The Otherness: Pengitlakan Istilah Mengundang Musibah

suspicious

Nasrettin Hoca bertuah kerana telah dilantik menjadi Menteri Utama kepada Raja.

Semasa mundar-mandir di istana, beliau ternampak sang Helang Diraja.

Bertenggek megah.

“Aku tidak pernah melihat burung merpati sebegitu rupa” rungut Nasrettin Hoca.

Beliau mengeluarkan sebilah gunting dan mula menggunting-gunting pelepah sang Helang Diraja.

Bulunya dinipiskan.

Kukunya digunting pendek.

Paruhnya ditumpulkan.

Sayapnya dikontot.

“Ya, sekarang baru engkau kelihatan seperti seekor merpati yang layak bertenggek di sisi Tuanku” Nasrettin Hoca berpuas hati.

Tersenyum.

“Nyata sekali, penjagamu telah mengabaikan engkau selama ini” beliau memuktamadkan kepuasan jiwa.

KAMU BERBEZA, KAMU BERMASALAH

“Betul ke dia tidak baca al-Fatihah dalam wirid lepas Solat? Itu Wahabi tu!” tegas Abu.

“Imam tu tidak akan sekali-kali meninggalkan Qunut semasa Solat Subuh. Kalau terlupa, digantinya dengan Sujud Sahwi. Astaghfirullah. Itu Bid’ah tu!” ujar Hamdan.

Ummah Centric? Idea yang menolak kewajipan berjemaah itukah? Itu mesti agen UMNO” dakwa Ismail.

“Dia tidak setuju dengan idea kita dalam Kursus Bina Diri ini. Dia itu pasti geng pembangkang!” kata Khir.

“Ada ke dalam masjid pun nak ambil fakta daripada buku Covey. Itu sudah tentu terkena jarum Orientalis!” ulas Salmah selepas kuliah Maghrib di Masjid.

She is a prominent sympathizer towards Palestinians. She must then a Moslem terrorist!” simpul Helen tentang rakannya.

Dialog di atas itu merentas zaman. Ia disebut di sana sini. Ada di antaranya yang lebih menonjol di satu-satu masa, menenggelamkan yang lain selepas isunya reda.

Apakah titik persamaan di antara Wahabi, Bid’ah, UMNO, Pembangkang, Orientalis dan Muslim Terrorist?

Kesemuanya adalah THE OTHERS. Terma yang digunakan untuk merujuk kepada apa-apa sahaja idea yang bertentangan dengan arus perdana di dalam kelompok tertentu manusia. The Others itu adalah suatu pengitlakan, membuat anggapan umum atau boleh juga disebut sebagai generalisasi, merujuk kepada terma generalization di dalam Bahasa Inggeris.

Pengitlakan konsep, yang kurang spesifik pada kriteria-kriteria yang dirujuk, selalu dilihat sebagai salah satu teras kepada logik manusia untuk meletakkan sebab musabbab sesuatu. Ia boleh menjadi sesuatu yang positif dan perlu, tetapi lazim juga mencerminkan kedangkalan maklumat atau kejahilan seseorang terhadap pengitlakan yang dibuat. Justeru, penilaian mesti dibuat untuk memastikan apakah ada atau tidak kebenaran di dalam pengitlakan berkenaan.

THE OTHERS #1: SANG WAHABI VS. BID’AH

Menganggap apa sahaja yang berbeza daripada amalan arus perdana sebagai Wahabi, adalah di antara polemik yang sangat membelenggu lagi mengganggu kehidupan masyarakat umat Islam semasa.

  • Tidak melafazkan niat di permulaan Solat adalah Wahabi.
  • Basmalah di dalam Surah al-Fatihah tidak dibaca secara jahriyyah (bersuara) adalah Wahabi.
  • Meletakkan posisi tangan tinggi sedikit di dada semasa Qiyam di dalam Solat adalah Wahabi.
  • Menggerak-gerakkan jari telunjuk semasa tasyahhud adalah Wahabi.
  • Tidak menyapu muka selepas memberi salam usai bersolat adalah Wahabi.
  • Berwirid sendiri-sendiri selepas solat berjamaah adalah Wahabi.
  • Tidak bersetuju dengan amalan kenduri arwah adalah Wahabi.
  • Tidak membaca Yasin di Khamis malam Jumaat adalah Wahabi.
  • Apatah lagi tidak bertalqin selepas pengebumian jenazah adalah Wahabi.

Apa sahaja yang berbeza daripada amalan kebiasaan yang wujud di dalam Masyarakat, maka secara mudah ia dianggap sebagai Wahabi. Satu pengitlakan yang amat memudaratkan sesiapa yang menjadi mangsanya. Melabelkan seseorang sebagai Wahabi adalah satu cara mudah untuk membunuh perbezaan yang berlaku walaupun hakikatnya ada penjelasan yang lebih murni terhadap perbezaan itu selain melabelkannya sebagai Wahabi.

Perbezaan-perbezaan itu wujud secara muktabar di dalam mazhab-mazhab yang lain. Pendirian Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali diterima sebagai pendapat yang berada di dalam ruang lingkup Ahli Sunnah wal Jamaah. Tetapi menghapuskan hakikat ini dan melabelkannya secara total sebagai Wahabi, ia adalah suatu jenayah yang merosakkan umat.

Daripada manakah asal usul terma ini dan apakah definisi kepada Wahabi, semasa ia diguna pakai dalam pengitlakan istilah?

Golongan yang sangat komited menggunakannya dalam pendakwaan mereka bertanggungjawab untuk membuat penjelasan.

Itu kisah kelompok yang membuat pengitlakan dengan istilah Wahabi. Apa sahaja yang bertentangan dengan kita adalah Wahabi.

Wahabi adalah The Others!

Ada pun di sana, kelompok yang sering digelar sebagai Wahabi juga tidak terlepas daripada membawa budaya pengitlakan yang sama. Sebahagian daripada golongan yang membawa syiar Tajdid ini beranggapan bahawa apa sahaja yang tidak menepati kefahaman mereka tentang Sunnah, maka ia adalah Bid’ah.

  • Melafazkan niat di permulaan Solat adalah Bid’ah.
  • Basmalah di dalam Surah al-Fatihah dibaca secara jahriyyah (bersuara) adalah Bid’ah.
  • Berwirid secara berjamaah selepas solat berjamaah adalah Bid’ah.
  • Menyapu muka selepas berdoa adalah Bid’ah.
  • Bersalam-salaman sesama jamaah di masjid usai mengerjakan Solat adalah Bid’ah.
  • Membaca Yasin di Khamis malam Jumaat adalah Bid’ah.
  • Bertalqin selepas pengebumian jenazah adalah Bid’ah.
  • Menyertai kumpulan atau hizbiyyah juga adalah Bid’ah.

Apa sahaja yang tidak secara tekstual menepati kefahaman pihak ini terhadap Sunnah maka ia terus dilabelkan sebagai Bid’ah. Sedangkan sebahagian daripada apa yang dianggap Bid’ah itu hakikatnya adalah pendapat-pendapat yang wujud di dalam Mazhab yang muktabar, masih berada di satu wajah daripada wajah-wajah (Wajhun min al-Wujooh) kefahaman yang terbit daripada rujukan al-Quran dan al-Sunnah, tetapi secara mudah dilabel dengan istilah pembunuh bernama Bid’ah.

Setiap Bid’ah adalah sesat.

Setiap yang sesat tempatnya adalah di Neraka.

Tidak dinafikan, ada di antara amalan yang wujud di dalam masyarakat, benar-benar Bid’ah kerana ia adalah sesuatu yang tiada asal usul agama, tiada justifikasi agama, malah menjurus kepada Syirik. Contoh ekstrim seperti Mandi Safar, bersolat di kuburan, atau menyelewengkan ayat al-Quran dalam perubatan yang menggunakan pertolongan Jin, semua ini adalah Bid’ah yang besar dan harus ditentang sebagai kemungkaran.

