Konsep Ulama’ dan Kepimpinannya

“Siapa yang dikatakan Ulama? Siapa yang beri dia pangkat Ulama?” pertanyaan begini sering timbul.

“Kalau kita nak lantik Ulama sebagai ketua, apa kriteria yang menentukan seseorang itu Ulama atau tidak?” soalan dikaitkan pula dengan perjawatan dan perlantikan.

Apabila seseorang menggali khazanah Islam untuk mencari takrif Ulama, sempit pula dada memikirkan bahawa Ulama seperti itu hanya seperti sebutir pasir di tepian pantai di hari ini. Terlalu sukar untuk dicari calon yang memenuhi kriteria seperti yang dinukilkan.

Kesulitan itu bertambah lagi apabila Ulama mahu diangkat sebagai pemimpin. Timbul pula persoalan berkaitan kesarjanaan, apakah ia sinonim dengan kepimpinan?

KELUASAN TAKRIF

Mungkin pendapat-pendapat yang pelbagai tentang takrif Ulama itu, adalah sebagai petanda kepada luasnya cakupan makna bagi kalimah Ulama, yang disebut dua kali di dalam al-Quran, tetapi tidak diperincikan seperti Allah memperincikan perihal harta pusaka atau wanita mahram, di dalam al-Quran. Ruang yang diberikan tanpa perincian itu bertujuan untuk menyediakan unsur keanjalan pada mendefinisikan Ulama sesuai dengan peredaran zaman, tahap keilmuan dan ketamadunan manusia serta keperluan-keperluan yang diperlukan dalam urusan awam merentas masa.

Hanya satu sifat yang melangkaui segala perubahan zaman dan keadaan, bahawa Ulama adalah manusia yang takut kepada Allah:

 وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Sesungguhnya, yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” [Faathir 35: 28]

Bagaimanakah soal takut kepada Allah ini dapat diukur untuk menentukan siapa yang Ulama dan siapa yang bukan Ulama? Justeru kita bertemu dengan himpunan definisi yang pelbagai oleh sarjana Islam sepanjang zaman yang kesemuanya menjurus kepada makna komitmen penuh seorang hamba kepada segala kehendak, perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’aala.

KRITERIA NABI

Namun, Ulama sebagai pewaris para Nabi, bagaimanakah kualiti yang ada pada seorang Nabi, untuk pewarisan itu menepati kriterianya?

Allah Subhanahu wa Ta’aala membantu kita mengungkai persoalan ini melalui dua kisah yang terdapat di dalam al-Quran tentang Musa dan Yusuf ‘alayhima al-Solaatu wa al-Salaam.

Tatkala dua orang anak perempuan Nabi Shuaib menemukan Musa dengan bapa mereka berdua, salah seorangnya berkata kepada ayahanda mereka dengan ungkapan yang diabadikan di dalam al-Quran:

 قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang QAWIYY, lagi AMEEN” [al-Qasas 28: 26]

Penjelasan tentang kriteria Musa yang menjadikan beliau sebagai manusia yang paling berkelayakan untuk diupah bekerja diungkapkan sebagai Qawiyy dan Ameen. Pembahagian kualiti Musa kepada dua dimensi Qawiyy dan Ameen ini sangat berguna dalam memahamkan kepada kita apakah yang Allah Subhanahu wa Ta’aala kehendaki dari seorang hamba berkaitan dengan kelayakan dirinya.

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.

QAWIYY itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai KOMPETENSI.

AMEEN pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai INTEGRITI.

Sudah tentulah di dalam suatu pekerjaan, kelayakan tertinggi ialah pada seseorang yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang sama tinggi. Namun realitinya, manusia ada pasang surutnya pada kedua-dua dimensi kelayakan ini. Ada tugasan yang memerlukan keutamaan integriti, ada tugasan yang mesti mengutamakan kompetensi.

Bagi tugasan menguruskan gembala kambing seperti yang bakal dilakukan oleh Musa ‘alayhi al-Salaam, QAWIYY (kompetensi pada kekuatan fizikal dan kemahiran menggembala) disebut dahulu sebagai yang utama, berbanding sifat AMEEN (integriti).

Akan tetapi bagi tugasan yang bersangkutan dengan menguruskan harta dan wang, integriti dan kompetensi sama penting, dengan keutamaan diberikan kepada integriti berbanding kompetensi. Lalu tatkala Yusuf ‘alayhi al-Salaam meminta agar dirinya diposisikan kepada pengurusan perbendaharaan negara, beliau berkata: 

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)” [Yusuf 12: 55]

HAFEEZ itu adalah soal integriti manakala ALEEM pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda.

Apakah input yang diperlukan untuk mengangkat manusia yang ULAMA berada dari kotak 2 dan 3 kepada Quadrant Par Excellence di kotak 4?

Di sinilah jawapan kepada kayu mengukur kriteria Ulama’ iaitu pada keupayaannya mematuhi seluruh hukum Tuhan pada Syariatullah dan Sunnatullah. Seorang alim yang takutkan Allah bukan hanya takut melanggar hukum Syariat malah juga hukum Sunnatullah. Bukanlah seorang itu dikatakan takutkan Allah apabila dirinya berilmu tinggi tentang halal dan haram, tetapi tidak berasa apa-apa melanggar hukum alam pada pekerjaan dan kehidupannya sedangkan hukum alam itu adalah Sunnatullah yang juga merupakan tuntutan Allah ke atas kita.

Justeru, sebelum Allah Subhanahu wa Ta’aala mengisytiharkan bahawa manusia yang paling takut kepada-Nya adalah para Ulama, Allah Subhanahu wa Ta’aala menjelaskan terlebih dahulu senario-senario yang tidak mungkin difahami kecuali oleh manusia yang menjunjung Syariatullah bersama Sunnatullah.

 وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ وَبِالزُّبُرِ وَبِالْكِتَابِ الْمُنِيرِ

Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasulNya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (Syariat) yang terang jelas.

ثُمَّ أَخَذْتُ الَّذِينَ كَفَرُوا ۖ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ

Kemudian Aku timpakan orang-orang kafir itu dengan azab yang membinasakan, maka perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu.

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُّخْتَلِفًا أَلْوَانُهَا ۚ وَمِنَ الْجِبَالِ جُدَدٌ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;

وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Faathir 35: 25-28]

Ya…

Keterangan itu menjelaskan bagaimana seluruh hidupan di alam ini patuh kepada ketetapan-ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’aala. Itulah cara mereka takut dan khusyu’ kepada Allah, iaitu dengan menjalani kehidupan ini sesuai dengan hukum alam iaitu hukum Allah ‘Azza wa Jalla yang Maha Esa. Jika seluruh makhluk di alam ini hidup dengan kepatuhan yang sedemikian rupa, bagaimanakah pula dengan manusia? Kemusnahan kaum-kaum yang engkar kepada perintah Allah (melanggar Syaritullah) adalah hukum Allah ke atas manusia (Sunnatullah).

Mampukah dikatakan seseorang itu takutkan Allah, dan dia adalah seorang yang Alim (Ulama), andai dia bersolat khusyu’, menjaga halal dan haram dalam kehidupan tetapi dalam masa yang sama menentang hukum alam?

Dia Syariatik.

Tetapi dia tidak Saintifik.

Dengan ilmu Syariat, dilabelkannya manusia yang menolak Syariat sebagai golongan sekular. Tetapi dalam masa yang sama dia menolak hukum Sains (Sunnatullah) yang sebenarnya menjadikan dirinya juga sekular on the other side of the same coin.

KESARJANAAN ERA OTHMANIYYAH

Hal ini sangat ketara pada kaedah pembinaan tsaqafah (ilmu dan pemikiran) seseorang untuk melayakkan dirinya dianggap sebagai Ulama’ di era Othmaniyyah. Taskopruluzade Ahmet(1495 – 1561), seorang encyclopaedist Othmaniyyah yang terkenal dengan kitabnya Shakaik al-Nu’maniya telah menjelaskan klasifikasi ilmu seorang yang diiktiraf sebagai Alim Ulama. Ilmu-ilmu yang perlu dikuasai adalah:

  • The calligraphic sciences: writing implements, styles of writing, etc
  • The oral sciences: the Arabic language amd phonetics, lexicography, etymology, grammar and syntax, rhetoric, prosody, poetry, composition, history and other literary sciences.
  • The intellectual sciences: logic and dialectics.
  • The Spiritual sciences:
  • The theoretical rational sciences: general theology, natural sciences, mathematics.
  • The practical rational sciences: ethics, political sciences.
  • the theoretical religious sciences: the Quran and Sunnah, the sciences devoted to their interpretation – Quranic exegesis, the study of prophetic traditions, Islamic theology and the principles of Islamic law and jurisprudence.
  • The practical religious sciences: practical ethics, etiquette, ihtisab, and all subjects relating to Muslim life and worship.

The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 -1600 by Halil Inalcik (1997), page 165.

Inilah kriteria individu yang dikenali sebagai kelompok Sarjana atau Ulama di era Othmaniyyah. Kriteria inilah yang diletakkan untuk kelayakan seseorang itu mengisi jawatan mudarris, kadi, mufti dan seterusnya Sheikh ul-Islam.

Kesimpulannya, seorang saintis yang menolak hukum Syariat bukan sarjana dan bukan Ulama. Manakala seorang ustaz atau tuan guru yang menolak hukum Sains juga bukan sarjana dan bukan Ulama. Kedua-duanya adalah kelompok songsang yang tidak takut kepada Allah.

DEWAN ULAMA DAN INTELEKTUAL ISLAM

 

Al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa dalam kenangan. Kembali ke Rahmatullah pada April 2000

Semasa Muktamar PAS berlangsung pada tahun 1983, Ustaz Yusuf Rawa yang mempelopori konsep Kepimpinan Ulama sebagai reaksi kepada peralihan era Dato’ Asri Muda kepada kepimpinan yang baru, beliau (Ustaz Yusuf Rawa) telah menukar nama Dewan Ulama PAS kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam.

Katanya:

Pembinaan kembali insan Muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah akan dikendalikan perlaksanaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang akan diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam.

Para Ulama dan intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam di kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli-ahli dan pimpinan mestilah turut secara aktif bagi membantu para Ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.

Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekali gus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing- masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan!

-[Kamaruddin Jaafar (ed.) : Memperingati Yusuf Rawa, pp. 55-66]

Sungguh hebat kenyataan Ustaz Yusuf Rawa ini kerana ia sudah pun dibentangkan seawal tahun 1983. Gagasan Kepimpinan Ulama yang diusahakan beliau bukanlah suatu gerakan untuk menghasilkan para MULLAH sebagaimana yang dirisaukan oleh al-Marhum Ustaz Abu Bakar Hamzah. Sebaliknya ia adalah gagasan untuk merawat paradigma sekular sama ada sekular pada menolak agama, atau sekular pada menolak intelektual sains. Ulama yang berkelayakan memimpin ialah ulama yang harmoni pada konsep ini.

Apa yang diperlukan oleh PAS untuk memenangkan Islam, adalah para ideologue yang pemikirannya telah dirawat daripada dualisma sekularisma yang memisahkan di antara ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu tadi.

Tetapi, apa yang berlaku, hanyalah kepada memadukan golongan Ulama dan intelektual ini di dalam kebersamaan mereka bekerja di dalam satu parti, tetapi memadukan pemikiran, paradigma dan pandangan hidup (worldview) masih belum berlangsung dengan baik. Golongan agamawan berjaya duduk semeja dengan golongan profesional tetapi proses memadukan disiplin dan ilmu masing-masing tidak berlaku. Golongan agamawan melihat banyaknya bahagian mereka yang perlu dipelajari oleh golongan profesional, tetapi tidak pula jelas pada melihat apa yang perlu agamawan ini ambil daripada disiplin dan ilmu golongan profesional seperjuangannya itu tadi.

Pergeseran di antara golongan Ulama’ dan profesional, dalam mendefinisikan kelayakan kepimpinan, menunjukkan bahawa cita-cita al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa masih jauh dari realiti yang ada. Golongan profesional yang sekular mungkin tidak akan mendekatkan diri kepada PAS, tetapi masalah yang besar ialah bagaimana pula dengan ustaz sekular yang menolak ilmu aqliyyah, Sunnatullah atau ilmu Sains di dalam PAS?

Justeru, dalam suasana PAS sedang bergerak menuju kepada kepimpinan negara, keperluan untuk menguasai ilmu secara holistik bagi menghasilkan response yang tepat kepada kemajmukan Malaysia, kecamukan ideologi di dalam politik, ekonomi dan sosial serta gelombang globalisasi yang begitu meruncing, sentimen pergeseran di antara golongan agamawan dengan profesional, hanya akan mengheret PAS berpatah balik ke belakang, lebih ke belakang daripada 1983 yang telah didefiniskan dengan tepat dan jelas oleh al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa.

Sesungguhnya kelayakan memimpin bukanlah pada agamawan atau Profesional, tetapi pada kemurnian aqliyyah Islam yang dicernakan di dalam kriteria Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang kita warisi perjuangannya itu. Itulah ULAMA yang HAKIKI.

Kepimpinan Ulama bukan slogan atau retorik, tetapi satu agenda yang menuntut perubahan. Mengubah pemikiran agar berubah pendekatan dan kaedah perjuangan.

Selamat maju jaya, buat sekalian pejuang agama!

HASRIZAL
43000 BSP

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

16 comments

  1. maksudnya di sini jika seseorang itu ahli sains, tapi pada masa yang sama dia tidak menolak hukum-hakam Islam, dia juga tergolong dalam golongan ulama’ ? betul ke tafsiran saya macam tu ustaz ?

    jzzk khair 🙂

  2. “Sesungguhnya kelayakan memimpin bukanlah pada agamawan atau Profesional, tetapi pada kemurnian aqliyyah Islam yang dicernakan di dalam kriteria Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang kita warisi perjuangannya itu. Itulah ULAMA yang HAKIKI.”

    Bagaimana untuk mendapatkan kemurnian aqliyyah Islam ? Bukankah dengan mendalami ilmu keagamaan yang lantas akan dipanggil orang golongan agamawan.

    Seperti ada gerakan terancang untuk menjatuhkan PAS dengan mengaitkan jemaah ini dengan Syiah dan golongan pimpinannya bodoh tidak ada sifat Al-Qawi. Mungkin penulis ada contoh-contoh individu tertentu, tetapi dalam penulisan di atas ia seperti ditujukan kepada semua pimpinan PAS .

    Dalam artikel diatas juga diletakkan perkataan MULLAH, “tuan guru yang menolak hukum Sains” dan lain lain perkataan yang membayangkan “frame of mind” penulis tentang gerakan PAS ini yang pimpinannya ada pengaruh Syiah dan tidak faham sains dan teknologi (siapa yang individu dalam Malaysia yang orang biasa panggil Tuan Guru)

    Mungkin nanti ada yang akan berkata “tegur sedikit terus melenting”. Isunya bukan tidak boleh ditegur, ramai yang menegur pimpinan PAS semasa Muktamar dan sebagainya termasukkan untuk mengugurkan Majlis Syura Ulama. Bilamana PAS ditegur, teguran dinilai dan tindakan sepatutnya diambil.

    Tetapi sekarang PAS bukan ditegur tetapi di SERANG secara terancangan oleh beberapa individu yang bergelar Ustaz (tak semua Ustaz itu ulama ye). Bila diserang, tindakkannya adalah paling kurang menepis kalau tidak pun menyerang balas. Adakah itu salah?

    Cuma satu lagi persoalan saya, kenapa PAS diserang ketika PAS sedang berada dipuncak sejarahnya? Ada golongan tertentu yang ingin mengambil alih puncuk pimpinan kah?

    http://attakiri.blogspot.com/2012/11/kepimpinan-ulamak-di-pertikai-ketika.html

    Ana Abdullah

    • 1. Ana tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi, tiada apa yang hendak dicapai, dan tiada apa yang hendak dipertahan. Ana tiada jawatan. Hanya ahli PAS seumur hidup yang setakat ini Insha Allah tiada hari yang berlalu kecuali memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk kebaikan perjuangan PAS dan Islam seluruhnya. Tiadanya sebarang jawatan di mana-mana peringkat, boleh diertikan sebagai sisi kelemahan ana, dan boleh juga diertikan sebagai tanda, pendapat ana tiada kena mengena dengan apa-apa kepentingan peribadi. Nothing personal to achieve.

      2. Ana juga tidak ada melobi dan membentuk kelompok penyokong sama ada di kalangan ahli mahu pun orang luar. Jika ada yang bersetuju dan menyokong, itu kerana mereka menerima pendapat yang diutarakan, bukan kerana mereka ‘orang Hasrizal’.

      3. Ana tiada hubungan istimewa dengan mana-mana pimpinan di mana-mana ‘kem’ di mana-mana peringkat, dalam PAS atau di luar PAS, maka isu proksi adalah tidak berasas.

      4. Pandangan ana tentang idea Kepimpinan Ulama, direction of concern bukan ke atas, tetapi ke bawah. Ana sentiasa cenderung kepada aspek pendidikan, perkaderan dan penyediaan generasi, maka pendapat-pendapat ana tentang idea Kepimpinan Ulama itu adalah kerana concern ana berkenaan impaknya kepada proses di bawah, bukan proses di atas.

      5. Pendapat isteri ana, kawan ana, jiran ana, kenalan ana, hendaklah dihormati sebagai pandangan peribadi mereka dan bukan ‘mangsa’ ana. Dan jika ada sesiapa di dalam Muktamar, atau di mana-mana, menimbulkan isu idea Kepimpinan Ulama, mereka menyuarakannya atas pendapat mereka. Mohon tidak ‘menghina’ mereka dengan menganggap mereka terpengaruh dengan saifulislam.com.

      Salam ukhuwwah.

      إن أريد إلا الإصلاح ما استطعت وما توفيقي إلا بالله عليه توكلت وإليه أنيب
      Aku hanya bertujuankan ISLAH sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. [Hud 11:88]

      • Your action is not congruent with what your said. Perhaps you can gain some insight from your study of Al Hujurat.

  3. Wahai saudaraku, tuan begitu asyik dan meminati sejarah. Mungkin sejarah ini dapat tuan kaji dan ambil pengajarannya

    http://groups.yahoo.com/group/shoutussyabab/message/2422

    Apa yang berlaku pada tahun 1986 di USA kini mula berlaku dikancah politik Malaysia. Adakah mereka orang yang sama? Mungkin tuan boleh mengkajinya.

    Mengapa belajar Sejarah?
    http://www.historians.org/pubs/free/WhyStudyHistory.htm

  4. Wahai saudara ku. Kenapa engkau BAN Ana Abdullah ?

    Berdebatlah secara ilmiah bukannya menuntup semua suara yang berlainan dengan tuan.

    Tuan meminta PAS untuk terbuka. Tetapi tuan tertutup untuk mendengar bicara orang yang lain pendapatnya dengan anda.

    Tolong approvekan statement saya sekiranya Tuan betul-betul berpijak diatas paksi kebenaran bukannya kemunafikkan.

    • Di manakah Ana Abdullah itu di’ban’? Maafkan saya. Seriously saya tak tahu. Unless Ana Abdullah itu berubah-ubah nama. Mohon jelaskan kepada saya. Komen tak keluar dan pending approval, ialah apabila dalam komen ada LINK. Ia berlaku secara otomatik oleh sistem AKISMET yang menapis SPAM

    • Saya dah jumpa komen ANA ABDULLAH. Dan saya dah approve.

      “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa” [49:12]

  5. Wahai ahli sejarah. Kajilah sejarah ini.

    http://groups.yahoo.com/group/shoutussyabab/message/2422

    Adalah ia berulang kembali dibumi Malaysia ini ? Adakah mereka orang yang sama? Mungkin Tuan boleh mengkaji.

    Harap-harap penyataan ini tida di BAN

  6. Mohon kemaafan atas ketelanjuran

    Dari Abu Musa Al-Asha’ri, Rasulullah S.A.W. bersabda:
    “Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya”
    (riwayat Bukhari dan Muslim)

  7. Setuju!

    Seseorang pemimpin itu menjadi pemimpin kerana kualitinya, bukan hanya kerana sentimen.

  8. Asmad,
    Give what in your head, is boring when complain without fact.

    Memadukan antara dua kriteria itu bagi aku sudah kelihatan berbanding era 80,90 an dahulu. Cuma perlukan lebih masa dan bersabar suoaya gabungan ini menjadi kukuh.

    Cumanya, Pimpinan tertinggi PAS masih banyak kelembutannya berbanding tegas. Mungkin disebabkan negara Majmuk, mungkin.

    Dan PAS sememangnya parti yang menjunjung tinggi akhlak kesabaran dalam peperangan dakwah.

    Dia ia terbukti!

    Dan orang-orang yang sabar apabila dalam kesempitan, kesakitan dan kefakiran, serta ketika bertempur dalam peperangan. orang-orang yang sedemian sifatnya, mereka adalah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan). Dan mereka juga adalah orang yang bertaqwa. (al-baqarah 177)

  9. Secara peribadi saya rasa isu ini timbul apabila kita melihat beberapa pimpinan ( pendidikan agama ) gagal dalam ‘mengurus’…

  10. Saya tidak bersetuju dengan Hasrizal..
    Maaflah..
    Mungkin tuan masih tidak memahami perjuangan, tuan berada di luar, bukan berada di dalam..
    Saya bersama kepimpinan Ulama’..
    Saya bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang..
    Murabbi Ummah..

    Muhasabah utk diri kita bersama…
    Ucapan Allahyarham Prof. Zulkifli Mohammad pada tahun 1964 sebelum beliau meninggal dunia,
    “Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”.

    • Assalamualaikum sahabat.

      Cukup rasanya dinyatakan bahawa saudara tidak bersetuju dengan pendapat saya. Dan di situ, jika ada perbincangan, perbincangan boleh dibina di atasnya. Tidak perlu kepada dakwaan dan andaian yang tidak benar.

      1. Adakah saya berada di dalam atau di luar. Saudara perlu tahu saya berada di dalam atau di luar berdasarkan pengetahuan. Bukan tanggapan dan memandang dari jauh. Jika tidak pasti, gugurkan persepsi ini sebab ia sebenarnya tidak berkenaan pun.

      2. Artikel ini ditulis jauh lebih lama, seawal 2010 dan tiada kena mengena dengan krisis kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS

      3. Tazkirah tentang keikhlasan… Jangan biasakan diri menyoal keikhlasan orang kerana ia urusan hati yang hanya Allah yang Maha Mengetahui. Jangan buat kerja Tuhan.

Leave a Reply to mohd izudin Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share