Apa Rasanya Disalah Erti

misunderstood

Apa rasanya jika diri anda disalah tafsirkan?

Lain yang dicakap, lain pula yang difaham.

Memang mengecewakan. Apatah lagi jika suara kita untuk membetulkan tafsiran itu tidak diendahkan. Jika dalam kehidupan secara personal, kita akan meronta dan memberontak untuk membetulkan persepsi orang terhadap kita, maka kehidupan berkelompok akan menjadikan perasaan itu berganda.

Tidak ada pihak yang lebih disalah erti selain Islam dan Muslim.

Salah faham terhadap Islam dan Muslim amat berleluasa.

Ia bukan isu baru. Sudah sejak sekian lama. Sejak zaman gelap Eropah, hinggalah ke era Islamophobia hari ini.

Allah dan Muhammad disalah fahami…

Solat dan Zakat disalah erti…

Jihad dan hudud diputar belit pada definisi…

Khatan dan seksualiti peribadi pun menjadi kontroversi…

Malah janggut dan tudung pun menjadi mangsa persepsi…

BUKAN SOAL ILMU DAN MAKLUMAT SEMATA

Salah faham seperti ini bukan berpunca daripada kekurangan ilmu dan maklumat semata-mata, tetapi juga kerana pemikiran yang berbeza rangka. Cara fikir dan cara faham yang berlainan.

Demi menepatkan penjelasan tentang Islam terhadap cara faham yang berbeza-beza, maka pelbagai metodologi telah berkembang. Ada yang sejauh Ilmu Kalam, ada yang selurus Mazhab Dhahiri. Kesemuanya adalah reaksi kepada cabaran salah faham manusia yang pelbagai terhadap Islam.

Di dalam buku Islam Between East and West oleh ‘Alija ‘Ali Izetbegovic, beliau menyatakan bahawa penolakan terhadap Islam yang datang dari Barat, bukanlah semuanya berpunca daripada permusuhan. Sebahagiannya adalah kerana berbezanya cara berfikir. Apabila Islam membicarakan tentang kebersihan, kita ada kebersihan yang bersifat fizikal, dan kesucian yang lebih bersifat maknawi. Fungsi wudhu’ dalam cara berfikir Barat, umumnya terikat kepada kebersihan fizikal, namun tidak dapat melihat sisi tersirat berkaitan fungsi serta manfaat maknawi daripadanya.

Ia hanya contoh yang kecil.

Berapa banyak perkara yang ‘tepat’ di dalam Islam, diterangkan secara ‘tidak jelas’ disebabkan oleh kekaburan cara pandang dan cara fikir.

Semasa Inter Civilizational Youth Engagement Program (IYEP) berlangsung, saya tekun meneliti bilah-bilah kata Karen Armstrong. Sebagai AJK, saya perlu bijak membahagikan masa dan tumpuan antara program dan tugasan-tugasan pentadbiran.

2 BOOK ARMSTRONG

Miss Karen Armstrong

Huraiannya tentang Islam, kepada Muslim dan non-Muslim yang hadir, sungguh teliti, tetapi tidak dijumudkan oleh istilah dan terminologi. Penuh bersahaja, sesekali lucu dan mengundang ketawa, tetapi hati dan akal bekerja keras menyatu faham terhadap huraiannya tentang Islam.

Tetapi…

“Why should a non-Muslim speaks about Islam??? I don’t understand“ soalan ini terngiang-ngiang kembali di fikiran saya.

Saya tidak mendengar sendiri. Kawan-kawan AJK yang bertugas di hotel bercerita. Mereka berasa malu apabila ada hadirin menempelak Karen Armstrong  dengan soalan sedemikian rupa. Ia adalah seminar yang dilangsungkan sehari sebulan IYEP bermula.

facilitators_iyep21

Tenaga di Balik Tabir IYEP
Berdiri dari kiri: Hasrizal, Maria Yan, Evelyn dan Afiq
Duduk dari kiri: Bo Bo dari Myanmar dan Anthony

“I’m doing this because you are not here!” jawab Karen Armstrong dengan tenang.

