Salah Mendengar Bukan Akibat Sakit Telinga

tkmtc-getthepoint

“Ya Allah, rezekikanlah kami kefahaman!” mulut melafaz doa.

Rupa-rupanya FAHAM itu adalah rezeki.

Andai faham itu rezeki, maka jalan kepadanya sama seperti rezeki-rezeki yang lain.

Rezeki wang, datangkah ia berkepuk jatuh dari langit?

Tentu sahaja tidak. rezeki wang datang dengan kerja dan usaha. Perlu berusaha.

REZEKI PENJUAL MODEM BROADBAND

Seorang anak muda berusaha untuk mencari rezeki wang. Dia membuka meja untuk menjual modem Broadband, di bawah redup pohon bidara, di tepi sebuah lorong yang orang tidak berapa lalu. Berpeluh dari pagi hingga ke petang. Menjelang sore, terjualkah modem beliau?

Sifar!

Langsung tidak terjual.

Jika syarat rezeki itu ialah berusaha, bukankah beliau sudah berusaha?

Tentu sahaja beliau sudah berusaha.

Berpeluh, masa dan sabar, dari pagi hingga ke petang. Tetapi usahanya tidak membuahkan hasil. Puncanya, beliau SALAH CARA dalam BERUSAHA.

Jual modem Broadband di bawah pohon bidara? Pohon bidara itu pun orang sudah takut melihatnya. Mungkin ada yang sampai terdetik, “yang di bawah pokok itu manusia atau jembalang?” Lorong itu pula tidak ditempuh orang. Maka usahanya memang usaha. Tetapi hasilnya tiada. Semua kerana salah cara dalam berusaha.

Samalah juga dengan rezeki faham.

Bukan semua orang yang berusaha datang ke majlis ilmu akan faham. Mereka yang tidak ke majlis ilmu sudah tentu bermasalahnya dia. Tetapi yang datang pun, sama ada majlis ilmu secara mengadap, mahu pun dengan melayari halaman-halaman web sebagai sumber ilmu, bukan semua yang berakhir dengan FAHAM.

Ramai yang gagal faham.

Puncanya?

Bukan tidak berusaha.

Tetapi salah cara dalam berusaha.

CIRI ULUL ALBAAB

Albaab itu adalah kata jamak daripada Lubb.

Ia memberikan maksud ‘ISI’ atau ‘INTI’.

Justeru Ulul Albaab memberi makna orang yang dapat isi, bukan kulit. Jika dikaitkan ia dengan faham, maknanya orang yang ULUL ALBAAB itu adalah orang yang faham isi, bukan faham kulit. Dalam bahasa mudahnya, orang yang get the point.

Siapakah mereka?

Ada 16 ayat di dalam al-Quran Allah Subhanahu wa Ta’aala menyebut tentang karakter Ulul Albaab.

Namun karakter yang satu ini, berkait secara langsung dengan soal rezeki faham:

39_18

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah para Ulul Albab.” [al-Zumar 39: 18]

Syarat pertama untuk jadi orang yang fahamnya adalah faham isi, dia perlu ada kemahiran mendengar.

Dengar dahulu pendapat-pendapat yang datang kepadanya.

Dengar.

Kemudian membuat pertimbangan.

Memilih dan komited pada mengikut yang terbaik.

Itulah pra syarat orang yang mendapat hidayah.

Petunjuk… kunci kepada penyelesaian.

BAGAIMANA MENDENGAR DENGAN KEMAHIRAN TINGGI?

Mendengar, dengan telinga yang dua berbanding mulut yang satu itu, biar sekali ganda lebih bersungguh berbanding dengan bercakap.

Rehatkan persepsi, rehatkan pengalaman silam, rehatkan apa yang kita telah tahu, bukakan diri untuk mendengar dengan empati, supaya apa yang didengar bukan mengikut kehendak kita yang mendengar, tetapi mendengar seperti yang sepatutnya didengar.

Apabila ada sesuatu yang kita rasa tidak setuju, jangan cepat melatah melulu. Kawal diri, dengar atau baca sekali lagi, nilaikan apa yang kita faham.

Apakah kefahaman kita memang apa yang dimaksudkan oleh pihak yang bercakap?

Atau ia hanya persepsi kita?

Misalnya, tatkala seseorang berbicara tentang nuklear, jangan cepat melatah pada menganggap semua yang bercakap kritis tentang nuklear itu mengkritik teknologi nuklear. Mungkin yang dikritiknya adalah integriti pihak pemaju projek nuklear. Bukan teknologi nuklear. Tatkala kita melulu dalam berkata, yang terserlah adalah kegopohan kita. Latah yang melunturkan kesarjanaan pengetahuan kita sendiri. Maka jangan terlalu cepat memberikan maklum balas. Fikir seketika, dan nilaikan semula.

Jangan tergopoh apabila membaca label ‘wine vinegar’, suara dalam kepala kita kuat menyuruh fokus kepada perkataan ‘wine’ dan terkabur daripada ‘vinegar’.

Jangan melenting apabila isu DNA babi terbit, kita hanya memaparkan kepakaran kita mengulas tentang babi, tetapi tidak menghalusi maksud DNA yang memang maha halus itu.

Jangan dengar dan baca apa yang kita mahu dengar dan baca sahaja.

Dengar apa yang orang mahu kita dengar.

Dengar apa yang sepatutnya kita dengar.

Jangan dengar hanya pada perkataan sahaja.

Dengar juga apa yang tidak diperdengarkan, dengan perkataan.

Dengar pada memahami bahasa tubuh badan.

Dengar pada memahami intonasi berbicara.

Bukan semua yang mengkritik kita, adalah musuh kita.

APA SYARAT MENDAPAT KEMAHIRAN INI?

‘Manusia kulit’ berkomunikasi antara mulut dan telinga.

‘Manusia isi’ berkomunikasi dengan hati.

Komunikasi kulit, menganggap iPhone 6 adalah alat komunikasi paling canggih. Walhal jika hati tidak mahu berbicara, butang merah juga yang ditekannya. Secanggih mana pun telefon, akhirnya tidak dapat berbicara dan mendengar juga.

Komunikasi hati, lain kisahnya. Biar pun terpaksa naik bas loncat bersalin bas tiga kali, semuanya sanggup ditempuh kerana hati benar-benar mahu berjumpa dan berbicara.

Justeru komunikasi Ulul Albab banyak memerlukan pembaikan hati.

Perbaiki hati, agar ada ukhuwwah, ada empati.

Dengan hati yang mahu berkomunikasi, kita lebih sabar dalam mendengar.

Lebih berisi.

Mendengar secara salah, bukan penyakit telinga. Ia penyakit hati.

Akibatnya, kita gagal memahami.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

8 comments

  1. Syukran, ustaz atas artikel yang sangat baik buat saya membina kemahiran manusiawi kulit dan isi.

    Kadang – kadang, bukan kadang tetapi selalu apa yang kita dengar sama ada ceramah/kuliah “istilah masuk telinga kanan keluar telinga kiri” itu terjadi. Fokus kita lebih tetapi fahamnya kurang dan bila kita pulang ingin menerangkan boleh jadi salah sampai.

    Budaya sekarang, guru berkitab anak murid tanpa buku dan pen. Alatnya kurang. Adabnya apa lagi.

    Mohon cadangan daripada ustaz. Syukran. Assalamualaikum wrh.

  2. Terima kasih ustaz for this article.

  3. Bukan semua orang nak rehatkan persepsi sendiri apabila mendengar sesuatu dari orang lain. Merehatkan persepsi itu pun perlukan skill mendengar dan berfikir.

  4. Terima kasih ustaz.Artikel yg sungguh mengesankan terutama ttg Ulul Albab.Dan saya teringin menggabungkan dgn kata2 Salim A.Fillah “Ulul Albab bukan saja beriman kpd Allah, berharap kpsNya dan takut akan MyrkaNya, malah mereka bersemangat belajar dan menyimak sejarah dan kisah masa lalu agar menjadi pelajaran penting bg hari2 di hadapan.”Terima kasih ustaz hasrizal dan ustazsalim kerana mentedarjan saya bahawa ULUL ALBAB PUN BELAJAR.

  5. Terima kasih ustaz. Pernah juga terfikir pasal rezeki kefahaman ni. Rasa kesal sangat bila masuk majlis ilmu tapi tak faham apa yang disampaikan.Doa Murah Rezeki & Pantang Larang Rezeki

Leave a Reply to ummi mra Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share