Beragama Dengan Akal Yang Sakit

 

Sekitar tahun 2008-2012 saya cuba wacanakan topik buku Apa Erti Saya Menganut Islam. Isi kandungan utama modul tersebut ialah membetulkan cara fikir Muslim, memposisikan dengan baik di mana Sunnatullah dan di mana Syariatullah, mengharmonikan usaha dengan tawakkal. Biar pun kursus itu sering dikategorikan sebagai kursus motivasi, saya menganggap sesuatu yang lebih daripada sekadar memotivasi. Ia berkaitan dengan asas keberagamaan.

Sepanjang kursus, ceramah dan seminar dijalankan, saya bertemu dengan kekhuatiran yang besar. Sesi soal jawab, maklum balas, menunjukkan cara fikir masyarakat sungguh membimbangkan.

Apabila saya tekankan tentang pentingnya berusaha dengan cara yang betul, ada peserta bertanya, “ustaz bertawakkal kepada Allah atau kepada asbab (usaha)?” Saya ketika itu lelah mendepaninya. Makin lama makin menjadi-jadi. Pelik-pelik soalan yang ditanya.

Saya masih belum lupa bagaimana mudir sebuah sekolah mengajak saya berceramah di sekolahnya. Katanya, “ustaz jangan bimbang. Di sekolah ana hanya ada Islam. Yang sains-sains, matematik, English ini semua tak ada!” Oh, dan mudir ini mengusahakan sebuah sekolah. Berapa orang muridnya yang dibentuk dengan minda sebegitu?

Demikian juga dalam soal paradigma perubatan Islam. Antara perubatan konvensional di hospital dengan rawatan ruqyah, mana yang Islami mana yang tidak. Ada ibu bapa yang discharge anak daripada hospital kerana mahu membawanya berubat cara Islam! Habis rawatan yang di hospital itu rawatan apa? Rawatan kafir? Rawatan Orientalis? Pada masa itu pertanyaan ini disambut ketawa. Terasa lucu kerana masakan ada yang berfikir sepelik itu.

Rupa-rupanya pemikiran itu semakin menular dan menjadi satu trend yang signifikan di dalam masyarakat pada tahun 2016 hari ini. Ibu mati bersalin di rumah dipertahankan kerana mahukan kelahiran aman dan ‘semula jadi’. Anak-anak tidak divaksin. Bukan sahaja kesan menolak vaksin kepada herd immunity itu membimbangkan, cara berhujah pada menolak vaksin itu yang lebih menakutkan. Meranapkan kemanusiaan apabila correlation and causation menjadi caca merba. Peningkatan mendadak penyakit-penyakit maut kesan kemerosotan pengambilan vaksin, tidak sedikit pun menggugat pendirian golongan ini. Malah kalau isteri mati pun, redha dengan ‘kesemula jadiannya’.

Allah…

عن الأوزاعي قال : بلغني أنه قيل لعيسى بن مريم عليه السلام : يا روح الله إنك تحيي الموتى ؟ قال : نعم بإذن الله . قيل وتبرئ الأكمه ( الأعمى ) ؟ قال : نعم بإذن الله . قيل : فما دواء الحمق ؟ قال : هذا الذي أعياني

Daripada al-Awzā’ī beliau berkata: telah sampai kepadaku bahawa pada suatu ketika ‘Isa bin Maryam ‘alayhi al-Salām telah ditanya, “wahai Ruh Allah, benarkah sesungguhnya engkau pernah menghidupkan seorang yang telah mati?” Baginda menjawab, “benar, dengan izin Allah.” Baginda ditanya lagi, “dan engkau pernah menyembuhkan mata si buta?” Jawab baginda, “benar, dengan izin Allah.” Baginda disoal lagi, “bagaimana pula dengan ubat kepada kebodohan?” Jawab baginda, “Inilah yang melelahkan aku!”

Kegelisahan itu juga dapat dikesan semasa saya mewacanakan topik ‘cinta’ yang santai. Apabila pelajar universiti bertanya soalan yang bukan-bukan tentang cinta, perkahwinan dan kekeluargaan, cara fikir yang menimbulkan pertanyaan itu amat membimbangkan.

“Berapa jumlah mesej yang syar’i untuk tunang berhubung dengan tunang sebelum berkahwin?” Soalan jenis apakah ini?

Jika tahap berfikir sebegini terus mendatar tidak terawat dan berubah menjadi lebih baik, bagaimanakah apabila beliau menjadi ibu dan bapa, menangani hal-hal rumahtangga yang membabitkan dua keluarga, kesihatan dan keselamatan anak-anak, pendidikan, kewangan, kebolehan merancang keutamaan dan seterusnya?

Keputusan cemerlang peringkat SPM sepertinya tidak terpakai dalam memikirkan hal-hal yang di luar konteks akademik sekolah dan pendidikan tertiari. Saya masih ingat betapa popularnya kita merungut tentang hilangnya ‘common sense‘ semasa itu. Mahasiswa mahasiswi universiti menguruskan jemputan ceramah secara tunggang langgang, saya bukan merungut tentang kesulitan yang saya hadapi akibat daripadanya. Sebaliknya saya takut dengan cara berfikir yang menatijahkan caca merba berkenaan.

Lama saya berfikir. Apa yang patut dibuat? Puncanya di mana? Kegagalan berfikir seperti yang sepatutnya, adalah kekhuatiran yang lebih mendalam berbanding Gred 3 dalam SPM atau tidak menghabiskan pengajian di universiti.

Lama kelamaan, kebimbangan itu melata. Pensyarah universiti, majikan di daerah pekerjaan, semuanya merungut. Dan rungutan itu tidak berkesudahan. Ia sukar sembuh dengan hanya membuat kursus teknik itu dan ini. Saya yakin, kegagalan berfungsi dalam kehidupan berkaitan cara fikir ini, akar umbinya ada di sekolah.

SEKOLAH (PENDIDIKAN)

Semakin saya mendalami aspek kognitif, meneliti mekanisme membangunkan kurikulum untuk merangsang fikir, mengkaji taksonomi fikir yang pelbagai, saya semakin kuat merasakan punca kepada sakit akal ini berbalik kepada apa yang berlaku di rumah dan di sekolah. Berkaitan pendidikan. Pendidikan dalam bentuk program yang sistemik menjadi latar belakang yang paling munasabah untuk menjelaskan kenapa anak-anak kita hari ini jadi pelik.

Bermula 2013, Khalifah Model School membuka sekolah menengah di Sepang. Bermula sebagai anggota Lembaga Pemegang Amanah di Yayasan Pendidikan Khalifah, akhirnya saya masuk sepenuh masa menjadi guru di Khalifah Mode School (Secondary) bermula September 2014. Di sekolah ini, kami direzekikan oleh Allah menerima pelajar yang rencam. Sebagai sekolah baru yang memang tidak mampu mensyaratkan kelayakan tinggi untuk kemasukan pelajar, ‘kekurangan’ tersebut bertukar menjadi peluang untuk kami meneliti bersungguh-sungguh kaedah yang boleh membantu pelajar yang biasa-biasa untuk berjaya. Definisi berjaya juga ditukar kepada yang lebih menepati realiti kerana gred A yang berderet di dalam SPM semakin tidak mencerminkan terhasilkan matlamat sebuah pendidikan.

Beragama dengan akal yang sihat menjadi agenda yang penting.

BELAJAR DARIPADA SEJARAH

Imam Birgivi (meninggal dunia 1573M) turut menekankan bahawa asas akhlaq yang baik adalah kemampuan mantiq yang munasabah. Kemampuan berfikir dengan sihat. Jika kepala sudah tidak logik, agama jadi caca merba. Tafsiran agama jadi menakutkan. Saya melihat melalui catatan sejarah, bagaimana abad ke-17 Dawlah Uthmaniyyah berdepan dengan cabaran keberagamaan yang radikal, saling bertentangan antara Kadizadeli dan Sufi, dan diburukkan pula bencana alam yang meletakkan masyarakat dalam keresahan. Semakin lama keadaan menjadi semakin membimbangkan. Apabila Dawlah Uthmaniyyah sampai ke abad ke-19, Istanbul menyaksikan banyak amalan khurafat, kepercayaan mistik yang memeningkan, dan semua itu selari dengan haru birunya cara fikir masyarakat. Di era inilah Dawlah Uthmaniyyah semakin melemah dari dalam, tidak ampuh mendepani asakan ideologi asing apatah lagi strategi-strategi mega penguasa Eropah menggasak kerajaan Muslim itu.

Kata Imam Birgivi:

ومركّب : هو اعتقادٌ غير مطابق (للواقع) وهو شرّ من الأوّل , مرضٌ مُزْمِن قلّما يقبل العلاج, لأنّ صاحبه يعتقد أنه علم و كمال, لا جهل و مرض, فلا يطلب إزالته و علاجه إلا أنْ يطّلع على فساده بغتةً بعناية الله تعالى.

Ada pun kejahilan yang kompleks (murakkab), maka ia adalah kepercayaan yang menyalahi realiti sebenar, ia lebih tercela berbanding kejahilan jenis yang pertama. Kejahilan sebegini adalah penyakit kronik yang jarang menyambut baik rawatan. Ini disebabkan oleh pengidapnya beranggapan bahawa jahil itu adalah ilmu dan sempurna, bukan kebodohan dan penyakit. Maka dengannya tidaklah dia berusaha menghilangkan serta merawatnya, melainkan tiba-tiba dia tersedar akan fasad tersebut dengan bantuan Allah Ta’ala [al-Thariqah al-Muhammadiyyah]

Hari-hari menakutkan yang dibayangkan 10 tahun lalu, kini telah tiba.

Sesuatu mesti dilakukan untuk masyarakat hari ini.

Atau kita tumbang dengan tumbangnya rukun menjadi manusia. Beragama dengan akal yang sakit.

Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com
“Setia Dengan Kebenaran”

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Teknologi dan peranti semasa

Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi

Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. …

4 comments

  1. Sedikit sebanyak golongan agamawan banyak menyumbang ke arah ini…melalui doktrin dilarang berfikir..semuanya perlu bergantung kepada agamawan, maka lahirlah generasi2 seperti ini. Takut untuk menggunakan akal yg dianugerahkan.

    Kalau menggunakan akal yg sihat, terlalu banyak persoalan yg perlu ditanya kepada agamawan2 ini yg tak mungkin dapat dijawab dgn logik. Kalau dpt jawab pun, mungkin tak boleh diterima akal & tak meyakinkan.

    Jadi agamawan perlu berhenti berlagak sebagai tuhan.

    Kembali pada Quran.

  2. mungkin agamawan terlalu banyak menakutkan masyarakat. lebih banyak mengeluarkan vibes negatif. sudah tiba masanya agamawan bersifat mesra orang muda. lebih peramah, murah dengan senyumaan, mendekati mereka dan sentiasa mengambil berat perihal mereka, bukan menghentam mereka jika ada salah dan silap. zaman ini zaman yang melelahkan, serba serbi menjadi celaru, ekonomi, kesihatan, gaya hidup, hiburan fesnyen dan sebagainya bergabung menjadi satu – iaitu masyrakat yang hilang commen senses dan sakit. sesungguhya, kita harus berbalik kepada hakikat kehidupan yang sebenar, iaitu mengabdikan diri kepada Allah.

  3. Saya telah mendapati dari pemerhatian bahawa punca utama rosaknya masyarakat adalah apabila
    Golongan ibu mula bekerja. Ianya umpama pemanah bukit uhud yang diarah untuk kekal di situ , meninggalkan zon mereka
    Kerana melihat golongan yang di bawah bukit mendapat habuan perang. Inilah yang sedang dilakukan oleh wanita2
    Urban , meninggalkan rumah dan pergi mendapatkan habuan di luar rumah..

    Saya bandingkan karekter kawan-kawan dan kenalan muslim middle class berbangsa melayu dan indiamuslim….mula melihat perbezaan ketara
    Ini sejak akhir tahun 90an . Bangsa indiamuslim ibadahnya kurang terjaga tetapi nilai2 tradisional masih dipegang. Ibu mereka surirumah sepenuh masa begitu juga makcik2 mereka dan hubungan inter family sangat kuat. Bapa jenis yang garang memastikan sikap anak-anak di luar tidak memburukkan nama keluarga.

    Tetapi sejak 70an , ramai wanita melayu mula menceburi bidang kerjaya sebagai penjawat awam , guru , jururawat dan juga ke sektor swasta.

    Sebelum ubah sistem di sekolah , kena ubah sistem di rumah. Adakah wanita mampu mengorbankan impian berkarier mereka ? Bergantung
    Kepada sistem nilai yang mereka pegang,

  4. Assalamu’alaikum ustaz, riwayat al-Auza’ai diatas boleh disemak dimana ya?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *