah ruyung. Yang kita dapat adalah kulit, hampas, saki baki, sisa yang tidak membangunkan. Motivasi, kuliah subuh, dhuha, zohor, maghrib, ceramah umum, seminar, forum, buku-buku popular (populis), majalah agama, blog, facebook, twitter, program agama di radio dan tv… sangat-sangat banyak, tepu!

Tetapi.

Masyarakat yang kekosongan dirawat dengan rawatan yang kosong oleh perawat yang kosong, kesannya tidak menyembuhkan, tidak membangkitkan.

0 + 0 = 0

Adakah kita masih di atas landasan yang benar?

Pesimiskah saya bertanya soalan sebegini?

Selepas anak-anak kecil dari Syria yang mengemis di Eminönü itu saya tinggalkan, terbayang di kepala akan ‘manfaat’ peperangan. Ia bencana, ia musibah. Ia mesti dihindarkan. Tetapi jika ia berlaku, ada peraturan yang Islam gariskan, agar dalam suasana peperangan itu, di sebalik segala kemusnahan yang terjadi, Muslim mesti terus bergerak ke hadapan sebagai Muslim yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Teringat semasa di Belfast kira-kira sedekad lalu, saya pernah berteori dengan rakan-rakan bahawa dunia akan ranap dalam kekufuran apabila ramai sangat generasi yang tidak pernah ada pengalaman perang! Bukan meminta perang. Tetapi generasi yang tidak kenal perang, mudah kufur nikmat. Tidak sedar diri.

22_11

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah sekadar di pinggiran, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. [Al-Hajj 22: 11]

Ahh, adik-adikku, penulis buku Aku Terima Nikahnya ini tidak pernah sama sekali mahu melemparkan cinta murahan sebagai agenda kepemudaanmu. Buku-buku yang saya tulis itu sebenarnya menampar-nampar anak muda agar berhenti berkhayal. Apakan daya, buku itu terlalu kerdil untuk melawan gelombang ‘cinta pemusnah’ yang lebih sasa tentera merah jambunya.

Saya rasa di tanah air kita, ‘peminat-peminat’ Islam ramai yang menjadi gedik, lembik, mengada-ngada dan suka dimanja-manjakan dengan Islam yang cute di mata mereka.

Bukan hanya topik cinta, topik keras pun mahu dilembik-lembikkan.

Sudahlah ayat-ayat al-Quran tentang jihad dibuang daripada silibus pendidikan. Apa yang tersisa hanya ‘belajar rajin-rajin’ pun jihad juga!

Jika berlaku peperangan di Malaysia dan kita diuji dengan tekanan seperti Syria, Afghanistan dan Palestin, murtadkah kita kerana tiada lagi Islam comel untuk dipegang? Hanya tinggal Islam sebenar yang tidak boleh dipegang oleh penganut yang terhegeh-hegeh, yang bermain-main dengan agama. Dan peminat Islam versi sebegini di Malaysia, adalah lubuk duit yang besar untuk industri buku populis tidak berhemah dan motivasi yang tidak berisi.

Saya tanya diri saya, secara jujur dalam hati, adakah Islam yang kamu cakapkan itu kamu yakin itulah Islam Nabi Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam?

Saya takut ada kemunafiqan dalam hati ini yang di kubur nanti saya tiada alibi lagi untuk mengelak daripada hukuman Allah.

Teringat saya kepada tazkirah keras yang ditegaskan oleh Imam Birgivi di dalam Tariqah Muhammadiyyah:

” Peraturan pertama untuk sifat malu yang mulia adalah dengan berasa malu di hadapan Tuhanmu tentang perbuatanmu yang di sisi-Nya, ia adalah keji dan dosa. Kemudian barulah rasa malu yang seterusnya pula muncul, terhadap kelakuan-kelakuan yang rendah, seperti kegagalan untuk peduli terhadap perasaan orang lain, hak mereka dan kehidupan yang mereka miliki. Demikian juga terhadap kecuaianmu memelihara penampilan diri, ucapan lisan, sifat kurang sopan, mementingkan diri sendiri, kasar dan lain-lain. Seseorang itu sepatuitnya berasa malu ketika berada di khalayak, tanpa lupa untuk turut berasa malu semasa bersendirian di hadapan Tuhannya.

Sifat tidak tahu malu, adalah petanda kepada keangkuhan, rohani yang lemah dan tercicirnya keseriusan dan kesedaran dalam beragama. Tanpa ragu, ia adalah petanda kepada kemunafikan terutamanya apabila seseorang meluahkan rasa kesal dan malunya di hadapan manusia, tetapi tidak di hadapan Allah dan Rasul-Nya. Siapa lagi kalau bukan sang munafiq, tatkala dia menyuarakan kekesalannya kepada manusia atas khilaf yang terjadi, tetapi dia tidak pun bertaubat kepada Allah? Sedangkan Allah itulah Penciptanya, Pengurnia rezeki, Pengurnia akal untuk dia memahami, dan yang mengajarnya pelajaran tentang kehidupan. Celakalah orang tergesa-gesa dalam hidupnya tetapi mengabaikan tanggungjawabnya kepada Allah dan sesama manusia. Dan celakalah sang munafiq yang menunjukkan kekesalannya kepada manusia atas salah lakunya yang terjadi, berusaha meminta maaf dan pengiktirafan manusia, tetapi terlupa kepada KESAKSIAN TUHAN.”

Sabda Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam:

استَحيوا منَ اللَّهِ حقَّ الحياءِ ، قُلنا : يا رسولَ اللَّهِ إنَّا لنَستحيي والحمد لله ، قالَ : ليسَ ذاكَ ، ولَكِنَّ الاستحياءَ منَ اللَّهِ حقَّ الحياءِ أن تحفَظ الرَّأسَ ، وما وَعى ، وتحفَظَ البَطنَ ، وما حوَى ، ولتَذكرِ الموتَ والبِلى ، ومَن أرادَ الآخرةَ ترَكَ زينةَ الدُّنيا ، فمَن فَعلَ ذلِكَ فقدَ استحيا يعني : منَ اللَّهِ حقَّ الحياءِ

“Sentiasalah kamu berasa malu di hadapan Allah”

Kami (Sahabat) berkata, “sesungguhnya kami sememangnya malu kepada Allah, Alhamdulillah”

Kata baginda, “Bukan itu yang aku maksudkan. Malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu ialah  engkau memelihara kepala dan apa yang difikirkan, engkau memelihara perut dan apa yang diisikan ke dalamnya, serta engkau mengingati mati dan segala kebinasaannya. Dan barangsiapa yang inginkan Akhirat, dia tinggalkan perhiasan kehidupan, dan dia utamakan Akhirat daripada dunia. Barangsiapa yang melakukan sedemikian barulah dikatakan dia malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” [Hadith riwayat al-Tirmidhi]

Pesawat Emirates terbang dalam sepi perjalanan saya meninggalkan Istanbul, kembali ke medan ‘sebenar’ di tanahair. Hati saya hiba semasa berpisah dengan Halim Bohari, Syafiq dan Ismail yang bersusah payah datang ke Lapangan Terbang Atatürk tadi. Saya juga resah semasa memeluk Fatih yang berjanji untuk datang ke Malaysia, tidak lama lagi.

Saya telah menemui bahan-bahan kajian yang saya cari.

Tetapi penemuan paling berharga, adalah bertemu dengan makna diri. Menalar makna diri yang baru, untuk masa depan yang lebih teliti.

Lindungi diriku ya Allah.

Lindungi ahli keluargaku.

Lindungi sahabat-sahabatku.

Lindungi kaum muslimin saudara saudariku.

Güle güle Istanbul.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

9 comments

  1. The same thing is happening in the field of medicine in Malaysia, I believe Dr Muna can attest to this. But never despair, there are gems to be found and polished into brilliance. Fear not the dead, but rather fear the apathetic throng, the cowed and meek. Who see the world and its wrong, but dare not speak.

  2. Setiap kali, dan berkali-kali baca posting ustaz ni, buat dada rasa sesak.. tak tau bagaimana hendak bermula, apa yang nak dimula atau bagaimana…

    • Terkasima dgn terms yg ustaz gunakan “islam yg cute..” sgt mendalam utk difahami terutamanya bg ank muda yg rancak berbicara soal agama, dan punya bakat dlm debate utk jd seorang daie hebat..lebih tepat daie millenia ,tnpa sedari terpupuk dlm diri mereka utk spread islam yg cute…hurm…otak berpusing ligat memikir, akn lahirkah seorang mujahid hebat yg merindukan syahid di jalanNYa, akn wujudkah klon Salahuddin Al-ayubbi, akn lahirkah manusia garang dan gagah spt umar al-khattab yg sgt digeruni. ..atau terus terbelenggu dgn islam yg cute…wallhualam…

  3. Ustaz,

    Perkara separah itu turut berlaku di IPT, di kalangan pelajar sarjana. Subjek yang ‘susah’ tidak ramai yang mendaftar. Mahu perbincangan yang mudah dan ringan. Subjek ana hanya 10 orang pada minggu pertama. Minggu kedua, lima orang. Minggu ketiga, naik 9 orang. Subjek orang lain, sampai 35 orang penuh. 🙁

    • Kesarjanaan kita adalah gelanggang yang hampir sama lagha dengan Akademi Fantasia, ustaz. Back to basic, belajar untuk apa sebenarnya? Sudah sampai sarjana dan PhD pun, masih belajar hanya untuk keperluan Maslow

      • Bukan tak nampak bahaya atau risiko di hadapan terhadap apa yg berlaku…ada kesedaran tinggi tapi mungkin pengetahuan cuma secuil atau memang itulah seadanya sebenarnya yang tidak seimbang dengan “kesedaran persepsi” . Lantaran sedar dirilah “para sarjana” ini meminggir diri dan atas dorongan keinginan untuk “dominan”, serasa seolah-olah nak “bertanggungjawab” menyelamatkan keadaan padahal tak aada apa pun….ibarat” berharaplah selagi bernafas” asalkan masih mampu bersuara biarpun SS (SYOK-SENDIRI)…tidak juga sama sekali ingin dikenang-kenang orang dan disebut2 riuh-rendah di tengah-tengah rencam “semua orang nak jadi hero” sejujurnya “pejuang”…iman kita ustaz…siapa yang tahu…mungkin itulah yang memprovokasi kita untuk bersuara (biarpun sebenarnya amat menyedihkan kondisi hamba Allah tersebut hnya Allah yang tahu)

      • “dilalah”nya tentang “isu besar” yang tak remeh

  4. Ratna Safitri

    makin saya belajar ,makin saya rasa tidak tahu,. tergolongkah dalam kalangan ulil absar? 🙁

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share