Sejauh Manakah Kita Setia Dengan Kebenaran?

kuburottomanbursa

Hari itu, semua yang hadir bersedih.

Ahli keluarga mereka telah meninggal dunia dan menunggu untuk dikebumikan.

Tiba-tiba, penutup keranda ditolak dan ‘si mati’ bangun keluar daripadanya.

“Apa yang kamu cuba lakukan ini? Aku belum mati!” kata ‘si mati’ berkenaan.

Semua yang berada di dalam majlis itu tergamam.

Sepi.

Terkejut.

Tidak lama, salah seorang yang hadir itu berkata, “sahabat, sesungguhnya Imam dan Doktor sudah pun mengesahkan bahawa engkau mati. Maka engkau adalah si mati yang telah mati!”

Lalu ‘si mati’ itu dikebumikan.

Hidup-hidup!

KECELARUAN KOGNITIF DALAM BERAGAMA

Hari ini, keberagamaan kita sangat rencam.

Andai kerencaman itu dipandang dalam rangka realiti yang lebih besar, kita melihat arus bertentangan yang lebih membimbangkan. Mereka yang mencabar agama, mencabar agama dengan soalan-soalan mereka yang sangat materialistik. Manakala yang membela agama, membela agama dengan jawapan-jawapan mereka yang sangat mistik.

Golongan pertama, mahu mengulang kembali soalan Bani Israel kepada Musa ‘alayhi al-Salam bahawa “kami tidak akan sekali-kali beriman kepada (seruan)mu sehinggalah kami dapat melihat Allah secara nyata (petikan surah al-Baqarah ayat 55).

Golongan kedua pula, mahu agama Islam ini diimejkan sebagai agama yang berkata, “lembu berkahwin dengan durian, memberanakkan sebuah kereta, dan itu tidak mustahil jika Allah berkehendak. Ia tidak mustahil bagi Allah, Tuhan kami yang Maha Berkuasa!”

Dalam kecelaruan beragama semasa, saya berpendapat ia bukan lagi isu ‘agama’. Ia adalah isu kognitif, psikologi, psikiatri. Soal tingkah laku akal yang semakin OKU. Akal yang diberi oleh Allah untuk meluhurkan interaksi manusia dengan wahyu, sama ada telah digunakan secara berlebihan, atau langsung tidak digunakan kerana ‘lebih mementingkan agama’, atau digunakan secara salah.

Apabila masyarakat beragama dengan trend yang salah, mereka diserang pula dengan idea-idea yang mencarik-carik akal untuk menjustifikasikannya, lalu masyarakat Malaysia dilanda dengan apa yang disebut sebagai Religious Cognitive Dissonance .

Ia bukan sepatutnya bencana ke atas umat Islam.

Agama kita tidak bermusuh dengan akal. Agama kita tidak memisterikan misteri. Agama kita ada penjelasan yang baik untuk perkara yang paling rumit, tanpa menimbulkan tekanan kepada akal yang sejahtera untuk menggarapnya sebagai sebuah kepercayaan.

Namun itulah yang berlaku.

Kebelakangan ini.

Teringat saya kepada penjelasan berikut:

“Sometimes people hold a core belief that is very strong. When they are presented with evidence that works against that belief, the new evidence cannot be accepted. It would create a feeling that is extremely uncomfortable, called cognitive dissonance. And because it is so important to protect the core belief, they will rationalise, ignore and even deny anything that doesn’t fit in with the core belief.”  ― Frantz Fanon, Black Skin, White Masks

Terjemahan:

“Adakalanya masyarakat berpegang dengan sebuah kepercayaan yang bersifat usul, dengan begitu kuat. Apabila mereka dikemukakan dengan bukti yang menunjukkan hakikat yang bertentangan dengan kepercayaan itu, bukti baru itu tidak dapat diterima. Ia mencetuskan satu perasaan yang amat-amat tidak selesa, dan ia dikenali sebagai percanggahan kognitif (cognitive dissonance). Dan disebabkan oleh peri pentingnya kepercayaan yang usul itu dilindungi, mereka cuba merasionalkan, mengabaikan malah menafikan apa sahaja yang tidak sesuai dengan kepercayaan yang usul itu”

Antara kualiti perkataan dan kualiti penyebutnya, mana satu usul, mana satu yang hendak dan boleh dikompromi?

APABILA AGAMAWAN BERLAGA PEDANG

“Bantulah kami yang mahu belajar agama ini”

“Kasihani kami”

“Jangan kelirukan kami”

” Mengapa biarkan kami begini”

Ini menjadi keluhan demi keluhan yang mewarnai status-status Facebook apabila status di atas bertemakan agamawan berlaga pedang.

Untuk menghilangkan kekeliruan itu, kita tanya kembali diri masing-masing, apa yang kelirunya?

Allah ‘Azza wa Jalla telah  menjadikan kita telinga untuk mendengar.

Dengar pula dengar betul-betul.

Bukan dengar 2 saat, merengek 2 jam.

Dua telinga, mulut pula satu.

Ada hikmahnya!

39_18

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. [Al-Zumar 39: 18]

Mereka yang beroleh petunjuk bukan mereka yang hanya dengar satu ikut satu. Ia tidak realistik. Kita hidup dalam alam yang tidak begitu. Golongan yang beroleh petunjuk adalah golongan yang mendepani pendapat yang seribu, yang rencam, tetapi mendepaninya dengan proses mendengar yang disebut sebagai YASTAMI’ŪN (يستمعون).

Yastami’un itu di dalam bahasa Arab, termaktub di atas wazan yafta’il atau yafta’ilun yang memberi maksud, melakukannya secara bersungguh-sungguh (الإجتهاد و الطلب).

Ertinya, mendengar dengan baik, beri masa yang cukup untuk mendengar dan tidak secara kompulsif baru dengar sedikit sudah mahu berkata-kata.

Dengar pula, dengar apa yang diperkata.

Al-Qawl.

Bukan dengar baju, dengar topi, dengar muka, atau dengar bahasa.

Sebaliknya dengar makna.

Makna di dalam kata.

Dengar hujah!

Sudah dengar, ikutlah yang terbaik.

Jangan terpesona dengan apa sahaja faktor, selain faktor apa yang dikata.

NASRETTIN HOCA DAN NILAI SERBAN

nasrettinhoca

Suatu hari Nasrettin Hoca tiba di sebuah kampung. Seperti biasa, sambil menunggang keldainya.

Penduduk kampung berpusu-pusu hadir menyambut ketibaannya, dengan membawa kitab.

“Kamu mahu apa?” tanya Nasrettin Hoca.

“Kami mahu mengaji dengan tuan!” kata penduduk kampung.

“Kamu tidak kenal aku. Bagaimana kamu tahu aku banyak ilmu atau tidak?” soal Nasrettin Hoca lagi.

“Serban tuan besar!” jawab orang kampung.

Nasrettin Hoca mencabut serbannya dan meletakkan serban itu di atas kepala keldainya.

Beliau berkata, “Nah, belajarlah dengan keldaiku. Serban beliau besar!”

MENGAPA KELIRU DALAM MENILAI?

Serban, jubah, ijazah, universiti, kumpulan, aliran, bahasa, rupa, hatta ‘agama’ sekali pun, tiada yang berkonflik dengan KEBENARAN.

Jika manusia paling kufur kepada Allah, menyebut sesuatu yang BENAR, terimalah ia sebagai BENAR. Kebenaran yang diungkap oleh manusia paling kufur kepada Allah. Kufur kepada Allah satu bab, kebenaran tetap kebenaran.

Jika manusia paling banyak sujud kepada Allah dan menangis kerana-Nya, menyebut sesuatu yang DUSTA, terimalah ia sebagai DUSTA. Pendustaan yang diungkap oleh manusia yang paling banyak sujud kepada Allah dan menangis kerana-Nya. Sujud kepada Allah satu bab, pendustaan tetap pendustaan.

Persoalannya ialah, sejauh manakah kita SETIA DENGAN KEBENARAN?

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (415) Pelawat

Comments

9 comments

  1. Aszrul Aszrie

    Alhamdulillah, satu penjelasan yang cukup jelas. Adakalanya terfikir, adakah sejarah corak pendidikan kita yang sudah lama bertapak di Malaysia yang berasaskan hafal, copy & paste kemudian terima sebulat-bulatnya, sehingga ada yang sanggup meletakkan “sami’na wa a tha’na” terlalu tinggi demi “menjaga akidah yang dihafal & diwarisi” sedangkan pemikiran kritis dan kritikal lah yang akan membukakkan mata hati seluas-luasnya tentang nilai sebuah kebenaran? Atau masih banyak faktor yang perlu diambil kira yang boleh menyumbang kepada masalah & penyakit di dalam masyarakat kita ini?

    Semoga nanti bila saya menjadi ayah, saya mendidik anak-anak saya tentang cara berfikir yang lebih baik. Saya berdoa semoga hasil kajian ustaz terhadap sejarah akan membuka minda anak-anak muda seperti saya pada masa yang akan datang. Amiin :)

  2. Laisa minalmuntazar, Innahu ja-a wa kariha man yantazhir wa yatamannaa annahu minhu..utrukni

    Allahu Akbar ! wassalaamu ‘alaa manittaba’al-huda !

  3. Terima kasih ustaz. Bagaimanapun ilmuwan dan agamawan perlulah tetap menjelaskan jika org awam mengatakan mereka terkeliru, agamawan jgn patah semangat kami pun jgn patah semangat. Mungkin dengan luahan org ramai itu agamawan dapat memahami sedikit sebanyak apa yg sedang terjadi di kalangan masyarakat dan dapat memikirkan cara lain untuk memberi kefahaman kpd org awam yg jahil ini.

    Berkenaan setia dengan kebenaran, tidak pernah pula saya dengar sesiapa mengatakan si fulan itu benar kerana sentiasa membawa tasbih atau serban paling besar dia pakai (kalau sebab dia title ustaz/ustazah tu mungkin la). Namun tidak tolak kemungkinan ia berlaku.

    Harap ustaz tak marah ye dan kami minta maaf kalau membuatkan asatizah rimas dengan kekeliruan kami. Terima kasih.

  4. jazakallah khairan ustaz.pencerahan yg amat baik.mogaAllah meramati ustaz dan moga kita semua dpt membimbing diri ke arah kebenaran

  5. Assalamualaikum ustaz. Apabila label ilmuwan dan agamawan ditimbulkan, sy yang serba kekurangan ilmu ini keliru. Di mana pd pandangan saya, agamawan itu seharusnya pada masa yang sama adalah seorang ilmuwan, dan sy tiada komen mengenai ‘agamawan’nya seorang ilmuwan itu. Mohon kiranya ustaz sudi menjelaskan kerana ini semakin mengelirukan kami golongan pencari agama ini. Jazakallah

  6. Aliran salafi dekat dgn ciri yahudi Dan aliran Sufi pula dekat dgn ciri nasrani….golongan yang diberi nikmat adalah di tengah- tengah… ?

    • Di antara sikap pertengahan yang bercirikan kedua-dua golongan tersebut menyamai ulamanya tidak habis-habis bertengkar dengan sangkaan dan buruk sendiri akhirnya yang terbunuh dan ” terhalal” kehormatannya untuk diaibkan saudara darah daging sendiri yang rupanya dalam keadaan perasan selama ini mendapat nikmat yang tidak disyukuri. Kita ini banyak “meludah” saja sesama sendiri tanpa sedar dan malu setitis keringat dan darah pun kita tdak pernah mengalir untuk berkorban. Istighfar , speechless and tired ! . WAllahu allaaamulghuyub

  7. Ilmu yang sangat bermanfaat…terima kasih ustaz…semoga kita semua menjadi hamba Allah yang beriman & kekal berada di jalanNya…amin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>