“Saya Sahih Sebab Rujukan Saya Sahih!”

“Saya sahih sebab rujukan saya sahih!”

“Kami membawa kebenaran untuk menentang kebatilan. Menyokong kami bererti menyokong kebenaran, menentang kami bererti menentang kebenaran!”

Ini merupakan salah satu penyakit pemikiran yang membimbangkan kita.

Terutamanya dalam trend kembali kepada Quran dan Sunnah, ramai yang ditimpa penyakit ini.

“Oleh kerana alasan idea saya adalah al-Quran, maka idea saya sahih sesahih al-Quran. Oleh kerana rujukan saya adalah hadith yang sahih, maka apa yang saya faham tentang hadith itu, juga merupakan idea yang sahih!”

Penyakit ini menimpa golongan yang menisbahkan fikiran mereka sebagai mewakili teks yang dianggap benar. Ia bukan sahaja berlaku dalam lingkungan Muslim, malah telah wujud juga penyakit yang sama di semua agama. Masalah ini bukan masalah agama, tapi masalah sikap dan pemikiran.

JACOBINS

Ketika menyelak lipatan sejarah, saya teruja melihat gelagat golongan Jacobin.

Semasa Perancis sedang bertarung dengan usaha membebaskan masyarakat dari cengkaman penguasa diraja dan gereja, 1793 memperlihatkan rusuhan besar-besaran yang akhirnya memberi ruang kepada Jacobin mengambil alih pemerintahan. Mereka menganggap bahawa merekalah golongan yang mewakili suara rakyat, memahami aspek keadilan serta baik dan buruk masyarakat.

Mereka menganggap tafsiran mereka terhadap konsep cintakan tanah air La Patrie dan kefahaman mereka terhadap kehendak Social Contract adalah yang paling tepat. Lantas mereka mesti menerima sokongan dan kepatuhan yang mutlak dari rakyat, kerana dari situlah rakyat beroleh kebaikan.

Maximilien Robespierre dan berucap di National Convention di Paris

Antara tokoh terkenal dari kumpulan Jacobin ini adalah Maximilien Robespierre (1758 – 1794). Pemerintahannya dianggap pemerintahan yang luhur, berteraskan rujukan yang sahih, lantas dinamakan sebagai Republic of Virtue.

Tindakannya yang anti perhambaan, memberikan hak sivil kepada komuniti Yahudi dan pelbagai reformasi positif, di peringkat awalnya disambut baik oleh rakyat. Tetapi tindakan yang dinisbahkan kepada memenuhi ‘kehendak iman’ telah menjadikan beliau dan pemerintahannya meng’kebal’kan diri dengan alasan mereka mewakili apa yang sahih.

… to detest bad faith and despotism, to punish tyrants and traitors, to assist the unfortunate, to respect the weak, to defend the oppressed, to do all the good one can to one’s neighbour, and to have with justice towards all men”

Robespierre telah membina ‘imej agama’ kepada masyarakat yang ditadbirnya. Lantas, menentang pemerintahannya dianggap menentang kehendak agama.

Pemerintahan berteraskan tafsiran sahih terhadap kehendak rujukan yang sahih, telah membina sikap tidak boleh dikritik, lantas mereka menghukum sesiapa sahaja yang mempertikai. Mereka membanyakkan perisik untuk memastikan tiada usaha mempertikai dan menentang dari kalangan rakyat, dan sedikit demi sedikit, Republic of Virtue berubah menjadi Reign of Terror!

DI DUNIA ISLAM

Saya bertemu dengan watak ini di dalam pusingan Sejarah. Sama ada Sejarah Islam, mahu pun sejarah yang di luar komuniti Islam. Golongan yang menganggap diri mereka mewakili teks yang sahih, terlupa bahawa teks yang sahih tidak menjadikan apa yang mereka faham tentang teks itu turut sahih dan tidak boleh menerima pertikaian.

Kerana itu, kita bertemu dengan pembiakan golongan yang mengambil teks secara literal tanpa mengambil kira peraturan-peraturan untuk teks tersebut difahami.

Misalnya, banyak hadith sahih tentang hubungan rakyat dan pemerintah diketengahkan. Teks hadith ini cuba untuk dijadikan prinsip siasah secara mudah, sedangkan kefahaman mengenai hadith-hadith itu langsung tidak mengambil kira apakah asbab al-wurud (sebab hadith itu disabdakan oleh Baginda sallallaahu alayhi wa sallam), ‘illah, maqasid, hikmah dan apa yang mahu dicapai oleh Syariat Islam melalui hadith itu.

Lantas, usaha untuk mempertahankan ketaatan rakyat kepada pemerintah diperbesarkan dengan bahasa mutlak, bahawa pemerintah tidak boleh ditegur kerana hadith sahih berkata begitu, atas nama kehendak Sunnah!

Masyarakat diajak agar mengenepikan tanggungjawab membetulkan pemerintah, apatah lagi dengan memperkatakan apa yang benar, kepada pemerintah yang zalim. Sebaliknya tumpuan diberi kepada menjauhkan diri dari menyatakan penentangan kepada penyelewengan dan kezaliman pemerintah, kerana ia dilabel sebagai tradisi Khawarij. Sedangkan taat kepada pemerintah, dan menjauhkan Kalimah al-Haq ‘inda al-Sultan al-Ja’ir, itulah Sunnah.

Fahaman ini sukar diperbetulkan kerana pemikiran pendukungnya ialah “saya sahih sebab rujukan saya sahih”!

Soal menegur pemerintah secara tidak beretika, itu soal lain. Al-Quran sendiri memberi garis panduan kepada insan setinggi Musa tentang cara yang betul menegur manusia sejahat Firaun. Teguran tentunya dengan bahasa yang tidak menjadikan penegur memberanakkan dosa. Teguran tentunya mesti berasaskan fakta yang diteliti. Semua ini kehendak Syariat Islam.

Tetapi memberikan imunisasi kepada pemerintah semata-mata dengan alasan hadith sahih tidak membenarkan pemerintah ditegur, adalah suatu yang menghairankan, bukan hanya kepada rakyat yang Islam, malah kepada pemerintah sendiri.

“Tidak sangka, rupa-rupanya kalau menurut Syariat Islam, kita ini tidak boleh ditegur!”, kata pemerintah di empat penjuru alam Muslim. Siapa yang tidak mahu ‘Islam’ versi ini?

Tindakan para Anbiya’ seawal Nuh ‘alayhi al-Salaam berdakwah terhadap golongan al-Mala’, sirah Nabi sallallaahu alayhi wa sallam yang menolak pemerintahan Jahiliah di zamannya, derita para Imam seperti Imam Malik dan Imam Ahmad kerana tidak menyetujui pendirian pemerintah di zamannya, malah kematian dan derita pejuang Islam di Mesir, Syria, Jordan, Iraq dan di merata pelusuk alam, semuanya dilupakan.

Di dalam dunia kita hari ini, menegur kuasa pemerintah bukan hanya merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh pembangkang. Ia hanya salah satu daripada format menyatakan pendirian. Teguran dan nasihat juga disampaikan dalam format jurnalisma (seperti diskusi Edward Said di dalam bukunya Covering Islam), seni suara, seni lukis, karikatur dan sebagainya. Kesemua format itu berkongsi etika yang sama, bahawa menegur pemerintah adalah sebahagian daripada proses check and balance demi memastikan kuasa berada di tangan yang betul, dan turun ke rakyat dengan polisi-polisi yang betul lagi saksama.

Gerakan Islam, NGO dan pelbagai pertubuhan yang ada di dalam masyarakat, mempunyai pelbagai tanggungjawab dan peranan.

Malangnya, dalam suasana seperti apa yang ada hari ini, agenda menyelamatkan ummah dari ancaman Sekularisma hilang prioriti. Tanggungjawab menegakkan keadilan pada ekonomi, sosial dan undang-undang ditolak ke tepi. Tugas umat Islam menyelamatkan saudara-saudara mereka dari gelombang Riddah apabila manusia murtad menerusi peruntukan undang-undang dan lemahnya penguatkuasaan, sudah tidak lagi dibicarakan.

Malah bukan hanya itu, yang dinamakan sebagai perjuangan Islam.

Bagaimana pula dengan polisi kerajaan dalam isu alam sekitar, pencemaran udara dan air, hinggalah kepada pencemaran budaya dan cara hidup? Semua itu juga sebahagian daripada agenda Islam. Sistem Islam bukan hanya memperkatakan tentang undang-undang, malah mencakupi seluruh aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

Tugas pendukung agenda Islam sangat banyak. Sekurang-kurangnya ia sama banyak dengan kementerian dan jabatan kerajaan itu sendiri. Mereka perlu memantau keberkesanan penguasa di dalam isu kehakiman, sama juga di dalam isu kesihatan, penjagaan alam sekitar, kebajikan pekerja, pendidikan, dan senarai ini berterusan.

Di mana perjuangan al-Quran dan al-Sunnah dalam memperkatakan hal ini, jika kita semua diheret kepada sekadar persoalan “boleh atau tidak kita menegur pemerintah?”. Pemerintah sendiri pun tidak sangka ada isu semacam itu di belakang mereka.

Bukanlah saya bermaksud mengajak pembaca menjadi pembangkang secara membuta tuli. Namun pemantauan oleh rakyat kepada pemerintah, adalah suatu amalan yang terlalu biasa yang manusiawi, tiada apa yang ganjil. Bukan sahaja sistem pemerintahan Islam, malah mana-mana sistem pemerintahan yang sedar akan ‘keadilan’ menerima kepada adanya saluran untuk mereka yang memerintah, dinasihati oleh mereka yang diperintah.

Tetapi dengan krisis pemikiran yang menimpa umat Islam, kita menjadi komuniti yang pelik.

KEGELOJOHAN MEMAHAMI HADITH

Yang diutamakan ialah ‘jangan menentang pemerintah selagi mana mereka bersolat’. Ini berpunca daripada kegelojohan untuk memahami hadith tanpa menggunakan alat-alat Syara’ seperti Usul Fiqh, perbahasan mengenai Maqasid dan sebagainya. Apakah tujuan Rasulullah s.a.w mendisiplinkan proses menegur pemerintah? Ada besar hikmahnya di situ. Soal mencegah kemungkaran tanpa menimbulkan kemungkaran yang lebih besar, diberikan keutamaan di situ. Agar jangan sampai semua orang secara semberono membunuh kestabilan masyarakat demi membetul satu dua kesilapan pemerintah.

Tetapi perincian kepada soal ini begitu malas untuk diambil peduli. Yang penting, saya telah petik hadith yang sahih di dalam pendirian saya. Itu kehendak hadith sahih yang saya rujuk. Saya sahih kerana rujukan saya sahih. Rujukan anda apa?

Hanya dengan ‘Islam’, kesilapan dan kesalahan pemerintah dapat didiamkan! Mahukah anda sebagai mangsa kepincangan profil tinggi, dengan Islam yang begini?

Lalu muncullah agamawan yang sibuk memperingatkan rakyat agar mentaati pemerintah lebih daripada peringatannya agar pemerintah mentaati Allah!

اذا رأيت العالم يخالط السلطان مخالطة كثيرة فاعلم أنه لص

الراوي: أبو هريرة المحدث: السيوطي – المصدر: الجامع الصغير – الصفحة أو الرقم: 628 خلاصة حكم المحدث: حسن

Jika engkau melihat seorang alim banyak bercampur gaul dengan pemerintah, ketahuilah dia itu adalah seorang pencuri”

HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Versi asal 15 April 2007

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

12 comments

  1. Saya juga sakit hati mendengarnya. Di seminar dakwah 2012 baru-baru ini, isu ini juga dilontarkan kepada pihak penganjur apabila ulama terbilang menegaskan pemerintah tidak boleh disanggah. Jawapan masih juga berdolak dalik.

