Antara Pendidikan Cemerlang Dan ‘Pelajar Cemerlang’

sis1992Calon SPM 1992 Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh

“Hasrizal pindah balik ke sekolah ini, senanglah nanti nak dapat nombor 1. Yang pandai-pandai semua dah keluar sekolah!” kata Cikgu Noraini.

Kata-kata beliau itu sekadar gurauan. Mengusik saya yang pertama kali ditemuinya apabila saya kembali semula ke Sekolah Izzuddin Shah, berhenti mengejut daripada persekolahan saya selama 4 bulan di SMAP Labu, Negeri Sembilan.

Walaupun kata-katanya itu sekadar gurauan, tetapi makan dalam juga!

Jika diukur melalui keputusan peperiksaan SRP tahun 1990, memang pelajar-pelajar terbaik sudah pun meninggalkan sekolah kami. Mereka ditawarkan peluang menyambung pengajian ke sekolah yang terkemuka terutamanya KIK (Kolej Islam Klang), SMAP Kajang, SMAP Labu, MRSM dan ada juga yang ke sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain.

“Yang tinggal di sekolah ini cuma hampas kelapa sahaja!” kata Cikgu Noraini, guru Matematik kami.

Jika orang yang tidak biasa, mungkin terasa. Tetapi kami tahu, Cikgu Noraini adalah guru yang paling tulus dan suka berterus terang. Cakapnya lepas, pedas, tetapi membekas.

Kalaulah benar peperiksaan awam seperti SRP dan SPM itu pengukur mutlak kecemerlangan dan potensi pelajar, mungkin benar bagai dikata. Pastinya keputusan peperiksaan SPM sekolah kami tahun berikutnya merudum, mundur, kerana top scorers sudah tiada.

Tetapi keadaannya tidak begitu. Biar pun 1990 telah melambai pergi pelajar-pelajar cemerlang sekolah kami, keputusan SPM ‘hampas-hampas kelapa’ tetap cemerlang. Boleh berdiri sama tinggi dengan sekolah lima bintang di seberang jalan. Malah saya yang mencatat keputusan terbaik SRP, bukanlah pelajar terbaik SPM.

Hakikatnya manusia itu sangat dinamik. Dalam hidupnya ada pasang dan surut. Ada pelbagai pemboleh ubah yang mempengaruhi hidup ini. Untuk mengkelas-kelaskan manusia mengikut keputusan peperiksaan, ia adalah jahiliah dan zalim, membelakangi fitrah manusia.

Untuk sebuah sekolah cemerlang, ia tidak semestinya bergantung kepada beroleh pelajar yang ‘cemerlang’. Sebaliknya apa yang lebih utama adalah pendidikan yang cemerlang. Jika betul formulanya, maka beri sahaja pelajar yang bagaimana sekali pun, pendidikan yang baik akan mencungkil keluar kelebihan-kelebihan yang ada. Sebahagiannya boleh diukur oleh peperiksaan yang seterusnya. Sebahagiannya akan menyerlah kemudian dalam kehidupan.

Saya sentiasa mengenang pembelajaran di Sekolah Izzuddin Shah itu.

Guru kami komited mendidik, walaupun dengan gaji yang kami tahu sangat rendah dan tidak layak dengan kualiti mereka. Tetapi mereka memilih untuk berada di situ dan mendidik kami. Bak kata Cikgu Noraini, pelajar cemerlang sudah keluar. Tetapi kami yang tinggal bukan hampas kelapa. Cikgu mengajar kami sebagaimana potensi kami. Lalu yang berusaha berjaya, yang kurang berusaha, perjalanan masih jauh. Cikgu Noraini dengan nasihat berterus terangnya, sentiasa menampar kami dari kealpaan.

Semasa tuisyen Tingkatan 5, beliau menegur pelajar yang ponteng kelas tambahan. Katanya, “saya nak tolong awak dapat P5 atau P6 sebab muka awak muka F9. Janganlah awak berpoya-poya macam orang yang muka A1!”

Berdesing telinga kawan-kawan.

Tetapi semuanya dikunyah dan ditelan sebagai ubat.

Keluar keputusan peperiksaan, kami gembira dengan pencapaian semua. Berapa A tidaklah penting mana. Yang lebih difikirkan ialah, terima kasih guru, terima kasih sekolah, terima kasih teman dan terima kasih ibu bapa. Kehidupan diteruskan.

23 tahun sudah berlalu.

KMSS DAN PERJUANGANKU DALAM PENDIDIKAN

Kini saya bertugas di sekolah. Menjiwai kembali nostalgia semalam. Mencari iktibar daripada kenangan, bersama serba sedikit ilmu pengetahuan semasa untuk formulasi pendidikan.

Masih terlalu awal untuk program yang kami bangunkan di Khalifah Model School Secondary, dinilai berjaya atau tidak. Tetapi, disebabkan oleh kejayaan itu sudah didefinisi sebagai perjalanan dan bukannya sebuah destinasi, maka kami sudah berada di perjalanan yang berjaya.

KMSS tidak mensyaratkan kelebihan mendapat 5A untuk pelajar belajar di sekolah kami. Cukuplah pelajar itu baik akademiknya, menampakkan ada kemahuan belajar, baik karakternya, fokus utama kami di sekolah dengan slogan Shaping Excellent Character, dan baik al-Qurannya, boleh membaca dengan baik.

Maka ahlan wa sahlan, dengan penuh kasih sayang, semua pelajar ke KMSS. 5A, 4A, 3A, tak ambil UPSR, kami yakin apa yang penting di sebuah sekolah adalah formulasi pendidikan yang betul. Berikan sahaja mana-mana pelajar, jika betul formulanya, Insha-Allah mereka akan berjaya.

KMSS merupakan sebuah sekolah merdeka (independent school) yang melaksanakan kurikulum antarabangsa (IGCSE) bersama penyelarasan kurikulum nasional (SPM), di dalam kerangka Learner Centered Education yang menjadikan pelajar sebagai peserta aktif dalam pembinaan pengetahuan mereka, jauh daripada kebiasaan ‘spoonfeeding’ yang berpaksikan aktiviti guru di dalam kelas. Pembelajaran membabitkan tiga format iaitu active learning, inquiry learning dan contextual learning. Pembelajaran yang dinamik, membolehkan kurikulum akademik berlangsung tanpa membebankan pelajar, bersama kurikulum Hafazan al-Quran sebagai terasnya.

Paling utama, keseluruhan program di sekolah ini dijalankan sepenuhnya berdasarkan Khalifah Method yang diformulasi oleh pengasas sekolah ini iaitu al-Marhum Profesor Muhammad al-Mahdi Jenkins. Khalifah Method membentuk sebuah sistem pendidikan yang berasaskan PANDANGAN ALAM ISLAM yang memotivasi, positif dan tepat. Khalifah Method juga mematuhi Hukum Pembelajaran (Law of Learning) dan kesemuanya disampaikan secara appended di dalam subjek khusus, serta integrated di dalam semua subjek.

perjalanan-kmss

Baru-baru ini juga, pelajar yang mengambil subjek HISTORY III telah berkunjung ke Melaka. Guru sejarah mereka telah memberi tugasan untuk mengumpul data melalui temuramah, mencakupi pelbagai topik berkaitan sejarah Melaka, seperti Kaum Serani, Kaum Baba dan Nonya, Melayu Muslim dan lain-lain.

Sungguh banyak pengalaman yang pelajar-pelajar perolehi selama mereka berada di Melaka menyempurnakan tugasan akademik bagi subjek History III tersebut. Sudah tentu pengalaman paling besar mereka ialah melawan rasa malu, segan, malah malas dan putus asa terutamanya semasa tidak menerima kerjasama pihak yang ingin ditemuduga.

Para guru bertegas mahu pelajar mencukupkan jumlah respondent agar data lengkap tuntutan ‘reliability‘-nya. Pelajar juga dapat menyelami perasaan kaum Serani yang berdepan dengan pelbagai cabaran survival mereka terutamanya kesan penambakan laut yang menghilangkan sumber pendapatan mereka sebagai nelayan. Demikian juga ancaman budaya kesan arus pemodenan.

Tidak malu untuk saya katakan, perasaan saya sangat terharu kerana dapat melihat pelajar kami ini benar-benar menjalankan aktiviti pendidikan.

Boleh saya menangis?

Saya doakan agar pengalaman mereka ini menjadikan mereka insan yang mencintai ilmu, menghargai usaha ilmu dan seterusnya menjadi khalifah Allah dalam erti kata yang sebenarnya. Terima kasih kepada guru-guru yang sungguh komited membimbing pelajar, sama-sama terbakar di bawah mentari, terutamanya guru sejarah kami, Teacher Amin Sarman. Syabas, syabas, syabas.

Selamat bercuti seminggu bersama keluarga, sebelum kembali ke sekolah pada 8hb Mac nanti, Insha-Allah. Ana uhibbukum fillah…

Hari ini keputusan peperiksaan SPM 2014 keluar. SPM terguna pakai untuk meneruskan pembelajaran. Ia bukan penentu kehidupan. Gunakan SPM mengikut kegunaannya, sahaja. Walau apa pun keputusan yang diperolehi, kejayaan adalah perjalanan. Bukan destinasi.

Hasrizal Abdul Jamil
Academic Director
Khalifah Model School Secondary
kmss.edu.my

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

3 comments

  1. Diri ini bukan tak ingat Cikgu, tapi ingin ‘menjaga’ nama baik Cikgu kerana memiliki pelajar ‘cemerlang’ seperti kami ini. Kami tak layak untuk Cikgu pandang, Cikgu cuma tengok ‘A’ kami kan ? rasa malu pula ucap ‘terimakasih/syukran and thank you’ diri ini taklah baik sangat, takdahlah cemerlang,gemilang dan terbilang…Di sinilah bermulanya ‘level’ kami di tengah2 masyarakat dan massa, kami xwujud di muka bumi ini selepas ‘Lulus dengan cemerlang’. Kami tak layak tunjuk gigi kat TV hidup dijulang sebagai ‘Pelajar Cemerlang 1Malaysia’ sampai sekarang ‘stress’ dan bimbang dengan ‘high expectation’ rakyat yang ‘mengiktiraf’ dan pihak kementerian. Kami hidup tanpa kelas dalam pendidikan dan menjadi pengemis.Kami ‘bangsa’ yang kalah di bumi ‘bertuah’ ini.Saya rasa kalau saya PM negara ini sayalah bapa rasuah dan jenayah. Pesan saya marilah kita menjadi rajin :-D.

  2. Macam training nak jadi salesman/reporter pun ada. Dah habis sekolah, student yang nak kerja sendiri atau kerja makan gaji memang terpaksa jumpa lebih ramai orang baru yang tak dikenali jadi tak bolehla malu tak menentu nak cari rezeki halal.

  3. Post yang menarik ustaz..

Leave a Reply to ahmad Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share