Pendidikan dan Kebolehpercayaan: Boleh Percaya Ke?

“Kenapa saya selalu nampak basikal ditinggalkan di perhentian bas?” saya bertanya kepada seorang rakan Finnish.

“Kadang-kadang kita mahu cepat. Jika tiada ruang untuk basikal dibawa ke dalam bas, kita tinggalkan di perhentian bas. Pulang nanti, ambil semula,” jawabnya.

Saya memerhati dari semasa ke semasa.

Adakalanya basikal itu berkunci.

Adakalanya tidak.

Jika ke Helsinki, saya tahu yang tiket bas atau tram amat jarang diperiksa. Kita juga tidak perlu menunjukkan tiket kepada pemandu atau konduktor. Malah tiada laluan berslot tiket di stesyen, sebagaimana Underground di kota London. Jika kita menaiki kenderaan awam tanpa membeli tiket, tiada siapa yang tahu. Dalam 10 kali anda melakukannya, mungkin sekali sahaja secara random, tiket anda diperiksa. Berkemungkinan besar terlepas.

Kebetulan, harga tiket memang mahal. One day travel ticket untuk kenderaan awam di Helsinki, meliputi Esppo dan Vantaa, ialah EUR14. Kalau tak beli tiket, naik sahaja. Jimat.

Tetapi…

Sanggupkah?

Kata Durkheim (1956),

Trust between individuals and groups provide the basis for social order and it is a foundation of solidarity and integration within society.

Trust ini adalah karakter paling utama saya kesan berada di sebalik fungsi-fungsi yang berjalan di dalam masyarakat Finland. Saya tertanya-tanya, bagaimanakah usaha mengurangkan campur tangan kerajaan dalam kehidupan peribadi individu di dalam masyarakat boleh ditingkatkan ketika mana tiadanya trust sebagai elemen simen kepada batu bata yang membina masyarakat dan sistem itu sendiri. Sesungguhnya wibawa kepercayaan antara satu sama lain itulah yang menjadi premis kepada kestabilan, kerjasama dan kebersamaan kita di dalam hidup ini (Elster, 1989).

Jika kita lontarkan soalan mengapa sistem pendidikan Finland bagus, kita boleh senaraikan beberapa faktor seperti infrastruktur yang bagus, guru yang berkelayakan dan terlatih, teknologi yang berkesan, tetapi ia belum dapat menjelaskannya dengan sempurna. Hal ehwal pentadbiran dan polisi yang bagus, bersama infrastruktur dan teknologi yang menyokong, tidak membolehkan sebuah pendidikan yang bagus di sekolah, terus menjadi. Ia memerlukan sebuah masyarakat yang mempunyai karakter tertentu kerana pendidikan tidak mungkin menjadi satu entiti yang terpisah daripada realiti kehidupan secara keseluruhannya.

Semenjak merdeka daripada Rusia pada tahun 1917, kedudukan pendidikan sebagai teras pembinaan masyarakat Finland sudah ditekankan (Simola, 2005). Pendidikanlah yang menjadi modal bangsa Finnish dan negara Finland dibina. Manakala di zaman moden semenjak 1960’an, kuasa politik, baik kiri atau pun kanan, sama sepakat bahawa pendidikan asas (comprehensive education) adalah kunci survival negara tersebut dalam dunia yang sangat kompetetif ini. Semua parti yang memerintah memberi penekatan kepada perkembangan ekonomi, dengan pendidikan sebagai pemacunya. Kata-kata “investment in people is the best investment” merumuskan semuanya. Kesan daripada itu, sebarang perubahan politik tidak mengubah prioriti pendidikan dan kelangsungannya. Nilai ini menjadi asas penting kepada kecemerlangan pendidikan di Finland.

Jika kita mahu memperkatakan tentang sistem pendidikan Finland, trust adalah asas paling utama bagaimana pendekatan-pendekatan yang pelbagai lagi berbeza di dalam polisi pendidikan dan amalannya dapat didamaikan kepada sebuah kerjasama (Spiecker 1990; Troman 2000; Cook-Sather, 2002). Bukan tidak ada perbezaan pendapat. Ada guru berpandangan penyelarasan teknologi di sekolah kepada satu jenama adalah lebih baik, manakala sebahagian yang lain berpendapat guru perlukan kebebasan untuk menentukan teknologi yang bagaimana mahu digunakan di dalam PnP. Ramai yang menyokong problem based learning yang ditekankan dalam kurikulum baru sekarang ini, manakala ada pula yang tidak bersetuju dengannya. Tetapi pertentangan pendapat tidak mengorbankan kepercayaan bahawa akhirnya guru tetap akan melakukan apa yang terbaik bagi mencapai objektif pendidikan secara seimbang dan bertanggungjawab.

“Kepercayaan masyarakat Finland kepada profesionalisme perguruan dan institusi profesional termasuk sekolah, adalah sebahagian daripada sendi-sendiri yang membentuk mindset sistem pendidikan Finland. Sekolah diberi kuasa otonomi untuk membangun dan menjalankan operasi pendidikannya sehari-harian. Keadaan ini membantu democratic professionalism berkembang, dari sekolah dan kepada masyarakat (Dzur 2008; Husu & Toom, 2010). Guru-guru, selain daripada mengguna pakai kemahiran dan ilmu pengetahuan profesional mereka, turut boleh berkolaborasi bersama sesiapa sahaja di kalangan orang ramai, termasuk ibu bapa untuk membuat kerjasama-kerjasama serta keputusan terbaik untuk pendidikan anak-anak. Guru-guru memainkan peranan sebagai agen pengatur atau orang tengah yang memupuk nilai demokratik ke dalam masyarakat.

Hal ini mengingatkan saya kepada kisah lalu, bagaimana seorang rakan bercerita, bahawa guru besar di sekolah anaknya meminta si anak yang merupakan pengawas, mencatat nama guru yang lewat, dan menyerahkannya kepada beliau! Saya ternganga mendengar kisah ini. Apakah matlamat yang hendak dicapai daripada arahan sedemikian rupa?

The culture of trust ini, andai dapat dipupuk dengan integriti yang dijunjung di dalam sebuah masyarakat, boleh menenggelamkan retorik agama!

Kita mahu mengukuhkan amalan keberagamaan sebagai solusi kepada pelbagai krisis yang kita hadapi di dalam masyarakat. Tetapi amalan agama tersebut banyak yang bersifat ritual, berasaskan betul vs salah, serta ganjaran dan hukuman. Kita tidak menanam nilai agama sebenar, yang tidak boleh dicapai hanya dengan penguatkuasaan peraturan secara semberono, tetapi hanya boleh dicapai melalui revolusi budaya menerusi pendidikan yang BERMAKNA.

Finland sebagai negara ketiga paling rendah kadar korupsinya (lihat di sini) dan memiliki sistem kehakiman paling bebas di dunia (lihat di sini), control-focused bukanlah pendekatan yang diambil dalam menjaga keharmonian hidup di sini. Di sinilah letaknya rasional mengapa tanpa penaziran dan pemantauan ke atas sekolah oleh kerajaan sekali pun, sekolah-sekolah di seluruh Finland dapat mengekalkan kualiti yang baik.

Teringat saya kepada Tan Sri Abdul Hamid Othman yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Malaysia. Beliau menekankan bahawa kerajaan Malaysia adalah kerajaan Islam dengan alasan kerajaan Malaysia melakukan dua perkara penting seperti yang disebut di dalam surah Quraish iaitu:

  1. Memberi makanan kepada masyarakat untuk lepas daripada kelaparan
  2. Mengamankan masyarakat daripada ketakutan

Pandangan beliau ini disambut dengan sindiran kerana di tahun 1990’an hal ini dianggap remeh. Saya tidak bermaksud mahu membawa diskusi kepada adakah negara Malaysia ini negara Islam atau tidak tidak, tetapi soalan besar selepas kita meneliti soal trust di dalam masyarakat Finland, percayakah kita antara satu sama lain, dan amankah kita daripada ketakutan sesama sendiri?

Saya pesan kepada anak-anak, bahawa orang Finland tanpa agama tetapi mereka tidak berbohong. Mereka buat seperti yang sepatutnya dan ikut undang-undang. Sebab itu apabila kalian dapat homework, cikgu pesan kepada ibu bapa jangan ingatkan anak untuk buat homework tersebut, sebaliknya anak-anak kita perlu ingat sendiri. Dan apabila mereka selesai homework berkenaan, ibu bapa tanda tangan. Jika anak gagal berbuat demikian, mereka akan berbincang dengan guru di kelas dan berkemungkinan besar ditahan di homework garden selama satu jam seminggu untuk menyelesaikan tugasan. Pelajar perlu belajar memikul tanggungjawabnya sebagai individu, dan saya menyokong kerana bagi saya ini adalah jalan untuk menghasilkan seorang mukallafin menurut istilah Islam. Orang dewasa adalah orang yang memikul tanggungjawab dan boleh dipercayai. Maka kita sebagai Muslim, yang soal jujur dan berbohong berkaitan dengan dosa dan pahala di hadapan Allah, sudah tentu lebih perlu untuk mendokong integriti ini.

Buat salah, berterus terang, dan bincang untuk betulkan.

Jangan berbohong.

Kami sebagai ibu bapa perlu percaya kepada kalian semua. Dan kalian perlu membina kebolehpercayaan itu, melalui pendidikan baik yang dibekalkan oleh sekolah dan masyarakat pada masa ini. Hargailah keberadaan sementara kita di daerah asing ini.

Pendidikan, sesungguhnya ia adalah jalan islah.

Hasrizal
Oulu, Finland.

______________

  • Cook-Sather, A. (2002). Authorizing students’ perspectives: Toward trust, dialogue, and change in education. Educational researcher, 31(4), 3-14.
  • Durkheim, E. (1956) Education and Sociology. Glencoe, NY: Free Press.
  • Dzur, A. W. (2008). Democratic professionalism: Citizen participation and the reconstruction of professional ethics, identity, and practice. Penn State Press.
  • Elster, J. (1989). The cement of society: A survey of social order. Cambridge University Press.
  • Simola, H. (2005). The Finnish miracle of PISA: Historical and sociological remarks on teaching and teacher education. Comparative education, 41(4), 455-470.
  • Spiecker, B. (1990). Forms of trust in education and development. Studies in Philosophy and Education, 10(2), 157-164.
  • Toom, A., & Husu, J. (2012). Finnish teachers as ‘makers of the many’. In Miracle of education (pp. 39-54). SensePublishers.
  • Troman, G. (2000). Teacher stress in the low-trust society. British journal of sociology of education, 21(3), 331-353.

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

4 comments

  1. Mind blowing…tqvm!!!
    . Masyarakat sangat memainkan peranan.. And somehow it could be relate dengan social experiments-most people are sheep. (You tube)

    • Terima kasih atas kesudian berkunjung dan memanfaatkan catatan ini. Saya kurang menawarkan penyelesaian. Saya cuba cari maklumat dan pengetahuan mengenainya nanti Inshaallah.

  2. Trust. Tiada prasangka. Bersangka baik mungkin ok.
    Tetapi bukan bersangka buruk.
    Bila mula berprasangka, maka mulalah tiada “trust”.

    Di zaman ini dengan kebanjiran maklumat terutamanya melalui whatsApp, sungguh kita lemas didalam prasangka, buruk sangka dan salah sangka. Trust has somehow become alien.

    Bagaimanakah hendak mengembalikan “trust” dalam masyarakat?

  3. Lt Kdr Mohd Shah Rizal bin Samsudin TLDM

    Terima kasih Ustaz kerana terus menulis yang membuatkan saya berhenti sejenak dari rutin harian kepada sebuah kedewasaan berfikir. Melihat blog Ustaz yang dahulunya komen satu artikel sahaja mencecah ratusan namun kini nak capai 10 pun susah, bukan maknanya tiada pembaca, tetapi mungkin medium sudah berubah. Teruskan perjuangan Ustaz. Semoga beroleh pahala dan dipermudahkan urusan.

Leave a Reply to saifulislam Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share