    Menakut-nakutkan dengan Islam pluralisme, liberalisme dsb yang kononnya didokong oleh pihak pembangkang..yang nanti akan membawa kemudaratan yang lebih besar dari keadaan sekarang..Mesej mereka pada pandangan saya ialah: kekalkan pemerintahan sekarang, mudaratnya lebih kecil berbanding mudarat fahaman yang dibawa pambangkang…

    Entahlah…Isu kristianisasi, liberalisme, pluralisme..itu semua adalah cabaran juga..tapi bukankah dengan memasakkan Islam dan akidah yang kukuh dalam diri setiap insan, bimbingan para ulama yang benar, cabaran ini tetap boleh diatasi?

    Semua ini buatkan saya rasa mual dengan politik..hmmm.. 🙁

  2. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    Rasanya, politik sudah menjadi topik perbualan yang sangat tidak popular dikalangan golongan yang teramai dalam Malaysia. Mungkin kenyataan tersebut perlu kepada pembuktian fakta, namun pengalaman bergaul dengan mereka itulah dia. Mungkin politik terlalu kotor sehingga mendatangkan kebencian kepada golongan tersebut.

    Masalah pula bila golongan yang sebenarnya prihatin terhadap negara yang berbual tentang masalah pentadbiran negara dilabel orang politik. Langsung terus tidak mendatangkan minat mereka. Salah satu masalah selain daripada berhadapan dengan golongan ‘saya sahih sebab rujukan saya sahih’.

    Sakit kepala jugak ni…..

  3. Saya sahih sebab rujukan saya sahih itu disampaikan dengan penuh keyakinan kepada orang lain dengan apa yang dianggap sahih itu.

    Lama juga saya meninjau-ninjau sendiri isu ini. Ada sesetengah golongan, yang terus menolak pandangan golongan “saya sahih sebab rujukan saya sahih” ini, katanya mereka, tak boleh pakai, nampak mcm pengampu etc.

    Namun cara mengolah dengan hujah, dan disampaikan dengan penuh keyakinan walaupun nampak hanya beberapa orang membuatkan saya merasakan mereka yakin benar dengan apa yang mereka percaya. Mereka mungkin bukan pengampu.Mereka juga punya rujukan dan ‘ulama-ulama’ besar di sebalik kepercayaan itu. Apatah lagi, ia merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah.

    Dan apabila difikir dari sudut pemerintah, secara logiknya, sememangnya pemerintah sendiri mungkin merasakan “pelik” dengan sokongan hebat golongan “saya sahih sebab rujukan saya sahih ini.”

    Akhirnya, saya sampai kepada kesimpulan utk muhasabah diri saya sendiri. – Apa yang kita tafsir dan kita percaya, bergantung kepada apa yang ada dalam hati kita. Dan bagaimana cekapnya hati dalam mengawal akal untuk memberi satu persepsi.

    Keyakinan , seekor katak di telaga juga yakin kehidupannya hebat. Cakap besar pulak, up selalu.Namun, pabila bertemu si kura-kura yang pernah menjajah lautan, akhirnya si katak sedar apa yang ditafsirkannya sebagai “kehidupan yang hebat” itu sebenarnya hanya sebuah pandangan dari “cara pandang seekor katak di telaga sempit, yang belum pernah menjajah lautan.”

    Mungkin, jika katak ditakdirkan dapat menjajah lautan, cara fikir si katak akan berubah.

    Dan saya rasakan, kita semua mungkin katak-katak itu.

    Dan seekor katak kadangkala, sememangnya ditakdirkan utk hanya hidup di telaga. Tidak mungkin takdirnya menjajah lautan.

    Namun di mana saja, sekadar takdir mentakdirkan hidup kita, samada di telaga atau pun di lautan, kita boleh jadi insan humble, yakin dalam memberi pandangan sekadar apa yang telah kita lalui, namun yakin juga yang kita mungkin salah. Kerana kita mungkin katak yang bicara dari dalam telaga, atas sebab seluruh dunia dan galaksi ini belum mampu kita jajah.

    Hidup sememangnya begitu, jangan begitu yakin dengan tafsiran sendiri, kerana pandangan kita mungkin berubah mengikut masanya.

    Humble lah, berdamailah.

    Kerana kita mungkin katak itu.

  4. rogayah hashim

    tak kenal maka tak cinta….:)..dah cinta jangan sampai jadi buta…

  5. Dah nampak pemikiran seperti ini mula mendapat tempat di hati masyarakat, Lebih2 lg sejak mereka menyertai parti ‘pemerintah’. Diambil pendekatan dan nas yg mgkn sesuai di arab saudi, tetapi wakinya tidak sesuai di malaysia. Lalu disandarkan tindakan2 segelintir yg menegur pemerintah sebagai ‘khawarij’, label anjing neraka, mati dalam keadaan jahiliyah dikeluarkan semuanya berdasarkan hadith yg sahih tetapi kaedah hukum yg tidak jelas. Bila mula mempersoal kaedah pengeluaran hukum dicop pula liberal, muktazilah moden, dan sebagainya, kemudian utk menguatkan hujah, dilaungkan “inilah manhaj dan kaedah para salafussoleh”. Syeikh Yusuf Qardawi dituduh ‘sesat’ tapi x kafir (bahasa enak la kononnya), Syed Qutb dituduh bukan ulama’ kerana tiada pelajaran agama formal dan mati dalam keadaan ‘khawarij’ kerana menentang pemerintah dsbg. Pelik dan ajaib, Syeikh Albani setahu saya memulakan pelajaran dan kajian kritis ilmu hadith berseorang diri dengan menelaah kitab2 di perpustakaan yg dijaga oleh beliau sehingga beliau mahir dan berada di kelas sendiri. Tidak pula ‘pendokong2’ ini mempersoal ke’valid’an Syeikh Albani dalam bidang hadith. Benar la kata Syeikh Yusuf Qardawi, “kadang, Islam lebih byk dizalimi oleh para pemeluknya yg saleh drpd musuhnya yg buruk..”Wallhu’Alam

  6. Betul. Islam bukan sekadar undang-undang semata-mata. Islam adalah cara hidup. Pemerintah yang suka acara hiburan dan duniawi tak perlu diteladani. Pilihlah pemerintah yang taat pada perintah Allah, memahami dan mengamalkan isi Al-Quran.

  7. Ingatkan dalam dunia Islam saja timbul isu taat pada pemerintah. Rupa-rupanya dalam agama lain juga telah berlaku.

    Malaysia praktikkan Dewan Negara dan Dewan Rakyat, yang mana pemerintah dan pembangkang boleh dikritik secara bebas. Jadi, logikkah pemikiran orang yang tidak mahu pemerintah dikritik dengan realiti di Malaysia?

  8. Benar kah semua yang mengajak kepada al-quran dan sunnah begitu? setahu saya yang jahil ini, speanjang mengikuti ceramah dan pengajian mereka yang menyeru kepada sunnah ini, tiada satu pun statement bahawa pemerintah tidak boleh ditegur. Cuma yang ada hanyalah cara teguran dan saluran itu sendiri.

    Ya, para pejuang sunnah sebelum ini seperti yang ustaz sebutkan, Imam Ahmad bin hanbal, Imam Malik bin Anas hatta kepada para sahabat r.h sekalipun, mereka telah menegur pemerintah tetapi bagaimana cara yang mereka lakukan?

    Adakah dengan mengajak rakyat membenci pemerintah? Cara tegurna itu bahkan tidak sama seperti yang dilakukan seperti sekarang. Imam Ahmad bin Hanbal, walaupun dipenjaran dan mempunyai ramai pengikut sehingga bertukar-tukar pemerintahan yang dikatakan zalim ketika itu, adakah beliau pernah mengajak manusia untuk membenci pemerintah? adakah berlaku pergolakan ketika Imam Ahmad dipenjara?

    Begitu juga Imam Syafi’i rahimahullah, beliau adalah orang yang tidak suka apabila dinasihati beliau secara berhadapan, sehingga beliau menukilkan syairnya yang terkenal bahawa beliau diminta untuk menasihatinya ketika bersendirian. Ya, itu fitrah manusia ya ustaz. Fitrah manusia memang tidak suka ditegur secara terbuka dan kita semua sudah pasti mempunyai sikap tersebut.

    Mereka bukan berpegang pada hadith literal, bahkan, banyak hadith yang menyokong hadith tersebut. Pertanyaan ustaz boleh menegur pemerintah yang zalim. Ya, boleh, hadith tersebut memang ada perkataan “inda” yang bermksud berhadapan. Maksudnya, kalau nak dikatakan jihad, pergi bersemuka dengan pemerintah yang zalim dan nasihatkan mereka sekian dan sekian.

    Siapa berani bersemuka dengan pemerintah yang zalim? silap hari bulan mereka akan dipancung kerana menasihati pemerintah seperti itu. Hal itu baru dikatakan berjihad di hadapan pemerintah yang zalim. Jangan salah tafsirkan hadith tersebut. Sama ada ustaz yang membaca secara literal atau saya.

    Wallah’alam. Sekadar perkongsian. Pemerintah bukan tidak boleh ditegur langsung tetapi kaedahnya perlu selaras dengan apa yang diajarkan Nabi Muhammad s.a.w.

  9. Sekadar melontar pandangan

    Sebagaimana Ust pelik bila melihat segolongan pihak yang menggunakan dalil larangan dalam menegur pemerintah, saya juga tidak bersetuju dalam hal ini.Lebih-lebih lagi mereka yang bercakap tetapi dengan nada kepartian.Literal yang mereka gunakan sebagai hujjah tetapi dalam masa yang sama tidak mempratikkan amalan para salafus soleh yang menjauhi dari pemerintah kerana fitnah yang muncul darinya lebih dahsyat berbanding keburukannya.Saya menyokong pandangan menegur, mengkritik pemerintah jikalau atas dasar dan niat menjatuhkan, membenarkan maki hamun atas pemerintah, mengaibkan pemerintah ianya dilarang oleh syarak berdasarkan hadith-hadith yang sohih.Tetapi disana terdapat perbezaan antara mengkritik penerintah dengan tujuan islah, dan kritikan disampai dengan lafaz-lafaz yang sewajarnya yang tidak mempunyai niat langsung untuk mempopularkan diri dikalangan rakyat, bahkan cuma bertujuan islah sahaja.

    Yang pasti, dua nada ini, mempunyai intonasi yang berlainan.

    Dalam masa yang sama, saya juga berasa pelik dengan sebilangan parti yang mengaku memperjuangkan Islam, tetapi lidah-lidah mereka amat tidak sunyi dari memaki hamun pemerintah dan yang malangnya , kebanyakan mereka berstatus agamawan.Mereka menggunakan dalil berkata hak didepan pemerintah untuk menghalal tindakan mereka, menabur fitnah, mengadu domba dikalangan masyarakat Islam.Mereka juga terlibat menyembunyikan dalil larangan menegur pemerintah kepada pemerintah yang mereka tidak sukai, dan dalam masa yang sama menggunakan dalil tersebut untuk pemimpin-pemimpin mereka atas nama wala dan seumpamanya.Pabila kesalahan mereka ditegur , mereka melenting bahkan mengguna dalil tersebut supaya kesalahan mereka disapu dibawah karpet.

    Jadi, apa perbezaan antara dua golongan ini? Satu mengguna terhadap pemimpin yang jahil untuk terus berkuasa, satu lagi mengguna dalil umum kepada khusus tanpa ada makhsus didalamnya?

    ???

  10. Pegang urusan yang besar dan tengok berita hari-hari asyik muka-muka itu juga yang keluar padanlah dengan keterbukaan teguran yang dibuat. Ugama tak jadi nasihat,, mati ! . AlHaq malu nak menonjol sebab golongan spt judul artikel ini. WA.

Leave a Reply to fikri Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share