Mustahil Kita Tiada Pilihan

1505-42 039 1505-42 Schoolchild Illustration Photo Illustration of grade school child proudly displaying her grade to a parent. May 18, 2015 Photo Illustration by Jaren Wilkey/BYU © BYU PHOTO 2015 All Rights Reserved photo@byu.edu  (801)422-7322
1505-42 039
1505-42 Schoolchild Illustration
Photo Illustration of grade school child proudly displaying her grade to a parent.
May 18, 2015
Photo Illustration by Jaren Wilkey/BYU
© BYU PHOTO 2015
All Rights Reserved
photo@byu.edu (801)422-7322

“Kau ada duit, bolehlah. Hantar anak ke sekolah swasta. Aku nak beli beras pun tercungap!” kata seorang bapa.

“Cikgu sudah beri amaran, kalau anak tidak hadir kelas tambahan pada mana-mana hujung minggu, mesti hantar surat tunjuk sebab!” gusar seorang ibu.

“Tahun ini kami tidak boleh balik kampung selalu atau hadir kenduri kahwin sebab Angah ada tuisyen setiap hujung minggu. Persediaan peperiksaan!” maklum sepasang suami isteri kepada keluarganya.

Ibu bapa yang memahami apa tujuan anak-anak mendapat sebuah pendidikan, sentiasa mampu mengekalkan autonomi ke atas penjagaan hak-hak anak sebagai seorang manusia.

Ketepikan KPI sekolah, pejabat pendidikan atau sesiapa sahaja. Sebaliknya sokong anak belajar dengan aman, utamakan pembelajaran hari ke hari berbanding peperiksaan, dan apabila ada peperiksaan, kekalkan tekanan yang positif sahaja untuk beliau fokus, mengatur ulangkaji, dan bukannya kerana sekolah mahu beliau dapat sekian-sekian markah, atau takut dibandingkan dengan kawan, atau takut turun ke kelas ‘corot’. Undang-undang mewajibkan anak-anak mendapat pendidikan, bukannya kelas tambahan dan siri tuisyen yang membelakangkan regulasi sosial anak-anak dan ibu bapa sebagai manusia.

Selepas tamat persekolahan, Inshaallah anak yang menerima sokongan dan perlindungan ibu bapa daripada kekejaman sistem yang kiasu, adalah anak yang tenang, matang dan sihat. Apakah ada kemungkinan mereka ketinggalan di dalam gred peperiksaan kerana terlepas banyak tip dan strategi menjawab soalan peperiksaan?

Mungkin.

Mereka tidak rugi.

Kerana kemungkinan mereka bertambah suka kepada pembelajaran juga lebih tinggi. Dan suka kepada belajar itu penting, kerana mereka perlu terus belajar selepas tiada lagi persekolahan. Belajar jadi jiran, jadi anggota masyarakat, jadi suami, jadi isteri, jadi bapa, jadi ayah, jadi emak, jadi pekerja, dan terus belajar selagi hayat dikandung badan.

Jika si anak tidak layak masuk universiti awam sebab keputusan peperiksaan tidak bagus, dan tidak boleh masuk universiti swasta sebab tak ada duit, atau tidak boleh memohon universiti awam kerana tidak mengambil SPM, sokonglah beliau ambil kursus kemahiran, pensijilan, mungkin kemudiannya diploma dan jika ada rezeki maka seterusnya ke ijazah.

Mungkin lambat beberapa tahun berbanding rakan-rakannya.

Apa yang hina?

Apa yang kurang?

Tiada hina apa-apa.

Tiada kurang apa-apa.

Anak sebegini Inshaallah suka dengan kerja-kerja yang dilakukannya, fikirannya lebih matang, tahu apa yang dimahukan, dan tahu bagaimana hendak mendapatkannya. Jiwanya tidak pesimis, dan apabila berumahtangga, mudah-mudahan lebih tenang mendepani susah payahnya, tidak terkejut dengan susah kewangan dan ujian-ujian kehidupan yang lain.

Tangannya mungkin kasar sedikit dan muka pun ada kesan calar dan parut.

Tetapi mereka tidak rugi apa-apa.

Yang hilang daripada perjalanan anak itu adalah pengalaman untuk rasa bangga dengan keputusan peperiksaan tertentu dan berbangga-bangga dapat belajar di sekolah dan universiti tertentu. Semua itu tidak punya apa-apa makna kerana ia hanyalah ilusi yang kita sendiri bina untuk memangsakan diri kita sendiri. Ilusi yang meragut banyak kehidupan manusiawi mereka yang mengikut jalan perdana.

Saya tulis ini supaya ibu bapa yang tidak dapat menghantar anak ke sekolah swasta keinginan mereka, tidak sewenang-wenangnya berkata, “kita tiada pilihan”.

Kita ada pilihan.

Asalkan kita kembali waras.

JIWA MERDEKA!

Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, Finland.

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Setuju ustaz! Jiwa merdeka!

    Kalau dari kecil ibu bapa dan secara tak langsung anak-anak, belajar mencari ilmu dengan kerana mahu memuaskan hati/ dibanggakan oleh masyarakat sekeliling, tidak mustahil apabila tiba peringkat mencari kerja pun, cari kerja yang nampak gah di mata masyarakat meskipun belum tentu anak itu minat kerja tersebut…semua kerana dahagakan pengiktirafan dan pujian dari masyarakat.

    Akibatnya, jadi lah seperti kebanyakan dinkalangan kita pada hari ini yang sentiasa mengeluh akan betapa sibuknya beban tugas kerja kita.

    Sedangkan jika kerja yang dipilih memang diminati meskipun tidak ‘glamour’ di mata masyarakat, tidak timbul keluhan sebaliknya setiap dugaan tugas dihadapi dengan bersungguh-sungguh dan setiap cabaran adalah sesuatu yang menyeronokkan.

Leave a Reply to Ibu Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share