Meninjau Eropah: Beragama Tanpa Tuhan

Hayy

“Hidup ibn Sedar… jumpa Tuhan tak jumpa agama”, itu terjemahan ringkas saya terhadap kisah seorang lelaki di zaman Andalus.

Namanya Hayy ibn Yaqdhan. Anak muda yang tercampak ke sebuah pulau asing, dan sejak kecil beliau membesar sendirian tanpa pernah bertemu dengan manusia lain. Ala-ala kisah Robinson Crusoekurun ke-18.

Hayy ibn Yaqdhan tidak pernah tahu apa itu ‘agama’. Beliau membesar dengan belajar hukum alam di sekitarnya. Belajar mengajuk cakap binatang, belajar berkomunikasi dengan mereka dan dengan mematuhi hukum alam itu dia selamat.

Tetapi di dalam diri Hayy, ada suatu unsur kuat untuk dia melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Unsur untuk membolehkannya ‘berfikir’ tentang Kuasa Agung di sebalik semua material yang mengelilinginya. Semua ini tidak bermakna kecuali ia dihubungkan kepada Kuasa Agung itu.

Hayy terus menelah kehidupannya dan dia sampai kepada yakin, bahawa tiada kebahagiaan dalam hidup ini kecuali dengan bertafakur dan merenung Kuasa Agung itu, dialah Tuhan.

Hayy hidupnya begitu.

Dorongan fikir dan renungnya terhadap ‘Allah’ melalui mesej-Nya yang disampaikan melalui ciptaan Allah memaksa Hayy untuk dengan sendirinya tunduk rukuk, malah rebah sujud ke bumi. Terasa benar siapa dirinya, hingga tersungkur di depan Dia.

Segala-galanya berubah, apabila Hayy dikunjungi buat pertama kalinya oleh seorang lelaki dari ‘negeri bertamadun’. Lelaki itu bernama Absal.

“Manusia apakah ini yang hidup sendirian, bersalut bulu angsa untuk menyembunyikan anggota sulitnya?” Absal terkejut melihat Hayy.

Setelah puas berusaha meyakinkan Hayy bahawa kedatangannya tidak membawa apa-apa maksud yang tidak baik, Absal dan Hayy bersahabat karib.

Pada renungan Hayy, biar pun Absal ini beragama dengan ‘agama itu’, cara Hayy bertafakkur dan berhubung dengan Tuhannya, selari dengan agama yang dianuti oleh si Absal. Namun, akhirnya mereka berdua akur bahawa ‘agama’ Hayy itu lebih asli berbanding amalan Absal yang hanya berorientasikan ritual semata. Atas kesepakatan ini, Absal membawa Hayy ke negerinya yang bertamadun itu untuk memperkenalkan ‘agama tulen’ si Hayy.

KUASA SEBUAH NOVEL

Kisah di atas bukan catatan sejarah. Hayy ibn Yaqdhan dan Absal hanyalah dua watak fiksyen. Ia merupakan kisah yang dikarang oleh seorang ahli falsafah Arab bernama Ibn Tufayl di negeri Andalusia, untuk mengkritik secara kiasan terhadap masyarakatnya ketika itu.

Ibn Tufayl tidak menyebut apakah agama si Absal yang dikatakan penuh ritual tanpa makna itu. Tetapi agamanya berteraskan sehimpun solat dalam sehari, berpuasa di bulan tertentu, memberi bantuan kepada si miskin dan ziarah ke tempat suci. Sebagaimana agama Hayy ibn Yaqdhan dipraktikkannya tanpa nama, Ibn Tufayl juga tidak menyebut secara jelas bahawa agama yang dikritiknya ketika itu adalah agama Islam yang diamalkan oleh penduduk Andalus.

Mengapa harus dikritik? Mari kita sambung perjalanan Hayy ibn Yaqdhan bersama Absal…

Hayy teruja.

Teruja melihat penduduk negeri Absal beribadah sepertinya. Rukuk, sujud… semuanya serba serbi. Banyak persamannya.

Tetapi Hayy tidak lama begitu. Dia segera mengesan, bahawa segala perbuatan kaum di negeri Absal itu hanya ilusi. Mereka melakukan ibadah secara kosong tanpa makna. Tidak faham mengapa rukuk, tidak tahu mengapa sujud. Justeru ibadah mereka tidak memberi bekas. Tiada kesan.

Kehidupan penduduk negeri itu sibuk dengan huruf-huruf pada teks aturan agama tetapi mereka kehilangan roh aturan agama itu.

Hasrat Hayy untuk mencari manusia pintar yang boleh menerima dan mempelajari ‘agama tanpa nama’nya itu, tidak berhasil. Lantas Hayy dan Absal mengambil keputusan meninggalkan ‘negeri bertamadun’ itu kerana pada hemat mereka, penduduk di situ tidak lebih dari sekadar makhluk yang umpama binatang yang tidak berakal.

Mengapa?

Seperti binatang… hidupnya juga ada peraturan. Malah jarang sekali peraturan itu dilanggar. Tetapi binatang itu tidak mampu memahami maksud agama Hayy, kerana mereka tiada akal. Manusia yang mengikut peraturan tanpa akal, binatanglah mereka!

“Mereka bergantung sepenuhnya pada meniru pesan Nabi dan tradisi agama, secara melulu tanpa berusaha untuk memahami maksud perbuatan mereka itu” simpul Hayy.

PEMURNIAN AGAMA

Apa yang dilakukan oleh Ibn Tufayl di dalam novel fiksyennya ini, hampir sama dengan apa yang cuba dilakukan olehMoses Maimonides kepada Judaism. Agama yang sudah menjadi ritual.

Moses Maimonides

 

Tetapi saya lebih terkasima dengan kisah Hayy ibn Yaqdhan. Lebih dari ungkapan tentang Robinson Crusoe sebagai novel pertama Inggeris, lebih dari Moses Maimonides yang hidup lebih awal, sezaman dengan Ibn Tufayl. Kerana hakikatnya, kritikan Ibn Tufayl kepada masyarakat Andalus melalui kisah Hayy ibn Yaqdhan dan Absal ini, masih relevan dan kena dengan kesengsaraan jiwa saya melihat kelakuan Muslim hari ini.

Agama menjadi ritual.

Kita semakin beragama tetapi beragama tanpa Tuhan.

BERTUHAN TANPA AGAMA

Terdahulu, saya ‘kasihan’ melihat Eropah. Kekecewaan mereka terhadap agama Kristian yang penuh kecelaruan dan bertentangan dengan asas akal manusia, ramai yang lari meninggalkan agama.

Tetapi ini tidak bermakna mereka lari meninggalkan Tuhan. Berbekalkan keyakinan kepada Tuhan, mereka masih terus cuba mengenal pasti kehendak-Nya, tanpa agama. Lantas muncullah para saintis seperti Newton dan terutamanya François-Marie Arouet atau lebih dikenali dengan nama penanya, Voltaire.

Tentu sahaja jika diukur pada soal hablun minallah, maka mereka tidak teratur malah tidak tentu arah dalam cubaan menjustifikasikannya. Tetapi sari pati di sebaliknya masih ada. Fahaman Deism, yang saya simpulkan sebagai ‘berTuhan tanpa agama’, sudah cukup untuk memahamkan kepada kita mengapa tanpa Risalah Kenabian dan Syariat yang jelas, Eropah masih boleh bangkit sebagai sebuah masyarakat yang sistematik dan bertamadun.

CETUSAN SEBUAH REVOLUSI

Liberty… pembebasan

Equality… kesama rataan

Fraternity… persaudaraan

Slogan itu adalah intisari Revolusi Perancis. Ia berperanan besar dalam mendefinisikan kembali apakah itu keadilan bagi sebuah pemerintahan. Keadilan yang menjadi subjek tertinggi turunnya Syariat dari Pencipta alam kepada penghuni alam. Berlaku adil dan kehidupan, dan pemerintahan.

Tetapi sedarkah kita bahawa ketiga-tiga elemen itu, asasnya juga merupakan khasiat sebenar Tauhid dan Syahadah kita kepada Allah?

PEMBEBASAN

Apabila kita lafazkan ungkapan La Ilah… ia menjadi teras kepada sebuah pembebasan. Membebaskan diri dari diperhambakan oleh diri yang lain. Jangan lagi ada manusia yang cuba menindas manusia lain.. La Ilah menyuntik pembebasan. Revolusi Perancis melaungkan La Ilah pada ungkapan Liberté, dan kerana mereka kabur dengan Tuhan sebagai rujukan, Liberté itu berjaya mencetuskan pembebasan tetapi dengan pelbagai kesan sampingan.

Akan tetapi seorang Muslim melaungkan La Ilah demi keluar dari penindasan dan perhambaan, lalu diikat kepada IllaLlaah! Bahawa kita keluar dari perhambaan bukan kepada menjadi Tuan. Kita keluar dari perhambaan sesama manusia, kepada pulang menjadi hamba kepada Dia, Allah Tuhan yang Maha Mencipta.

Kerana itu, antara komen awal yang diterima oleh Baginda sallallahu alayhi wa sallam tatkala melaungkan seruan La Ilaha IllaLlaah ialah “seruan ini dibenci raja-raja yang memerintah”. Sesiapa sahaja yang memahami maksud Kalimah Tauhid itu akan tahu bahawa ia akan melucutkan hak menindas yang dinikmati oleh pemerintah.

Perancis di Eropah bertolak dari Liberté itu kepada égalité atau equality.

KESAMARATAAN

Setelah manusia bebas dari perhambaan sesama manusia, barulah mereka bersedia untuk menerima hakikat bahawa setiap insan dilahirkan sama. Tiada lebih arab ke atas ajam, tiada lebih putih ke atas hitam, malah tiada lebih penguasa dan rakyat, kecuali semuanya sama di hadapan peraturan dan undang-undang. Seruan ini membawa kepada deklarasi tahun 1789 bahawa setiap individu adalah sama statusnya sama ada terhadap hak mendapat perlindungan undang-undang, atau hak dihukum oleh undang-undang.

Inilah juga kesan Tauhid bahawa perlindungan sebuah kerajaan bukan hanya kepada orang kaya, malah turut memberi jaminan kepada si miskin. Hukuman jenayah bukan hanya mengerat tangan si miskin, tetapi juga si kaya serta penguasa. Lupakah kita kepada seruan perpisahan Nabi sallallahu alayhi wa sallam di Hajinya yang satu itu?

 “Wahai manusia sekalian! Sesungguhnya Tuhanmu adalah Satu, dan kamu semua berasal dari bapa yang satu, setiap kalian berasal dari Adam, dan Adam terbuat dari tanah, orang yang paling mulia di antaramu adalah mereka yang paling bertakwa. Tidak ada keutamaan bagi orang arab atas orang non arab, dan (sebaliknya) tidak juga bagi orang non arab atas orang arab. Juga tidak ada keutamaan bagi orang kulit putih atas orang kulit merah, kecuali dengan TAQWA”

Kesamarataan ini adalah intipati keadilan. Dengannya manusia memandang manusia lain dengan rasa kebersamaan. Di atas titik itu mereka berupaya untuk hidup sejahtera, bekerjasama di dalam lingkungan ukhuwwah persaudaraan. Biar pun Eropah memilih pelbagai jalan yang sulit untuk mendefinisikan fraternité atau Fraternity itu, namun mereka komited dalam usaha ke arahnya. Daripada Kristianisasi yang berfungsi sebagai tali pengikat di antara sesama manusia, mereka menyeru kepada rasa cinta kepada tanah air, demi sebuah penyatuan.

 101978-004-1ED1897A

The storming of the Bastille, 14 July 1789

 

JELEK DENGAN EROPAH

Kita mungkin jelek dengan Eropah dan jelek dengan usaha saya membuat perbandingan ini.

“Ada apa dengan Patriotisma ala Revolusi Perancis itu?!” kita mungkin begitu yakin menepisnya, seperti menepis nyamuk.

“Sama rata? Sama rata apa kalau perempuan memakan masa yang panjang dan susah payah yang jerih untuk sekadar membolehkan mereka itu ada hak memiliki harta, dan mengundi? Islam sudah lama begitu” sombong seorang Muslim terhadap Eropah yang dipandangnya penuh jelek.

Ya, jika mahu diungkit kekurangan Eropah, kekurangan itu memang banyak. Apatah lagi jika cerminnya adalah Islam yang silam. Memang jauh sekali hebatnya Islam berbanding Eropah. Tambah pula jangan dilupa, bahawa Eropah itu berTuhan tanpa agama!

Tetapi busuk-busuk Eropah, biar pun dengan ideologi yang pelbagai, mereka mampu bertolak ansur dengan sentimen masing-masing terhadap sempadan negara. Mereka mampu membentuk Kesatuan Eropah. Kita yang Muslim dengan satu Tuhan, satu Rasul, satu Kitab dan satu Syariat itu, mampukah satu itu menghasilkan Kesatuan?

Kesatuan Arab?

Kesatuan Negara Muslim?

Pencapaian terbaik kita setakat ini ialah bersetuju untuk tidak bersetuju.

Jika tanpa agama, Eropah boleh memperelokkan struktur sosial, ekonomi dan politik mereka, apa perlunya dunia ini kepada Islam? Jangan main-main dengan soalan ini, kerana anda wajib bersedia menjawabnya.

Kita bangga dengan konsep Syura, tetapi sejauh mana pandangan orang ramai diambil kira? Usahkan orang ramai, sejauh mana pandangan pihak lawan di dalam medan sekecil parlimen, diambil kira? Tanya sahaja mana-mana negara Muslim, apakah ada Freedom, Equality dan Fraternity yang boleh diketengahkan untuk menandingi Eropah yang dipandang buruk itu?

KEADILAN SOSIAL ALA SUMER

Lawatan 2006 saya ke Dublin mencetuskan sesuatu di minda.

lucan

Standard biasa kebanyakan rumah di Dublin

 Saya melihat hampir kesemua projek perumahan dalam lingkungan usia sedekad ini, dibina dengan spesifikasi yang hampir sama. Boleh dikatakan kawasan perumahan di mana-mana sahaja yang sedang dibangunkan, ia mempunyai standard yang sama. Pembeza harganya hanyalah lokasi. Atas dasar ini, sesiapa sahaja yang mahu membeli rumah, akan membeli rumah yang ITU. Lantas di sebuah kawasan perumahan, bertemulah kita dengan seorang doktor berjiran dengan guru, tukang paip, akauntan, jurutera dan ahli perniagaan. Rumah mereka sama.

Jika ada yang kayanya lebih, mungkin dia akan membeli lebih dari satu rumah untuk pelaburan, atau beli sahaja istana lama di kawasan rural yang jauh dari penempatan awam. Lantas tidak wujud istilah rumah kos rendah di sisi rumah mewah. Tidak ketara di bandar besar seperti Dublin, adanya golongan elit ala Sierra Mas yang mustahil bertemu dan bercampur gaul dengan komuniti perumahan kos rendah di Damansara Damai seberang jalan.

Sungguh….. perkataan apa yang patut diguna di sini?

Sungguh Islamik!?

Teringat saya kepada struktur seni bina bandar Ur kaum Sumer. Rumah ahli agama dan ahli politik serta rakyat jelata duduk di tempat yang sama. Pusat bandarnya pula ada rumah ibadah mereka. Ia menjadi asas tafsiran pengkaji sejarah bahawa struktur begini sulit untuk berlaku kecuali dengan kuasa agama, agama Tauhid yang memberikan equality kepada sesama manusia.

Hampir semua tamadun purba ada kesan wahyu dan kenabian padanya, biar pun sulit untuk kita buktikan secara jazam. Tetapi Tamadun Eropah nyata berbeza. Tiada nabi yang diutus untuk mereka selain Nabi Muhammad sallallahu alayhi wa sallam sebagaimana kita. Tetapi bagaimana kesan yang hanya mampu dicetus oleh sari pati Tauhid boleh kelihatan dalam banyak aspek kehidupan Eropah hari ini?

Soalan ini terbuka kepada perbincangan.

Equality di Eropah bukan mainan ceramah atau tulisan, ia adalah nilai teras justeru dapat dilihat dalam polisi awam dan dinikmati oleh semua.

Dublin dan Eropah itu tidak punya Islam. Tetapi mereka ada nilai Islam. Eropah berTuhan tanpa agama.

MUSLIM BAGAIMANA?

Kita ada serba serbi.

Rujukan kita lengkap.

Bukan sahaja lengkap, malah jangan dicabar kesahihannya. Persenjataan ilmu kita amat kukuh untuk mempertahankan ketulenan agama kita.

Tetapi, dengan agama yang sahih itu… apakah terbit nilai yang sebenar? Apabila Allah SWT memerintahkan kita agar berlaku adil, dapatkah manusia lekeh setinggan dan manusia elit di puncak bukit menikmati keadilan yang sama? Apakah pembaham rasuah jutaan ringgit, boleh dihukum sebagaimana terhukumnya si miskin yang mencuri susu untuk minuman anaknya?

Bagaimanakah layanan pemerintah di negara-negara Muslim terhadap rakyatnya? Terhadap pembangkang di dalam sistemnya? Terhadap kebolehan bersuara memberikan pandangan? Adakah ruang untuk seorang rakyat biasa di atas kerusi roda masuk ke parlimen untuk menyoal pemimpin tertinggi, seperti nikmat hari Rabu di sebuah Parlimen tanpa Islam bernama Westminster?

Jika semua itu tidak wujud pada amalan, di manakah silapnya?

Hayy ibn Yaqdhan akan lebih terseksa jika ziarahnya sampai ke kehidupan kita hari ini.

Agama kita hanya ritual. Bukan sahaja ritual pada sujud dan rukuk, malah ritual dalam segala-galanya. Tanpa makna.

Kita solat, berpuasa, berzakat dan berhaji, tetapi sejauh mana solat menjadikan kita ini sujud dan tunduk di luar solat? Sejauh mana puasa membebaskan diri dari perhambaan kepentingan peribadi, kepada mengutamakan kepentingan yang Maha Tinggi? Sejauh mana zakat kita menjadikan komuniti Muslim sebagai komuniti yang saling menjaga kebajikan si miskin yang tiada status sosial? Sejauh mana haji kita menjadi kemuncak Freedom, Equality dan Fraternity?

Kita berusaha keras untuk mensahihkan penampilan luaran ibadah kita, tetapi pedulikah kita kepada roh ibadah itu sendiri?

Ia bukan soal Sufi Tasawwuf atau falsafah putar belit… ia adalah maksud beragama sebagai jalan berhubung dengan Tuhan. Apakah kita benar-benar berhubung dengan Allah melalui solat kita yang sahih itu? Jika kita berhubung, mengapa Solat kita tidak melahirkan manusia hamba? Lebih ramai yang sahih solatnya, lebih ramai yang berkelakuan seperti tuan, bukan hamba seperti yang sepatutnya.

Itu dalam soal ibadah individu.

Bagaimana pula dalam soal yang lebih besar?

RITUAL DALAM BERPOLITIK

Tunuslu Hayreddin atau Khayr al-Din al-Tunisi, bekas presiden Tunisia yang juga Menteri Utama Khilafah Othmaniyyah di zaman Sultan Abdul Hamid II, sudah mengingatkan kita bahawa keupayaan Eropah untuk maju, misalnya di zaman Charlemagne, bukanlah kerana Kristiannya mereka. Tetapi kemajuan itu dicapai atas komitmen mereka kepada JUSTICE, keadilan!

Inilah yang mesti disedari oleh pemerintah Muslim, bahawa mereka harus sedar bahawa maksud Islam dalam pemerintahan, ialah pada menegakkan keadilan. Tidak cukup menjadi pemerintah Muslim, jika pemerintahannya kosong dari komitmen kepada keadilan.

Apa maknanya tertegak sebuah pemerintahan yang diwartakan sebagai pemerintahan al-Quran dan al-Sunnah, jika ia jauh dari komitmen terhadap keadilan? Keadilan adalah akhlak sebuah kerajaan yang lurus.

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (Al-Nisaa’ : 58)

Sebagaimana Hayy ibn Yaqdhan kecewa dengan penduduk negeri Absal yang ‘menyembah teks’ kerana berkelakuan seperti haiwan tanpa akal, saya juga terus berkongsi kekecewaan dengan golongan agama yang berkelakuan yang sama hari ini.

SALAF DAN KHALAF

Salaf dan Khalaf berkongsi masalah yang sama. Fazlur Rahman pernah memberikan komen tentang gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab, bahawa Muhammad bin Abdul Wahhab mahu membasmi taqlid dari masyarakat, tetapi beliau telah membuang instrumen terpenting untuk seseorang keluar dari taqlid, iaitu akal. Lantas mereka yang mengikut manhaj Muhammad bin Abdul Wahhab berpindah dari satu jenis taqlid, kepada taqlid yang lain.

Bagi khalaf pula, biar pun mereka tegas mempertahankan gagasan pembelajaran aqidah melalui Ilmu Kalam, tetapi sebahagian mereka turut bermusuh dengan seruan akal. Apakah ada sebab untuk Sifat 20 dipertahankan, jika dalam masa yang sama kita menolak fungsi akal dalam memahami agama.

Lantas kedua-dua golongan ini terus berbalah di sepanjang sejarah, atas kesepakatan mereka menolak faculty of reason. Jika ada yang cuba keluar dari dua kelompok ini, segera pula dibungkus dengan plastik berjenama Muktazilah! Habis cerita…

SIASAH

Soal pemerintah yang melakukan kesilapan dan kesalahan, ia adalah sesuatu yang lumrah. Ia terbit dari sifat asli manusia. Kerana itu sains politik diletakkan sebagai cabang disiplin sains sosial (sains kemanusiaan). Apa sahaja ideologi yang menjadi dasar sesebuah negara, ia akan memperuntukkan kaedah check and balance untuk mengawal keadaan ini. Biar pun pemerintah tidak gemar dengan pembangkang, tetapi untuk menafikan peranan pembangkang sebagai pelengkap kepada sebuah sistem, belum ramai yang sampai ke situ, kecuali pemerintah maha diktator.

Tetapi penyembahan teks tanpa peduli kepada maksud Syariat Allah, menjadikan lahir segelintir ilmuan agama lebih rela melihat berleluasanya kemungkaran, berbanding usaha membetulkan keadaan.

Sebagai suatu kajian kes rujukan, munculnya golongan ni atas pegangan mereka kepada teks Sunnah yang menyebut larangan menegur pemerintah secara terbuka, mereka mematuhinya tanpa peduli kepada apakah maksud di sebalik perintah itu. Apa yang mahu dipertahankan ialah, jangan ditegur pemerintah itu. Baik di parlimen, atau di mana sahaja.

Soal maksud pemerintahan untuk menegakkan keadilan terhadap rakyat, semacam terlalu murah untuk diberi perhatian.

Lantas Eropah tanpa agama, lebih telus dan komited dalam melaksanakan keadilan kepada rakyatnya, berbanding negara mahu pun negeri al-Quran dan al-Sunnah. Lihat nasib pembangkang di negera dan negeri itu, lihat kekebalan pemerintah di negara dan negeri itu? Di situlah suburnya maksiat. Mungkin bid’ah rakyat rancak dihapuskan, tetapi maksiat pemerintah dan ketidak telusan dalam pemerintahan, dibiarkan begitu sahaja kerana kepercayaan bahawa pemerintah tidak boleh ditegur, bersabar ke atas maksiat mereka adalah jalan Taqwa.

Sesungguhnya ini adalah kepercayaan membuta tuli terhadap teks yang diangkat sebagai subjek sembahan, menurut tafsiran Ibn Tufail di dalam novel kritik sosialnya melalui watak Hayy ibn Yaqdhan dan Absal. Apa yang mahu dicapai oleh seruan Baginda SAW langsung tidak dipeduli, Apatah lagi seruan oleh Rasul yang sama terhadap tuntutan kalimatul haq ‘inda Sultan Jaa’ir.

Ketika semua ‘agama’ dan ideologi menerima bahawa kestabilan negara mesti dijaga, kerajaan mesti berlaku adil, dan kesilapannya mesti diperbetulkan, melalui pelbagai sistem yang ada, tiba-tiba hanya ada satu versi sahaja yang muncul memberitahu sebaliknya. Dan ia muncul atas nama al-Sunnah. Bahawa mengkritik pemerintah ialah suatu dosa!

Dosa warisan puak Khawarij!

Jika Hayy ibn Yaqdhan masih hidup, mungkin komennya semasa mendarat di semenanjung ini ialah… this is a pseudo religion, agama saduran!

Tidak hairanlah, Muhammad Abduh pergi ke Paris dan pulang ke Kaherah, membuat kesimpulan bahawa, “aku ke Paris dan kutemui Islam tanpa Muslim, dan aku pulang ke Kaherah dan kutemui Muslim tanpa Islam!”

Kita bersolat sekadar ritual.

Kita berzakat sekadar ritual.

Kita berpuasa secara ritual.

Kita berhaji secara ritual.

Malah kita berekonomi secara ritual, dan malang sekali… kita juga berpolitik secara ritual.

Eropah bertuhan tanpa agama, Muslim beragama tanpa Tuhan. Eropah sesat menuju Akhirat, Muslim muflis dunia dan nasibnya juga belum tentu di Akhirat. Lantas agama kita kosong dari nilai… hanya ritual seperti kepatuhan lembu terhadap naluri laparnya yang menuntut rumput.

Yang enggan hidup dengan akal itulah haiwan ternakan, bal hum adhall!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi

Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. …

32 comments

  1. Syukran ustaz.. Artikel yg sangat membuka minda dan membawa diri untuk menilai sejauh mana agama itu tertegak dlam diri sendiri. Lailahaillallah..

  2. Deep!! Jazakallah khayr katheera Ustaz 🙂

  3. Jzkk ustaz atas perkongsian. Sejujurnya ana perlu masa untuk menghadam satu demi satu tulisan ustaz. Hal ini kerana, lenggok bahasa ana tidak setinggi ustaz. Namun dipaksa jua membaca penulisan ilimiah ini kerana tajuknya cukup dekat di hati…jika tidak dipaksa membaca penulisan akademik sebegini, rasanya diri ini tidak akan dewasa meski umur makin dimakan masa.

    Walaupun belum dapat betul2 menghadam semuanya, sudah cukup menitiskan air mata. Sudah lama ana mengalami konflik dan mencari model Islam yang dapat ana ikuti dalam seharian. Dulu amat sukar, bagaimana ingin melihat Islam as a way of life saat diri dibesarkan dalam konteks Islam yang sempit. Sukar melihat bagaimana orang yang faham agama sewajarnya cemerlang di dunia dan akhirat kerana mereka membawa identiti muslim yang terbaik. kerana yang tampak di depan mata cukup berlainan

    doakan ana dapt jumpa apa yang ana cari. Ana benar2 ingin faham apa itu Islam yang definisinya ckp besar, utk seluruh manusia

    semoga Allah memberkati ustaz atas tinta yang cukup baik (sesungguhnya ia tidak membuang masa 🙂 )

    • Harap doakan sy sekali ye ustaz.. doakan kami temui apa yg kami cari dlm hidup ini.. iaitu untuk mencapai tujuan utama manusia dihidupkan

  4. Soalan untuk ustaz

    Ustaz jzkk atas perkongsian.
    (ana minta maaf kalau ini keluar tajuk) tp jika ustaz dapat cadangkan kepada ana buku yang sesuai untuk ana baca yang menceritakan konsep
    1) siapa Allah
    2) Apa itu Islam : dari segenap aspek kehidupan -ekonomi, politik etc
    3) tanggungjwab sebagai mukmin

    • Susah sikit nak jawab…

      Mungkin baca dan terus baca. Manfaatkan buku-buku yang ada. Dalam masa pembacaan itu, akan dapat jawapannya Insha Allah

  5. hamba yg sedar ahmba

    ustaz, penjelasan ustaz ni menarik, tp saya kira ada kekurangannya. dia menjadikan golongan pluralisme semakin bangga dgn perjuangan mereka dgn tulisan ini. ustaz mengatakan tidak cukup hanya dgn muslim utk menjadi pemimpin, tp perlu perjuangkan keadilan. bg saya, ustaz seolah2 tidak yakin dgn kemampuan muslim. bg saya, jika dia muslim yg bertaqwa, knp persoalkan? dia betul2 dalam agama, bukankah agama dh mengajarkan segala cara hidup, cara memimpin dll?

    ustaz juga seolah2 merendahkan golongan yg hanya mengamalkan amalan ritual, dgn menggambarkan binatang yg tidak berakal. bg saya amat berat perkataan ‘binatang’ ni digunakan. mmg lah kita perlu kaji apa yg kita lakukan, tp xsemua amalan kita boleh kaji. kalau mcm tu, bagaimana nk kaji ilmu ghaib? xkan nk kata beriman dgn ilmu ghaib itu binatang?

    saya tahu ustaz akn menjawab dgn pandangan ustaz. saya lihat di fb ustaz, huraian2 ustaz agak pelik, seolah2 ustaz sahaja yg betul. ustaz mengajak berbincang, tp bila org kemukakan hujah, ustaz cuba nk patahkan dgn bahasa2 ustaz yg hebat dgn penulisan.

    maaf ustaz, saya kira kehebatan ustaz dlm menulis ini perlu melahirkan pejuang islam, bukan hanya mempersoalkan, ataupun hanya berbicara tentang cinta yg bg saya hanya melembikkan umat.

    saya bergerak dlm jamaah, saya dpt beza ustaz yg hanya hebat di alam maya, dan ustaz yg berkorban dlm medan jamaah. saya harap ustaz bkn hanya hebat di alam maya, tp berkorbanlah di alam realiti.

    maaf. assalamualaikum.

    • banyak benar ‘seolah-olah’nya.

      tak jawab = penakut

      jawab = dia sahaja yang betul

      baca dengan lapang hati. yang sesuai, ambil. yang tidak sesuai, tinggal.

    • hamba yg sedar ahmba,

      “saya bergerak dlm jamaah, saya dpt beza ustaz yg hanya hebat di alam maya, dan ustaz yg berkorban dlm medan jamaah. saya harap ustaz bkn hanya hebat di alam maya, tp berkorbanlah di alam realiti.”

      Pertamanya awak ni kenal ke siapa ustaz hasrizal? duduk 24jam tak bersama ustaz hasrizal? penilaian awakni seakan-akan awak terlalu dekat dengan ustaz. Komentar macam rapat sangat sampai “judge” ustaz sedemikian rupa. Btw, berjemaah tidak menjadikan kita hebat ye.

      “maaf ustaz, saya kira kehebatan ustaz dlm menulis ini perlu melahirkan pejuang islam, bukan hanya mempersoalkan, ataupun hanya berbicara tentang cinta yg bg saya hanya melembikkan umat.”

      Keduanya, tarvelog dan tulisan ustaz hasrizal tentang cinta pada saya lebih banyak memotivasikan berbanding melembikkan. Saudara/i cinta adalah satu kuasa, letaknya dalam hati. Raja paling berkuasa dalam seluruh anggota tubuh badan manusia. Maka perlu panduan. Ustz hasrizal “share” dengan kita sebagai panduan. Panduan untuk menghadapi isu yang dekat dengan remaja yakni cinta. InsyaAllah menguatkan dan memotivasikan. Saudara/i mungkin tersilap baca naskah ustaz kalinya, sampai mengatakan melembikkan.

      Maaf kalau saya ada tersilap bicara.

      • Setuju dgn Suza..n utk hamba yg sedar ahamba..mgkin anda baru nak mengenali tulisan us hasrizal..klu dah lama,barangkali anda perlu utk betul2 cuba memahami terlebih dahulu sblm kata apa yg anda katakan tadi..pasti positif maksud yg sampai..cz sy sperti anda klu sekiranya sy x cuba utk memahami melainkan mencari kesalahan n kelemahan..

    • errr “hamba yg sedar hamba”,

      kata bergerak dlm jemaah. tp adakah jemaah itu dlm saf yg betui. jgn nak jadi mamat propa la beb. tue. dekat Permatang Pauh tu, ada satu Masjid Besar kaler HIJAU lagi. Aper citer beb. Pengerusi dah pasang papan tanda tak boleh letak motosikal dalam dan depan pintu masuk muslimat. Tapi mamat yg “gebang” selalu kata dlm jemaah tu la yg dok langgar peraturan.

      Lagi satu, setiap tahun lembu dok tumbang 8-9 ekor sampai berbelas. Tapi golongan asnaf [ibu tunggal, anak yatim dan warga emas – 90tahun] dah dekat 10 tahun Xpernah dpt bahagian daging korban. Itulah dia “Geng Duduk Dalam Jemaah”. Masjid Hijau…….batu. Tiap-tiap mlm kalau boleh citer bab bulan bintang. Tapi “HAPRAK”?……..

      Hehehe. maaf ustaz. lari tajuk. sekali skala gedebush geng dlm jemaah nie skit.

    • Rizal Md Radzi

      anda memahami apa yg ustaz sampaikan itu dgn pemahaman di luar konteks. cuba baca byk kali dan baca artikel2 lain yg ustaz tulis, insyaAllah anda akan faham style pemikiran ustaz hasrizal dan seterusnya dapat memahami apa yg ustaz nak sampaikan.
      kurangkan assumption utk perkara2 yg ustaz tulis secara umum.

  6. assalamualaikum ustaz. ape jwpn kpd soalan “Jika tanpa agama, Eropah boleh memperelokkan struktur sosial, ekonomi dan politik mereka, apa perlunya dunia ini kepada Islam?”

    • mudah bagi msyarakat eropah menerima Islam mungkin sbb mereka sendiri mengalami sistem sperti ini di sana.. perlunya mereka menemui apa yg dicari dlm hidup… perlunya kita menilai apa yg hilang nilai dalam agama diri kita..

  7. insaf diri baca artikel ini, terasa tak gune akal ni sepenuhnya.

  8. bila gak tau salah mana mungkin tau benar…..tadz ni dari ana, jangan mulu ambil bijinya,kulitnya dibuang,,,,,,,,biarlah hanya ritual lama-lama juga akan sadar…….

  9. menarik untuk dihayati, motto ABIM bertemakan “menegakkan kebenaran dan keadilan”

  10. Salam.

    saya pun ahli gerakan Islam yang bergerak dalam jemaah juga. Tapi saya setiap kali saya baca artikel2 ustaz saya dapat semangat baru. Alhamdulillah.. saya juga membaca tulisan para ilmuan lain. ada antara mereka bekerja dalam gerakan Islam dan ada yang tidak. tiada masalah. kita mengutip ‘sesuatu’ dari setiap yang kita baca. tulisan-tulisan berbentuk pukulan begini bagi saya amat diperlukan. supaya kita tak syok sendiri.

    masalah ahli gerakan ialah tidak menerima apa-apa melainkan dari murabbi mereka. tak tahulah taksub atau apa. malah ada di antara mereka malas membaca. Afwan..

    Moga ustaz terus mengkritik dan memukul. kepada sesiapa yang tidak terima, bak kata ustaz, “yang sesuai ambil, tak sesuai tinggal”.

    Wallahu’alam.

    • Waalaikum al-Salaam Abu Umar.

      Bagi yang kuat semangat, saya akan berkata, saya tidak simpati dengan anak muda dalam gerakan Islam yang rasa pemikirannya dibuli dan dia tidak berbuat apa-apa. Mengembalikan gerakan Islam / jemaah ke landasan AL-FAHMU – AL-IKHLAS – AL-AMAL sangat berliku tunas-tunasnya sering dipatah mati.

      Selamat berjuang adinda / kekanda!

  11. basri bin abdullah

    salam…adakah ustaz setuju dgn cadgn debat oleh ustaz emran ahmad di sinar harian…http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/dua-nama-sesuai-debat-dengan-kassim-ahmad-1.252436

  12. Assalamu’alaikum wbt.

    Hmm.. ustaz meninggalkan persoalan yang berat.. pada pandangan saya yang baru setahun jagung ini. Saya faham (rasanya) ustaz bukanlah menagih jawapan terhadap persoalan2 tersebut tetapi lebih kepada muhasabah untuk para pembaca. betul ea ustaz?

    Saya teringin nak berkongsi & juga bertanya pandangan ustaz tentang link di bawah ini. Adakah disebabkan perancangan mereka @ sebenarnya kita sendiri yang terlalu lemah? Bila baca link tersebut, seolahnya meletak kesalahan di bahu orang lain. Saya bukan bersetuju, malah kalaupun betul puncanya dari mereka… apa yang boleh dibuat? Perubahan tu, berbalik dengan diri sendiri juga. Cuma, benarkah puncanya bermula di situ?
    Saya bukanlah ahli dalam sejarah, melainkan sedikit yang saya tahu dan link tersebut sangat membantu saya. huhu.

    Saya faham, kalaupun saya tahu jawapannya… ia tidak menyumbang untuk keadaan yang lebih baik, melainkan satu nilai tambah buat saya sebab dapat berkongsi pandangan dengan ustaz.
    Macam mana ustaz?

    http://suatuperkongsian.blogspot.com/2011/03/1924-bring-back-islam.html

    • Tetiba rasa nyesal. Takpe la ustaz… saya tataw macam mana nak delete komen di atas. huhu. T_T

  13. Assalamualaikum ust, Jzkk. Satu tulisan yang sangat menarik. Mudah-mudahan menjadi loceng untuk ummah bangun dari mimpi.
    Tapi saya kurang bersetuju dengan penyataan ustaz, “Kesamarataan ini adalah intipati keadilan”. Setahu saya yang sangat dhoif ini Keadilan adalah bilamana kita meletakakkan sesuatu pada tempat yang betul. Dan Keadilan bagi seseorang pemimpin apabila membentuk dan membina masyarakatnya untuk meletakakkan sistem terbaik(sistem islam) sbg sistem kehidupan. Saya kurang bersetuju pada maksud kesamarataan adalah intipati keadilan. Mungkin ustaz boleh jelas dengan lebih terperinci berkaitan dgn kesamarataan. Jzkk Ustaz. 🙂

  14. Assalamualaikum warahmatullah.

    “In a hole in the ground there lived a hobbit.” Apabila Tolkien dipinta menulis lanjutan The Hobbit, beliau telah mereka legendarium Middle Earth, pada masa yang sama, menggunakan ruang dan peluang untuk meneroka kepercayaan Catholic beliau. Begitu juga CS Lewis, menerusi Legendarium Narnia, mereka meneroka theology mereka melalui God the Father, the Emperor beyond the Sea dan Eru Iluvatar.

    Tuan telah memetik Ibnu Tufayl yang mengguna tulisan fiksyen meneroka masalah agama.

    Apakah Tuan berkira-kira untuk menulis karya fiksyen untuk anak-anak di samping menerapkan nilai-nilai ketuhanan dalam diri mereka?

  15. Tertarik saya pada pandangan ustaz berkenaan perumahan di Dublin. Yang mana awalnya, bila saya sampai di Dublin, saya cuba bandingkan gaya perumahan di Dublin dan ‘kampung’ saya, PJ. Pada mulanya saya rasa perumahan Dublin agak bosan sebab stail dan design rumah semua sama je. Takde Freedom of Choice! Berbanding kawasan Petaling Jaya yang mana rata2 penduduk bebas me-renovate rumah ikut cita rasa masing-masing.

    Tapi ustaz telah bagi satu sudut pandang lain kepada saya, untuk melihat ‘Equality’….. yang mana ia lagi penting. Terima kasih.

  16. Salam

    Benar tu ustaz.

  17. Perkongsian yang menarik. Sejujurnya saya bersetuju dengan pandangan ustaz bagaimana Muslim hari ini sekadar bertopengkan agama.

    Adapun ada satu persoalan dari artikel ini yang mungkin sekadar pemerian ” Apa rasionalnya Islam pada dunia? (maaf saya tidak ingat ayat sebenar).

    Mungkin Ustaz harus olah sedikit berkaitan rasionalnya Islam. Bukan mengapa takut ada pihak yang mungkin menyalah tafsir pernyataan ini kepada “equality of religion” yakni pluralism.

    Saya tidak menafikan bahawa bangsa Eropah amat maju. Maju dari segi tamadunnya, siasahnya mahupun mungkin moralnya.

    tapi Ustaz pernah tak meronda-ronda bandar-bandar di UK pada waktu malam? Ya waktu malam di mana hanya pub dan bar sahaja dibuka. Di situ kita dapat lihat betapa kosongnya roh mereka. Dimanakah “Tuhan” mereka?

    Ya saya tidak menafikan di Malaysia juga berlaku benda yang sama tapi saya cuma mengharapkan daripada Ustaz artikel yang mungkin menaikkan izzah kepada agama,

    Maafkan saya mungkin Ustaz sudah bermaksud begitu tapi mungkin disalahtafsir oleh golongan yang cetek ilmu dan sastera seperti saya. WA.

  18. Menarik! Saya setuju dengan apa yang ustaz tuliskan. Saya pernah berada di bumi arab, dan kini saya berada di bumi matahari terbit, jauh sekali perbezaan mereka dari segi kelakuan, akhlak, suasana dan semuanya. Di sana beragama tanpa tuhan, disini bertuhan tanpa agama!
    Senang kata, saya ke negara jepun bertemu Islam tanpa menemui muslim, saya ke negara arab, bertemu muslim tanpa islam! (Olahan saya dari yang asal)

    Saya ada kenalan di tempat kerja disini, berasal dari vietnam, percaya wujudnya tuhan, tetapi tidak beragama. Baginya agama sama sahaja, untuk ritual semata-mata, tidak memberi perubahan kepada si penganut. Baginya sudah memadai percaya adanya tuhan.

    Bak kata ustaz, “(mereka) sesat menuju akhirat, muslim muflis dunia, dan nasibnya juga belum tentu di akhirat.”

  19. Artikel lama diulang siar.. Alhamdulillah boleh saya ulang kembali hasil tulisan ustaz berkenaan tajuk ini.

    Namun, satu kesempatan yang tidak diperolehi oleh saya ketika artikel ini mula-mula dikeluarkan, ialah membaca ruangan komen.

    Namun untuk keluaran yang diulang ini, saya merajinkan untuk membaca ruangan komen, kerana dengan tiba-tiba, saya telah menjadi pembaca webpage Saifulislam yang rajin mengomen, 3-4 hari lepas.. tak tahu kenapa, mungkin kerana isu Jebon.

    Apa yang saya takut, telah menjadi kenyataan. Sesungguhnya, peranan ustaz untuk menhapuskan ‘taksub’ dikalangan masyarakat Muslim, telah terjadi pula terhadap ‘rakan-rakan’ disini, yang taksub dengan ustaz. Melihat mereka men’defend’ ustaz dari kenyataan seorang yang tidak bersetuju dengan ustaz, membuatkan saya keliru dengan ‘rakan-rakan’, kenapa sehingga begitu sekali kamu menghentam budak itu?

    kenapa tidak mahu menjadi seperti tuan punya web page, yang berlapang dada dengan kritikan pedas… nampaknya jihad ustaz untuk meng’adab’kan akal fikiran masih panjang..

    Teruskan perjuangan, ustaz,.. kerana matlamatnya masih jauh, namun ianya dekat. 🙂

  20. Jika muslim beragama seperti ‘penduduk negeri bertamadun ‘ dalam kisah itu , sudah pasti adanya suatu mekanisme dalam agama Islam yang boleh membetulkannya kerana tiada lagi nabi sesudah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Apakah mekanisme nya ustaz ?

    Setakat ini satu formula yang saya berkaitan kehidupan, hidup ini adalah mencari ‘the truth and the balance’ . Berjaya menemui truth tetapi masih gagal mendapatkan balance…

    Ini masalah ‘proses’ kan ustaz? Minta beri cadangan

  21. Indah Harlina

    As Salam,

    Saya setuju dengan pendapat Mazwandi, kita tidak akan mampu nak pleasant semua orang atau membuatkan semua orang bersetuju dengan pendapat kita, kadang2 mereka hanya ingin mengujudkan provokasi bukan untuk melihat atau mengetahui sedalam mana ilmu kita tetapi lebih kepada menilai sejauh mana kematangan kita dalam menangani isu-isu seumpamanya, kadang2 sikap kita yang menyebabkan wujudnya perasaan atau sikap sinis orang lain dengan apa yang kita sampaikan. Bak kata orang, mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

    Semoga kita semua akan terus berada di dalam lindungan, rahmat dan kasih sayangNYA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *