Menjejak Keluarga Tok Akib dan Sejarah Perjuangannya

Waris Tok Akib di Laman Warisan

Waris Tok Akib yang sempat berkumpul pada 6 Disember 2014 di Laman Warisan Rumah Pusaka Tok Akib di Padang Asam – foto ihsan Keluarga Tok Akib

Setelah sekian lama merancang, akhirnya hajat kami diizinkan oleh Allah untuk berlaku.

Pada 6 Disember 2014 baru-baru ini, kami cucu-cucu kepada Tok Akib berhimpun di rumah pusaka datuk kami itu di Kampung Padang Asam, Kuala Kangsar, Perak. Biar pun majlisnya ringkas sahaja, tetapi ia cukup bermakna. Selain kami generasi anak-anak kami yang tidak pernah mengenal antara satu sama lain, kami sepupu-sepupu yang sama terjun mandi di Sungai Papan, mengutip siput, dan makan tengah hari di bawah pokok rambutan itu pun sudah sangat lama tidak bersua muka.

Kami bersyukur kepada Allah kerana sekurang-kurangnya masih ada tiga orang generasi kedua waris Tok Akib yang dapat bersama. Ibu saudara saya yang kami panggil dengan gelaran Chu Nazli, adalah satu-satunya anak Tok Akib yang masih ada. Anak ketujuh beliau, yang bongsu, adik kepada al-marhum ayah saya. Kemudian bonda saya yang merupakan menantu Tok Akib, isteri kepada Abdul Jamil, anak keenam Tok Akib. Juga Mak Cho atau namanya Yon Fatimah Haji Yan, isteri kepada Abdul Rahim, anak sulung Tok Akib.

Anak-anak Tok Akib yang telah kembali ke rahmatullah adalah Abdul Rahim Mohd Akib, Ahmad Jabri Mohd Akib, Azizan Mohd Akib, Aini Mohd Akib, Hayani Mohd Akib dan ayahanda saya Abdul Jamil Mohd Akib.

salasilah

Salasilah keluarga Haji Mohd Daud bin Pandak Tak, ayahanda kepada Tok Akib ini, disediakan oleh Tuan Zainal Ayub bin Abdullah Kushairi. Terima kasih kepada dua pupu saya, saudara Faizal dan ayahandanya Pakcik Zainuddin yang memanjangkan ia kepada saya.

Banyak maklumat yang saya tahu tentang Tok Akib, saya perolehi melalui cerita-cerita yang sempat ayahanda saya ceritakan sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1992. Setahun terakhir kehidupan abah, beliau banyak bercerita kepada saya dan membawa saya ke rumah saudara mara di sekitar Padang Asam, juga di Sayong Lembah. Banyak cerita berkenaan yang saya ingat, namun kurang memahaminya, sehinggalah saya menambah pengetahuan tentang landskap sosio politik dan budaya kawasan Padang Asam dan Padang Rengas pada tahun 1950’an dan 1960’an.

tokakib-edited

Haji Mohd Akib bin Mohd Daud – foto ihsan Keluarga Tok Akib
Di sisi Tok Akib dalam versi penuh foto ini adalah al-Marhumah Opah Esah, isteri kedua beliau 

Tok Akib seperti yang diceritakan oleh ayah saya dan beberapa orang tua yang sempat bercerita kepada saya adalah Ketua Kampung Padang Asam. Beliau seorang yang alim di dalam keilmuan Islam, berguru dengan ayahandanya yang dikatakan seorang alim di Padang Rengas iaitu Mohd Daud bin Pandak Tak. Selain ilmu agama, Tok Akib juga mempunyai minat yang khusus di dalam ilmu falak dan beliau mempunyai tempat mencerap langit sendiri. Kata ayah saya, semasa beliau bekerja di Jabatan Agama Islam Perak, beliau pernah bertemu satu fail khas dengan nama Mohd Akib Mohd Daud, berkaitan kes-kes falak apabila pendapatnya bercanggah dengan pendapat pihak berwajib. Penduduk Padang Asam, biar pun sudah dimaklumkan tentang permulaan tarikh Ramadan dan Syawwal, mereka akan merujuk dahulu kepada Tok Akib untuk membuat keputusan sama ada sama atau berbeza.

Falak mempunyai kaitan yang unik dengan gerakan Islah. Sebagaimana gerakan Kadızadeli di Turki pada kurun ke 16 dan 17 Dawlah Uthmaniyyah berinteraksi dengan Balai Cerap Taqiyuddin di Istanbul, pertembungan di antara ‘Kaum Tua’ dengan ‘Kaum Muda’ kerap membabitkan isu-isu falak yang mewakili interaksi Islam dengan cabaran semasa, sebagai titik khilaf antara pembawaan Islam yang perinialistik dan progresif.

muhammadrevolusionerislam

Tok Akib sefaham saya, aktif terbabit di dalam gerakan Islah di sekitar kawasan Padang Rengas semasa hayatnya. Saya tidak mempunyai maklumat tentang bentuk peranan yang beliau mainkan. Namun berdasarkan beberapa buku beliau yang sampai ke tangan saya melalui al-marhum ayah, beliau membaca dan mengambil saranan-saranan di dalam buku bertemakan Islah, seperti buku NABI MUHAMAMD: REVOLUSIONER ISLAM karya BUDIMAN RADHI. Buku ini bertarikh 1956, diterbitkan oleh al-Madrasah al-Diniyyah (Puteri), Kampung Lalang, Padang Rengas Perak. Ia dicetak oleh The United Press di alamat No. 3 Dato’ Keramat Road, Penang. Isi kandungan buku ini sangat progresif dan banyak menekankan tentang revolusi yang Rasulullah SAW lakukan ke atas kaum wanita.

Buku ini sangat unik dan mengejutkan saya. Dek kurangnya pengetahuan saya tentang keadaan keilmuan umat Islam pada tahun 1950’an, saya sesungguhnya tidak menyangka betapa progresif dan luasnya tinjauan literatur di dalam buku ini. Ia mengubah sama sekali tanggapan saya terhadap wacana ilmu di zaman tersebut.

Berikut adalah apa yang diungkap di dalam muqaddimahnya:

Segala puji kita kembalikan kepada Tuhan, yang telah mengutus hamba-Nya Nabi Besar Muhammad sallallahu alayhi wa sallam, bapa revolusioner Islam, yang telah melukis sejarah alam dengan gemilang [cahayanya].

Sekali lagi pujian kita serahkan kepada Khaliq al-Alam yang dengan adanya Rasul Tuhan itu kita telah berada dalam golongan umat yang mendapat petunjuk, dalam golongan umat yang terpimpin menurut rel agama (Islam) yang sebenarnya.

Maka dengan terlalu ringkas saya cuba menyusun riwayat perjuangan Nabi Muhammad, sebagai sekali imbas begitu sahaja, guna menjadi perhatian umat Muhammad seluruhnya, bagaimana sepak terajang beliau dalam melalui roda revolusi dunia, membawa perubahan umat manusia dari kegelapan kejahilan dan biadab, kepada sinar pengetahuan budi yang luhur luas.

Mudah-mudahan sejarah yang sungguh gemilang ini, akan menjadi perhitungan umat, akan menjadi pedoman, dalam mengikuti dan mengembalikan zaman keemasan yang berlalu.

Semoga diberkati Allah hendaknya – Amin!!!

Wa al-Salam,

Budiman Radhi
Padang Rengas, Perak
Safar 1376
September 1956

Tok Akib juga mewasiatkan agar semasa jenazah beliau diuruskan tatkala sampai ajalnya, beliau mahu jenazahnya diuruskan mengikut Sunnah Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam dan tidak dibacakan Talqin selepas dikebumikan. Hajatnya itu ditunaikan oleh keluarga. Pusara Tok Akib di Tanah Perkuburan Islam Padang Asam juga kelihatan sangat ringkas, berbeza dengan pusara ayahandanya di Padang Rengas.

waristokakib-15

Pusara al-Marhum Tok Akib di Tanah Perkuburan Kampung Padang Asam. Sangat ringkas. – foto ihsan Keluarga Tok Akib

Saya kurang pasti sejauh manakah pembabitan Tok Akib dalam perkembangan sekolah-sekolah agama beraliran Islah terutamanya Madrasah al-Ridzuaniah di Padang Asam.

Ayah saya juga pernah menyebut, Tok Akib amat berharap sekurang-sekurangnya seorang daripada anak beliau menjadi ‘orang agama’. Tetapi hajatnya tidak kesampaian. Anak lelakinya yang sulung, Abdul Rahim Mohd Akib adalah seorang aktivis politik yang penting di Perak semasa hayatnya. Manakala anak lelakinya yang kedua iaitu Ahmad Jabri Mohd Akib merantau ke Singapura, berumahtangga dengan orang tempatan dan giat berperanan di dalam politik orang Melayu di Singapura hingga bertanding dan menang dalam Pilihanraya di Singapura [rujuk di capaian arkib ini]. Manakala anak lelaki ketiganya iaitu ayah saya, juga tidak menjadi ‘orang agama’ seperti yang dihajatkan oleh ayahnya.

Itulah sebab besar mengapa ayah saya begitu bergembira dengan keputusan saya menerima tawaran menyambung pelajaran ke Sekolah Izzuddin Shah, walaupun beliau tidak sempat meraikan saya ke Jordan pada tahun 1993, apabila beliau kembali ke Rahmatullah setahun sebelumnya.

Pada tahun 1993, saya telah mewakilkan keluarga saya hadir ke sebuah majlis perkahwinan di Padang Asam. Semasa kenduri, beberapa orang pakcik tua berpangkut atuk kepada saya berbual dan meminta saya memperkenalkan diri. Apabila saya sebut bahawa saya anak ‘Jamil Pejabat Ugama’, cucu kepada Tok Akib, kata mereka, “oh, ini cicit Tok Daud le ni!” Itulah kali pertama saya tahu yang nama moyang saya adalah Mohd Daud dan beliau merupakan seseorang yang signifikan kepada penduduk sekitar.

Kata abah, Tok Akib ini seorang yang tegas dan garang orangnya.

Semasa beliau menerima jemputan untuk mengajar agama di Istana Sultan di Bukit Chandan, Tok Akib menjawab “ilmu itu didatangi, bukan mendatangi. Jika Tuanku mahu mengaji dengan patik, datanglah ke Padang Asam dan bukannya patik yang pergi ke istana Tuanku.”

Tok Akib juga tegas menjalankan amar makruf nahi munkar di kampungnya. Kata abah, pernah di suatu ketika ada seorang anak muda di Kampung Padang Asam yang sangat gemar membawa anak dara orang membonceng motornya ke Pekan Kuala (Kuala Kangsar). Setelah beberapa kali ditegur dan tiada perubahan, Tok Akib berpakat dengan beberapa orang di kampung untuk ‘mengajar’ anak muda tersebut. Beliau telah merentang tali di tengah-tengah jalan dan menunggu di dalam semak pada waktu malam. Apabila anak muda tersebut dengan motorsikalnya melintas, tali itu diregang hingga anak muda berkenaan terjatuh dari motornya dan beliau dipukul serba sedikit bersama amaran keras dari Tok Akib.

Saya hanya ketawa mendengar kisah yang abah ceritakan ini.

Ada juga beberapa kisah lain yang sempat abah ceritakan, tetapi biarlah ia menjadi maklumat keluarga sahaja kerana membabitkan beberapa perkara yang tidak sesuai diceritakan kepada umum.

Kisah-kisah ini menambah keinginan saya untuk lebih mengenali Tok Akib, walaupun saya tidak pasti sebanyak manakah bahan dalam kajian arkib yang boleh diperolehi. Beliau bukan public figure, sebaliknya hanya pemimpin tempatan dan tokoh yang ingin saya warwarkan di kalangan anak-anak kami tentang moyang mereka, serta latar belakang keluarga dan Kampung Padang Asam yang terkenal sebagai pusat pendidikan Islam dan gerakan Islah.

Ia sebahagian daripada usaha saya untuk turut menambah pengetahuan mengenai siapa ayah saya dan siapa sahabat-sahabatnya. Abah meninggal dunia awal, dan saya hanya dapat memikirkan tentang beliau melalui cerita-cerita yang sempat beliau ceritakan, serta buku-bukunya yang beliau wariskan. Hubungan akrab abah dengan Prof Dato’ Dr Zulkifli Muhammad,  turut menjadi kepingan puzzle untuk saya kaji kerana abah semasa hayatnya sering menitiskan air mata apabila menyebut tentang Zulkifli Muhammad, rakan karibnya. Hanya sekali beliau pernah membawa saya melawat pusara almarhum di Kg Kota Lama Kiri selepas terbunuh bersama isterinya dalam kemalangan misteri pada tahun 1964.

PERTEMUAN PERTAMA

Biar pun tidak semua yang dapat hadir dalam perhimpunan kali ini, Insha-Allah pada masa akan datang, kami akan berkumpul lagi. Saya amat berharap agar waris Tok Akib yang menyimpan buku-buku lama sama ada milik Tok Akib atau anak-anaknya, agar dapat dibawa dalam pertemuan seterusnya untuk membantu kita semua mendokumentasikan sejarah pemikiran keluarga Tok Akib. Maklumat yang terhasil, berguna untuk membantu kita menambah kefahaman tentang perkembangan gerakan intelektual Islam yang berkembang di Padang Rengas pada suatu ketika.

Saya juga memohon maaf atas kesilapan-kesilapan fakta di dalam penulisan ini dan memohon jasa baik sesiapa sahaja yang bermaklumat untuk berkongsi ia agar dapat ditambah sedikit demi sedikit pengetahuan kerana sejarah adalah gelap, tidak diketahui, kecuali diberitahu, dengan kaedah yang benar.

waristokakib-16

Di dalam pertemuan tempoh hari, saya diminta memberi sedikit tazkirah. Ruang yang ada saya kongsikan dengan tazkirah pendek bertajuk “Ada Yang Berubah, Ada Yang Tidak Berubah”. Kami mengambil peringatan untuk berhati-hati menggunakan media sosial seperti Facebook dan Whatsapp agar ia membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan, dan bukannya menimbulkan bencana, jauh sekali memutuskan silaturahmi dek salah faham, atau penyakit-penyakit lain yang amat sinonim dengan pengguna dua medium semasa itu.

Semoga Allah mengurniakan rahmat dan keampunan buat Tok Akib, usul dan furu’ beliau serta sekalian yang ternisbah kepadanya sebagai ahli keluarga, rakan, malah saudara seagama, sepanjang masa.

HASRIZAL
43000 BSP

 

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

7 comments

  1. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    Pernah ke tempat ni rasanya dengan ust dulu.

  2. Pengkajian mengenai sejarah Tok Akib ini sangat kena mengena dengan ‘oral history’.

    • Benar tuan. Ia adalah oral history. Saya cuba menerokanya secara sambilan, sedikit demi sedikit, sebagai kajian sampingan di sisi kerja semasa.

  3. Tidak minta ditalqinkan dan berani menyebut ”ilmu itu mendatangi bukan didatangi” kpd pihak istana..Sungguh ‘awesome’ dan revolusionari ketika itu. Ini sepatutnya memberi suntikan semangat kepada Ustaz.

  4. Melusuri susur galur keluarga memang perjalanan yang menarik. Tambah menarik bila buat gathering besar-besaran, terjumpa pula kenalan di pejabat atau jiran.. laa sedara rupanya! 😉

  5. Terima kasih Ustaz. Tahniah kerana berjaya menunjukkan jalan kepada saya untuk faham Islam dan kebenaran.

Leave a Reply to Mohd Dzulhuzmi Nasruddin Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share