Jenayah Akademik Aktivis Dakwah Kampus

tkmtc-korban

Petikan buku Tak Kenal Maka Tak Cinta, terbitan PTS (pembelian, klik di sini)

“Insha-Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita” kata seorang exco dakwah di sebuah kampus.

Jika kamu tolong Allah, Allah tolong kamu… adalah inti pati janji Allah:

47_7“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” [Muhammad 47:7]

Namun, mengimplimentasikan janji dalam sebuah medan tempur pedang, panah, nyawa dan darah, ke medan tempur buku, nota, pena dan laptop, boleh menjerat diri.

DULU-DULU

Dulu-dulu saya pernah membaca sebuah majalah yang al-Arqam di Jordan terbitkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang aktif berdakwah hingga tidak sempat membuat persiapan untuk peperiksaannya, telah bertawassul dengan nama Abuya, murshid jemaah beliau, lalu tertidur di dewan peperiksaan. Sebaik sahaja siswi itu terjaga, kertas peperiksaannya sudah penuh dengan jawapan dan beliau mendapat keputusan yang cemerlang!

Itu kalau versi ‘hikayat menjadi’.

Bagi yang tidak menjadi, pernah di suatu era, ada aktivis dakwah yang menganggap kesanggupan menggagalkan diri dari pengajian atas nama dakwah adalah satu PENGORBANAN yang ditabik rakan sepasukan.

Ini baru betul intima’ dan wala’ namanya.

Kita tolong Allah, Allah akan tolong kita… mudah sahaja sifirnya.

Contoh-contoh ekstrim begitu adalah fenomena biasa di era 70′an dan 80′an, membawa ke awal 90’an. Era orang mencampak televisyen ke sungai kerana ‘membenci dunia’.

HARI INI

Namun hari ini, contoh begitu mungkin sudah tidak sebegitu biasa kita dengar. Perbuatan membuang pengajian atau pekerjaan kerana mahu berdakwah sudah jarang-jarang sekali sampai ke telinga kita. Akan tetapi, sikap yang berlegar pada mindset yang sama itu masih sering dilihat dalam catatan aktivis dakwah di kampus hingga ke hari semasa.

Dek kerana kerapnya saya berprogram bersama pelajar universiti, saya terdedah untuk terus menerus mengesan masalah ini berlaku di sana sini. Bahawa ramai pelajar yang bersemangat dan aktif dengan dakwah, kecundang di bilik darjah. Kecundang di dewan kuliah.

Apakah golongan yang kecundang akademik hanya dari kelompok dakwah?

Tentu sahaja tidak.

Mereka yang lemah di bidang pengajian atau mungkin terus gagal, terdiri daripada mereka yang beridentitikan pelbagai. Mungkin yang mabuk bercinta, mungkin yang kaki gig, Facebook, mungkin yang tiada sebab apa-apa sekali pun. Punca kemunduran akademik memang pelbagai. Malah saya tidak terkejut jika ada pelajar yang kecundang pengajian hanya disebabkan oleh cuaca!

Tetapi apa yang ingin diperbahaskan kali ini adalah soal hubung kait aktiviti dakwah dengan aktiviti kuliah.

‘ESCAPISM’

Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?

Di suatu ketika, saya pernah menyeru anak muda aktivis dakwah supaya mencari keseronokan di dalam mengerjakan amal Islami. Cari nilai untuk menyalakan KEINGINAN YANG MEMBARA. Jangan hanya bergantung pada soal kewajipan, tekanan suasana dan mengikut trend semata. Dakwah itu mesti inside-out. Ia harus datang dari kepercayaan diri bahawa setiap satu tugasan dakwah, menambah makna dan nilai dalam hidup.

Tetapi dalam masa yang sama, keseronokan dakwah itu jugalah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab mengapa aktivis dakwah di kampus hilang minat dan tumpuan pada pelajaran. Mereka bertemu dengan kepuasan dan keinginan di dalam dakwah, tetapi tidak di bilik kuliah.

Sama sahaja… sama ada pelajar di bidang pengajian Islam, mahu pun sains atau undang-undang, ia boleh terjadi. Penyakit hilang minat dan keghairahan terhadap mata pelajaran di bilik kuliah sering berlaku.

Dakwah menjadi tempat mahasiswa dan mahasiswi ini melarikan diri dari tekanan, kebosanan dan segala perasaan negatif yang dialami semasa menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan assignment. Segala perasaan yang tidak seronok lagi merimaskan itu, dapat dilupakan seketika semasa hadir ke dalam usrah, tamrin, ceramah, malah demonstrasi.

Bukan sahaja program dakwah harakiyyah, malah sebahagian pelajar lebih konsisten dan hadir dengan penuh minat ke kelas-kelas menadah kitab dan pengajian tidak formal tetapi mengabaikan kelas, peperiksaan dan tidak endah pada kemerosotan keputusan peperiksaan.

ALASAN

Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.

“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!” kata seorang pelajar.

Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.

Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.

MENOLAK ‘ACUH TIDAK ACUH’

Sebagai analogi, kita bayangkan tuntutan akademik itu seperti ayam masak merah dalam cerita berikut:

Ayam-Masak-Merah

Ayam masak merah. Kredit foto: cateringexpert.com.my

“Abang nak makan ayam masak merah” kata seorang suami kepada isterinya.

Lalu si isteri ke dapur, digorengnya ayam, ditumisnya sos yang merah, dicampur keduanya dan dihidangkan di dalam pinggan percuma semasa membeli ubat gigi kotak besar.

“Nah, makan” kata sang isteri.

Terkulat-kulat suami mengunyah.

Dalam satu kejadian yang lain, lelaki yang sama memanggil pembantu rumahnya, “Supriani, bapak mahu makan ayam masak merah!”

Lalu si Supriani pergi ke dapur, digorengnya ayam, dibuat kuahnya seelok mungkin, ditabur pula dengan daun sup, dihias dengan bawang besar, cili belah empat kembang bunga, dan dihidang di dalam pinggan Pyrex bersama nasi panas.

Agak-agaknya, tanpa perlu berbahas dan berdebat, kita sedia maklum yang tentu sahaja si lelaki itu tadi lebih berminat untuk makan ayam masa merah hasil masakan Supriani berbanding isterinya sendiri. Dua-dua ayam masak merah, tetapi ayam masak merah si isteri itu acuh tak acuh. Cincai kata sesetengah orang. Manakala ayam masak merah si pembantu rumah, biar pun yang memasaknya adalah pembantu rumah, tetapi kesungguhannya memasak menyebabkan lelaki itu lebih teruja untuk mencubanya.

Sifirnya mudah.

Tiada manusia yang suka dengan hasil kerja ala kadar, bagai melepaskan batuk di tangga. Dan sebelum kita sesama manusia lebih memilih hasil kerja yang ada nilai kesungguhan, Allah SWT itu sebagai Tuhan yang Latīf, memandang hasil kerja dan ibadah hamba-Nya yang dilakukan secara yang terbaik.

Optimum.

Itqan.

Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendak habl min al-naas sesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada hablun min Allah!

Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam.

Lupakah kita kepada firman Allah SWT:

 28_26

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.[Al-Qasas 28 : 26]

Kesempurnaan pada kelayakan seseorang yang ingin diberi tugasan adalah gabung jalin yang kemas di antara integriti dan kompetensi. Bukan sahaja mempunyai kualiti akhlaq malah memiliki kemahiran, ilmu pengetahuan dan segala kekuatan yang diperlukan untuk sebuah tugasan.

Kita tidak mahu gerakan Islam dan barisan saf perjuangan Islam dipenuhi dengan longgokan sisa manusia yang tidak berkualiti. Membiarkan pencapaian masing-masing di dalam akademik pada tahap atas urat, adalah suatu pengkhianatan kepada ketinggian dan kemuliaan Islam.

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN BUKAN SEGALANYA

Setuju.

Saya setuju 100%.

Sebab itu saya tidak pernah mengajak kita mengukur kecemerlangan hanya berpandukan keputusan peperiksaan. Ada banyak faktor yang mempengaruhi keputusan peperiksaan, biar pun selalunya ia berpihak kepada yang tekun berusaha.

Kecemerlangan yang diperlukan ialah pada komitmen pelajar yang da’ie, menempuh proses pembelajaran, dan bukan hanya berorientasikan output. Maksud saya, sama ada seorang pelajar itu hadir ke kelas, mengikuti kuliah, membuat kajian, menulis assignment… itulah sebenar-benarnya penentu kecemerlangan. Segala proses itu penting kerana ia merupakan latihan sebenar kepada pemikiran dan daya ilmiah seorang pelajar. Di dalam kelaslah dia belajar berfikiran kritis, belajar bertemu dengan pandangan-pandangan yang berbeza, belajar bersoal jawab, belajar bertanya dan belajar menjawab… iaitu segala-galanya yang di kemudian hari menjadi asas terpenting untuk memimpin dan menerajui masyarakat.

Dan sudah semestinya, jika kelas dihadiri, kajian dibuat, menulis assignment diselesaikan, ia akan menghasilkan natijah yang bagus di akhir musim peperiksaan, Insha-Allah.

Tetapi kalau kita berhasil menjawab keputusan peperiksaan hanya kerana ‘bernasib baik’ apabila soalan dihafal secara last minute, tetapi tidak ke kelas, tidak mengikuti PROSES pembelajaran, maka segala-galanya tidak ke mana. Lantas segenggam ijazah pun belum tentu ada nilainya!

Pendakwah yang mengkhianati proses pembelajaran semasa di alam menara gading, mereka amat berpotensi untuk masuk ke masyarakat dengan kualiti kepimpinan yang lemah… ekoran pemikiran tumpul yang tidak diasah semasa di alam belajar!

Lebih membimbangkan, kelemahan penguasaan ilmu, dan upaya pemikiran kritis yang rendah, boleh menjadikan seorang penceramah bebas itu seorang Ruwaybidhah, sang safih yang dungu dan tidak malu mempamerkan kedunguannya dalam mengatur urusan ramai.

AKIBAT LEMAH AKADEMIK

Kadang-kadang kita menganggap akademik hanya sebagai wasilah. Sekadar tiket untuk memenangi kepercayaan masyarakat. Seumpama lesen.

Tetapi kita sering lupa, lemahnya penguasaan diri terhadap ilmu-ilmu di kelas akan memberikan implikasi yang buruk di masa hadapan… bukan hanya semasa alam pekerjaan bahkan boleh melarat hingga ke Akhirat.

Syariatullah…

Pelajar pengajian Islam yang tidak menguasai pengajiannya akibat lemah tahap pembelajaran akan terdedah kepada jenayah di masa depan.

“Ustaz, apa hukumnya zakat tabungan KWSP?” tanya seorang jemaah di surau.

“Alamak… itulah benda yang pensyarah bincangkan tapi aku tak pergi kelas masa tu!” rungut si ustaz di dalam hatinya.

“Err… saya rasa tak payah kot!” jawab si ustaz ala-ala mujtahid.

Tidakkah perbuatan itu suatu pengkhianatan? Memberikan panduan muamalat yang salah kepada masyarakat, mengingkari Syariat Allah SWT lantaran kecuaian dirinya sendiri semasa di alam pembelajaran. Semasa belajar sudah biasa tidak buat homework, bila berceramah pun tidak buat homework.

Itu jenayah terhadap Syariatullah.

Sunnatullah…

“Err, pesakit diabetik ini nak suntik 1 unit atau 10 unit atau 100 unit insulin ya?”seorang doktor muda berteka-teki di dalam dirinya.

Akibat kemalasannya terhadap kelas pengajian, atau belajar secara ala kadar, beliau menyuntik pesakitnya dengan 100 unit insulin sedangkan peraturan tubuh badan yang ditentukan Allah SWT hanyalah pada kadar 6 ke 10 unit.

Pesakit mati mengejut akibat hipoglesimik.

Berdosa atau tidak? Jenayah atau tidak?

Dosa terbit bukan hanya kerana melanggar hukum Syariat tetapi juga hukum Sains. Seorang ustaz yang tidak berkompetensi, sama sahaja dengan seorang doktor, jurutera, atau apa sahaja pekerjaan profesional yang tidak berkompetensi.

Mencetus mudarat..

Maka ala kadar dalam menguasai bidang pengajian masing-masing bukan sekadar masalah sikap yang biasa. Ia mampu membunuh!

Ke mana anda mahu membawa dakwah jika duduk di tengah masyarakat sebagai ustaz yang tiada amanah ilmiah atau doktor yang tiada amanah yang sama?

ALLAH MESTI TOLONG

Akhirnya sampai kita kepada alasan paling biasa.

Kita manusia biasa, tetapi sering mengharapkan benda-benda yang luar biasa.

“Kalau kita tolong agama Allah, mesti Allah akan tolong kita!” yakin benar seorang aktivis dakwah kampus berkata begitu.

Cuba perhatikan firman Allah SWT:

 وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]

Allah SWT berjanji akan membantu.

Tetapi syarat asasnya adalah TAQWA.

TAQWA itu adalah kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT… meliputi Syariatullah dan Sunnatullah. Ia telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar semasa memperkatakan tentang kualiti Muslim yang mesti bukan sahaja SYARIATIK (komited dengan Syariatullah) malah SAINTIFIK (komited dengan Sunnatullah).

Jika kita baca sejarah perjuangan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam, baginda tidak pernah mengambil jalan mudah memperalatkan statusnya sebagai seorang Rasul dan pejuang kebenaran untuk melengah-lengahkan persediaan. Tidak pernah baginda berkata “kalau Allah yang perintahkan aku berjuang, mesti Allah akan tolong menangkan aku!”

Tidak sama sekali.

Biar pun sehimpun janji dikurniakan Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan, Baginda sallallahu alayhi wa sallam sentiasa mengambil asbab kemenangan secara optimum.

Jika dianalisa peristiwa Hijrah, Baginda sallallahu alayhi wa sallam telah mengatur sehebat-hebat strategi dan persiapakan untuk menjayakannya. Begitu juga dalam perang-perang yang lain. Strategi yang pada hari ini layak digelar sebagai SAINS KETENTERAAN.

Termasuk juga dalam soal pentadbiran, pengurusan dan kerja seharian. Baginda sallallahu alayhi wa sallam tidak pernah memalaskan diri dalam ikhtiar dan usaha hanya kerana keyakinan bahawa “Allah bersama kita!”.

Tetapi aktivis dakwah hari ini ramai yang mudah tersasar.

Mereka tanpa segan silu dan malu, merengek-rengek meminta kemenangan sedangkan ikhtiarnya tidak seberapa. Hanya kerana Allah menjanjikan kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan kebenaran, mereka melengahkan usaha, tidak seperti orang tidak berTuhan yang tiada janji kemenangan! Pejuang kebatilan melakukan sepenuh daya upaya mereka untuk perjuangan mereka… kesungguhan yang sepatutnya menjadi isi dan kulit manusia berTuhan seperti kita.

BERLATIH MENGURUSKAN REALITI

busyman

Sesungguhnya aktivis dakwah di kampus yang gagal menguruskan pengajian di samping tugasan dakwah… mungkin bakal menjadi aktivis yang turut gagal apabila keluar dari kampus.

Tahun 2 pengajian jauh lebih sibuk dari tahun 1.

Tahun akhir jauh lebih sibuk dari tahun-tahun yang sebelumnya.

Bekerja sebelum pengesahan jawatan jauh lebih sibuk dari tahun akhir pengajian.

Bekerja selepas pengesahan jawatan akan disibukkan pula dengan alam berumahtangga. Dari satu emak satu bapa, menjadi dua emak dua bapa. Dari satu kelompok sepupu menjadi dua kelompok sepupu. Dari 5 jemputan kenduri semasa cuti bertambah menjadi 10… semua itu akan berterusan.

Tatkala komitmen semakin reda, jantung pula sudah lemah, darah sudah bertekanan tinggi, urat dan sendi sudah tidak sihat lagi.

TAMRIN DISIPLIN

Sesungguhnya keupayaan seorang pelajar menguruskan akademiknya adalah TAMRIN yang paling penting untuk menghasilkan kualiti pengurusan realiti yang diperlukan apabila pelajar ini meninggalkan alam pengajian.

TAMRIN itu adalah TAMRIN DISIPLIN.

Latihan mendisiplinkan diri iaitu berusaha untuk mengawal diri agar komited melakukan perkara yang kita tidak suka, demi meraih apa yang kita suka, suatu hari nanti. Di samping beroleh keseronokan sebagai momentum di dalam dakwah, jangan lupa bahawa ada perkara tidak seronok yang perlu kita pelihara sebaiknya.

 2_216

“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [Al-Baqarah 2: 216]

Mungkin di alam TAMRIN akademik, bilik kuliah adalah medan perang yang kamu benci… padahal ia ditentukan Allah sebagai KEBAIKAN buat dirimu.

Berdisiplinlah!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Menghina si Anak Muda Kerana Mudanya Mereka

Semasa kita mahu guna anak muda, kita puji mereka sebagai ‘masa hadapan kita’. Kita buka …

15 comments

  1. Terimakasih ustaz hasrizal

  2. Alhamdulillah, terima kasih Ustaz kongsinya.

  3. Kamarul Tasmania

    Artikel yang sangat mantap. syukran atas artikel hebat ni ustaz.. menyentak kader2 dakwah (buat sesiapa yang sudi disentak) 🙂

  4. Assalamualaikum ustaz…

    Suatu pencerahan yg sma baik…cumanya ana nk kongsikan bhw education system yg wujud pada hari ini tidak begitu efisien dek kerana kebanyakannya berniat hendak melekakan pljr drpd hakikat sebenar kehidupan..cnthnya perkara yg sebenarnya mudah sengaja dirumitkn dn memaksa sesetengah dr pljr utk meluangkan masa yg amat lama walhal the essence of knowledge yg cuba disampai sudah tercapai.saya tidak nafikan hanya sesetengah bidang ilmu yg bersifat sebegini..harus juga kita ingat bahawa hakikat pendidikan hari ini tidaklah bersifat atau bermatlamatkn ilmu akn tetapi untuk memenuhi keperluan industri. My 2 cents is that…lets us think out of the box and keeping an oustanding mentality instead of just following apa yg ada. Andai para sahabat di era mekah disuruh untuk jd plg pandai dlm sastera nescaya terbantutlh prrjuangan. The point is analyse..analyse…n…analyse…where we are…what we need to do and then realize with action…dare to be different….that what it take to be the best…like our sifu us hasrizal..:)

  5. Mohd Azri Ali

    Assalamualaikum, ustaz…

    Pencerahan yang amat baik dibaca, hakikatnya saya merindui tulisan ustaz .Lama sudah buku baru uztaz tidak keluar. Bila ye…lebih-lebih lagi gabungan tema agama dan sejarah. Tahniah ustaz…

  6. Assalamualaikum ustaz,

    Terima kasih banyak-banyak sebab sudi berkongsi ilmu dengan kami.

    Setiap kali bila saya baca artikel ustaz yang bertemakan behaviour masyarakat, yang disertakan nasihat dan panduan cara hidup yang betul menurut Islam, yang mana memang topik kegemaran saya, Insyaallah saya akan berusaha untuk ikut sebab rasanya tak guna kalau tahu tapi tak buat kan. Dan juga sebagai usaha untuk menjadi muslim yang lebih baik.

    Cumanya saya mohon bertanya pendapat ustaz. Daripada pengalaman saya, ataupun lebih jujurnya ia menjadi eksperimen terhadap diri saya sendiri, saya perasan, untuk menukar daripada cara hidup yang biasa kepada mengikut panduan tersebut, prosesnya seperti mula-mula adalah kesedaran, lepas tu I set my mind, kemudian cuba perlahan-lahan untuk aplikasi dalam hidup, kemudian ia berjaya menjadi habit dan seterusnya membentuk sikap.

    Masalahnya, kesedaran ni tak dapat bertahan lama. Proses itu tak sampai ke hujung. Perangai yang lama datang balik and take over myself again. Pada pendapat ustaz, kenapa jadi begini? Adakah kerana cara berfikir dan sikap lain-lain dalam diri yang tidak mampu untuk membantu dan menyokong perubahan ini? Ataupun kata orang tak kuat iman? Jadi apakah proses yang betul untuk berubah?

    Sepertinya bila kita nak berubah, tak cukup kalau sekadar determination tanpa disertai ilmu, cara memandang yang betul, kemahiran berfikir, dan juga kemahiran untuk mengatasi keraguan yang datang. Adakah sahabat Rasulullah dahulu, apabila baginda menunjukkan cara hidup yang baru, mereka menerimanya tanpa banyak soal? Maafkan saya yang bertanya soalan sebegini, ia bukanlah keraguan terhadap Rasulullah cuma saya mahu lebih memahami. Dan maafkan saya kerana soalan dan bahasa saya tidak kemas. I’m bad at words.

    Terima kasih sekali lagi kepada ustaz yang tidak jemu memberi. Saya menerima banyak manfaat dan ilmu daripada blog ustaz. Thank you so very much.

  7. betul tu ustaz… terima kasih. byk benda yg myedarkan saya….

  8. Kpd nurain, carilah usrah. Insyaallah persoalan terjawab.

  9. Assalamualaikum ustaz dan rakaan-rakan yang lain..

    Saya BERSETUJU dengan ustaz dengan cuba untuk memberi beberapa fakta kes berdasarkan pemerhatian saya di tempat saya belajar. (Kuliah perubatan di Mesir)

    1. Mereka yang terlibat dengan aktiviti dakwah di kampus sememangnya orang cerdas dan tangkas dalam menyelesaikan tugas persatuan.
    Jika ada isu atau elemen yang perlu diketengahkan pada komuniti mad’u mereka, maka semua aktivis ini kadangkala bermesyuarat sampai ke subuh untuk memastikan hadaf (objektif) dan elemen (mesej) mereka tercapai.

    Idea demi idea yang bernas dilontarkan walau otak sudah keletihan tengah malam.
    Perincian demi perincian dibincangkan untuk memastikan kelangsungan program yang bersifat mega.
    Berdebat serta ‘bertikam lidah’ dengan konsep mesyuarat Islami semuanya untuk kemaslahatan terbaik buat mad’u komuniti setempat.

    Maka berdasarkan pemerhatian ini, sekiranya benar mereka mampu adaptasi kecerdasan dan ketangkasan berfikir dalam rentak atau momentum yang sama di dewan kuliah, tentu sekali, sebagaimana mereka terkenal dengan kehebatan di medan dakwah mereka, begitu hebat jugalah mereka di medan akademik.

    2. MASALAH yang timbul adalah sewaktu mereka berusaha keras menyelesaikan tugasan persatuan diluar waktu kuliah, kebanyakannya tidak mampu mengurus dengan baik “tenaga” atau “stamina” yang berbaki untuk hari tersebut.
    Akibatnya, apabila menjelang keesokan harinya, lesu dan mandum sepanjang keberadaan mereka di dewan kuliah. *Malah ada yang tidak hadirkan diri.. dan menggunakan alasan “perjuangan” *
    Dan kitaran ini berulang di hari-hari berikutnya untuk minggu tersebut dan kitaran ini semakin melesukan.
    Dipanggil sebagai “vicious cycle”.

    Kesan dari fenomena ini pula memberi imej yang buruk kepada mad’u yang melihat sifat mereka kontradik di dewan kuliah dan di pentas masyarakat.
    Akhir sekali mad’u terlepas dari genggaman dan akademik juga tertinggal.

    3. CADANGAN RESOLUSI.
    Sepertimana pelajar lain cuba untuk memastikan mereka segar sepanjang hari di dewan kuliah dengan cara mengatur ‘stamina’ dengan baik. (Waktu rehat, waktu makan, waktu fokus dan lain-lain)
    Begitu juga, aktivis dakwah persatuan.. Membutuhkan untuk pengurusan ‘stamina’ sama hebat atau lebih hebat lagi dari kehebatan pengurusan persatuan mereka.
    Malah, mereka ini sepatutnya dari awal lagi perlu sudah membuat peruntukan khusus bagaimana memastikan ‘energy reserve’ itu sampai sehingga ke penghujung hari tanpa merosakkan kepunyaan hari esok.

    Kehebatan mereka di medan dakwah menjadikan mereka memperoleh (acquire) ‘soft skill’ yang hebat.
    Jika di dewan kuliah mereka mampu menggunakan kelebihan tersebut untuk menarik perhatian para pensyarah dan rakan sekuliah kemudian menyelesaikan tugasan akademik dengan baik.
    Golongan mana yang tidak menyenangi mereka yang sehebat ini.
    Dan saya kira, tugasan mereka di medan dakwah sememangnya mampu dipermudahkan dengan faktor ini.

    Semoga mereka (baca: kami) drastik dalam membuat perubahan ini seperti drastiknya mereka meletakkan harapan terhadap segenap perubahan yang dilakukan.. moga mereka thabat.
    ___________
    Pena ‘timur’
    Mansurah.
    Ahli biasa PERUBATAN.
    Tahun akhir.

  10. Syarifah Nurjannah

    Syukran ustaz. Banyak manfaat yang diraih dari entri ini insyaAllah. 🙂

  11. Muhammad Asyraf Albakri

    So true.

    Dan aktivis dakwah kampus hari ini perlu maju lebih setapak kehadapan.
    Menjadi kebimbangan yang besar sekiranya aktivis dakwah yang ada tidak berkualiti dan tidak melatih diri dari sekarang kerana mungkin kita pula yang akan menjadi ‘liabiliti’ pada masa hadapan.

    Sy pernah juga rasa ‘addict’ dengan gerak kerja persatuan dan dakwah yang kadang-kadangnya menyebabkan kita terkeluar dari ‘trek’ asal kita tanpa disedari. Fasa ‘study week’ yang tak seberapa itulah yang mengetuk minda kita utk berfikir dan yang selalu mengingatkan semula yang exam dah nak dekat, bila nak revise? sedangkan niat kita mengambil peperiksaan bukan kerana hendak lulus peperiksaan semata-mata.

    Dai’e perlu mahir dalam pengurusan.
    sy merasakan item ‘check and balance’ perlu ada dalam setiap individu yg berada dalam golongan ini.
    kita perlu ‘check and balance’ bukan hanya di peringkat organisani atau dalam mesyuarat agung tahunan persatuan sahaja. tetapi perlu utk buat muhasabah dan check & balance ini sekerap mungkin supaya kita tak hilang fokus seperti mana MH 730 tiba-tibanya hilang. Eh.

    terima ksh us.
    saya baca banyak kali post ni. 🙂

    aktivis dakwah perlu lebih bersemangat.
    jom bermujahadah dengah akademik!
    ini juga wasilah kita.

  12. ALHAMDULILLAH..syukran Allah pertemukan saya dengan penulisan ustaz dan komen dari sahabat-sahabat semua…Saya baru sedar selama ni saya tidak bersungguh-sungguh…kadang-kadang sebut “dah buat betul-betul dah..”dengan bersungguh lagi” tapi kenapa result macam ni..JUST SAY IT BUT I DON’T FEEL THAT!

    Doakan saya terus melangkah kerana sebelum ini gagal melaksanakan sebagai hamba yang bertakwa..Baru saya tahu dan faham the meaning of TAQWA..Allahu rabb..ALHAMDULILLAH…

  13. jazak Allahu khaira!

    _biomedical engineering student

  14. The sudden popularity in mobile phones has becomes more convenient for the
    game’s store. There are wide variety, and it’s still well worth to obtain this moga, then you’ll walk there.
    When you do on your iron force hack phone.
    Below are tips how to earn real money types of birds will then be viewed
    in the market. There are a healthy life of every genre of game you are developing,
    now you can, find errors such as PC games. Harry Potter, Ron, and have tried several graphic options.

Leave a Reply to fatinhanini Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share