IQRA’: Dari Era Buku Bercetak ke Buku Elektronik

kindlekobo

Selama 6 tahun bermastautin di UK  dan Republic of Ireland, masalah utama saya antaranya adalah ketiadaan buku. Simpanan buku saya berada di Malaysia di bawah jagaan keluarga. Manakala kehidupan kami di perantauan yang tiada kepastian menyebabkan saya teragak-agak untuk mengusahakan buku dibawa dari Malaysia ke Ireland.

Semasa pulang untuk melangsungkan perkahwinan, saya sudah berpesan kepada keluarga supaya susunan buku tidak diubah agar saya boleh memesan melalui kawan, andai berpeluang, dengan memaklumkan kedudukan buku saya di rak. Perancangan itu tidak kesampaian. Saya tidak pernah memesan melalui sesiapa kerana route Malaysia – Ireland bukanlah laluan yang aktif pada zaman tersebut.

Atas pelbagai faktor, saya mula berjinak-jinak dengan ebook.

Biar pun saya turut bersama pendapat ramai bahawa membaca buku bercetak, dengan bau kertasnya, dengan nikmat menyelak-nyelak muka suratnya, nikmat menconteng dan segala yang tradisional tentang buku bercetak, adalah lebih baik, saya perlu akur bahawa teknologi ebook tidak boleh dibiarkan berkembang tanpa saya manfaatkan ia. Ruang membaca yang tidak sebanyak dahulu, menyebabkan saya mahu buku-buku yang perlu dibaca, boleh dibawa ke mana-mana. Jika semasa bersekolah, saya selalu dipesan-pesan oleh almarhum ayahanda, guru-guru dan naqib usrah agar pergi ke mana-mana mesti ada buku di tangan, pesanan itu dilanjutkan pada masa ini dengan membawa ebook di dalam peranti iPad atau telefon pintar sedia ada.

Bermula daripada pdf demi pdf, saya mula membaca ebook yang dibeli di Kobo, Google Play Books dan terkini Kindle (Amazon).

Harga ebook rata-rata jauh lebih murah berbanding versi bercetak. Ia menjimatkan. Cuma, ia tidak boleh diletak di rak, susah hendak dikongsi pembacaan dengan orang lain, namun semua itu bukanlah kerumitan semasa yang membimbangkan. Jika sampai ajal, Insha-Allah buku-buku elektronik selektif yang ada dalam akaun saya, boleh dimanfaatkan oleh isteri dan anak-anak, terutamanya jika ada anak saya yang nantinya berkongsi minat yang sama di bidang sejarah.

Jika di tahun pertama saya menggunakan perkhidmatan Kobo, kebanyakan buku saya adalah di dalam genre self helppopular psychology dan semi akademik. Kemudiannya saya mula membeli buku-buku akademik dan sehingga kini hampir kesemua ebook berkaitan Dawlah Uthmaniyyah yang ada di dalam Kobo, kini berada di dalam e-library saya. Ada sebahagian buku tiada di Kobo, saya dapatkan ia di Google Play Books. Ada juga beberapa buku core di dalam sejarah Dawlah Uthmaniyyah yang tiada di dalam kedua-duanya, dan bermula minggu ini, saya gunakan Kindle.

Penggunaan Kindle bagi kita di Malaysia tidak mudah. Ia secara dasarnya tidak dibuka untuk pengguna Malaysia. Penggunaan alamat Malaysia serta kad debit dan kredit Malaysia tidak diterima. Paypal tidak boleh digunakan. Satu-satunya cara yang boleh saya gunakan ialah melalui Kindle Malaysia.

Selepas Kindle Malaysia daftarkan akaun baru Kindle / Amazon saya (dengan identiti USA), saya perlu membeli Amazon Gift Card (Email Delivery) yang boleh dibeli menggunakan kad debit Malaysia, dan kemudian menggunakannya seperti Top Up, di dalam akaun Kindle / Amazon saya.

Saya akui, selepas bertahun-tahun membaca ebook di iPad, komputer dan telefon bimbit, saya dapati kefahaman saya terhadap apa yang dibaca, tidak selancar pembacaan buku bercetak. Sifat skrin dengan light-emitting menyebabkan mata kita pedih, malah kita tanpa sedar melakukan imbasan (scanning) dan bukannya membaca butir-butir perkataan di dalam teks. Apabila buku yang dibaca itu begitu rumit, saya print screen ia (memandangkan kita tidak boleh mencetak secara langsung) dan kemudian mencetaknya di kertas. Pembacaan jadi jauh lebih baik.

Malah kajian semasa seperti yang dikemukakan di PNAS menunjukkan pembacaan teks panjang di iPad atau telefon pintar pada waktu malam sebelum tidur adalah berbahaya untuk kesihatan.

Selepas membacanya di peranti Kobo dan Kindle, saya dapati pengalaman membaca saya menjadi jauh lebih baik. Hampir menyamai proses membaca buku bercetak. Tambahan pula tanpa warna, tanpa cahaya, dan tanpa browser dan aplikasi media sosial, pembacaan di peranti Kobo dan Kindle boleh seiringan dengan kualiti membaca buku bercetak.

amazon gift card

Selepas ini, jika sahabat mahu bersama mendidik orang tua yang jahil seperti saya, bolehlah menghadiahkan saya Amazon Gift Card yang boleh menambah bahan bacaan …wink wink nudge nudge!

Membaca, hingga mata dikambus tanah.

HASRIZAL
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

thestar

Sembang Kerjaya: Bidang Syariah Bukan Pilihan Terakhir

Petikan akhbar The Star 2010 “Kenapalah kamu ambil Syariah? Nanti habis belajar nak kerja apa?” …

3 comments

  1. Iman Danial Hakim

    Salam alaik ustaz, bagaimanakah caranya untuk saya dapatkan peranti Kobo, adakah boleh dibeli daripada mana-mana kedai buku terkemuka di Malaysia?

    • Waalaikum al-Salam ustaz. Saya membelinya di amazon.co.uk dan anak saudara bawakan dari UK ke Malaysia. Jika direct dari Amazon ke Malaysia, kebanyakannya tidak membuat delivery ke negara kita ini.

  2. assalamualaikum Ustaz. Saya tengah berkira2 membeli kindle alang2 masih di jepun. Dah lama saya mempertimbangkan untuk membeli kindle,dah 5 tahun. Is it really worth it? antara kobo dan kindle, mana satu lagi berbaloi?
    terima kasih ustaz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *