Quranist: Antara Isu Fakta dan Isu Metode

ustazrozaimi

Ustaz Muhamad Rozaimi Ramle, seorang ilmuwan muda yang sedang menyempurnakan pengajian di peringkat PhD beliau di University of Jordan, berkongsi pandangan tentang pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh Encik Farouk A Peru di dalam artikelnya baru-baru ini. Saya mengambil manfaat yang banyak daripada perincian yang beliau kemukakan dalam artikel berkenaan. Membaca pandangan Ustaz Rozaimi yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ia menimbulkan persoalan pada diri saya.

Sebegitu banyak fakta yang tidak konsisten dalam penghujahan Farouk A Peru, adakah masalah sebenarnya adalah salah fakta, atau salah metode? Seandainya masalah sebenar adalah pada metode, maka mungkin selepas keterangan demi keterangan dikemukakan seperti yang diusahakan oleh Ustaz Rozaimi ini, masih banyak lagi kesalahan fakta Quranist yang menyusul.

Jawapan balas Ustaz Muhamad Rozaimi berkenaan hujah Encik Farouk bahawa Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu membakar koleksi hadith beliau, mengingatkan saya kepada herotan (distortion) hujah Ignaz Goldziher tentang Ghiyath bin Ibrahim bin Talq bin Muawiyah al-Nakha’i.

Ilmuwan Islam mengemukakan kisah Ghiyath bin Ibrahim mencipta hadith palsu tentang ‘sunnah’ berlaga burung merpati untuk mengambil hati Khalifah Muhammad bin Mansur al-Mahdi (meninggal 785M), sebagai contoh bagaimana ada manusia yang berani mencipta hadith palsu. Tetapi Goldziher telah menggunakan kisah ini sebagai hujahnya untuk membuktikan bahawa para ulama Islamlah yang memalsukan hadith! (Goldziher, Muslim Studies, pp 74-75)

pisang

kredit foto: www.utusan.com.my

Seumpama, kita mengemukakan setandan pisang kepada Ignaz Goldziher, kemudian kita tunjukkan pada setandan pisang itu sebiji pisang yang busuk sebagai contoh bagaimana rupa pisang yang busuk. Tetapi Goldziher telah membuat kesimpulan bahawa pisang adalah buah yang busuk!

Oleh kerana itulah, di peringkat pemahaman ini, saya berpendapat perbahasan dengan golongan ‘anti hadith’ atau Quranist ini, mestilah banyak memberi perhatian kepada menganalisa dan mengkritik metode, berbanding fakta. Metode yang tidak konsisten boleh menjadikan satu idea itu ‘pseudo’, tidak boleh berdiri sebagai satu sains yang empirikal.

Berikut adalah komentar penuh Ustaz Rozaimi tentang hujah-hujah Encik Farouk A Peru:

Jawapan Kepada Kekeliruan Sebahagian Quranism
Jawapan Kepada Pandangan Farouk A Peru

Saya telah membaca artikel balas yang ditulis oleh Farouk A Peru sebagai menjawab ustaz Hasrizal dalam artikelnya. Tetapi saya beranggapan bahawa artikel yang ditulis oleh Farouk A Peru ini perlu dinilai semula. Berikut adalah kritikan saya kepada Farouk A Peru dalam artikel beliau:

Kata Farouk A Peru:

Khalifah-khalifah Ar-Rashideen sendiri, Abu Bakr dan Umar Al-Khattab membakar koleksi hadis. Umar menyuarakan pendapat yang hadis-hadis dapat melekakan umat Islam dari mengkaji kitab Allah. Dia menyatakan prinsip “hasbuna kitab Allah” (cukup bagi kami kitab Allah).

Saya jawab:

  1. Saya tidak berjumpa riwayat Umar membakar kitab hadis. Jika ada saya minta jasa baik saudara Farouk untuk nyatakan sumbernya.
  2. Berkaitan isu Abu Bakar membakar kitab hadisnya saya jawab seperti berikut:
    1. Jika saudara Farouk menyatakan riwayat ini untuk berhujah bahawa hadis bukan sumber rujukan dalam perundangan Islam maka saya menjadi keliru. Bukankah anda sendiri tidak mengiktiraf riwayat hadis, bagaimana mungkin anda mengiktiraf kisah yang diriwayatkan oleh ulama hadis dengan salasilah perawi-perawi hadis?
    2. Jika beliau nyatakan riwayat ini semata-mata mahu membuktikan hadis bukan hujah menggunakan dalil yang diterima oleh pihak yang menerima hadis, ia juga tersasar jauh. Ini kerana riwayat ini tidak sahih dari segi sanadnya. Saya bawakan riwayatnya supaya kita sama-sama semak:

قال الحاكم: فقال حدثني بكر بن محمد الصيرفي بمرو أنا محمد بن موسى البربري أنا المفضل بن غسان أنا علي بن صالح أنا موسى بن عبد الله بن حسن بن حسن عن إبراهيم بن عمر بن عبيد الله التيمي حدثني القاسم بن محمد قالت عائشة: “جمع أبي الحديث عن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – وكانت خمسمائة حديث فبات ليلته يتقلب كثيرا، قالت: فغمني، فقلت: أتتقلب لشكوى أو لشيء بلغك فلما أصبح قال: أي بنية هلمي الأحاديث التي عندك فجئته بها فدعا بنار فحرقها، فقلت: لم أحرقتها؟، قال: خشيت أن أموت وهي عندي فيكون فيها أحاديث عن رجل قد ائتمنته ووثقت ولم يكن كما حدثني فأكون قد نقلت ذاك».

 Maksudnya:

Kata Aisyah: Ayahku mengumpulkan hadis-hadis Nabi sallallah alaih wasallam. Bilangannya 500 hadis. Suatu malam beliau berpusing-pusing di tempat tidurnya sehingga dia merisaukan saya. Tanya saya kepadanya: Adakah ayah tidak lena kerana ada aduan (kes-kes mahkamah) atau sesuatu (pertanyaan tentang hukum) yang sampai kepadamu? Apabila sampai waktu pagi beliau berkata: Wahai anakku, bawakan hadis-hadis yang berada padamu. Lalu saya bawakan. Kemudian beliau minta api lantas membakarnya seraya berkata: Saya bimbang saya mati sedangkan hadis-hadis ini ada di sisi saya dalam keadaan hadis riwayat seorang lelaki yang saya percaya dan benarkan ia sedangkan hadis itu sebenarnya bukan seperti mana yang lelaki itu ceritakan kepadaku (lelaki itu tersilap dalam riwayat) dan aku terlibat dalam meriwayatkannya (hadis salah).

 Ini komentar saya terhadap riwayat ini:

  •  Riwayat ini tidak sahih kerana wujud perawi bernama Musa bin Abdullah bin Hasan bin Hasan. Beliau dikategorikan sebagai perawi daif. Begitu juga ada perawi yang bernama Ali bin Soleh. Beliau adalah perawi yang tidak dikenali. Bagaimana saudara Farouk boleh menggunakan riwayat daif untuk menolak riwayat sahih seperti sahih Bukhari? Ini amat pelik.
  • Jika kita beranggapan bahawa riwayat ini sahih sekalipun ia tidak menyokong dakwaan saudara Farouk. Ini kerana dalam riwayat itu jelas menunjukkan bahawa sebab Abu Bakar membakar kitabnya adalah kerana beliau bimbang hadisnya itu daif disebabkan hafalan perawinya yang lemah. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa jika hadis itu sahih Abu Bakar sendiri akan berhujah dengannya.
  • Bahkan dalam riwayat itu sendiri menunjukkan Abu Bakar bukan Quranism iaitu beliau mengumpulkan hadis-hadis Nabi. Untuk apa mengumpulkan hadis-hadis jika tidak mahu berhujah dengannya?
  • Saya perhatikan saudara Farouk agak bersikap selektif apabila membawakan dalil. Beliau seolah-olah membawakan riwayat yang zahirnya menyokong dakwaannya. Metodologi yang betul dalam kajian ialah kita mengumpulkan semua dalil yang ada dalam satu-satu bab kemudian membuat rumusan. Adalah tidak adil untuk menilai pendirian Abu Bakar dan Umar terhadap hadis dengan melihat satu atau dua riwayat dan melupakan riwayat yang lain. Tidakkah beliau tahu bahawa Abu Bakar menerima pakai hadis Nabi tentang kadar pusaka nenek? Tidakkah beliau tahu bahawa Umar menerima pakai hadis Nabi tentang hukuman qisas? Umar juga menerima hadis riwayat Abdul Rahman bin Auf dalam isu taun. Bagaimana mungkin beliau terlepas pandang perkara ini?
  • Umar memang pernah berkata: “Cukuplah bagi kita kitab Allah”. Tetapi ini bukan bermakna kita perlu meninggalkan hadis. Bahkan saya telah jelaskan dalam poin sebelum ini bahawa Umar menerima pakai hadis-hadis Nabi. Sebenarnya pegangan dengan al-Quran lah menyebabkan kita menerima hadis. Buktinya:

{وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْراً أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ}

Maksudnya: Tidak sepatutnya bagi seorang mukmin lelaki dan wanita apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu (hukuman) lalu mereka ada pilihan lain lagi dalam urusan mereka. [al-Ahzab: 36]

  • Saya memahami hukuman Allah di dalam al-Quran. Justeru, di mana pula hukuman Nabi jika bukan di dalam hadis? Jika anda kata hukuman Nabi juga di dalam al-Quran bukan hadis, saya berhak untuk bertanya jika ia sama mengapa Allah dan rasul diulang dalam satu ayat dalam bentuk al-‘Atf (العطف) dan kaedah menyatakan al-‘Atf menunjukkan perbezaan? Ayat ini menunjukkan kehujahan hadis.

Al-Quran juga menyatakan:

{فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجاً مِمَّا

قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيماً}

Maksudnya: Demi Tuhanmu, mereka tidak akan beriman sehingga mereka menjadikanmu pemutus dalam perselisihan mereka kemudian mereka tidak merasa bebanan terhadap keputusanmu dan mereka benar-benar menerimanya. [al-Nisa’: 65]

 Ayat di atas mewajibkan kita menerima hukuman Nabi. Saya katakan tidak ada cara lain untuk mengetahui hukuman Nabi kecuali jalan riwayat. Inila hadis. Justeru, saya benar-benar ragu adakah benar saudara Farouk mengikut petunjuk al-Quran.

Kata Farouk A Peru:

Bukan saja itu, tapi monarki pertama Islam iaitu Khalifah Umayyah juga tidak merasmikan sebarang kitab hadis yang menjadi sumber perundangan mereka. Alangkah anehnya yang pada masa umat Islam telah mempunyai empayar yang luas, hadis belum lagi dirasmikan sebagai kitab?

Saya jawab:

  1. Jika yang dimaksudkan saudara Farouk dengan terma “merasmikan sebarang kitab hadis” sebagai tiada langsung penulisan hadis maka beliau tersilap. Ini kerana di zaman sahabat lagi, penulisan hadis telah dimulakan. Abdullah bin Amr bin al-As dan Ali bin Abi Talib telah menulis hadis.
  2. Jika terma ini dimaksudkan dengan pengumpulan rasmi sebuah Negara saya jawab seperti berikut:
  • Saya tidak pernah melihat dalil dalam agama ini bahawa setiap yang tidak bertulis tidak menjadi hujah. Sebaliknya yang menjadi asas ialah sifat benar perawi dan kekuatan ingatannya yang sepatutnya dilihat untuk memastikan kandungan riwayat terpelihara. Apa guna bahan bertulis jika yang menulis itu kaki bohong? Akhirnya kita akan kembali melihat kredibiliti orang yang menulis juga.
  • Kerajaan Bani Umayyah mengarahkan hadis-hadis dikumpulkan secara rasmi apabila ramai manusia sudah mula pandai menulis dan kurang menggunakan hafalan. Ini berbeza dengan zaman sebelumnya di mana ramai rakyat yang buta huruf dan bahan penulisan juga sukar untuk diperolehi. Sudah menjadi tabiat manusia apabila mereka tiada kemudahan mereka akan menggunakana keupayaan mereka semaksima mungkin. Bayangkan dahulu kita mampu hafal nombor-nombor telefon jiran sebelum wujudnya telefon bimbit walaupun nombor itu hampir sama. Tapi selepas wujudnya teknologi “phone book” dalam telefon bimbit nombor telefon sendiri pun kadang-kadang kita belum tentu hafal. Begitulah juga dengan hadis, ia diriwayatkan secara mulut ke mulut kerana ingatan perawi yang hebat.
  • Kata beliau: Hanya selepas zaman Ash-Shafiee (imam ulung mazhab Shafiee) yang hadis menjadi “mata wang” perundangan (legal currency) .
  • Apa yang saya fahami dari teks Farouk A Peru ialah beliau cuba untuk nyatakan bahawa hadis menjadi hujah selepas zaman Imam Syafie. Saya katakan:
    • Adakah Farouk A Peru tidak mengetahui bahawa sebelum zaman Imam Syafie ramai ulama hadis telah menulis kitab-kitab hadis untuk menjadikan hadis sebagai rujukan hukum? Ma’mar bin Rasyid telah menulis kitab Jami’nya, Abdul Razak al-Son’ani telah menulis al-Musannafnya, Malik bin Anas telah menulis Muwatta’nya. Adakah Farouk A Peru tidak tahu bahawa semua kitab-kitab ini mengumpulkan hadis-hadis dalam bab hukum?
    • Saya tidak pasti samada Farouk A Peru pernah membaca kitab al-Risalah Imam Syafie atau tidak. Ini kerana jika beliau membacanya dengan teliti sudah pasti beliau tidak mendakwa seperti apa yang beliau dakwa sekarang. Imam Syafie di beberapa tempat dalam al-Risalah menukilkan pandangan ulama hadis sebelum beliau. Ini bermakna beliau bukanlah orang pertama yang mereka-cipta sains hadis. Beliau hanya menyusun semula ilmu hadis yang sebelum zaman beliau tersimpan dalam dada ilmuwan hadis. Lihat perbahasan al-Syafie dalam bab khabar al-Ahad. Beliau menukilkan pandangan ulama hadis sebelum beliau.

 Kata Farouk A Peru lagi:

Umpamanya Ibn Kathir dan At-Tabari, mereka mempunyai latar belakang yang berlainan. Ibn Kathir dibesarkan oleh kaum wanita walhal Tabari tidak berjumpa sangat dengan wanita. Ini telah menjadi faktor pembezaan dalam tafsir mereka.

Ibn Kathir lebih menekankan perhubungan yang memberi persamaan antara lelaki dan waniya (mengikut AQ 30/21) tapi Tabari lebih menekankan pengawalan ke atas pakaian dan tindak-tanduk wanita (fahamannya daripada AQ 24/31).

Ibn Taimiyah lagi radikal pula – beliau menekankan pengurungan wanita (fahamannya terhadap AQ 33/33) kerana pada zamannya berlaku penaklukan kuasa oleh pihak Mongol dan keselamatan wanita diancam.

Begitulah lumrahnya – tiap-tiap pentafsir akan mencerminkan situasi mereka masing-masing jadi kenapa kita perlu terikat kepada tafsir mereka sahaja sedangkan Allah memberi akal kepada semua orang?

Saya jawab seperti berikut:

  1. Saya begitu gusar dengan kenyataan di atas. Ini kerana saudara Farouk A Peru seolah-olah tidak boleh membezakan antara perkara ijtihad dan nas. Adakah perlu ditonjolkan perbezaan ijtihad untuk menolak hadis-hadis sedangkan hadis (pada kepercayaan kaum Muslimin) adalah nas? Jika benar perbezaan ini menyebabkan penolakan sesuatu, adakah perlu ditolak juga al-Quran kerana wujudnya versi tafsir yang berbeza-beza mengikut zaman?
  2. Tiada siapa yang terikat dengan pandangan pentafsir-pentafsir silam dalam perkara ijtihad. Lihat Tafsir al-Manar karya Rasyid Ridha. Berapa banyak ijtihad baru beliau ketika mentafsir ayat al-Quran. Yang diperjuangkan oleh kami bukanlah kewajipan berpegang dengan ijtihad ulama silam. Tetapi disiplin ketika mentafsir al-Quran seperti penguasaan bahasa arab dari sudut nahu, saraf, balaghah dan sebagainya.

Kata Farouk A Peru:

Sama juga seperti Al-Bukhari, pengumpul hadis tersohor. Beliau merakamkan beberapa hadis yang yang memperlekehkan iman dan akal wanita.

Wanita dikatakan adalah kebanyakan daripada penghuni neraka. Akal wanita cetek kerana dua saksi wanita diperlukan walhal hanya satu lelaki mengikut tafsiran Al-Quran mereka (2/282) dan agama mereka suntuk kerana tak dibolehkan sembahyang semasa datang haidh.

Saya jawab seperti berikut:

  1. Kesilapan besar saudara Farouk A Peru apabila tidak memahami hadis dengan pemahaman yang benar lalu menolak keseluruhan hadis. Jika benar hadis ini yang menjadi kemusykilan saudara Farouk kenapa keseluruhan hadis perlu dibuang? Bukankah cukup hanya sekadar tidak menerima hadis ini sahaja?
  2. Sebenarnya hadis yang menjadi kemusykilan saudara Farouk telah pun dijawab oleh ilmuwan hadis. Hadis-hadis Nabi sallallah alaih wasallam perlu dibaca secara keseluruhan supaya kita mendapat gambaran penuh sesuatu isu. Tidakkah saudara Farouk A Peru pernah dengar hadis yang menceritakan bahawa di akhir zaman bilangan wanita akan bertambah terlalu ramai melebihi kaum lelaki? Jika bilangan mereka ramai sudah pasti kita tidak akan pelik jika wanita lebih ramai di neraka kerana bilangan keseluruhan mereka ramai. Bukankah seorang lelaki boleh menikah lebih dari seorang isteri? Maka tidak hairan jika ramai isteri dalam neraka. Satu persoalan yang ingin saya tekankan ialah saya tidak nampak pula dalam hadis tersebut yang mengatakan bilangan perempuan berkurang dalam syurga. Jika ada sila nyatakan kepada saya. Saya gambarkan dalam sebuah kelas yang bilangan wanitanya 50 orang manakala lelaki seorang (ikut nisbah bilangan di akhir zaman seperti dalam hadis Bukhari). Apabila separuh daripada wanita gagal dalam peperiksaan (25 orang) dan satu-satunya pelajar lelaki lulus sudah pasti bilangan wanita yang gagal ramai tetapi tidak bermakna yang lulus berkurang dari lelaki kerana bilangan mereka 25 orang dan lelaki seorang.
  3. Berkaitan dengan bilangan saksi pula. Al-Quran sendiri menyatakan bahawa perlu 2 orang saksi wanita berbanding seorang lelaki. Adakah Farouk A Peru ingin menolak al-Quran juga? Maka saya perlu menarik gelaran Quranism daripada anda.
  4. Berkaitan dengan akal pula ia tidak bermakna wanita kurang cerdik dari lelaki. Tetapi ia berkaitan penggunaan akal. Tidakkah Farouk A Peru perhatikan bahawa wanita lebih banyak menggunakan emosi mendahului akal? Maka sifat simpati wanita melebihi lelaki secara umum. Oleh itu, seorang lagi saksi wanita diperlukan supaya mengingatkannya dalam persaksian. Hadis ini tidak bercakap tentang tahap kecerdikan tetapi ia bercakap tentang tahap penggunaan rasional antara lelaki dan wanita secara umum. Tidakkah saudara Farouk membaca hadis itu secara keseluruhan? Bukankah ada lafaz “Imraah Jazlah” dalam hadis berkenaan? Jazlah bermakna cerdik.
  5. Manakala kurang agama pula bukanlah bermakna ia pengukur kepada kesolehan seseorang. Ini kerana Nabi sallallah alaihi wasallam tidak bercerita tentang kesolehan tetapi tentang agama. Tidakkah Farouk A Peru tahu bahawa wanita tidak perlu solat, puasa ketika haid dan nifas, tidak wajib solat Jumaat dan tidak wajib berjihad? Dalam kata lain Nabi sallallah alaih wasallam bercakap tentang kuantiti amalan bukannya kualiti amalan.

Kata Farouk A Peru:

Sebaliknya, kita perlu melihat kepada sesetengah hadis yang menjulang Nabi kepada status yang seakan-akan rakan kongsi Tuhan dalam memyelamatkan manusia ke syurga. Hadis memberi Nabi kuasa syafaat yang dapat mengatasi keputusan Tuhan sendiri.

Saya jawab:

  1. Saya tidak pasti dari mana saudara Farouk dapat keputusan yang ekstrem begini. Bukankah al-Quran sendiri menceritakan bahawa syafaat tidak dibenarkan melainkan kepada sesiapa yang diredhai Allah? [Lihat Surah al-Anbiya’: 28] Ini bermakna syafaat sabit dengan redha Allah.
  2. Hadis Nabi dalam bab syafaat tidak sekali-kali mengatasi keputusan Tuhan. Ini adalah suatu dakwaan yang terburu-buru sama sekali. Bahkan hadis jelas menunjukkan bahawa syafaat Nabi diberikan oleh Allah selepas Nabi meminta izin kepada-Nya. Lihat hadis berikut:

«فيقول: “لست هناكم، ائتوا محمدا صلى الله عليه وسلم فقد غفر له ما تقدم من ذنبه وما تأخر”،

فيأتوني فأستأذن على ربي، فإذا رأيته وقعت ساجدا…»

Maksudnya: Nabi Isa berkata (ketika umat meminta syafaat daripadanya): Aku tidak berada ditempat yang kamu minta (tidak layak), sebaliknya pergilah berjumpa Muhammad sallallah alaih wasallam yang telah diampunkan dosanya yang telah lalu dan kemudian. Maka mereka pun mendatangiku dan aku MEMINTA IZIN kepada Tuhanku. Apabila aku melihat-Nya aku jatuh dalam keadaan bersujud…(Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, saya merasakan bahawa dakwaan saudara Farouk A Peru sememangnya tersasar jauh. Saya menyeru beliau kembalilah kepada jalan yang benar. Hadis adalah hujah dalam Islam.

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

itep-lecturers

Menghormati Ilmu Pendidikan Sebagai Batu Asas Sekolah

Program Islamic Teacher Education Program (ITEP) anjuran Razi Group, biar pun hanya peringkat sijil, ia …

2 comments

  1. hasbunallah wa ni’mal wakil. jazakumullahu khairan kathira. terima kasih di atas pencerahan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *