Jangan Kuduskan Ijtihad Politik

ayasofya1

Semasa belajar sejarah di peringkat sarjana, antara yang saya perolehi daripada latihan akademik di situ ialah pentingnya mengikis kecenderungan meromantikkan sejarah, yang turut boleh berlaku ke atas ahli akademik. Meromantikkan sejarah akan menyebabkan kita menggambarkan sesuatu lebih daripada yang sebenarnya, dan menghalang diri daripada bersikap objektif terhadap persetujuan dan kritikan.

Saya akui, di suatu ketika saya terlajak berani mewacanakan idea mengenai Sultan Muhammad al-Fatih dan Sultan Abdul Hamid II kerana menyangka pembacaan selama beberapa tahun itu sudah memadai untuk saya dapat melihat kebenaran. Hakikatnya masih banyak yang belum diketahui. Mengetahui apa yang sebelum ini tidak diketahui, memerlukan saya memperbaiki pendirian agar lebih adil terhadap kebenaran silam, dan keperluan semasa.

Masakan tidak, pembukaan Constantinople 1453 menepati deskripsi janji Nabi SAW. Tentu sahaja kita melonjak ghairah terhadapnya. Tetapi seluas manakah sebenarnya cakupan “sebaik-baik amir” dalam memahami hadith tersebut?

Syukur, saya tidaklah sampai mahu mendakwa Mazhab Hanafi dan Aqidah Maturidiyyah sebagai yang terbaik kerana “sebaik-baik amir adalah amirnya” yang diungkap Baginda SAW. Cukuplah sekadar saya beranggapan Muhammad al-Fatih sebagai sebaik-baik ketua kepada sebuah misi. Dan tidak sama sekali mengkuduskan Muhammad al-Fatih dan menghalang kritikan terhadap beliau. Sahabat baik saya bernama Fatih dan saya juga mahu menamakan anak saya Fatih tetapi ia tidak berlaku dengan hikmah-hikmah yang baik Inshaallah. Saya masih mengagumi al-Fatih, tetapi saya tidak mengkuduskannya.

ASAL FIKRAH ‘MENAWAN’ CONSTANTINOPLE

Memperincikan fakta penguasaan al-Fatih ke atas Constantinople akan memperlihatkan perkembangan fikrah tersebut. Ia bersumberkan kebangsawanan kabilah Kayı yang turut diangkat oleh ayahanda beliau, Murad II untuk ditempa ke atas syiling dan senjata besi Osmanlı. Islamic view of sovereignty hanya salah satu aspek yang membentuk fikrah kerajaan berpusat Constantinople, malah al-Fatih juga dipengaruhi oleh tradisi Byzantine, bahawa mereka yang menguasai ibu kota sebuah kuasa, menguasai keseluruhan kuasa atau empayar berkenaan. Pada tahun 1466, G. Trapezuntios mengadap al-Fatih dan berkata, “nobody doubts that you are the emperor of the Romans. A ruler who controls the centre of the empire is the emperor of that empire, and Istanbul is the centre of the Roman Empire”.

Kita akan melihat bagaimana minda al-Fatih dikonstruk kepada Khan, Gazi dan Caesar, adalah secara interaksi beliau dengan realiti di sekelilingnya, dan bukan manifestasi teks yang kudus.

Ini penting, sebab selepas penguasaan Constantinople pada tahun 1453, kita akan melihat bagaimana al-Fatih mengemukakan beberapa polisi yang kontroversi dan peromantik sejarah akan berdepan kesulitan untuk membenarkan kritikan dibuat terhadap al-Fatih kerana mengganggu imej sempurna al-Fatih yang dipegangnya.

IJTIHAD POLITIK AL-FATIH

Misalnya, jika kita mengkaji sejarah ekonomi Dawlah Uthmaniyyah, kita akan melihat polisi kewangan al-Fatih yang saya maksudkan tadi. Al-Fatih memperkenalkan syiling perak baru (akça) menggantikan akça lama. Beliau melancarkannya pada tahun 865H, 875H, 880H dan 886H (berdasarkan tahun yang dipakai pada akça tersebut). Al-Fatih menggunakan cara kekerasan untuk melancarkan kemahuannya. Gümüş arayışı (pemburu perak) dihantar ke ceruk kota dan desa, menceroboh masuk kediaman, tempat simpanan dan premis perniagaan untuk merampas syiling akça lama dan menggantikannya dengan syiling baru dengan nilai hanya 1/5 daripada nilai asal. Ia menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat terhadap polisi al-Fatih.

Apakah yang al-Fatih fikirkan untuk mengharuskan pendekatan yang beliau ambil? Intellectual history bukan cabang pengajian sejarah yang mudah. Tetapi yang kita pasti ialah, ia adalah sebuah ijtihad seorang manusia.

Demikian juga, al-Fatih dikritik dalam polisi monopoli beliau dalam cukai pertanian (mukata’a). Untuk membangunkan kota metropolitan Istanbul, al-Fatih memindahkan secara paksa penduduk luar ke kota Istanbul dan kemudian mereka dikehendaki membayar sewa di rumah-rumah baru tersebut. Ini menimbulkan kemarahan. Sudahlah dikerah meninggalkan kediaman asal secara paksa, kediaman baru pula dikenakan sewa. Mujurlah polisi itu kemudiannya ditarik balik selepas seorang hamba al-Fatih yang sudah bersama beliau semenjak zaman ayahnya, bernama Kula Şahin menegur al-Fatih. Katanya, “datuk moyang kamu dulu banyak menguasai wilayah baru. Mereka tidak pernah menyusahkan orang ramai dengan polisi sebegini.”

Tetapi monopoli al-Fatih di dalam penyewaan garam, sabun dan lilin kepada perniagaan individu terus menjadi kemarahan ramai. Âşık Paşazâde memprotes polisi ini sebagai satu perlanggaran terhadap keadilan yang belum pernah dilihat berlaku di mana-mana wilayah Dawlah Uthmaniyyah. Beliau mendakwa idea iyu sebenarnya diperkenalkan oleh seorang Yahudi dari Itali bernama Hekim Yakub.

Namun, dalam banyak-banyak polisi al-Fatih pasca pembukaan Istanbul 1453, polisi beliau dalam merampas tanah wakaf adalah yang paling mendatangkan kemarahan banyak pihak. Tanah-tanah wakaf tersebut ditukar kepada status ‘timar’ dengan berhujahkan tanah itu tidak dibangunkan. Apabila tanah itu berstatus timar, ia diagih-agihkan sebagai ganjaran kepada military class. Tursun Beg kata, sekitar 20 ribu perkampungan dan ladang yang dirampas. Ia menimbulkan kemarahan para ulama kerana antara mangsa yang paling ramai adalah zawiyah-zawiyah Tarekat yang menghuni tanah tersebut. Kemarahan ini diadukan kepada anak al-Fatih, iaitu Beyazid di Amasya dan kita sedia maklum yang apabila Beyazid menaiki takhta, beliau memulangkan kembali tanah-tanah wakaf yang dirampas bapanya dahulu, kepada pemilik asal dan status asalnya sebagai wakaf.

Hal-hal ini berlaku kerana selepas al-Fatih menguasai Constantinople pada tahun 1453, pemerintahannya semakin menjadi otokratik. Ia tidak sama sekali bermaksud al-Fatih telah menjadi jahat atau munafik (label-label sebegini juga adalah kesan meromantikkan sejarah). Sebaliknya ia menginsafkan kita untuk bersikap lebih objektif, bersederhana, dan mengizinkan kritikan-kritikan dilakukan secara sihat terhadap polisi-polisi yang bersifat ijtihadik.

IBRAH DALAM MEMBACA PERKEMBANGAN POLITIK SEMASA TURKI

Kalaulah ini boleh diibrahkan, ia diharap boleh melenturkan sentimen menyokong dan menentang Presiden Turki sekarang, Recep Tayyib Erdogan dan konflik beliau dengan Perdana Menteri Prof  Ahmet Davutoğlu

Menukar sistem daripada sistem berparlimen kepada sistem Presidency untuk Republik Turki, adalah sesuatu yang harus. Kedua-duanya adalah sistem yang valid, dan ada pro serta kontranya. Kerisauan yang ada di benak fikiran saya ialah apakah mekanisme yang dipakai untuk check and balance kepada sistem Presidency yang Recep Tayyib Erdogan mahukan, apabila beliau semakin menjadi untouchable?

Saya tidak sama sekali melabel Erdogan sebagai munafik atau penjahat. Hasha lillah… cuma saya khuatir dengan kuasa yang ada di tangan Erdogan dengan loyalists di sekelilingnya, menjadikan Erdogan sendiri sukar untuk mengendalikan Syaitan dan nafsu yang menjadi musuh tulen kepada manusia zaman-berzaman.

Oleh kerana Erdogan berada dalam tradisi demokrasi, tindakan tidak demokratik beliau mestilah dibenarkan untuk dikritik. Jangan kita melenting dan hendaklah kita bersederhana dalam mengamati perkembangan yang berlaku. Tiada siapa yang menafikan peranan dan jasa AKP serta kepentingan regional yang memerlukan kepada kestabilan politik Turki.

Al-Fatih dan Sultan Abdul Hamid II hidup di zaman pemerintahan yang berlainan. Dan tinjauan kita di zaman ini terhadap pendekatan yang diambil di zaman itu menatijahkan kritikan-kritikan terhadap cara mereka berpolisi. Samalah juga dengan polisi Erdogan hari ini. Komitmen beliau terhadap nilai yang beliau sendiri dukung dikritik, dan kritikan bukan semuanya bermaksud tidak baik. Dan sudah tentu, saya berlepas diri daripada golongan bermulut cabul yang merobek dada Erdogan untuk menilai apa yang hanya boleh dinilai oleh Tuhan.

Kita doakan yang baik-baik untuk Turki.

Dan saya sebagai seorang pelajar, yang tidak fasih berbahasa Turki, dan tidak berada di Turki, hanya ini yang mampu saya nukilkan, untuk saya sendiri fahami, bagaimanakah perkembangan semasa ini diperhati hari ini, dan mungkin diperhati oleh sejarawan, di masa hadapan nanti.

Hasrizal
www.saifulislam.com

______________
BACAAN LANJUT:

  1. An Overview of Ottoman History by Halil Inalcik (The Great Ottoman – Turkish Civilization), Cicek, Kemal. “The Great Ottoman Turkish Civilization, 4 vols.” (2000).
  2. Shaw, Stanford. History of the Ottoman Empire and Modern Turkey Vol 1: Empire of the Gazis: the Rise and Decline of the Ottoman Empire 1280-1808. CAMBRIDGE UP, 1976.

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

thestar

Sembang Kerjaya: Bidang Syariah Bukan Pilihan Terakhir

Petikan akhbar The Star 2010 “Kenapalah kamu ambil Syariah? Nanti habis belajar nak kerja apa?” …

7 comments

  1. Terima kasih Ustaz. Murni nada tulisan ini. Moga saya dapat belajar dari segala persoalan ini dalam environment sebegini — “Ia tidak sama sekali bermaksud al-Fatih telah menjadi jahat atau munafik (label-label sebegini juga adalah kesan meromantikkan sejarah). Sebaliknya ia menginsafkan kita untuk bersikap lebih objektif, bersederhana, dan mengizinkan kritikan-kritikan dilakukan secara sihat terhadap polisi-polisi yang bersifat ijtihadik.”

  2. Apa maksud “kudus”, dengan bahasa yang lebih mudah? Maaf. Sesiapa tolong reply

    • Kata KAMUS DEWAN:

      KUDUS:

      Ar tidak bercela, suci, bersih, murni: dia yg berhati ~; roh al-~ = ruhulkudus roh suci (Jibrail dlm ajaran Islam); menguduskan menyucikan, membersihkan (batin, hati, dll): moga-moga Allah ~ roh-roh mereka; kekudusan kesucian, kebersihan (hati, batin, dll): dia akan jadi peruntuh pula, akan meruntuhkan kemanusiaan dan ~ manusia seluruhnya.

      Yakni: Jangan Jadikan Ijtihad Politik Itu Maksum, tidak boleh dikritik, tiada salahnya dan mesti dipatuhi tanpa soal.

  3. Di Mesir, saya dengar kisah yang lebih lucu. Ada pelajar Malaysia di sana berpendapat bahawa Syaikh Nazim al-Haqqani (yang difatwakan sebagai sesat oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan) sebagai tidak sesat hanya kerana katanya dia sentiasa tidur mengiring sementara menanti Solat Subuh.

    Kalau begitu cara berfikir yang sihat, maka para pemuka Khawarij sejak zaman berzaman sudah tentu lebih sunni daripada ahlus sunnah, kerana ternyata mereka jauh lebih kuat ber’ibadah berbanding Ahlus Sunnah.

  4. Terima kasih ustaz kerana sentiasa berusaha membuka minda kami yang senantiasa ‘superficial’ ini. Barakallahu fik.

  5. Saya hanya ingin berkongsi pepatah arab yang diberi oleh anak sedara ana bekas Al-Azhar:

    Orang yang mencari sahabat yang tanpa aib, akan hidup sendirian.
    Orang yang mencari isteri yang tanpa kekurangan akan hidup membujang
    Orang yang mencari kerabat yang sempurna akan hidup memutus kerabatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *