Merawat Sebuah ‘Tidak Faham’

20130401-085435.jpg

Pengalaman saya sebagai murid, apabila saya tidak faham sesuatu, saya akan perhatikan keliling saya, adakah saya seorang yang tidak faham, atau kebanyakannya tidak faham belaka. Jika saya dapati ada yang mampu memahami apa yang sedang diajar, saya akan cari jalan supaya saya boleh faham ia. Adakalanya sesuatu yang saya hendak faham itu, memerlukan saya faham banyak benda lain terlebih dahulu.

Misalnya, saya pernah belajar tentang sekularisme di dalam silibus usrah dan buku-buku karangan tokoh gerakan Islam. Tetapi apabila buku The Prince karya Niccolò Machiavelli yang ‘disembelih’ di dalam usrah itu saya baca, saya sukar memahaminya. Apabila membaca buku Islam and Secularism oleh Syed Muhammad al Naquib al-Attas, saya tidak memahaminya.

Saya tidak mengecam al-Attas mahu pun Machiavelli kerana menulis sesuatu yang saya tidak faham, jauh sekali meremehnya sebagai karya ‘syok sendiri’.

Saya menyambung pelajaran, masuk ke bidang sains sosial, belajar sejarah Eropah. Ambil tahu, asalnya bagaimanakah latar belakang sejarahnya hingga muncul buku Niccolò Machiavelli, kemudian menelusinya melalui buku yang pro dan kontra sebelum sampai kepada berusaha memahami kembali karya al-Attas. Kini saya tidaklah faham sepenuh-penuhnya, tetapi saya sudah tahu bagaimana hendak mengungkaikan apa yang saya tidak faham.

Saya peruntukkan masa beberapa tahun untuk menyelesaikan apa yang saya tidak faham, tidak tergesa-gesa tetapi tidaklah pula bersantai-santai.

Biar pun contoh yang saya kongsikan di atas berbeza-beza madah bagi setiap kita, jalannya tetap sama. Apabila kita tidak faham sesuatu, jangan kita ambil jalan mudah dengan meminta kita difahamkan di kerusi sandar.

Sebaliknya kita tanyalah diri kita mengapa kita tidak faham? Apa yang kita belum tahu hingga kita sukar hendak faham. Maka soalan yang bernas ialah, “bagaimana untuk saya memahami topik ini?” dan bukannya secara spontan segera berkata “maaf saya tidak faham. Tolong jelaskan!”

“Dunia hari ini berhadapan dengan masalah dalaman manusia lebih dari masalah luarannya” kata seorang warga Twitter.

“Maaf, saya tidak faham. Tolong explain” balas seorang lagi warga Twitter, kurang 5 saat daripada Tweet di atas dipos.

Soalan kita banyak menampakkan adakah kita sedang cari makan, atau sedang makan bersuap.

Dalam banyak keadaan, kita sering menjadi mangsa sebuah KEMALASAN.

FIKIR itu adalah ‘jurang sepi’ antara soalan dengan respon. Jika dengar soalan terus respon, tandanya tiada proses berfikir yang dijalankan.

Malas berfikir adalah dosa.

Bencana tabiat inpulsif dalam dunia semasa.

HASRIZAL @ 43000 BSP

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

11 comments

  1. Terima Kasih Ustaz atas penulisan ini, apa yang ustaz tuliskan memang kena benar dengan saya. Saya telah bertukar bidang kerja dan saya pun mengajar segala perihal kerja saya yang dahulu kepada rakan kerja yang mengambil alih kerja saya. Namun sehingga ke hari ini, dah nak masuk bulan ke enam, beliau masih mencari saya untuk menyelesaikan masalah kerjanya. Saya yang ingin memberi tumpuan kepada kerja baru saya agak terganggu dengan kehadirannya. Seolah apa saja didalam fikiran saya perlu dicurahkan sehabis mungkin kepadanya. Terfikir saya sejenak, tidak bolehkah beliau sendiri fikir sendiri cara untuk selesaikan kerjanya, kepada asyik saya yang dirujuknya, sebaiknya rujuklah pada bos nya. Geram saya…semuanya nak dimakan bersuap…jenuhlah macam ni.

  2. seronok baca tulisan ustaz cuba belajar pelbagai jurusan ilmu… terima kasih kerana memotivasikan saya. 🙂

  3. Zuraida Noordin

    Zuraida Noordin Hanya Allah sahaja yang boleh mengurniakan kefahaman. Kita dinasihatkan supaya bersabar menanti kefahaman kerana ianya rahsia Allah. Faham itu ‘rasa’, dan ia tetap menjadi rahsia Allah kerana manusia tidak akan dapat memahaminya melalui logik akal. Kebergantungan kefahaman hanyalah kepada Allah, bukan ilmu, bukan ‘aqal. Wallahu’alam.

    • Faham adalah rezeki dan sama seperti rezeki yang lain, Allah memberi tetapi manusia diwajibkan mencarinya. Allah memberi faham sebagai kurniaan, bukan keajaiban yang membelakangkan asbab.

      Aqal adalah bekalan yang Allah berikan untuk manusia gunakan mencari faham. Sebab itu ulul albaab diulang 16 kali dalam al-Quran dan setiap kali disebut, Allah nyatakan cara dan manfaat ulul albaab itu

  4. saya kembali memberi komen setelah hampir 6 tahun menjadi silent reader. artikel ini sangat bagus, merungkaikan sikap kebanyakan pelajar saya yang mahukan jalan singkat. pengaruh exam oriented. akibatnya di kolej survive kerana suapan ilmu, kemudian di universiti semuanya sudah hilang arah mahu mandiri. mungkin kemalasan pelajar dan guru juga.

  5. dulu semasa belajar di matrikulasi, ada 1 bab saya ‘bengong’, puas saya belajar memahamkan, puas bertanya semua pensyarah, akhirnya masih tidak faham. saya pun abaikan, mungkin tuhan tak mahu bagi kefahaman bab tersebut kepada saya. saya juga sudah malas dan tumpukan pada bab yang lain.

    Ditakdirkan, saya kembali ke matrikulasi sebagai pensyarah, dan mengajar topik tersebut dalam kuliah. Agar tidak merosakkan ratusan pelajar dalam kuliah dengan ketidakfahaman saya, saya pun belajar. Dengan sekali hadap, saya menelaah dan dapat menerangkan dengan mudah di dalam kuliah.

    Saya dapat rasakan ‘hikmah’ ketidakfahaman saya dahulu dengan menyatakan di manakah titik tolak kekeliruan pelajar saya dalam topik tersebut. Saya juga tahu di mana kekaburan mereka kerana saya rasa mereka ialah saya dahulu.

  6. Assalamualaikum ustaz.

    Dahulu saya pembaca setia blog ustaz, tetapi sekarang tidak mengikuti sangat.
    Pada awalnya saya beranggapan bahawa cara penulisan ustaz semakin tinggi gaya bahasa yang kadang-kala menyebabkan saya sukar utuk menangkap poin yang ingin disampaikan.
    Disebabkan itu saya lebih cenderung kemudiannya untuk membaca blos islami lain.
    Tetapi apabila saya membaca artikel ustaz ini, apakah sebenarnya saya dihinggapi rasa malas untuk cuba memahami atau kita ada cara lebih efisyen untuk menangkap hati pembaca?
    Walau bagaimanapun, saya tetap menghargai sumbangan ustaz dalam dakwah islam!
    Selamat maju jaya, ustaz.

    • Waalaikum al-Salaam.

      Terima kasih kerana masih sudi singgah. Takpe, mana yang boleh handle, cuba. Mana yang susah, usaha. Kalau mengelirukan, tinggalkan. Yang penting, sentiasa ke arah yang lebih baik 🙂

  7. saya sukakan rasa berhenti sebentar untuk memahami sesuautu. merasa diri masih manusia lemah yg perlukan izin Tuhan untuk terus mencari dan untuk mendapat kefahaman.

  8. Adakah ini kerana ledakan informasi, semua perkara harus dipermudahkan dan sebagai user/customer(penerima maklumat) mereka ingin menghadamkan maklumat itu pun dengan segera?

  9. Alasan yang baik untuk akak yang jarang bagi respon kepada ustaz walaupun sentiasa baca blog dan dengar rakaman kuliah ustaz

Leave a Reply to ummi Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share