Tetapi sebahagian daripada amalan yang wujud di dalam masyarakat, tidak semestinya Bid’ah hanya kerana ia tidak menepati satu teks Hadith. Daripada manakah asalnya perbuatan melafazkan niat sebelum mengangkat Takbir Solat? Mengapakah adanya bacaan wirid secara berjamaah selepas Solat? Apakah asal usulnya bacaan Tahlil di dalam majlis keraian masyarakat? Daripada manakah susur galur terjadinya bacaan Talqin selepas pengebumian jenazah? Bagaimanakah pula dengan menjadikan al-Fatihah sebagai doa umum yang dibaca di kebanyakan tempat dan sempena?

Sebahagiannya, berasal usul daripada proses mendidik dan memudahkan golongan bermasalah untuk melaksanakan ibadah. Melafazkan niat sebagai bantuan kepada golongan musykil seperti masalah was-was, menggunakan al-Fatihah sebagai doa umum pada keterbatasan kemampuan masyarakat menghafal pelbagai doa, wirid berjemaah selepas Solat sebagai satu proses Tarbiyah… kesemua itu memerlukan pendukung Tajdid untuk lebih teliti pada usaha memurnikan amalan masyarakat.

Apatah lagi pada urusan yang menjadi khilaf muktabar seperti Qunut di dalam Solat Subuh. Adalah keterlaluan untuk melabelkannya sebagai Bid’ah.

Apa sahaja yang popular di dalam amalan masyarakat tetapi bersalahan dengan satu wajah tafsiran kita terhadap al-Quran dan Sunnah, maka ia adalah Bid’ah.

Bid’ah adalah The Others.

Akhirnya, kontroversi yang membabitkan istilah Wahabi dan Bid’ah di dalam masyarakat, menjadi fitnah yang sangat memudaratkan umat.

Tajdid mungkin membawa maksud pencerahan dan pemurnian, tetapi apabila pengitlakan istilah berlaku secara liar, ia mengundang kegelapan yang lebih berbahaya daripada sebelumnya. Perbuatan reaktif golongan yang mahu menangkis istilah Bid’ah ini pula bertemu dengan perkataan Wahabi yang digunakan sewenang-wenangnya, sebagai satu character assassination yang berkesan pada mematikan proses dialog dan peningkatan Tsaqafah umat.

Ia bukan lagi isu perbezaan pendapat.

Tetapi persoalan sikap dan mazmumah Akhlaq.

suspicious_cat

THE OTHERS #2: SANG PEMBANGKANG (PAS) VS. UMNO

Menganggap apa sahaja pandangan yang tidak selaras dengan keputusan Syura, pimpinan atau pandangan parti sebagai UMNO atau AGEN UMNO, adalah penyakit pengitlakan istilah yang turut menimpa segelintir pendukung gerakan Islam di dalam PAS.

Beberapa tahun yang lalu, Dr. Maszlee Malik pernah melontarkan satu idea yang dikenali sebagai Ummah Centric sebagai solusi cadangan kepada ketaksuban sesetengah orang kepada jemaah mereka. Timbul kemalangan intelektual apabila idea Ummah Centric ini dilabel sebagai idea UMNO dan Ustaz Maszlee sendiri digelar sebagai Agen UMNO.

Di dalam PAS, menyabitkan seseorang sebagai UMNO atau agen UMNO adalah satu bentuk character assassination yang sangat berkesan pada mematikan pengaruhnya. Apa sahaja pandangan yang tidak selaras dengan apa yang berada di dalam arus perdana kelompok ini, akan secara mudah dianggap sebagai jarum-jarum UMNO.

Keadaan ini menutup pintu wacana atau pandangan di luar kotak yang sebahagiannya dilontarkan oleh pihak luar dan dalam, untuk kebaikan PAS itu sendiri. Ia suatu kerugian, dan tindakan yang berkesan pada meramaikan musuh.

Demikian juga kontroversi yang melanda Prof. Dr. Abdul Aziz Bari berkenaan dengan isu Kerajaan Perpaduan, serta persepsi semasa masyarakat terhadap PAS. Sebelumnya, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari sering mengambil pendirian yang menjadikan beliau ‘makhluk asing’ di lingkungan dunia akademiknya, tatkala berpendapat dengan pendapat yang berpihak kepada PAS. Pandangan perundangan beliau tentang isu peralihan kuasa pemerintahan di Negeri Perak sangat banyak memberikan nilai penting kepada PAS.

