Mempertahankan Kewarasan Akal (Demi Setia Dengan Kebenaran)

kulliyyahmujtama

Pagi itu di bandar al-Zarqa’, kami berkumpul di Kulliyyah al-Mujtama’.

Ia adalah satu daripada siri tamrin yang perlu kami hadiri.

Tanpa dirancang, saya dipilih (diarahkan) oleh AJK supaya menjadi pengerusi majlis bidan terjun. Tanpa banyak menyoal, saya terima sahaja. Sekurang-kurangnya dengan duduk di pentas sepanjang tamrin, saya mendapat desakan tambahan untuk tidak mengantuk dan langsung tertidur.

“Tolong buat pengumuman ini” tiba-tiba seorang senior memberikan sekeping nota kepada saya. Beliau merupakan salah seorang AJK program berkenaan.

Dahi saya berkerut.

Ada sesuatu yang tidak masuk akal dalam pengumuman yang saya diminta membacanya itu.

arahan

“Ana diminta membuat pengumuman supaya syabab (peserta lelaki) menanggalkan ketayap, sebab tidak mahu kita dikaitkan dengan I.M. (al-Ikhwan al-Muslimun)” saya menyampaikan pesanan.

Siput babi di dalam nota itu adalah kata nama gantian kepada Special Branch (perisik pihak berkuasa tempatan yang sentiasa memantau aktiviti orang ramai)

“Tapi…” saya tidak berpuas hati. Tetap mahu komen arahan yang disampaikan itu.

“Setahu ana, di Jordan ni, orang IM tak pakai ketayap. Mereka pakai kot dan tali leher. Yang pakai ketayap ialah orang Tabligh. Maka dengan memakai ketayap ia tidak akan menjadikan kita kelihatan seperti orang IM. Lagi pun, kalau tak nak kita dikaitkan dengan IM, kenapa buat program di kolej milik mereka ini? Kalau sudah buat program di sini, pakailah macam mana pun, tetap akan dikaitkan. Tetapi sebab pimpinan dah suruh, pecat ajelah ketayap tu!” saya mengomel.

Ada yang ketawa.

Ada yang buat muka menyampah.

Tidak mengapalah.

Apa yang saya boleh sebut kepada anak muda sekarang, sekurang-kurangnya itulah kami dahulu. Apa yang tidak kena, apa yang tidak betul, kami suarakan. Cakap depan. Bukan cakap belakang.

Tidak semestinya kita berkasar. Walaupun sekali sekala terbabas juga.

Melayu memang sinonim berbahasa menyindir. Maka mengubah budaya itu kepada bercakap straight to the point memang sekali sekala jadi terbabas. Jadi kasar bunyinya.

Usia remaja saya, dipenuhi dengan usaha untuk mengekalkan kewarasan diri. Makin bertambah umur, makin banyak benda yang tidak masuk akal, mengajak kita untuk meninggalkan kewarasan. Kadang-kadang kita ditakut-takutkan dengan faktor umur.

“Kamu budak lagi, apa yang kamu tahu!” ini adalah kata-kata yang paling biasa didengari.

Saya pun mengaku, memang semasa kita muda, banyak yang kita tidak tahu. Tetapi sekarang saya sudah tua, dan saya rasa masih banyak yang saya belum tahu. Dan pada usia 40 tahun, jika pendapat saya bercanggah, saya selalu juga disanggah dengan ayat “kamu orang muda, apa yang kamu tahu!”

Bila agaknya saya akhirnya tahu?

Mungkinkah selepas apa yang saya sebut adalah apa yang orang setuju, barulah saya dianggap tahu?

Mengungkit-ungkit tentang mudanya pihak yang tidak kita persetujui, adalah strategi lama. Sudah dipakai oleh kaum Nabi Ibrahim a.s. lama dahulu. Tatkala hujah-hujah Ibrahim tidak mereka senangi, dan gagal disanggah dengan hujah berbalas hujah, akhirnya yang diungkit adalah perihal mudanya ‘budak nama Berahim’ itu (untuk memudahkan kita faham apakah maksud kata-kata kaum Ibrahim di dalam ayat ini):

21_60

“(Setengah daripada) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya (berhala)“ [Al-Anbiya’ 21: 60]

Anak-anak muda yang mencuri-mencuri masa, datang bertemu dengan saya. Mereka tidak sedap hati bertemu dengan saya. Mungkin takut dikaitkan sebagai ular daun, dan terkini jebon. Mereka berjumpa kerana mereka sugul dengan penderaan fikiran yang mereka alami, dalam proses untuk memahami Islam.

Ada ceramah boleh dengar, ada ceramah tak boleh dengar. Ada buku boleh baca, ada buku tak boleh baca. Ada penceramah boleh dijemput, ada penceramah tak boleh dijemput. Kekangan-kekangan ini bukan dibuat atas nama bangsa, seperti zaman-zaman BTN dulu. Tetapi ia dilakukan atas nama agama, fikrah, perjuangan dan dakwah.

Anak muda ini rasa rimas dengan arahan yang mereka dipaksa mematuhinya.

“Apa yang patut kami buat, ustaz?” tanya mereka.

Saya hairan bagaimana di zaman segala-galanya ada di internet, masih ada pihak yang begitu mundur sikapnya terhadap pengurusan maklumat, dengan mengguna pakai sekatan-sekatan Arab Jahiliah yang menghalang Tufail ibn ‘Amr bertemu Rasulullah SAW di Makkah dahulu. Dulu-dulu, Tufayl ibn ‘Amr menyumbat telinga, takut mendengar ‘kata-kata beracun lagi bersihir’ Muhammad SAW. Tetapi sekarang, sambil telinga disumbat iPOD, mata masih bebas membaca dengan satu klik di hujung jari.

Relevan lagikan perbuatan menyekat anak muda daripada tahu?

Atau soalan yang lebih pentingnya, apakah ada anak muda yang masih rela dirinya disekat daripada tahu?

Jika ya, soalnya mengapa?

“Kalaulah ana boleh mencadangkan cadangan yang lebih mudah. Tetapi, jika dipakai pengalaman kami dahulu, satu-satunya cara mendepani pendapat-pendapat yang tidak masuk akal ini ialah MELAWAN!” saya berterus terang.

Berkerut wajah anak muda berkenaan mendengar jawapan saya.

“Melawan tidak semestinya berkasar atau berkelakuan ‘kurang ajar’. Melawan dalam erti kata, jawab, soal kembali, minta penjelasan, desak supaya arahan-arahan tidak masuk akal tersebut dirasionalkan. At least, itulah yang kami buat dulu!” saya tegaskan.

“Bagaimana dengan wala’?” tanya anak muda tersebut.

“Jika wala’ itu maksudnya ikut sahaja dan tidak boleh disoal kembali, ia bukan wala’, ia adalah perhambaan. Ia pembulian fikrah. Dan tiada siapa yang boleh membuli fikiran kita, melainkan kita yang mengizinkannya. Dan semakin ramai aktivis dakwah, membuli pemikiran sesama aktivis dakwah, sama ada kerana mereka sendiri mengalami mental distortions, atau pun anak muda tidak berani mengambil risiko bertanya. Dan apabila bertanya pun sudah mengundang risiko, ia bukan lagi kumpulan dakwah yang relevan. Ia akan mati sebelum sempat menghidu kemenangan” saya menjawab.

Apa jenisnya tarbiah yang tidak boleh disoal dan dibawa berbincang?

21_23

Dia (Allah) sahaja yang tidak dipersoal tentang apa yang Dia lakukan. Ada pun (mereka), semuanya dipersoalkan. [21 al-Anbiya’ : 23]

Malam begitu hening.

Memikirkan fajar yang samar oleh kehadiran mendung yang panjang.

Mempertahankan kewarasan akal, adalah pra syarat untuk kekal setia dengan kebenaran.

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Couldnt agree more. nak memberontak, macam terlalu tak wajar. Kalau dipendam, takut meletup. Melawan dengan cara yang tak kurang ajar merupakan idea yang baik (dengan erti kata lain, mempersoalkan kewajaran arahan yang dikeluarkan dan minta apa rasional arahan tersebut dikeluarkan). Thanks ustaz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share