Maksiat Melanggar Peraturan Jalan Raya

arab-driver

“Apa hukumnya pakai tali pinggang keledar?”

“Mana ayat Quran kata melanggar lampu isyarat merah tu berdosa?”

Perbualan biasa, mengiringi sembang-sembang sesama kita dalam nada gurau senda.

Kita mungkin berbual tentang hal-hal ini selepas balik dari sembahyang Isyak di masjid, atau mungkin selepas selesai ceramah di padang umum. Mungkin juga semasa dalam perjalanan ke Fakulti Pengajian Islam.

Soalan itu pergi dibawa angin. Secara tidak sedar dalam soalan itu, terkandung sesuatu yang rumit dan sulit pada fikiran dan kefahaman manusia antara hukum terbitan wahyu dan hukum terbitan kajian (sains?).

RITUAL TEKSTUAL

Semasa berusrah, kita terus menerus membahaskan tentang erti Islam dan Muslim… bahawa ia adalah suatu daerah yang bermula dengan ketundukan dan penyerahan atau istislam, hingga kepada keamanan dan kesejahteraan atau salam. Dalam erti kata yang mudah, Islam dan menjadi Muslim itu memberikan maksud ketundukan dan kepatuhan kepada Allah SWT yang menganugerahkan keamanan dan kesejahteraan bagi kehidupan dunia hingga ke Akhirat.

Hanya dengan tunduk dan mentaati Tuhan… manusia beroleh keamanan.

Lalu kita bahaskan lagi, bahawa ketundukan itu bukan hanya ketundukan manusia. Bahkan seluruh alam ini hakikatnya tunduk dan patuh kepada Penciptanya.

16_49

“Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta Malaikat; sedang mereka tidak berlaku sombong takbur” [Al-Nahl 16: 49]

Justeru, terserlah kefahaman kita bahawa hakikatnya seluruh alam ini adalah Muslim… kerana ia tunduk kepada peraturan Penciptanya. Api patuh kepada Tuhan lalu kekal dengan sifatnya yang membakar sebagaimana yang ditentukan. Batu yang dicampak ke atas akan pasti turun ke bawah kerana mematuhi Tuhan yang menentukan hukum graviti sedemikian rupa.

Lalu kita sanggah manusia dengan soalan dari Allah yang memang tertuju untuk menyanggah manusia:

3_83

Patutkah mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya mereka dikembalikan? [Aal ‘Imraan 3: 83]

Tatkala seluruh alam bergerak mematuhi hukum Allah ke atas alam, mengapa manusia menyanggahi hukum Allah ke atas manusia? Mengapa manusia durhaka kepada Allah? Enggan patuh kepada syariat-Nya?

Bahawa manusia yang tidak tunduk kepada ketentuan Allah terhadap mereka adalah manusia durhaka. Merekalah ‘makhluk asing’ di alam ini. Mereka kufur di tengah-tengah ketaatan sekalian alam kepada Tuan mereka.

Tetapi…

Andai alam ini dilihat tunduk kepada Allah kerana mematuhi hukum alam, tidakkah manusia juga merupakan sebahagian daripada alam itu sendiri? Bahawa interaksinya dengan alam, dan interaksinya sesama manusia, turut berlegar pada apa yang dinamakan sebagai hukum alam?

Justeru jika manusia Muslim mahu benar-benar menjadi Muslim, cukupkah sekadar dirinya mematuhi hukum wahyu tetapi kemudiannya membelakangkan hukum alam? Sesungguhnya keIslaman seorang Muslim sama sekali tidak akan sempurna, sehingga beliau menyerah diri secara total kepada segala yang diatur dan ditentukan Allah ke atas dirinya.

SYARIATULLAH DAN SUNNATULLAH

Di sinilah rasionalnya kita mengulang penegasan, tentang keperluan memahami dan menghayati konsep Syariatullah dan Sunnatullah. Kesatuan alam dalam hukum yang seragam. Bahawa untuk seorang Muslim itu sempurna keIslamannya, dia bukan hanya dituntut kepada mematuhi Syariat Allah SWT yang dibentangkan di dalam kitab Wahyu, tetapi harus juga mematuhi Sunnah Allah SWT yang dibentangkan di dalam kitab Alam. Mematuhi hukum alam (law of nature). Hukum Sunnatullah.

Sekularisma bukan hanya pada mengingkari ‘agama’. Menolak hukum alam itu juga adalah sekular. ‘Ingkar sains’ itu juga adalah sekular. Sama ada menolak Syariatullah atau pun mendurhakai Sunnatullah. Saintis yang menolak agama, sama sahaja jenayahnya dengan agamawan yang menolak sains!

ISLAM SENTIASA KEDUA-DUANYA

Segala yang termaktub di dala m ajaran Islam, tidak pernah memisahkan di antara hukum Syariatullah dan Sunnatullah.

Makanan bukan sahaja mesti HALALAN malah TAYYIBAN. Halal itu tuntutan Syariatullah, Tayyib itu pula karakter Sunnatullah (Sains). Sembelihan bukan sahaja dilakukan dengan nama Allah, bahkan juga pisau yang diguna mesti tajam. Basmalah itu Syariatullah, pisau tajam pula adalah Sunnatullah.

Langsung kepada usaha Nabi SAW juga, di dalam peperangan dan keamanan, di dalam pentadbiran juga kekeluargaan… pesanan nabawi meliputi aspek-aspek Sunnatullah dan Syariatullah tanpa double standard. Baginda SAW tidak pernah meremehkan Sunnatullah, tanpa konflik antara sabab musabbab, merancang, berusaha, berdoa dan bertawakkal.

Hanya sesekali sabab musabbab keluar dari lingkungan Sunnatullah… demi membuktikan kebesaran Allah sebagai Pengatur di sebalik Sunnatullah itu… agar manusia akur pula kepada Syariatullah. Ia disebut sebagai mukjizat… sesuatu yang khāriqun lil ‘ādah (menyalahi adat kebiasaan).

PERATURAN JALAN RAYA

Justeru, kepatuhan kita kepada peraturan jalan raya, adalah kepatuhan kita kepada hukum alam yang juga merupakan hukum Allah. Keselamatan di jalan raya bukan hanya pada memulakan perjalanan dengan Basmalah dan doa, bahkan juga pada mematuhi had laju, memandu mengikut peraturan dan mengharamkan diri dari mudarat, mahu pun menjadi pencetus mudarat.

darar-dirar

“Tidak boleh memudaratkan diri dan mencetuskan mudarat kepada orang lain” [Hadith dari Abu Sa’id al-Khudri, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan lain-lainnya]

Sebab itulah, berulang-ulang kali kita peringatkan jemaah yang hadir ke kuliah-kuliah Maghrib, sebelum kita meneroka topik-topik besar, beristighfarlah dahulu atas kesalahan-kesalahan kita di jalanraya semasa menuju ke masjid dan surau. Semasa membelok, sudahkah diberi isyarat? Semasa meletak kereta di kotak meletak kereta, sudahkah diletak dengan betul, tidak secara bobrok memposisikan kereta hingga dua kotak dimonopoli? Adakah kereta kita menghalang pergerakan kenderaan lain? Atau lebih teruk daripada itu, apakah ada membuang sampah dari tingkap kereta?

Pandanglah semua itu sebagai maksiat dan kekejian. Selain menjatuhkan maruah diri sendiri, perbuatan kita juga menyakiti orang lain. Sedangkan Nabi SAW begitu jelas mengingatkan kita bahawa seorang Muslim itu, adalah seorang yang kaum Muslimin lain terselamat daripada kejahatan lisan dan tangannya. Solat itu solatlah. Hadir majlis ilmu, hadirlah. Berpakaian sopan, berpakaianlah, tetapi ada sesuatu yang sangat tidak kena andai kita bertuhan hanya dalam posisi mengadap kiblat, manakala yang berada di belakang itu, lantakkan sahaja!

Sesekali, lemparkan sedikit ke wajah kita bersama, rasa malu dengan bangsa-bangsa yang tidak beragama itu, tetapi jalanrayanya bukan tempat memberanakkan dosa.

Dan…

Jika kita meyakini bahawa Islam itu kita tegakkan untuk memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan (sebab yang sama mengapa hukum jenayah Islam kita perjuangkan), manakah yang lebih menepati kehendak Allah, di antara menunggang motorsikal di jalan utama dengan memakai topi keledar, berbanding menunggang motorsikal dengan serban di kepala?

Jawapan saya mungkin tidak popular.

HASRIZAL
43000

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

2 comments

  1. Teringat pada hadith tentang cabang-cabang iman… Yang terendah adalah menyingkirkan gangguan di jalanan…

    Tetapi di mana kedudukan iman bila “meletakkan” gangguan di jalanan…

  2. Alhamdulillah.. Cantik ustaz mengaitkan peraturan jalanraya dgn hukum alam, iya, hukum alam pada zaman ini.

    Saya ingin berkongsi pendapat yg ringkas memandangkan saya tidaklah begitu bijak dalam memberi pendapat.

    Sekiranya kita melanggar lampu isyarat merah (dan peraturan jalan raya yg lain), tekalah apakah ‘ilmu’ yg diperoleh oleh anak-anak kita dan juga kanak-kanak yg lain, sedang mereka telah belajar dan diberitahu ttg peraturan2 tersebut di sekolah mahupun ditonton di kaca tv.
    Jawapannya adalah: It’s okay to be a hypocrite.
    Dan tentunya, lebih teruk dr itu, mana mungkin kita dihormati oleh anak-anak ini stlh mereka belajar, org dewasa pun bersikap hipokrit.

Leave a Reply to Badrul Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share