Tetapi apabila pandangan beliau tidak selari dengan apa yang dijangkakan oleh PAS, maka dengan mudah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dilabel sebagai UMNO.

Apa sahaja yang bertentangan dengan PAS adalah UMNO.

UMNO adalah The Others.

Pandangan yang terbit daripada sikap yang sama turut ditemui di dalam lingkungan pendukung UMNO.

Sekiranya ada pandangan yang tidak selaras dengan kehendak kepimpinan tertinggi dan parti, maka dengan mudah ia dianggap sebagai idea pembangkang.

Di peringkat bawahan, para mahasiswa dan mahasiswi sering berdepan dengan belenggu ini. Mereka harus berbeza pandangan daripada idea-idea yang lebih popular di kalangan kelompok pelajar yang pro-pembangkang. Jika selama ini pelajar yang pro-pembangkang bekerja keras berusaha menentang maksiat yang berlaku di dalam kampus maka pelajar yang pro-UMNO sukar untuk melontarkan persetujuannya terhadap apa yang dilakukan oleh pelajar pro-pembangkang tentang maksiat yang bertentangan dengan Islam itu kerana khuatir dilabel sebagai Agen Pembangkang.

Manakala di peringkat atasan pula, kita sama-sama dapat melihat bagaimana kontroversinya tahun 2008 apabila pandangan Datuk Mohd. Zaid Ibrahim terhadap penahanan Ahli Parlimen Teresa Kok, blogger Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah peruntukan ISA. Bantahan beliau terhadap tindakan itu telah menyebabkan Datuk Zaid Ibrahim diposisikan sebagai ahli UMNO yang berpihak kepada pembangkang, walaupun ketika itu beliau tidak mempunyai sebarang hubungan yang kelihatan dengan PKR atau Pakatan Rakyat.

Sesiapa sahaja yang mengkritik kepimpinan UMNO atau pandangan arus perdana parti itu, maka ia dianggap sebagai Pembangkang atau PAS.

PAS dan Pembangkang adalah The Others.

Sikap ini membekukan perkembangan kedua belah pihak apabila PAS dan Pakatan Rakyat serta UMNO mengambil pendirian yang merugikan mereka. Namun kerugian terbesar bukanlah setakat di peringkat politik, malah ia ditanggung secara langsung oleh rakyat, pihak yang sebenar-benarnya menjadi mangsa kepada pemikiran seperti ini.

suspicious-fry

THE OTHERS #3: SANG ORIENTALIS VS. PENGGANAS MUSLIM

Di pentas-pentas ceramah, kuliah Maghrib dan Subuh, perkataan Orientalis sering diulang-ulang oleh para ustaz dan pendakwah sebagai pihak yang mewakili apa sahaja pendapat yang bertentangan dengan Islam.

Orientalis disudutkan sebagai satu fahaman yang mewakili idea-idea yang tidak menepati arus perdana masyarakat. Jika tadi, ada kelompok yang saling berbalah antara Wahabi dan Bid’ah, kini kedua-duanya boleh bersepakat pada menghentam dan menyalahkan Orientalis, setiap kali munculnya pandangan yang ‘berbau Barat’.

Apabila Khairuddin al-Tunisi memberi saranan agar Sultan Abdul Hamid II mengkaji dan mengambil iktibar daripada sejarah kehidupan Charlemagne di Eropah, pandangan Khairuddin al-Tunisi itu dianggap sebagai pandangan Orientalis Barat yang memudaratkan Islam. Sedangkan apabila Khairuddin al-Tunisi memberikan saranan sedemikian rupa, beliau mahukan Sultan Abdul Hamid II dan kabinetnya menyuntik unsur dinamik kepada Pan Islamisma agar Islam sebagai ideologi Politik tidak kabur dengan konsep-konsep yang tidak diperincikan seperti konsep Syura.

Di negara kita juga, pada era 90′an, istilah Triple IT yang merujuk kepada International Institute of Islamic Thought (IIIT) sering diguna pakai untuk merujuk kepada idea-idea yang berbeza daripada pandangan konservatif Islam. Triple IT juga disebut sebagai Islam Amerika, khusus untuk menangkis idea-idea ‘pembaharuan’ yang dibawa oleh musuh besar pembangkang di era itu iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengistilahkan apa sahaja yang asal usulnya daripada Barat sebagai Triple-IT, atau Orientalis adalah satu bentuk pengitlakan istilah yang merugikan umat ketika mana banyak kebaikan boleh dimanfaatkan daripada kerja-kerja kelompok Orientalis itu.

Di dalam buku Orientalism tulisan Maryam Jamilah, beliau secara tegas menyatakan bahawa tidak semua Orientalis atau Orientalisma itu negatif. Katanya:

Is Orientalism then totally evil? The answer is a qualified no. A few outstanding Western scholars have devoted their lives to Islamic studies because of their sincere interests in them. Were it not for their industry, much valuable knowledge found in ancient Islamic manuscripts would have been lost or lying forgotten in obscurity. English Orientalists like the late Reynold Nicholson and the late Arthur Arberry accomplished notable work in field of translating classics of Islamic literature and making them available to the general reader for the first time in a European language.

Maryam Jamilah mengiktiraf sumbangan sekumpulan Orientalis seperti Reynold Nicholson dan Arthur Arberry yang sememangnya tidak terbabit di dalam agenda kolonialisasi Imperialisma Barat.

Tetapi sayangnya, buku Orientalism karangan Maryam Jamilah itu sendiri, tidak banyak berhasil pada menunjukkan sisi positif Orientalisma sebagaimana yang dinyatakan oleh penulisnya, justeru apa yang ketara hanyalah penolakan agresif yang sedikit sebanyak merugikan umat.

Orientalis dan Barat adalah The Others.

Ada pun di pihak negara Barat sendiri, sikap yang sama tidak terkecuali.

Tanggapan bahawa mana-mana pendapat yang bertentangan dengan polisi luar Amerika Syarikat atau Akta Anti Keganasan, sebagai pengganas Muslim, adalah kebiasaan yang sering mencetuskan kekacauan.


Cherie Booth QC dan Tony Blair

Kita tidak lupa kepada Cherie Booth, isteri kepada bekas Perdana Menteri Britain. Pada tahun 2002, sejurus selepas kejadian letupan yang berlaku di Jerusalem membabitkan kematian 19 orang di Palestin yang berpunca daripada Pengebom Berani Mati Palestin, beliau berkata, “as long as young people feel they have no hope but to blow themselves up, we’re never going to make progress, are we?

Pandangan tersebut telah mencetuskan kemarahan yang luar biasa di kalangan negara Barat hingga memaksa Cherie Booth meminta maaf kepada orang ramai. Tony Blair sendiri mengalami kemerosotan reputasi akibat kenyataan yang dibuat oleh isterinya itu.

Demikian juga pendirian Ken Livingston, Datuk Bandar Kota London yang banyak berpihak kepada Palestin dan Muslim, telah memposisikan beliau sebagai seorang yang ‘disyaki’ di bawah suluhan lampu pemikiran The Others masyarakat Barat.

Muslim atau Muslim Terrorist adalah The Others!

Sikap yang seperti ini menyuburkan Islamophobia di dalam masyarakat Barat malah mencetuskan paranoid yang keterlaluan. Pandangan yang prejudis terhadap sesiapa sahaja yang berbeza daripada kita, menimbulkan banyak ketidakstabilan sosial di dalam masyarakat dan mencetuskan fitnah yang sukar untuk dipadam.

Kepada umat Islam, cukuplah peringatan Allah berikut menjadi panduan:

49_6

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang Fasiq membawa sebuah berita yang penting, maka periksa dan telitilah dahulu mengenainya, supaya jangan nanti kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan yang jahil sehingga nantinya akan menjadikan kamu sesal (akan ketelanjuranmu itu)” [al-Hujuraat 49: 6]

AMALAN JAHILIAH

Menolak perbezaan dengan pembunuhan karakter, adalah kelakuan jahiliah yang diamalkan oleh kaum Ibrahim ‘alayhi al-Salãm ketika hujahnya gagal mereka tangkis dengan hujah.

21_60(Sebahagian daripada) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya” [Al-Anbiyā’ 21: 60]

Kata mereka, “kami ada terdengar, adalah seorang budak muda itu, apa namanya? Ibrahim? Ibrahim? Dia itulah yang mencari tuhan kita. Budak muda tu!”

Apabila hujah Ibrahim tidak berjawab, mereka mengungkit akan keadaan baginda sebagai anak muda.

“Alah, budak muda, apa yang dia tahu. Usah dipedulikanlah!”

Selalu kita dengar ayat sebegini, bukan?

PENGURUSAN NAS

Manakala kepada agamawan yang sedang ghairah berdebat di khalayak, renungkanlah ‘ibrah yang boleh diambil daripada peristiwa yang berlaku, ketika mana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar kepada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, hadith “barangsiapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallaah dengan penuh keyakinan, nescaya dia akan masuk ke Syurga.”

Mendengar akan hadith ini, Abu Hurairah bergegas menuju ke pasar untuk menghebahkan kenyataan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ini. Akan tetapi di pertengahan jalan, beliau bertemu dengan ‘Umar bin al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu yang menahan perjalanan Abu Hurairah kerana mengetahui akan tujuannya. ‘Umar membawa Abu Hurairah kembali kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan beliau bertanya kepada Baginda, “apakah engkau yang mengutuskan Abu Hurairah membawa kedua alas kaki – sebagai bukti bahawa engkau yang berkata – barangsiapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallaah dengan penuh keyakinan, maka sampaikan kepadanya berita gembira tentang Syurga – ?”

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata, “ya.”

‘Umar bin al-Khattab berkata, “janganlah lakukan ia (wahai Rasulullah), aku khuatir orang akan hanya bergantung kepada ucapan itu. Biarkanlah mereka terus beramal.”

Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “kalau begitu, biarkan sahaja mereka beramal” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Besar sungguh hikmah di sebalik peristiwa ini. Keterbukaan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menerima pandangan ‘Umar agar momentum bekerja dan beramalnya masyarakat tidak dipertaruhkan dengan satu khabar gembira yang boleh disalah tafsirkan, menjadi suatu peringatan kepada kita semua tentang kaedah pengurusan penyampaian Hadith dan pembetulan terhadap amal di dalam masyarakat.

Jangan sampai keghairahan terhadap nas, menjadikan kita tidak peduli terhadap keretakan dan kemusnahan yang sedang meruncing di tengah masyarakat.

Berhaluslah dalam tindakan!

Banyak isu yang menghangat serta membingungkan masyarakat hari ini, bukanlah isu perbezaan usul yang tulen. Sebaliknya ia lebih berpunca daripada mazmumah sikap yang gagal mengangkat kepentingan Ummah sebagai keutamaan yang diamanahkan Allah kepada Khalifah-Nya.

Semoga kita kembali bertaqwa kepada Allah.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

9 comments

  1. Si Dia yang dekat di sisi

    Salam, pada pandangan saya, konsep “the otherness” ini cuma berlaku dalam kerangka “iman” manusia, pada kerangka ” Lakum Dienukum Waliya deeni” kalaupun ingin dipandang positif tetapi ia cuma bersifat pribadi tanpa menafikan buruknya kesan salah menanggapi “the otherness” sebagai musuh solidariti dan integriti manusia. Memandang kepada kerangka iman itu dalam perseptif yang tidak sempit skopnya dalam masa sama ingin menanggapi “the otherness” sebagai yang positif, iman seorang muslim disamping ukhuwwah dalam iman dan di luar iman, ia menyentuh “rububiyyah” dalam kerangka rahmatan lil’alamin. Senang kata biarpun pahit untuk ditelan apabila ia melibatkan persekongkolan dengan “kemusyrikan dan kekufuran yang “bawwah” dan ada “burhan” tambahan pula ia berlaku pada umat,”the otherness” ini berlaku pada tindakan “takfir”, “mindset” saya terus terhala kepada Hadith-hadith HabeebiLLah s.a.w yang ada kalimat berbau pengiktirafan umat : “Laisa minnaa”(bukan isu takfir). Walaubagaimanapun, apabila “the otherness” ini menyentuh sikap yang tidak sihat dalam masyarakat dan menyekat perkembangan dakwah Tauhid@Islam yang berlaku sejak zaman Nabi-nabi terdahulu A.S, penderitaan akan ditanggung oleh umat islam entah sampai bila. Permohonan maaf kepada yang “totok sufi” dan penentang Ahli Bayt Rasulillah s.a.w dalam bentuk menyokong yang tak kena tempat, para pejuang Islam sejati sedang bertarung antara hidup dan mati serta keringat dan darah, kalian cuma mengasingkan diri dari masyarakat dan merasa suci ditengah-tengah kepedihan jahiliah yang menodai umat ini di “segenap bidang”, ditambah lagi dengan golongan yang ikut pada barisan musuh tapi merosak batang tubuh umat yang berkerja keras dari dalam dan cuba memperdaya saudara-saudara yang beriman. Kita tidak mahu mendengar jeritan bahawa “umat ini sudah mati”, mereka tidak mampu hidup bersama biarpun saya tidak petnah nampak satu keluarga muslim “yang berpegang teguh kepada islam” berperwatakan bersikap memudaratkan kehidupan manusia lain…saya melihat mereka itu adalah orang yang baik-baik. ( Tanpa melupakan Cermin dan berharap khabar seindah rupa )

    • Si Dia yang dekat di sisi

      Walaupun saya juga “sufi” dan sedang bermujahadah bukan hanya di sejadah dan tasbih, pencinta Ahli Bayt a.s, Islamu Muhammad s.a.w pada zaman salaf dan ingin mengidupkan sunnah2nya pada zaman khalaf ini, saya adalah “syiah sejati” tetapi jauh sekali ajaran khomeini dan revolusinya , hanya Revolusi Muhammad s.a.w impian hati dan mekar di raudhahnya 🙂

  2. Pada hemat saya, pertembungan kumpulan so called salaf dan khalaf ini akan berterusan cuma grafnya turun naik. Ada kalanya panas dan adakalanya suam2 kuku, bergantung pada isu di sekeliling. Sukar nak murnikan kedua-duanya dan ini terbukti melalui sejarah selama puluhan malah ratusan tahun.

    Saya setuju dengan kenyataan ustaz “Banyak isu yang menghangat serta membingungkan masyarakat hari ini, bukanlah isu perbezaan usul yang tulen”….. Membazirkan masa dan tenaga umat je.Mungkin di sisi mereka ia isu perbezaan usul yg tulen?

  3. Assalamualaikum ustaz.

    Ustaz menulis:-

    “Menggelar gelaran Wahabi kepada gerakan beliau, adalah salah daripada banyak sudut. Abd al-Wahhab adalah nama bapanya dan bukan nama beliau.”

    Berdasarkan pengetahuan saya hakikatnya penamaan sedemikian adalah sesuatu yang tidak asing. Sebagai contohnya sama jua halnya dengan penisbatan Hanbali/ Hanabilah kepada para pengikut mazhab Imam Ahmad sedangkan Hanbal bukanlah nama Imam Ahmad sepertimana kita semua sedia maklum.

    Wallahu A’lam.

    • Waalaikum al-Salaam WBT. Terima kasih atas perkongsian.

      Ada beberapa persoalan:

      1. Saya masih mencari maklumat, adakah Imam Ahmad sendiri menggelar dirinya Hanbali? Adakah pengikut mazhab Hanbali sendiri yang menggelar diri mereka Hanbali atau Hanabilah?

      2. Jika mereka sendiri yang memakai gelaran Hanbali, maka atas kaedah apakah gelaran itu dipakai (Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu Abdillah al-Shaybani)? Jika ia dipakai, dengan maksud melakukan kebajikan kepada bapa / datuk, maka ia adalah kebajikan kerana penisbahan dibuat secara positif. Saya merujuk kepada perbahasan ulama tentang asas apa yang Baginda Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam gunakan dalam menamakan anak baginda, Ibrahim.

      Hadith Sahih Muslim:

      ” وُلِد لي الليلة غلام فسميته باسم أبي إبراهيم ”

      Telah lahir buatku malam ini seorang bayi maka kunamakan ia dengan nama ‘bapa’ku, Ibrahim.

      Atau pun, ada penjelasan lain tentang asas mengapa Mazhab Imam Ahmad dinamakan sebagai Hanbali. Insha-Allah saya akan terus membaca untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

      3. Ada pun perkataan Wahhabi, ia bukan berkonotasikan kebajian. Ia kalimah yang dipakai untuk menggambarkan sesat, terseleweng, menyimpang dari kebenaran. Justeru, ia hendaklah ditujukan kepada pelakunya, iaitu Muhammad. Dan bukannya Abdul Wahhab. Jika Muhammad yang jahat, tetapi Abdul Wahhab yang dimaki, ia termasuk dalam dosa besar mencela ibu bapa.

      ففي الصحيحين واللفظ للبخاري عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن من أكبر الكبائر أن يلعن الرجل والديه. قيل: يا رسول الله وكيف يلعن الرجل والديه؟ قال: يسب أبا الرجل فيسب أباه ويسب أمه

      Di dalam Al-Sahihayn dengan lafaz al-Bukhari, daripada Abdullah ibn Umar radhiyallahu anhuma beliau berkata, Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda:

      Di antara dosa besar itu jalah apabila seseorang melaknat ibu bapanya. Baginda ditanya, bagaimanakah mungkin seseorang melaknat ibu bapanya sendiri? Baginda menjawab, iaitu dengan mencela ibu bapa seseorang lalu yang dicela ibu bapanya itu mencela kembali bapa pencela dan mencela kembali ibu pencela.

      4. Dan jika soal mencela mencela ibu bapa ini diketepikan kerana gelaran Wahhabi itu mencela seorang lelaki yang telah mati, demikian juga ibu bapanya, kembali kita kepada tajuk asal artikel, iaitu pengitlakan istilah Wahhabi sebagai ‘The Otherness’ yang berakhir sama ada dengan dosa, atau pahala.

      • Alhamdulillah.

        Saya memaksudkan dengan penamaan yang tidak asing tersebut dari segi penisbahan sesuatu di dalam bahasa Arab di dalam bab Al-Nisbah. Saya meyakini bab ini sesuatu yang ma’ruf pada ustaz. Namun tidak mengapa jika saya mengulang sebutnya di sini untuk faedah bersama.

        Iaitu di mana sesuatu nisbah itu boleh berlaku di antaranya kepada Tarkib Idhafi yang mana jika tarkib idhafi itu bermula dengan kunyah (Abu/Ibn) maka dinisbah kepada nama yang kedua.

        Berhubungan dengan hal ini, kita dapati kebiasaan Arab apabila nama Muhammad akan disebut dengan Ibnu fulan, maka Muhammad bin Abdil Wahhab dikenali dengan Ibn Abdil Wahhab. Dengan demikian, bertolak daripada kaedah tadi maka nisbah pengikut Ibn Abdil Wahhab akan menjadi Wahhabi. Jika didahului dengan Abu seperti misalnya Abu Bakr maka nisbahnya adalah Bakri. wa hakadza.

        Demikian juga dengan Hanabilah nisbah kepada pengikut Ibn Hanbal (Imam Ahmad) dan lain-lainnya.

        Wallahu A’lam.

      • Thumma Alhamdulillah.

        Saya akan terus menambah kefahaman tentang hal ini. Untuk itu, saya batalkan perenggan berkenaan tepat atau tidaknya penisbahan istilah Wahabi kepada gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab. Insha-Allah perbincangan terus kekal di atas topik asal artikel iaitu pengtilakan istilah tanpa dhawabit untuk menjustifikasi The Otherness.

        Terima kasih, tuan.

      • Ma’ lisy. Sama-sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share