“Jika kamu boleh bercakap tentang Islam dalam bentuk yang boleh difahami oleh Kongres dan Senat Amerika Syarikat, oleh orang Barat, maka saya dan orang seperti John Esposito boleh berundur dan tidak lagi diperlukan” katanya lagi.

Kenyataan ini ditegaskan oleh Karen Armstrong di dalam temuramahnya bersama akhbar New Straits Times bertarikh 18 Jun 2007.

BERFIKIR SECARA ADIL

Pelajaran paling berharga yang saya perolehi hasil membaca karya-karya Karen Armstrong adalah kaedah berfikir tentang agama tanpa prejudis dan prasangka. Bersikap adil terhadap diri sendiri dan rakan, kawan dan lawan.

Buku pertama Karen Armstrong telah saya baca pada tahun 1999 iaitu semasa di Ireland. Ia adalah hadiah tunang saya sempena majlis pertunangan kami. The Battle for God, telah menyebabkan saya ‘tersangkut’ dengan Karen Armstrong kerana ia menjadi bacaan terawal saya, membaca tentang Islam dalam nukilan seorang non Muslim. Ekoran itu saya mula merangkak keluar daripada kebiasaan saya di dalam Pengajian Islam, kepada mula meninjau cara Eropah menganalisis politik dan agama.

Buku kedua Karen Armstrong yang saya baca adalah Muhammad: A Biography of the Prophet yang dihadiahkan oleh teman saya Anthony yang memeluk Islam kerana buku itu.

Karen Armstrong mempertahankan Islam tanpa meletakkan dirinya sebagai seorang Muslimah. Namun, prinsipnya yang menghormati kebenaran, itulah yang menjadi motif untuk beliau bertahan mempertahankan Islam.

Sikap inilah yang wajar diteladani oleh kita semua, dan saya tidak berasa malu untuk memperkatakannya.

ADIL TERHADAP KEBENARAN

Bukankah ini ajaran Allah yang Maha Adil itu?

Ketika Permaisuri Saba’ mendapat tahu akan kedatangan Sulaiman ‘alayhi al-Salām ke negerinya, beliau telah memberikan komen yang dirakamkan Allah di dalam al-Quran. Kenyataan itu menyebut:

27_34

“Permaisuri itu berkata: sesungguhnya raja-raja apabila mereka masuk ke sebuah negeri, mereka akan merosakkannya, dan menjadikan golongan terhormat di negeri itu terhina. Dan demikianlah kebiasaannya yang raja-raja itu lakukan!” [al-Naml 27: 34]

Kenyataan Permaisuri Saba’ yang merupakan seorang penyembah matahari, telah diiktiraf oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang melengkapkan ayat itu:

“dan demikian itulah yang dilakukan oleh mereka (kebanyakan raja-raja tersebut)” (An-Naml 27 : 34)

Penyebut kenyataan itu adalah Permaisuri Saba’ yang agamanya menyembah matahari. Namun apabila beliau bercakap benar, maka yang benar mesti dibenarkan. Lantas Allah SWT sendiri mengiyakannya.

Inilah keluhuran syariat Tuhan yang mengajar manusia berlaku adil. Adil terhadap kebenaran.

Apabila Karen Armstrong berhempas pulas berusaha menerangkan kepada masyarakat Barat tentang Islam yang dipelajarinya, adalah suatu kemalangan akal apabila orang Islam melatah-latah mengkritik dan mengharamkan bukunya.

MELIHAT DIRI SEBELUM ORANG LAIN

Sama ada kita sedar atau tidak, salah faham terhadap Islam dewasa ini semakin disulitkan oleh ketidak upayaan kita sendiri menerangkan Islam dengan betul. Kita bukan sahaja gagal memahamkan Islam kepada non Muslim, malah ramai umat Islam sendiri yang gagal memahami Islam yang ada di dalam buku dan ceramah yang berlambak di arus perdana. Itu belum diambil kira kefahaman jemaah kepada khutbah saban Jumaat.

