Home / Kembara Finland / Salah Laku Pelajar: Selesaikan Atau Sebarkan?

Salah Laku Pelajar: Selesaikan Atau Sebarkan?

Helsinki Summer School 2015

Semasa menjalankan attachment pendek di sebuah sekolah di Helsinki, saya bertanya kepada guru special education sekolah berkenaan “apakah di sekolah ini tiada masalah disiplin pelajar?”

Katanya ada. Ada pelajar yang murung terutamanya di musim sejuk, dan apabila kemurungan, ada yang hilang motivasi belajar malah pernah juga ada yang mengalami ‘dark thought‘ seperti rasa hendak membunuh diri.

Saya kata bukan itu yang saya maksudkan. Apa yang saya maksudkan ialah masalah salah laku pelajar seperti ponteng, buli, rokok atau dadah dan yang seumpama dengannya.

Beliau bertanya motif saya menyoal.

Saya katakan bahawa sepanjang kursus, kami hanya berbincang dengan pentadbiran, pedagogi, kurikulum, tetapi tiada wacana mengenai pengurusan salah laku pelajar, sedangkan ia masalah yang kebanyakan kami para guru hadapi. Rakan saya daripada USA menyokong soalan yang ditanya itu.

Kata beliau “ada!”

Masalah disiplin memang ada.

“Tetapi bukan cara kami memperkatakannya dengan terbuka kerana ia hanya menyebar perkara negatif dan menimbulkan copycat effect. Jika pelajar ada masalah, terus selesaikan. Bukan sebarkan.

Source: http://waterfordwhispersnews.com/

Perbualan ringkas kami tengah hari itu mengingatkan saya kepada kelaziman yang salah dan perlu kita hentikan dalam amalan di sekolah. Apabila cikgu ternampak ada chewing gum terlekat di tangga, cikgu tangkap gambar dan pos ke kumpulan WhatsApp atau Telegram guru-guru sekolah berkenaan. Lebih teruk lagi, terus ke media sosial. Akibatnya, cikgu yang tidak nampak, duduk jauh, malah tidak berkenaan pun, sama-sama panas baran dan bengang serta sama-sama membebel. Lebih merugikan jika ia hanya begitu tanpa masalah tersebut diselesaikan.

Adalah lebih baik, apabila terjumpa sesuatu yang salah, ia terus diselesaikan, tanpa perlu menyebarkannya.

Sebab itu kes-kes jenayah di Finland, dilaporkan oleh media secara low key.

Menyebarkannya tidak mengundang solusi, malah lebih membimbangkan dalam kes tertentu seperti school shooting, pelajar yang salah itu diagungkan oleh sesetengah pelajar dan menimbulkan copycat effect.

Itu yang banyak terjadi dalam kes school shooting di USA.

 

Pada tahun 2007, Finland dikejutkan dengan kejadian seorang pelajar bernama Pekka-Eric Auvinen menembak mati 8 orang di sekolahnya di Jokela, diikuti dengan Matti Saari pada tahun 2008 di Kauhajoki, menembak mati 10 orang di Kolej Vokasional Kauhajoki tersebut. Matti dikatakan mendapat inspirasi daripada Pekka malah dikatakan berkomunikasi dengan Pekka. Hubungan Matti dan Pekka tidak disahkan oleh pihak polis.

Media antarabangsa berbincang tentang keunikan cara media Finland melaporkan kejadian mengejutkan ini, jika dibandingkan dengan cara media Amerika Syarikat melaporkan tentang kes sedemikian rupa misalnya di Columbine pada tahun 1999 dan Virgina Tech pada tahun 2007. Media Amerika Syarikat mensensasikan berita, malah menyiarkan video penembak untuk ditonton ramai. Ia benar-benar ‘menolong’ penembak berkenaan mencapai keinginannya. Laporan itu tersebar, disalin dan berlarutan selama bertahun-tahun, dan kemudiannya ditelaah di negeri sejauh Finland.

Disturbing reminder … Pekka-Eric Auvinen and Matti Juhani Saari.

Siasatan mendapati Pekka di Jokela, Finland, memberikan perhatian yang terpeinci terhadap laporan-laporan berkaitan daripada media antarabangsa melalui internet, dan merancang seawal Mac 2007 untuk melakukan perkara yang sama. Kemudahan internet membolehkan Pekka mendapat input, malah menjadi anggota kepada cult tertentu di media sosial.

Kuasa internet ini mungkin menjadi penjelasan mengapa wujudnya jurang masa yang jauh di antara kejadian murid menembak mati rakan kelasnya di Raumameri pada tahun 1989, dengan Pekka selewat 2007. Murid di Raumameri itu bertindak ganas kesan pembulian, manakala Pekka yang juga mengalami masalah buli, meniru modus operandi school shooting  di Columbine, Amerika Syarikat.

Menurut Kevin Frazier, pensyarah undang-undang media di University of Helsinki, masyarakat Finland obses dengan data dan fakta. Ia mempengaruhi cara media membuat laporan tentang kejadian seperti school shooting di Jokela. Media tidak mengganggu keluarga dan kenalan mangsa atau pemangsa untuk mensensasikan laporan, sebaliknya menemubual pakar-pakar berkaitan insiden tersebut untuk mendapatkan sisi pandang yang mendalam dan berasaskan ilmu tentang kejadian sedemikian rupa. Biar pun ia melelahkan media Finland kerana mereka kemudiannya tersedar ketika itu yang mereka ketiadaan pakar dalam kes yang tidak disangka-sangka ini, tetapi pada masa yang sama media tercegah daripada memfokuskan laporan ala-ala media Amerika Syarikat yang memanipulasi emosi mereka yang terlibat secara langsung di dalam insiden berkenaan.

Malah nama-nama mangsa juga tidak dinamakan oleh media di dalam berita. Mungkin juga faktor media Finland dimiliki oleh pihak kerajaan, maka mereka tidak mempunyai desakan untuk mengejar rating.

Di USA, media mereka telah dikritik selepas insiden school shooting di Virginia Tech kerana liputan yang meluas dan sensasi telah diberikan kepada penembak serta implikasinya di kalangan rakan-rakan yang terbabit. Perincian mengenai kejadian ini menjadi sumber orang lain mendapat inspirasi, sebagaimana tragedi pembunuhan oleh Charles Manson Family terus menerus disambut oleh pemuja insiden kejam itu. Apatah lagi, golongan yang melakukan kekejaman seperti ini, mahukan perhatian.

Perhatian itulah yang apabila diberi, membantu mereka mencapai objektif yang dimahukan. Kemudian ia mencetus orang lain untuk melakukan perkara yang sama.

Ini juga hikmah barangkali, mengapa kisah adik beradik Nabi Yusuf alayhi al-Salam memerangkap baginda hingga tercampak ke perigi, tidak diperincikan modus operandinya.

Sebarkan kebaikan.

Tundukkan kejahatan.

Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, Finland

Maklum Balas

Maklum Balas

About saifulislam

A school teacher and a lifelong learner.
Oulu, Finland

Check Also

Kita Tidak Sayangkan Kanak-kanak?

Pujuk dan ajak. Akhirnya anak setuju. Ikut ayah pergi ke masjid solat bersama-sama. Kemalasan dapat …

3 comments

  1. Ustaz. Banyak juga program dokumentari terbitan negara US tentang penjenayah-penjenayah ‘high profile’. Saya pernah lihat dokumentari tentang seorang lelaki yang suka mengebom, digelar ‘unibomber’. Mungkinkah program sebegini juga satu kesilapan kerana boleh melahirkan ‘copycat’?

  2. Assalamualaikum ustaz.

    Saya terfikir, bagaimana pula adegan-adegan tidak sepatutnya dalam drama/filem/video tempatan mahupun luar negara. Bukankah ia juga mengundang kepada gejala copycat effect. Geram dan sedih juga bagaimana paparan pelbagai aksi dari yang ganas sehinggalah yang lucah di TV seolah-olah mengajar penonton terutama golongan kanak-kanak dan remaja kita.

Leave a Reply to anna Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *