Sembang Kerjaya: Bidang Syariah Bukan Pilihan Terakhir

thestarPetikan akhbar The Star 2010

“Kenapalah kamu ambil Syariah? Nanti habis belajar nak kerja apa?” tanya salah seorang ahli keluarga saya.

Saya hanya mendiamkan diri.

Menelan sahaja persepsi umum yang dilontarkan kepada keputusan saya untuk menolak tawaran yang lebih lumayan

Semasa mengisi borang UPU, saya memohon untuk menyambung pengajian dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam di dalam bidang Bahasa Arab Komunikasi di Jordan atau Maghribi. Ia adalah kali pertama JPA membuka tawaran untuk program ke Timur Tengah.

Tetapi semasa temuduga, saya dimaklumkan yang keputusan peperiksaan SPM saya kurang satu syarat untuk melayakkan saya memohon bidang Bahasa Arab Komunikasi tersebut. JPA mensyaratkan subjek Bahasa Malaysia mesti sekurang-kurangnya A1! Kurang separuh anak tangga pun tidak dibenarkan.

“Atas kekosongan pilihan pertama awak, kami cadangkan awak manfaatkan keputusan peperiksaan awak yang cemerlang di dalam bidang Ekonomi dan Perdagangan. Sokongan Bahasa Inggeris dan Matematik menjadi sebab kenapa kami mahu awak buat Ekonomi di Amerika Syarikat!” kata salah seorang ahli panel temuduga pagi itu.

Saya ditemuduga oleh JPA di sebuah sekolah menengah di Teluk Intan.

Terdiam.

“Tapi tuan, saya tidak berminat dengan bidang Ekonomi. Saya memohon supaya pilihan kedua saya dipertimbangkan. Saya minta supaya JPA pertimbangkan permohonan saya untuk bidang Syariah dan Pengajian Islam di Jordan,” saya merayu.

Setelah bersoal jawab selama hampir setengah jam, temuduga selesai. Selang beberapa minggu saya menerima surat tawaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk Rancangan Bersama JPA-Petronas ke Timur Tengah. Saya ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke Jordan di dalam bidang Syariah dan Pengajian Islam.

Allah Subhanahu wa Ta’aala jua yang tahu betapa bersyukurnya saya dengan kurniaan nikmat itu.

Bersama dengan saya di dalam program berkenaan adalah para pelajar lain yang akan bersama ke Maghribi dan Mesir. Sebahagian mereka, kini lebih dikenali di dalam masyarakat. Di kalangan pelajar Rancangan Bersama JPA-Petronas ini ialah Dr. Maszlee Malik (UIAM), Dr. Arieff Salleh Rosman (UTM), Dr. Muhammad Sabri Sahrir (UIAM), Dr. Ahmad Basri Ibrahim (UIAM), Amirah Affaf Abd Salam, Hafsah Badzis, Dr. Hasanah Abdul Khafidz (UKM), Wan Rumaizi Wan Husin (UIAM), Wan Najmuddin Bin Wan Abdullah (UIAM), Nushi Mahfodz (KUIS), Munawwaruzzaman Mahmud, Mohd Kamarul Khaidzir Saadan (KUIS), Syamsul Ammar bin Shuib (JAKIM), Heizal Hezry Omar (UiTM), Muhamad Zahidi Arifin , Mizhar Mazlan dan ramai lagi.

Turut bersama di dalam program yang sama adalah pelajar perubatan ke Mesir. Antaranya ialah Dr. Islah Munjih Ab Rashid (UIAM), Dr Nujaimin Uddin dan beberapa orang lagi.

KUMPULAN JORDAN BERLEPAS

15 September 1993, saya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang ke Amman melalui Dubai.

Di dalam pesawat, telinga saya masih terngiang-ngiang dengan pesanan ahli keluarga supaya saya menyelesaikan pengajian di bidang Syariah, dan kemudian harus menyambung belajar di dalam bidang Ekonomi. Ideanya adalah untuk mengkhususkan diri di dalam bidang Muamalat, iaitu suatu istilah yang masih asing ketika itu. Jalan untuk mengkhususkan diri di bidang Ekonomi Islam adalah dengan belajar Syariah dan Ekonomi secara berasingan. Proses nikah kahwin antara ilmu Syariah dan Ekonomi masih belum berada di pesada massa.

Tetapi, untuk menolak peluang belajar di bidang Ekonomi ’sekadar’ untuk belajar Syariah, keputusan ini mengundang pelbagai persepsi yang melemaskan. Jika tidak kerana pendirian dan kedegilan saya, mungkin patah semangat juga di kala itu.

Di Jordan, saya cuba untuk mencambahkan minat di dalam bidang ekonomi dan hal ehwal berkaitan. Setiap kali saya ke kedai buku untuk mencari buku yang boleh memutikkan minat saya kepada ekonomi, ia akan berakhir dengan pembelian sepuluh buah buku di dalam bidang Sejarah!

Sehingga ke dua tahun pertama saya di Jordan, mungkin sudah lebih dua puluh buah buku berkaitan muamalat, perbankan Islam termasuk buku Iqtisaduna oleh Muhammad Baqir al-Sadr saya beli dan baca untuk memaksa diri meminati bidang tersebut.

Semasa pulang bercuti ke Malaysia pada tahun 1994, saya dihadiahkan oleh pakcik saya peluang untuk menyertai sebuah seminar berkaitan dengan mekanisme Islam menangani inflasi (al-tadakhkhum). Beliau yang bertugas sebagai seorang konsultan Syariah di sebuah bank Islam, mengajak saya untuk menimba ilmu, biar pun saya masih samar-samar dengan isi kandungan seminar tersebut yang dirasakan begitu advance untuk pengetahuan asas yang saya ada tentang Ekonomi dan Muamalat Islam. Sebuah beg dengan lebih 15 kertas kerja tebal-tebal seberat lebih 2kg saya bawa pulang ke Jordan.

Semuanya demi Muamalat.

Saya tahu akan peri pentingnya bidang ini. Saya juga faham akan prospek bidang ini dalam jangka masa 1o tahun akan datang. Saya sedar juga akan bahayanya kehidupan kita andai tidak arif berkenaan hukum hakamnya. Namun dalam semua motif yang ada tentang keperluan mendalami ilmu Muamalat, apa yang mampu menjadi bekal saya mempelajarinya adalah pada soal menyelamatkan diri dari perangkap riba dan d0sa-dosa transaksi harta benda dan perniagaan harian.

Saya belajar.

Subjek Fiqh al-Muamalat, al-Qawaa’id al-Fiqhiyyah, Fiqh al-Mawarith wa al-Wasaya serta satu dua subjek lain yang berkaitan dengan Muamalat saya tekuni, biar pun keghairahan padanya tidaklah begitu ketara. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan pun baik. Tidak minat bukan alasan untuk tidak lulus dan cemerlang. Segalanya berbalik kepada soal disiplin, iaitu bersabar melakukan perkara yang kita tidak suka, untuk akhirnya mendapat peluang melakukan perkara yang kita suka nanti.

Tetapi saya tetap duduk di dalam sebuah kepastian, Muamalat bukan bidang pengkhususan saya.

Isunya bukan soal susah atau senang, malah bukan juga pada soal melihat kepentingan atau meremehkan. Tetapi sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala mengagih-agihkan rezeki kepada dua puluh orang penjual durian di tepi jalan, begitu jugalah Allah mengagih-agihkan minat dan kecenderungan kita semua di dalam bidang masing-masing.

Mungkin seorang doktor pakar jantung, tidak dapat menyelami hati dan perasaan seorang pakar forensik. Ada kemungkinan dirinya mahu berkata, “aah, kalau berurusan dengan mayat senang sikit. Mayat tidak melawan dan banyak kerenah!” Tetapi beliau sedar bukan itu motif yang menjadi minat seorang pakar forensik membedah siasat mayat. Dan beliau juga tahu betapa pentingnya bidang forensik itu dalam kehidupan seharian kita.

Akan tetapi, begitulah Subhanahu wa Ta’ala menimbulkan rasa minat dan tidak minat di kalangan kita terhadap setiap satu perkara agar akhirnya setiap bidang itu ada pakarnya. Namun dalam masa yang sama, tidak minat bukanlah hujah untuk tidak mengambil tahu atau membiarkan diri di dalam kejahilan.

SEMBANG

“Kalau saya tanya, setakat mana ilmu ustaz tentang muamalat?” tanya seorang rakan kepada saya.

“Mengetahui hukum dan hujah sandaran terhadap aktiviti seharian saya. Jika mahu membeli barang, mahu membuat pinjaman, mahu membeli polisi takaful, mahu melabur di dalam unit trust, maka ilmu kita bergerak seiringan dengan aktiviti. Lebih banyak aktiviti yang berlaku, lebih banyak ilmu yang perlu ditambah. Kalau semasa di Malaysia, ilmu tentang Jamak Qasar solat sekadar begitu begitu, apabila ke Ireland Utara, kenalah tambah ilmu tentang cara menguruskan solat harian tanpa waktu Isyak selama dua atau tiga bulan di musim panas. Accordingly!” saya menjawab.

“Kalau ada orang bertanya ustaz soalan berkaitan muamalat?” soalnya pula.

“Mana yang ustaz tahu, ustaz jawab. Mana yang di luar pengetahuan, ustaz akan cadangkan agar penyoal merujuk kepada orang yang specialise di dalam bidang ini. Sudah tentu orang pertama yang ustaz cadangkan ialah sahabat ustaz iaitu Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman!” saya memberitahu.

“Ustaz kenal Ustaz Zaharuddin?” tanya beliau lagi.

“Tentu sekali. Bermula dengan sebilik semasa di SMAP Labu dulu, kemudian seperjuangan di hari-hari mendatang. Seorang di UM seorang di Jordan, terpisah seketika tetapi kemudian berhubung dan bertemu semula. Namun setelah usia mencecah pertengahan 40′an hari ini, pengkhususan masing-masing sudah berbeza mengikut kecenderungan, minat, bakat dan peluang. Maka ustaz tidak teragak-agak untuk memanfaatkan kepakaran seorang sahabat, dalam menampung kekurangan diri. Ada soalan advance tentang Muamalat, kita hormatlah pada pengkhususan mereka yang membuat pengkhususan dalam bidang ini. Sebab itu ustaz suka menganjurkan keterangan lanjut diperolehi daripada Ustaz Zaharuddin,” saya menjawab.

I see! Tapi, bukankah seorang ulama kena tahu semua benda?” tanya beliau.

“Anta dalam kejuruteraan, duduk dalam bidang apa?” saya menyoalnya kembali.

“Saya kejuruteraan elektronik,” jawabnya.

“Boleh tolong semakkan proposal projek syarikat oil and gas?” saya bertanya.

“Err… err…” beliau teragak-agak.

“Tapi anta tahu tak kenapa kereta anta hanya boleh guna minyak Caltex Gold 97 dan bukannya Silver 92?” saya menyoalnya lagi.

“Oh, yang itu tahu leeee!” katanya sambil ketawa.

“Begitulah ana dan muamalat. Bila ana kata ia bukan speciality ana, tidaklah sampai kita ni jadi bodoh dan blur tentang halal haram muamalat,” saya menyelesaikan perbualan.

“Habis tu, apa speciality ustaz?” tanya beliau.

“Apa tajuk buku pertama ana?” saya menambah soalan.

“Aku Terima Nikahnya!” beliau menjawab.

“Hahaha…” saya ketawa.

Perjalanan hidup diteruskan.

Hasrizal
www.saifulislam.com

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi

Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. …

2 comments

  1. Ya, baru saya tersedar. Allah dah atur cantik setiap minat dan kepakaran masing-masing . cuma kita harus saling bergantung dan bekerjasama bukan mendabik dada seolah serba tahu. terima kasih ustaz atas artikel yang cukup terkesan ini.

  2. Assallamualaikum ust..
    Bolehkah ust tolong senaraikan buku2 yang mungkin boleh menjadi pencetus semangat utk ana lebih mudah mengenali dan meminati bidang muamalat? Sebab, ternyata kita serupa dr segi minat asal dalam satu2 bidang, mcm ana ni berminat utk menjadi pegawai sulh(kaunseling keluarga islam), tapi sebagai persediaan ana ingin juga cuba utk mengenali n minat kpd hal2 berkaitan muamalat. – -” byk dh ana baca, xfaham2..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *