Di Mana Syaitan Dalam Kehidupan Moden Kita Hari Ini?

birgi-gece

Di mana Syaitan dalam pertimbangan hidup kita, di zaman yang serba canggih ini?

Jika sebuah seminar antarabangsa berkaitan kemajuan sistem ekonomi Islam, seorang pembentang mahu membentangkan tentang peranan Syaitan, mungkinkah ramai yang akan mencebek muka?

Tidak saintifik.

Tidak ilmiah.

Tidak empirikal.

Tidak berpijak di bumi yang nyata.

Tanpa sedar, sebagai seorang Muslim yang cekap berinteraksi dengan kesemasaan hari ini, kita memposisikan Syaitan di satu sudut yang sangat terpencil. Kita mungkin tanpa sedar mengimani hakikat Syaitan dengan ketahyulan hantu yang direka oleh imaginasi sendiri.

Kita mungkin terlupa, secanggih mana pun kehidupan kita, ada yang berubah dan ada yang tidak berubah. Sebagaimana manusia, masih manusia yang sama semenjak hari pertama penciptaannya, demikianlah Syaitan itu masih Syaitan, musuh nombor satu kita, semenjak keengganannya sujud hormat kepada Adam, seperti yang Allah perintahkan ia. Tiada yang berubah, selepas berubahnya muka bumi, kemajuan teknologi dan rupa paras kita.

Imam Birgivi tidak mahu kita terlepas pandang akan hal ini.

Di dalam muqaddimah buku al-Tarīqah al-Muhammadiyyah, Imam Birgivi memulakan perbahasannya tentang asas utama keberagamaan manusia iaitu pada menjernihkan fungsi akal dalam interaksinya dengan wahyu. Matlamatnya adalah untuk berjaya, dengan kejayaan yang sebenar-benar kejayaan, meraih redha Allah dan Syurga-Nya.

Langsung selepas itu, Imam Birgivi mengingatkan kita tentang Syaitan, mendahului ratusan topik lain yang menyusul.

Sebagaimana pepatah Melayu menyebut, jerat tidak pernah melupakan pelanduk, demikianlah perihalnya dengan Syaitan, tidak pernah lupa kepada manusia. Kita sahaja yang sering terlupa tentang permusuhan Syaitan yang kekal abadi itu.

Beliau memulakannya dengan memetik firman Allah:

35_6_a

“Sesungguhnya Syaitan itu bagi kamu adalah sebenar-benar musuh. Maka ambillah ia sebagai musuh” [Fātir 35:6]

Itulah hakikatnya. Mengetahui Syaitan itu musuh dan mempercayainya sahaja tidak cukup. Kita perlu mengambilnya sebagai musuh. Mengambil dalam erti kata bersikap pro aktif dalam melakukan perkara-perkara yang jelas dalam amal, bahawa ‘ubudiyyah kita adalah kepada Allah dan kita menentang Syaitan dalam amal perbuatan, baik besar mahu pun kecil, baik peribadi mahu pun awam.

Dan Syaitan itu bekerja keras dengan sepenuh keupayaannya untuk mencapai tujuan paling besarnya terhadap manusia. Firman Allah lagi:

35_6_b

“Sesungguhnya Syaitan itu mengajak puaknya agar mereka itu bersama-sama menjadi ahli Neraka” [Fātir 35:6]

Jangan sekali-kali kita memperlekeh faktor Syaitan dalam survival ummah ini.

Syaitan mahu iman itu tercabut daripada diri kita.

Dia tidak berupaya memaksa kufur sebagaimana tiada sesiapa berupaya memaksa iman. Tetapi dia akan melakukan apa sahaja untuk akhirnya manusia memilih untuk kufur. Hasilnya, manusia itu akan kekal menghuni Neraka, selepas kehidupan duniawinya dia melakukan kemaksiatan secara zahir dan kezaliman yang penuh penderaan.

Itu amaran Imam Birgivi, pada memetik firman-firman Allah sebagai mengingatkan kita yang mudah lupa, terutamanya pada apa yang tidak terlihat di mata.

Sekurang-kurangnya, Syaitan itu kalau pun tidak berhasil memujuk manusia mengkufuri Tuhan, dia akan memujuk kita menangguh-nangguhkan kebaikan, dan tidak mengendahkan maruah diri dengan melakukan perkara-perkara yang keji.

Apabila kita membaca sejarah sosial Dawlah Uthmaniyyah, kita boleh menimbulkan andaian, apakah yang mungkin dimaksudkan oleh Imam Birgivi. Memang benar, Syaitan itu mungkin tidak berhasil menukar seorang mukmin menjadi manusia keji dalam sekelip mata. Lalu Syaitan membelit-belit kehidupan kita dengan pelbagai helah yang asalnya seperti tiada nas muktamad untuk menegahnya, tetapi ia menjadi permulaan kepada terjebaknya manusia ke dalam perangkap Syaitan.

UOL120676

Lihat sahaja tabiat orang merokok di zaman Imam Birgivi.

Biar pun pelbagai kaedah diguna pakai untuk menjustifikasi keharusannya, para penghisap rokok mempunyai tabiat yang buruk pada menjatuhkan maruah mereka, serta menyakiti orang di sekeliling mereka. Para perokok ini akan meludah di belakang kusyen hingga terkena langsir-langsir yang menghias bilik, ada kalanya mereka meludah sesuka hati semasa duduk di tepi jalan hingga terkena baju orang yang lalu lalang. [Boyar, Ebru, and Kate Fleet. A Social History of Ottoman Istanbul. Cambridge University Press, 2010.]

Imam Birgivi berulang kali mengingatkan tentang pentingnya seorang Muslim menjaga maruah diri, tidak melakukan perkara-perkara yang menghina diri sendiri. Orang Mukmin perlu ada satu standard tentang tatacara hidup mereka. Tidak semestinya sampai ke peringkat bid’ah dan kufur, cukup bermula dengan adat-adat kebiasaan yang keji, manusia sedikit demi sedikit terperangkap ke dalam belitan Syaitan.

birgivi_belitansyaitan

Siapakah golongan yang berisiko tinggi terjebak di dalam perangkap Syaitan, menurut pandangan Imam Birgivi?

Ada dua golongan yang beliau letakkan sebagai tumpuan:

  1. Orang-orang jahil yang kuat beribadah
  2. Orang-orang alim yang lalai

Si jahil tertipu dengan ibadahnya, manakala yang alim pula terlalai dengan keilmuannya. Kesan daripada hasutan Syaitan, orang-orang jahil yang kuat beribadah dan orang-orang alim yang lalai, akan berhujah dengan kelebihan masing-masing hingga terperangkap.

Si jahil yang kuat beribadah, tidak terhad semata-mata kepada ibadah mereka di malam hari, sujud dan menangis di hadapan Allah, melakukan ibadah melampaui apa yang Allah perintah (al-Ifrāt). Mungkin si jahil yang sebegitu, terhad impak mereka dalam kehidupan kita hari ini. Namun dalam keluasan makna ibadah, berapa ramai orang jahil yang rancak beribadah dalam format berdakwah serta amar makruf nahi munkar, bercakap dan bercakap tanpa segan silu terhadap kejahilannya. Dan kelantangan ucapan serta tulisannya yang mendapat pelbagai liputan, menjadikannya tertipu sehingga tidak lagi merasa terbatas upaya dek kejahilan diri.

Demikian juga si alim yang alpa. Kepetahan berhujah dan merasionalkan perdebatan menjadikannya ghurur (tertipu) hingga tidak menyedari pandangan-pandangannya yang masih di atas landasan agama, bukan lagi menuju redha Allah, tetapi menjauhkan manusia daripada ketaatan.

Tentu kita tidak akan lupa kepada Abu al-Faraj al-Imam Ibn al-Jawzi (meninggal dunia 510H) di dalam bukunya Talbīs Iblīs (Belitan Iblis). Bagaimana seorang yang alim tentang hadith, dalam membahaskan tentang kualiti sanad dan matan hadith pada menentukan sahih atau tidak sahihnya riwayat tersebut, boleh teralpa hingga tidak mempedulikan apa yang dipesan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith yang dianalisis.

Bisa sahaja kita debatkan tentang kedudukan hadith yang membicarakan tentang sifat takabbur, kita membahaskannya dengan sifat takabbur itu sendiri, yang dipesan oleh Baginda di dalam hadith yang kita kaji, kerana terlepas pandang dek belitan Iblis.

Apabila si jahil semakin kuat ibadahnya dan si alim makin alpa dalam kesarjanaannya, umat dirasuk oleh Syaitan.

Imam Birgivi khuatir.

Akhirnya apa yang menghiruk pikukkan umat ini, tidak lebih daripada sebuah sangkaan kebaikan, yang hakikatnya sudah termakan belitan Syaitan.

18_104

“Dan mereka itu menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan” [al-Kahf 18: 104]

Selalulah kita memohon perlindungan dengan Allah daripada musuh nombor satu ini.

Hindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang menjadikan Syaitan suka dengan kita. Mengadu domba, menyebar permusuhan, menggalakan pertengkaran, tidak menjaga kebersihan diri dan persekitaran serta segala yang menjadi kegemaran Syaitan.

Jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

Syaitan hari ini, 500 tahun lebih berpengalaman daripada Syaitan di era Imam Birgivi.

Bersungguhlah kita menghitung hakikatnya.

Antara Hizb Allah dan Hizb al-Syaitan, kita di mana bergantung kepada sejauh mana kita mengambil kira kehendak Allah dan kemahuan Syaitan dalam timbangan perjuangan Islam di zaman moden ini.

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

8 comments

  1. Tertarik dengan ayat “Syaitan hari ini, 500 tahun lebih berpengalaman daripada Syaitan di era Imam Birgivi”. Adakah syaitan mempunyai learning curve mereka sendiri dan bersifat adaptif terhadap perubahan zaman?

    Ya Allah,benarlah Syaitan itu musuh yang nyata sehingga syaitan itu berjaya untuk mengaburkan mata hati kita bahawa mereka musuh yang perlu diberi perhatian.

  2. Mohd Faridz Ismail

    Teringat sebuah kata-kata “kehebatan syaitan ialah apabila dia berjaya membuktikan bahawa dia sebenarnya tak pernah wujud”

  3. Membuat saya teringat masa pengeboman Gaza beberapa bulan lepas, orang punya marah kat israel sampai lupa syaitan tengah syok hasut diorang utk caci-maki setiap hari, memfitnah dgn main share je apa info/gambar yg diorang rasa boleh “lawan” zionis, tak lupa serangan fizikal restoran2 yg dikhabarkan ada kaitan dgn yahudi. Kan lebih mudah kalau cuba minimumkan semua pembelian/penggunaan barangan luar je terutama usa, tak payah susah2 nak spekulasi syarikat ni yahudi ke tak, zionis ke tak..

  4. Ummuninasmaysar

    Terima kasih ustaz kerana menulis rencana yang sangat baik isi peringatannya.

  5. Terima kasih atas nasihat dan peringatan tuan. Sangat mengesankan untuk diri sendiri, inshaa Allah untuk tuan dan orang lain juga. Barakallah…

  6. jejakatattoine

    Apa yang Imam Birgivi sarankan untuk mengelak dari menjadi

    – Orang jahil yang kuat beribadah
    – Orang alim yang lalai

    Maksudnya ,
    Apa titik optimum atau benchmark kita untuk tidak masuk dalam kategori – kategori diatas?
    Signal – signal yang kita sendiri perlu sedar?
    Cara mengatasi?
    How do I know the good side from the bad?

    • Mematuhi tuntutan nas dan memelihara kesejahteraan akal fikiran.

      Orang jahil yang kuat beribadah itu maksudnya, disebabkan oleh kejahilan, orang itu beribadah melebihi yang sepatutnya, kemudian tertipu dengan banyaknya ibadah dia, hingga menolak pembetulan. Alim pula, kerana keilmuannya, terlupa menjaga niat dan komitmen dengan Allah, menggunakan hujah-hujah ilmunya sebagai helah-helah agama. Menolak pembetulan, dengan alasan saya lebih tahu.

      Rawatan:

      1. Hindari ego
      2. Hindari syaitan
      3. Cari ilmu
      4. Cari ilmu dengan cara yang betul
      5. Jangan berdolak dalih dengan nas
      6. Jangan biarkan akal dinafikan bantahannya apabila timbul sesuatu yang tidak kena.
      7. Tiada manusia yang lebih tinggi Rasulullah SAW, tidak konflik antara teladan baginda dengan teladan orang lain

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share