Biar Pun Bangkrap Ekonomi, Jangan Bangkrap Moraliti

Warga Malaysia di Galway yang sempat beramah mesra

“Apa cerita Ireland?” saya bertanya kepada rakan.

“Macam biasa. Inflasi. Bankruptcy, pengangguran, macam dalam berita” katanya.

Saya mengangguk.

Ramai rakan yang tinggal di Ireland, menghadapi pelbagai cabaran. Ekonomi, sosial, pendidikan, malah kerjaya.

Ada yang perkembangan kerjaya sudah stagnant.

Gaji pun serba sederhana.

Tidak banyak yang boleh diharapkan daripada sebuah negara yang bangkrap. Ekonomi merudum, hampir-hampir sahaja sebaris dengan Greece dan blok Eropah Timur.

Salah benar orang di kampung halaman yang berburuk sangka bahawa mereka tinggal di sana kerana harta, duit dan kemewahan. Mereka tidak mewah. Kehidupan mereka biasa-biasa sahaja. Kalau pulang ke Malaysia mungkin nampak mewah sedikit sebab tukaran matawang yang tinggi antara Euro dan RM. Mungkin nampak mewah kerana kereta mereka bagus. Terlupa yang cukai kereta di sana rendah. Harga kereta murah.

Mercedez bukan mewah.

Volkswagen Golf bersepah-sepah.

Biasa-biasa sahaja.

Namun, rata-rata sahabat saya yang bermastautin di Ireland, bertahan kerana faktor kemanusiaan.

Rumahtangga.

Anak-anak.

Pendidikan.

Di sebuah negara yang berbeza agama, berlainan bangsa, survival minoriti penuh ujian, ada sesuatu yang ‘mahal’ lagi berharga yang para ibu bapa berusaha keras mempertahankannya.

Saya mencari-carinya. Bertanya, berbual, bertanya, bersoal jawab, bergurau, dan akhirnya saya bertemu dengan satu cerita.

Politik!

“Bertie Ahern apa khabar?” saya menambah soalan.

“Habis dah. Sudah berundur daripada politik” jawab rakan.

Menarik. Bertie Ahern karismanya tidak kalah dengan Tony Blair. Sama muda, sama berbakat dan panjang tempoh pentadbiran. Parti  Fianna Fáil yang dipimpinnya juga lama memerintah Republic berkenaan. Selama saya bermastautin di Ireland, nama Bertie Ahern sinonim sebagai  Taoiseach of Ireland (Perdana Menteri).

Bekas Perdana Menteri Republic of Ireland itu rupa-rupanya telah mengundurkan diri daripada politik.

Beliau gagal mempertahankan dirinya daripada dakwaan oleh Mahon Tribunal terhadap transaksi wang tidak jelas di dalam akaunnya membabitkan usahawan terkemuka , Owen O’Callaghan. Ahern tidak disabitkan bersalah. Namun penjelasannya tentang wang tersebut ditolak oleh tribunal.

Jasa Bertie Ahern besar kepada kemajuan Ireland. Tetapi itu tidak menghalang dirinya daripada disiasat secara telus di kemuncak jawatan tertinggi, dan rakyat Ireland yang menderita atas kemunduran ekonomi, tidak menderita moraliti apabila berbohong kekal menjadi kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.

Teringat saya kepada sepotong hadith:

ثلاثة لا يكلمهم الله يوم القيامة ولا يزكيهم ( قال أبو معاوية : ولا ينظر إليهم ) ولهم عذاب أليم : شيخ زان . وملك كذاب . وعائل مستكبر

“Tiga manusia yang Allah enggan berbicara dengan mereka pada Hari Kiamat dan tidak akan dibersihkan daripada beban kesalahan (berkata Abu Muawiyah: Allah juga tidak mahu memandang mereka) dan bagi mereka azab yang pedih (iaitulah):  orang tua yang berzina, raja (pemimpin) yang berbohong dan si miskin yang bongkak” [hadith riwayat Muslim]

Perbicaraan Bertie Ahern juga dilakukan dalam keadaan berintegriti. Ejek mengejek jauh sekali, bertepuk tangan pun dilarang sama sekali – photo credit thejournal.ie

Benarlah ungkapan Muhammad Abduh, “aku ke Paris dan aku bertemu dengan Islam tanpa Muslim, aku ke Kaherah dan aku bertemu dengan Muslim tanpa Islam”

Mendidik anak-anak dalam suasana yang tiada Muslim, namun tertegak nilai Islam, menjadikan kehidupan kekal berintegriti. Kehidupan yang membolehkan hitam dilakar hitam dan putih dijernihkan sebagai putih. Rakan-rakan saya mempertahankan harga etika sosial ini dalam suasana pendidikan anak-anak mereka.

Biar pun bangkrap ekonomi, jangan bangkrap moraliti!

Itu kisah Ireland.

Kisah 2008.

Selamat datang 2013.

Ini mungkin tahun kita!

HASRIZAL
Galway, Ireland

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi

Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. …

One comment

  1. terima kasih ustaz kerana banyak menulis tentang nilai kemanusiaan, etika, moral dan akhlak. saya juga cuba untuk meletakkan akhlak di tahap tertinggi dalam hidup selepas berpuluh tahun hidup, sebelum ini macam-macam juga perangai saya. Baru saya faham, tiada wang memang orang tak pandang, tapi tiada akhlak lebih hina sebenarnya. saya berharap rakyat malaysia buka mata dan hati supaya berfikir tentang akhlak apabila menjalani kehidupan seharian dan memilih pemimpin kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *