Projek FATIH, Sultan Abdul Hamid, Atatürk, John Dewey dan Erdoğan Dalam Sistem Pendidikan di Turki

“Pada saya, projek FATIH itu merugikan. Wang yang banyak dilaburkan untuk melengkapkan sekolah dengan teknologi, tetapi transformasi ke atas pedagogi dan idea mengenai pendidikan tidak diutamakan. Sudahnya, budak-budak guna tablet untuk selfie sahaja!” kata Okan.

Selepas kelas terakhir kami semester ini, saya meluangkan masa berbual dengan rakan Turki di kelas kami.

Di Finland, pengalaman saya jadi berbeza sedikit sebab saya ‘diberikan’ rakan-rakan Turki daripada kelompok sekular. Cara mereka berfikir, apa yang mereka baca, dan apa yang mereka utamakan dalam hidup, mencambah perspektif saya untuk memahami Turki daripada sudut-sudut baru. Saya tidak menyembunyikan daripada mereka bahawa seluruh pengalaman saya di Turki selama ini adalah di dalam kitaran kelompok Muslim yang ‘Islamik’.

Kawan-kawan saya tahu bahawa saya adalah ‘ilahiyatci‘ yakni seorang graduan Fakulti Ilahiyat (pengajian Islam). Saya mengambil pendekatan terbuka dan nyaman agar mereka tidak terperangkap dalam stereotaip orang seperti saya, sebagaimana saya juga mencegah diri daripada stereotaip rakan-rakan seperti mereka. Jika saya perlu solat, saya hentikan perbualan dan pergi solat, kemudian sambung berbual. Jika mereka sedang sober selepas sekali sekala mabuk, saya nasihat-nasihatkan mereka supaya jaga kesihatan dan kekal siuman, antara gurau dan bersungguh. Jika saya stress, mereka ingatkan saya orang yang sembahyang tak patut stress.

Daripada mereka, saya dapat mengimbangkan apa yang saya lihat dan alami di Turki, dengan apa yang berada di ‘sebelah sana’. Berbual dengan mereka memberikan sedikit ruang bernafas untuk saya berkongsi pandangan kritis terhadap Recep Tayyip Erdoğan yang kebelakangan saya makin tidak berkenan. Turki beransur-ansur menjadi seperti Orwellian Statekalau boleh disebut begitu. Ramai orang kita melenting marah kalau Erdoğan dikritik. Progresif terhadap politik tanah air, tetapi figure centered terhadap politik Turki.

Yang betul, betullah.

Yang salah, jangan berat hati untuk menyuarakannya.

Tidak hilang sifat hormat menghormati apabila bersetuju atau tidak bersetuju dengan seseorang selain Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Hatta dengan Baginda pun, masih luas ruang keterbukaan sahabat berinteraksi dengan utusan Allah.

Berbalik kepada Turki, saya tidak banyak mengambil tahu tentang politik, tidak juga ekonominya.Terasa kerdil dan semakin jahil. Apa yang saya cuba ambil tahu ialah bidang pendidikan. Dan sudah tentu salah satu topik yang kami bualkan ialah Projek FATIH.

FATIH ini adalah akronim kepada Fırsatları Artırma ve Teknolojiyi İyileştirme Hareketi atau di dalam bahasa Inggerisnya, Movement to Increase Opportunities and Technology. Projek ini merupakan inisiatif Recep Tayyip Erdoğan  pada 22 November 2010 ke arah mengintegrasikan teknologi dengan pendidikan awam di Turki.

Projek ini amat gergasi dari segi cakupan dan bajet yang disediakan. Ia membabitkan pembekalan sasaran 10 juta tablet kepada pelajar dan guru di Turki, bersama ratusan ribu smart whiteboard dan laptop.

Sistem pendidikan Turki pada masa ini bersifat monolingual, mono-religious dan tidak mempunyai banyak ruang untuk pluralism and persaingan. Kurikulum, operasi dan seliaan sekolah dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan. Dalam persekitaran sebegini, H.Y. Basdemir misalnya, berhipotesis bahawa teknologi seperti yang ditawarkan oleh FATIH project tidak akan banyak membantu.

“Sekarang ini, apa yang Amerika Syarikat buat kepada pendidikannya, itulah yang dibuat oleh Turki. Tiru bulat-bulat!” keluh Okan di dalam perbualan kami.

“Oh, jangan. Hancur negara kamu nanti!” kata Lynn, pelajar USA di dalam kelas kami.

“Kami sedang mencari Betsy DeVos. Erdoğan pun nanti akan bermesra dengan Trump” tambah Okan.

Kami ketawa di dalam kelas.

Tidak panjang ketawanya. Sebab masing-masing tahu, ia topik berat. Rakan saya Okan juga, bukanlah taasub Atatürk atau anti Erdoğan membuta tuli. Apa yang beliau tidak setuju, ia beralasan dan alasannya itu yang saya suka dengar.

Kata Okan,  isu pendidikan sangat jauh ketinggalan di dalam wacana orang awam. Masyarakat Turki umumnya tidak kritis terhadap kualiti pendidikan sebab masih ramai yang dapat masuk universiti, iaitu cara lama menilai natijah sekolah dan persekolahan. Mereka tidak melihat kepada kualiti. Tidak peduli kepada ramainya graduan universiti yang tidak kompeten untuk bekerja. Tidak peka kepada bertambah biaknya universiti persendirian di Turki, yang menjadikan ‘dapat masuk universiti’ bukan ukuran berhasilnya pendidikan. Pencapaian sekolah sains cemerlang, tetapi yang terus dibanyakkan adalah sains sosial, menurut Okan.

Saya mengangguk-angguk.

“Sebab itulah John Dewey berkali-kali menegaskan bahawa beliau bukan konsultan. Beliau mahu Turki membangunkan sistem pendidikannya sendiri dan bukan meniru mana-mana sistem pendidikan Eropah, mahu pun Amerika Syarikat” saya mengungkit hasil pembacaan sehari dua sebelumnya.

Saya merujuk kepada pendapat Okan bahawa Projek FATIH dan sistem pendidikan Turki hari ini membelakangkan kekuatan domestik, sebaliknya terikut-ikut dengan trend antarabangsa semasa.

JOHN DEWEY DAN IDEA PENDIDIKAN ISLAM

Dulu-dulu saya membaca tentang perkembangan dan perubahan epistemologi di dalam pendidikan Daulah Uthmaniyyah, zaman Sultan Muhammad al-Fatih, zaman Imam Birgivi dan Katip Çelebi. Kemudian apabila saya bertugas sepenuh masa di Khalifah Model School (Secondary), saya cuba mengambil tahu serba sedikit tentang operasi pendidikan Daulah Uthmaniyyah. Saya berhipotesis bahawa kemerosotan Daulah Uthmaniyyah mesti ada hubung kait dengan kemerosotan pendidikannya. Tetapi saya tidak begitu mencari maklumat kerana tertumpu kepada aspek-aspek lain dalam isu pendidikan.

Mahu membaca lebih-lebih, buku yang saya mahukan mahal sangat. Maka simpan dahulu hajat di hati.


Imperial Classroom: Islam, the State, and Education in the Late Ottoman Empire 1st Edition
by Benjamin C. Fortna (Author)

Hanya selepas Okan menimbulkan kisah antara Atatürk dengan John Dewey, barulah saya mengambil masa di celah-celah assignments semester ini untuk membaca mengenainya, (dan semakin pandai mengorek pdf ala lanun, di musim kemelesetan kewangan sementara ini)

Ada banyak idea pendidikan progresif yang John Dewey perkenalkan, selari dengan kefahaman saya tentang pendidikan Islam. Pendidikan progressivism yang John Dewey kemukakan, menolak pendekatan autoritatif dan mengutamakan participative education. Ia memperkenalkan saya kepada John Dewey, semasa dalam proses melakukan transformasi pendidikan Khalifah Model School (Secondary) kepada student-centered.

Apabila Allah melantik Adam menjadi Khalifah, malaikat menimbulkan pertanyaan tentang potensi Adam dan keturunannya melakukan kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah. Allah tidak menafikan aspek tersebut, tetapi tetap memilih Adam, walaupun ada risiko sebagaimana yang malaikat utarakan. Allah menampakkan potensi lain Adam dan keturunannya ialah keupayaannya untuk belajar dan membuat hubungkait antara nama dan makna (الأسماء و المُسمَّيات), kemampuan mantiq dan membina kefahaman [al-Quran 2: 30-33].

Adam dan keturunannya adalah makhluk yang belajar dan berfikir. Penciptaan Adam dan peranannya di atas muka bumi berkait rapat dengan banyak idea pendidikan yang progresif. Dari situ, saya memahami bahawa pendidikan bukan untuk menyediakan manusia kepada kehidupan seperti yang mungkin banyak ditekankan oleh golongan functionalist, tetapi pendidikan itu sendiri adalah kehidupan.

Kata John Dewey:

“I believe that the school is primarily a social institution. Education being a social process, the school is simply that form of community life in which all those agencies are concentrated that will be most effective in bringing the child to share in the inherited resources of the race, and to use his own powers for social ends. I believe that education, therefore, is a process of living and not a preparation for future living. I believe that the school must represent present life -life as real and vital to the child as that which he carries on in the home, in the neighborhood, or on the play-ground.” (Dewey’s My Pedagogic Creed)

PENDIDIKAN ERA UTHMANIYYAH

Saya cuba untuk memahami apa yang Sultan Abdul Hamid II usahakan terhadap pendidikan Daulah Uthmaniyyah di zamannya. Bagaimana pengaruh sistem pendidikan Perancis mendominasi pendidikan Daulah Uthmaniyyah selepas Ali dan Fuad Pasha di era Tanzimat menjemput Jean Victor Duruy, menteri pendidikan Perancis pada masa itu, datang ke Daulah Uthmaniyyah dan menghasilkan Imperial Edict of Reorganization and Royal Edict of Reform (Tanzimat and Islahat Royal Decree) pada tahun 1867.

Keterbukaan pendidikan selepas deklarasi berkenaan diuruskan dalam bentuk yang berlainan di zaman Sultan Abdul Hamid II.  Baginda melihat pendidikan sebagai alat yang penting untuk mengusir ideologi nasionalisme yang mengancam Daulah Uthmaniyyah. Pan Islamism diperkenalkan sebagai ideologi politik Islam berpaksikan khalifah dan khilafah, manakala pendidikan menjadi salah satu agen utamanya.

Semasa Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta pada 31 Ogos 1875, terdapat 4 buah kolej, 4 institut latihan perguruan untuk pelajar lelaki, 253 sekolah menengah, 18,490 sekolah rendah dan sebuah sekolah persendirian. Di hujung era pemerintahannya, jumlah sekolah menengah meningkat kepada kepada 619 (74 buah daripadanya adalah sekolah pelajar perempuan), 109 high schools, 32 institut latihan perguruan untuk lelaki dan 5000 sekolah rendah. (Alkan, 1996, p. 172; Oytun, 2002, p. 88).  (Altın, 2011, pp. 277-305).

Dari segi kuantiti, sememangnya angka-angka berkenaan memberangsangkan. Tetapi kita perlu pergi ke peringkat mikro untuk melihat bagaimana operasi sekolah dan kawalan kerajaan ke atas sekolah. Pada masa tersebut, Sultan Abdul Hamid II mengarahkan pegawai-pegawai di bawah kementerian pendidikan memberi tumpuan khusus kepada buku-buku dan artikel agar proses terjemahan mesti mengambil kira idea Pan Islamism dan kedudukan khalifah dominan di dalamnya. Penerbitan-penerbitan yang dilihat memudaratkan aspek ini adalah dilarang. Pegawai yang membantah proses ini dipecat. (Akyıldız, 2009, p. 178).

Sudah tentu pendekatan sebegini dalam konteks politik, ada justifikasinya. Bagaimana Sultan Abdul Hamid II mahu mengukuhkan idea kenegaraan yang lebih baik berasaskan politik Islam yang diolahnya bersama Jamaluddin al-Afghani, boleh menjadi alasan untuk pendekatan autoritarian ini dipandang wajar. Namun untuk perjalanan jangka panjang, bagaimanakah implikasi agenda politik ini kepada pendidikan, yang perlu kekal dinamik itu?

Pendekatan Sultan Abdul Hamid II dilihat oleh golongan pemikir sebagai pendekatan yang memencilkan golongan minoriti, terutamanya non Muslim, yang merupakan komponen besar di dalam masyarakat Daulah Uthmaniyyah yang multietnik.

PENDIDIKAN ERA ATATÜRK

Apabila Daulah Uthmaniyyah dibubarkan, pendidikan mendapat perhatian khusus Mustafa Kemal Atatürk. Beliau telah menjemput John Dewey ke Turki pada tahun 1924, hanya 9 bulan selepas pengisytiharan Republik Turki dibuat. Dan John Dewey sememangnya tokoh pendidikan progresif Amerika Syarikat yang saya sudah kenal sebelum ini. Saya tidak pernah tahu yang John Dewey mempunyai hubung kait dengan Turki.

Sahabat saya Okan memperkenalkannya, dan saya menggali.

Semenjak beberapa bulan berada di Finland, saya rasa identiti bangsa Finland dan cara mereka memelihara modal budaya, banyak persamaan dengan Turki. Tetapi saya kurang pasti di mana Finland dan Turki itu berkait.

Mustafa Kemal Atatürk mahu membentuk sebuah negara dengan identiti baru pasca Uthmaniyyah. Beliau mengagumi John Dewey, menjemput beliau dari Amerika Syarikat datang ke Turki pada tahun 1924 dan John Dewey selaku tokoh penting dalam membangunkan pendidikan progresif di Amerika Syarikat, meluangkan masa selama 3 bulan di Turki termasuk bertemu dengan Atatürk. Hasil pengamatan dan interaksi beliau dengan pemikir, ahli politik dan guru (beliau tidak dapat bertemu pelajar sekolah kerana datang ke Turki pada musim panas, sekolah cuti), Dewey telah menulis satu laporan panjang sebagai saranan beliau.

Dewey berkali-kali menegaskan bahawa beliau bukan konsultan. Sebaliknya hanya seorang penyelidik yang mengusulkan agar Turki hanya mengambil aspek-aspek kekuatan pendidikan daripada model negara-negara Eropah yang pelbagai, dan bukannya menciplak mana-mana model untuk diamalkan di Turki.

Kata beliau tentang pendidikan di Turki pada masa itu:

The great weakness of almost all schools, a weakness not confined in any sense to Turkey, is the separation of school studies from the actual life of children and the conditions and opportunities of the environment. The school comes to be isolated and what is done there does not seem to the pupils to have anything to do with the real life around them, but to form a separate and artificial world.

Atatürk mahu menyatukan Turki di bawah sebuah negara bangsa, walaupun sedar Turki ketika itu adalah sebuah negara yang sangat majmuk lagi rencam. John Dewey bersetuju dengan keperluan yang disuarakan oleh Atatürk, tetapi beliau mengingatkan Bapa Turki itu bahawa kesatuan tidak boleh dicapai melalui penguatkuasaan top-down (p. 281):

While Turkey needs unity in its educational system, it must be remembered that there is a great difference between unity and uniformity, and that a mechanical system of uniformity may be harmful to real unity. The central Ministry should stand for unity, but against uniformity and in favor of diversity. Only by diversification of materials can schools be adapted to local conditions and needs and the interest of different localities be enlisted. Unity is primarily an intellectual matter, rather than an administrative and clerical one. It is to be attained by so equipping and staffing the central Ministry of Public Instruction that it will be the inspiration and leader, rather than dictator, of education in Turkey. [Dewey, John (1983). Report and recommendations upon Turkish education. In Jo Ann Boydston (ed.), The Middle Works: Essays on Politics and Society, 1923-1924. Vol. 15 of Collected Works. Carbondale: Southern Illinois Press. ]

ATATÜRK DAN FINLAND

Dalam usaha mewujudkan sebuah ‘masyarakat baharu’, Atatürk mahu melatih ramai guru dengan pendidikan progresif dan mahu mereka menjadi pemimpin masyarakat. Untuk memobilisasi guru sebagai ‘tentera intelektual’, Atatürk mengambil inspirasi Finland. Atatürk sendiri mengarahkan supaya buku “The Land With The White Lilies” karya Grigory Petrov, menjadi bacaan wajib di sekolah dan institut latihan perguruan. Buku ini menceritakan guru sebagai penggerak kepada civic action dalam pendidikan untuk membangunkan bangsa Finnish. Tokoh Finnish yang diketengahkan di dalam buku berkenaan, J.V. Snellman, dikagumi oleh Atatürk sebagaimana General Mannerheim, tokoh perang penting Winter War di dalam sejarah Finland.

Buku berkenaan menjelaskan bagaimanakah perkembangan berlaku di dalam pendidikan dan budaya di negara Finland yang masih muda itu. Demikian juga peranan yang dimainkan oleh sekolah, tentera, kerajaan dan faktor agama di dalam perkembangan itu, serta pengertiannya kepada demokrasi. Wacana tersebut melontar banyak idea tentang bagaimana sebuah masyarakat boleh dibentuk melalui pendidikan. Idea-idea yang sangat relevan untuk Turki, ketika itu.

Manakala di Finland, Presiden Urho Kekkonen, mengkaji reformasi Atatürk. Beliau banyak mengaplikasikan ‘Kemalism’ untuk national unity dan equal opportunity di Finland ini.

Ini sejarahnya.

Sekarang ni Turki ‘menderita’ dengan guru yang tiada tabiat intelektual, malas membaca dan bukan lagi pembentuk masyarakat, ketika mana Finland masih menikmati fadhilat ‘kuasa guru’ pembentuk masyarakat.

Saya tidak bermaksud mahu berpihak kepada Atatürk, atau Sultan Abdul Hamid II, atau Erdoğan. Pendidikan perlu berdiri bebas daripada keterikatan kepada kelompok politik. Saya cuma mahu mengambil iktibar. Bagaimana pendidikan yang diolah dengan baik, berfungsi untuk mengubah hala tuju masyarakat. Apabila satu ijtihad politik mengenai pendidikan mengheret masyarakat kepada kemunduran, sebuah ijtihad pendidikan yang baru diperlukan, untuk melawan kepentingan yang bukan kepentingan pendidikan, demi masa depan anak-anak kita, dan ummah seluruhnya.

Saya masih membaca dan belajar untuk memahami.

HASRIZAL
Oulu, Finland.

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share