Gejala Riddah semasa yang amat membimbangkan, banyak berpunca daripada kekeliruan dan salah faham mereka terhadap Islam dewasa ini. Riddah merupakah manifesta pemberontakan terhadap kefahaman dan penafsiran Islam,  bukannya solid sebagai permusuhan terhadap kebenaran Islam semata-mata.

Kegagalan kita untuk mengamalkan prinsip teras Seek First to Understand, Then to be Understood, atau dalam bahasa Islamnya “menyeru manusia ke jalan Allah dengan HIKMAH”, bukan sahaja menjadikan penerangan kita tentang Islam semakin tidak relevan, kita juga sewenang-wenangnya tidak berlaku adil terhadap orang lain.

Jika kita selama ini mendakwa bebas bahawa Orientalis bertanggungjawab terhadap penghuraian yang salah terhadap Islam, tidak pernahkah kita terfikir yang kita juga telah begitu banyak menyalah tafsirkan Barat?

Selaklah jutaan naskhah buku yang ada di perpustakaan, kita mungkin runsing dengan huraian tentang Islam oleh Orientalis, rimas dengan Snouck Hurgronje, Bernard Lewis, Arberry, Toynbee dan Gibbon. Tetapi jangan lupa untuk menghitung buku-buku dan makalah yang ditulis oleh Muslim, tentang Barat… secara melulu dan tidak tepat?

JANGAN PERSOALKAN OTORITI

Jangan mulakan soalan tentang otoriti Karen Armstrong dan sesiapa sahaja untuk bercakap tentang Islam, kelak nanti kita yang kepenatan untuk menjawab, siapakah yang memberikan otoriti kepada Muslim untuk mengkritik Barat… tambahan pula dengan hujah-hujah yang menyimpang dari kebenaran?

Jika selama ini kita mencela Barat sebagai membuang Tuhan, tidak pernahkah kita terfikir titik buta yang terselindung di sebaliknya? Lebih sulit jika ada yang bertanya, jika Barat yang ‘membuang Tuhan’ boleh bersatu dan maju, apa yang telah ‘hidup Bertuhan’ di kalangan Muslim hasilkan? Selesai masalah, atau makin banyak masalah?

Jangan main-main dengan soalan ini…

Jika selama ini kita menghafal huraian teks Islam 1980an tentang kecelaan Sekularisme, tidak pernahkah kita terfikir betapa hairannya Barat dengan kebencian kita terhadap Sekularisme? Sedangkan mereka mempertahankan Sekularisme untuk menjamin kebebasan umat Islam beragama di Eropah, Amerika dan Australasia hari ini? Tidak mungkinkah ada definisi kedua dan ketiga terhadap Sekularisme selain yang dihafal dari teks usrah yang telah berdekad diulang cetak?

Jika selama ini kita begitu fasih memetik tasbih mencela isme yang datang dari Barat, tidak terfikirkah kita dari mana datangnya isme itu dan bagaimanakah ia berfungsi membantu orang Eropah membetulkan cara mereka bertuhan lagi beragama? Apakah semua isme itu lawan Tuhan, atau bagaimana?

Semasa menghuraikan sekularisme, liberalisme, sosialisme, kapitalisme, kita bercakap seolah-olah semua ideologi tersebut tiada ilmunya, tiada sejarahnya, tiada falsafahnya, dan kita bebas menghuraikan ia mengikut kepala sendiri.

Siapa yang lebih penjenayah daripada siapa?

Kita atau Orientalis?

Sekurang-kurangnya Orientalis tidak memasukkan perencah agama dalam kupasan mereka. Tiada siapa yang pernah mengkuduskan definisi Orientalis sebagaimana kudusnya definisi yang agamawan kita tawarkan dalam tafsiran mereka tentang Barat.

Jika selama ini kita begitu cepat mengharamkan buku Karen Armstong semata-mata kerana beliau tidak layak untuk bercakap tentang Islam, tidak terfikirkah kita betapa ramainya orang Eropah yang akhirnya memilih Islam hasil sentuhan buku Karen Armstrong itu sendiri? Dan berapa banyak salah faham tentang Islam dicetuskan oleh Muslim sendiri di media perdana?

Siapa yang menaikkan Islam dan siapa yang menjatuhkannya?

Hidup ini penuh dengan blind spot… sudut-sudut yang kita sebagai manusia lemah ini gagal melihatnya. Kita perlu selalu mengadap cermin, dan menjadi cermin untuk saling lihat melihat, faham memahami.

Andaikata semua soalan ini kita pejamkan mata dari cuba memikirkannya, amat jauhlah untuk kita melaksanakan satu lagi tugas besar umat Islam hari ini.

Mengemukakan Tafsiran Islam terhadap Barat!

Jika Orientalis telah menterjemahkan Islam dengan kerangka mereka, kita pula bagaimana?

Bagaimanakah kita membimbing pembaca Muslim untuk membaca dan menafsir sejarah dan falsafah Eropah ? Atau semuanya mahu diselesaikan dengan bakul sampah simplistik itu?

Inilah cabaran yang menanti kita, untuk berusaha membangunkan disiplin Occidentalism. Bukan secara reaktif mahu bersilat dengan Orientalisme di gelanggang, tetapi untuk berlaku adil kepada saudara seiman, kawan dan lawan… kerana itulah intipati kita beragama… berlaku adil di hadapan Tuhan.

GOLDEN RULE

goldenrule

Kepada SEMUA, kata kunci bila soalan “Apa rasanya disalah erti” ditimbulkan ialah… amalkan Golden Rule ini:

  • “None of you truly believes until he loves for his brother what he loves for himself.”  Muhammad (c. C.E. 571 – 632) in a Hadith.
  • “Thou shalt not avenge, nor bear any grudge against the children of thy people, but thou shalt love thy neighbor as thyself: I am the LORD.” Torah Leviticus 19:18
  • “Do unto others as you would have them do unto you.”  Jesus (c. 5 B.C.E. – C.E. 32 ) in the Gospels, Matthew 7:12, Matthew 22:39, Luke 6:31, Luke 10:27
  • “When an alien lives with you in your land, do not mistreat him. The alien living with you must be treated as one of your native-born. Love him as yourself, for you were aliens in Egypt. I am the LORD your God.” Torah Leviticus 19:33-34
  • “This is the sum of duty; do naught unto others what you would not have them do unto you.” Mahabharata (5:15:17) (c. 500 B.C.E.)
  • “What you do not wish upon yourself, extend not to others.”  Confucius (ca. 551 – 479 B.C.E.)
  • “What is hateful to you, do not to your fellow man.” Hillel (ca. 50 B.C.E. – C.E. 10)

HASRIZAL
43000 BSP
P/S: Versi asal artikel ini bertarikh 5 Februari 2010, disiarkan semula dengan sedikit penambah baikan.

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

thestar

Sembang Kerjaya: Bidang Syariah Bukan Pilihan Terakhir

Petikan akhbar The Star 2010 “Kenapalah kamu ambil Syariah? Nanti habis belajar nak kerja apa?” …

9 comments

  1. Sunyi, merintih lirih di pinggir budi

    Si ‘Leftist’ menangis, mengadukan ketidakadilan, mencipta isme yg meriang riakan ‘si rajuk hati sampai mati’ (ahli riddah) , Begitupun si dia terlalu radikal sehingga mencabar akal saudara yang taat beragama, memaksakan revolusi dalam komuniti yg kecewa namun cuma ingin bahagia. Si ‘Leftist’ yg kecewa cuba mempromosi nilai2 akhlak yg baru demi sebuah revolusi dengan mempermalu malukan dan mengaibkan kaim agamawan…padahal si dia tahu dan mengerti ‘satira’nya semangat seorang satria melawan keganan yg tak beragama malah tak diterima dek akal manusia berwajah manis, berjanggut hitam dengan pandangan mata yg tampak ihklas itu seorang pengganas. Tidak mungkin…

  2. itulah.

    memang ramai yang salah faham dan salah erti.

  3. Memang benar dan pada masa yg sama sedih.

    Dalam sebuah daerah yg diketahui adanya ramai orang Islam yg berpendidikan tinggi, namun bila memandu – lampu isyarat merah dilanggar, pejalan2 kaki jarang sekali mendapat peluang melintas meskipun di ‘zebra crossing’, seringkali kereta berhenti di atas petak kuning, sukar menyalakan ‘signal’ apabila hendak menukar laluan di lebuhraya, dsb..

    Di kawasan perumahan pula, kebersihan perlu dipertingkatkan lagi.
    Jangan rumah yg bersih2 dan indah2 itu disebabkan yg ada pembantu rumah semata, jika tidak ada maka kotorlah rumah si Muslim itu.

    Jika kita Islam dan percaya Allah itu maha melihat setiap perilaku kita meskipun sebesar zarah, mengapa semua sikap pentingkan diri ini masih berlaku.

    Bagaimanakah mungkin orang bukan Islam mahu mencontohi kita, apatah lagi berminat dgn agama kita?

  4. Ada sebuah filem bertajuk PK yang mengisahkan pencarian Tuhan oleh seorang ‘alien’, untuk membantunya pulang ke dunia aslinya semula.
    Dalam filem tersebut, kritikan diberi ke atas kesemua agama termasuklah Islam, Hindu, dan Kristian.

    Pendapat saya yang kerdil, berdasarkan filem ini, mereka mengkritik bagaimana wujudnya manusia yang ‘menjual’ agama untuk kepentingan peribadi dan menutup mulut sang pencari dengan ayat,
    “Jangan persoalkan agama”.
    Namun ada segelintir penonton yang tidak mampu menghadam filem ini sehingga keluar kritikan awal yang menyimpulkan filem ini sebagai penghinaan terhadap Islam .
    Saya fikir, sensitiviti masyarakat Melayu kini terlalu tebal sehingga sukar membezakan penghinaan dan pengajaran.

    Wallahu’alam

  5. Terketuk hati membaca tulisan ustaz ini walaupun telah diulangsiar sekali lagi. Itulah sebab sukar untuk saya berbicara atau berbincang tentang sesuatu perkara yang kita bukan ahlinya. Namun ustaz, saya nak bertanya. Apakah salah kalau kita berbicara/berbincang tentang sesuatu perkara terutama dalam ilmu Islam, yang kita sendiri masih lagi sedang berusaha menuntutnya (atau dalam erti kata lain – jahil/lemah) sedangkan kita rasa perkara yang hendak dibincangkan itu perlu bagi menerangkan kepada orang lain atau menyedarkan mereka, bergantung kepada ilmu yang ada di dada. Atau baik diamkan saja?

  6. Liberalisme…everywhere…

  7. Ustaz sy cdgkn mnulis satu kitab kcil ttg isme2 barat dgn pnilaian yg lbh adil, dunia perlu kjujuran dn amanah ilmu utk dkongsikn, maaf klu ustaz pernh mnulis tjuk tersebut mgkin sy x prihatin

  8. Bernas dan membuka minda.
    Perkara yang sama terjadi apabila kami mengadakan program yg menjemput Dr Paul sebagai panelis.
    He learned about Islam and intend to explain them to non muslim thus help non muslim to change their perspective towards Islam.

    Penelitian dan pemahaman beliau terhadap Islam menarik soalan-soalan dari para hadirin dalam program itu yang seolah-olah memprovokasi status beliau sbg professor dlm bidang teologi dan mempersoalkan mengapa tidak memeluk islam.

  9. Kita juga bersalah kerana tidak pernah cuba memahami mereka. Namun apabila mereka yang sudah faham hendak menerangkan, bukalah laluan, lapangkanlah dada 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *